DeepSeek memang mencipta populariti tersendiri apabila ia tiba-tiba menjadi tajuk global. Korea Selatan juga tidak terlepas daripada menerima tempias kemasukan DeepSeek ini apabila hanya dalam seminggu ia berada dalam senarai aplikasi, jumlah pengguna mingguannya melonjak sehingga lebih sejuta orang.
Namun, pada minggu lalu, Korea Selatan tiba-tiba mengumumkan larangan terhadap muat turun DeepSeek untuk satu tempoh masa yang tak dapat dipastikan sehinggalah diberitahu kelak.
Jadi, apa sebab utama Korea Selatan mengambil tindakan ini?
Sebenarnya, bukan hanya Korea Selatan yang telah melakukan larangan ini, malah Taiwan serta Australia turut melakukan hal yang sama bagi muat turun DeepSeek. Berdasarkan kenyataan oleh Suruhanjaya Perlindungan Maklumat Peribadi Korea Selatan, iaitu pihak berkuasa privasi data di negara itu, aplikasi itu “tidak mempunyai ketelusan tentang pemindahan data pihak ketiga dan berpotensi mengumpul maklumat peribadi yang berlebihan.”
Namun, ia tidak jelas sama ada pihak ketiga yang dimaksudkan ialah kerajaan China atau sebaliknya. Malah, ada juga pihak yang menganggap DeepSeek sebagai satu ‘kejutan’ yang boleh mempengaruhi industri Korea Selatan.
Ketika ini, aplikasi DeepSeek itu sudah tidak tersedia untuk dimuat turun dalam pasaran aplikasi Apple dan Google, walaupun laman webnya masih boleh diakses. Malah, pengguna DeepSeek sedia ada masih boleh menggunakan chatbot pada peranti mudah alih mereka.
Ini sebenarnya bukan langkah awal Korea Selatan menentang DeepSeek. Negara ini sememangnya berhati-hati terhadap aplikasi itu sejak ia dilancarkan, setelah sebelum ini melarangnya pada peranti yang digunakan oleh pekerja di pelbagai agensi kerajaan.
Selain itu, Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan (NIS) Korea Selatan telah memberi amaran tentang kerentanan aplikasi berkait dengan keselamatan, menunjukkan pengumpulan tanpa had data pengguna yang boleh dikenal pasti dan respons yang tidak konsisten terhadap pertanyaan sensitif.
Menurut kenyataan itu lagi, larangan itu hanya akan ditarik balik selepas DeepSeek mematuhi undang-undang privasi dan keselamatan negara, yang dianggap antara yang paling ketat di dunia.




No comments yet