Selepas manusia berjaya sampai ke bulan menerusi Apollo 11, banyak negara dan entiti mula merancang untuk menjelajah jiran planet Bumi yang paling hampir iaitu planet Marikh. Tetapi menurut Akademi Sains, Kejuruteraan dan Perubatan Kebangsaan Amerika Syarikat (NAS), lebih molek bagi NASA mensasarkan Uranus sebagai sasaran penjelajahan seterusnya.
Dari satu segi, Uranus dianggap planet paling pelik dalam sistem suria. Ia bukan saja berputar pada sisinya tetapi secara terbalik. Ia disebabkan oleh perlanggaran objek persis planet semasa proses pembentukan matahari berlaku dan kewujudan bulan gergasi berbilion tahun yang lalu. Ia mempunyai lebih daripada 12 gelang dan dikelilingi oleh 27 bulan.
Tetapi NAS percaya dengan menghantar misi penjelajahan ke Uranus seawal tahun 2031, ia bukan saja merungkai rahsia gergasi ais yang wujud di alam semesta seperti Uranus dan Neptun. Malah, ia turut menyingkap petunjuk sejarah alam semesta. Kali terakhir prob angkasa lepas sampai ke Uranus ialah menerusi penerbangan seketika Voyager-2 pada 1986.
NAS mencadangkan perlaksanaan misi mirip Cassini – misi penerokaan Zuhal yang dilancarkan dari 2004 hingga 2017. Salah satunya ialah pelancaran misi prob dan orbiter. Prob akan dihantar bagi mengetahui atmosfera Uranus dengan orbiter pula akan mengelilingi sistem Uranus selama bertahun-tahun. Dengan misi sebegini, ia dijangka akan memperkayakan lagi pengetahuan setiap lapangan ilmu planet.
Setiap 10 tahun, komuniti sains planet membentangkan set cadangan penyelidikan dan penerokaan angkasa lepas mana yang patut dijadikan keutamaan. Dokumen yang dikenali sebagai kaji selidik planet sedekad digunakan oleh NASA dan NAS sebagai panduan bagi menentukan projek mana yang memerlukan pelaburan mereka.
Kaji selidik terakhir pada 2011 menjadikan tiga cadangan sebagai keutamaan penyelidikan dan penerokaan angkasa lepas. Tiga cadangan tersebut ialah misi mendapatkan dan membawa pulang pelbagai sampel Marikh, misi penjelajahan ke bulan Musytari, Europa dan misi ke Uranus. Misi mendapatkan dan membawa pulang sampel Marikh sedang berjalan menerusi rover NASA, Perseverance.
Sementara misi penjelajahan ke Europa – tidak sedramatik seperti digambarkan dalam filem Europa Report (2013) – akan bermula pada 2024 menerusi kapal angkasa Europa Clipper. Sementara cadangan penyelidikan dan penerokaan Uranus masih lagi belum direalisasikan. Dengan kaji selidik planet sedekad seterusnya pada tahun ini menyenaraikan Uranus buat kali kedua, ini tidak sepatutnya dipandang enteng oleh NASA.
Ini kerana kaji selidik kali ini menekankan tentang pencarian hidupan selain Bumi di sistem suria kita. Boleh jadi hidupan makhluk asing ini wujud bukan saja di permukaan planet Marikh tetapi lautan-lautan yang terkandung dalam bulan-bulan planet-planet sistem suria. Ini diterjemah dengan menjadikan misi penjelajahan ke bulan Zuhal, Enceladus sebagai keutamaan walaupun misi tersebut dijangka sampai pada 2050-an.
Tidak mustahil sesetengah bulan Uranus – semuanya dinamakan sempena karya-karya William Shakespeare dan Alexander Pope – berpotensi sebagai tempat kewujudan hidupan makhluk asing di luar Bumi. Bulan-bulan seperti Titania dan Oberon boleh saja mempunyai lautan di bawah keraknya seperti Europa dan Enceladus dan kaya dengan bahan organik. Bagi ramai pengkaji astronomi, kemungkinan sebegitu sememangnya sesuatu yang mengujakan.
Di sebalik keterujaan untuk menyingkap rahsia di sebalik Uranus, perlu diingat kapal angkasa mengambil masa berdekad-dekad lamanya untuk sampai ke bahagian luar sistem suria. Jika misi Uranus direalisasikan, ia boleh dilancarkan dengan roket SpaceX Falcon Heavy dengan jangkaan pelancaran antara 2031 hingga 2038.
Selain itu, pengkaji astronomi juga perlu melihat kedudukan planet yang dapat memberi peluang besar untuk prob dan orbiter sampai ke Uranus. Sekurang-kurangnya perjalanan ke Uranus mengambil masa antara 13 hingga 15 tahun. Ini bermakna sekiranya ia dilancarkan pada 2031, prob dan orbiter akan sampai ke sana sekitar 2040-an.
Bagi sebarang misi penyelidikan dan penjelajahan angkasa lepas, setiap misi memerlukan nama yang ikonik. Dengan Apollo sinonim dengan penjelajahan bulan dan Cassini (Zuhal), antara nama yang dipertimbang untuk misi Uranus ialah Caelus (dewa langit Rom), Shakespeare dan Pope (rujukan kepada semua bulan yang dinamakan sempena nama dua sasterawan Inggeris terkenal itu).
Tetapi semua ini hanya sekadar perancangan atas kertas. Misi Uranus masih perlu mendapat sokongan kewangan, politik dan teknikal bagi menjadikan ia satu realiti. Dan para saintis kini hanya mempunyai sedekad sebelum menjadikan misi tersebut sebagai satu realiti.
RUJUKAN
Carter, J. (2022, 21 April). Uranus by 2049: Here’s why scientists want NASA to send a flagship mission to the strange planet. Space.com.
Amos, J. (2022, 19 April). Make Uranus mission your priority, Nasa told. BBC News.
Drake, N. (2022, 21 April). NASA has been ignoring Uranus. That may soon change. National Geographic.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih