Palestin sekarang ini ialah sebuah “negara dalam negara”. Ia tidak boleh keluar daripada Israel sewenang-wenangnya. Ada banyak benda perlu dirunding terlebih dahulu. Kalau semua bersetuju, barulah negara Palestin diisytihar merdeka.

Tetapi ada yang bertanya: kenapa perlu merdeka? Kenapa tidak masuk menjadi wilayah Israel saja? Kalau masuk dalam Israel, banyak isu secara automatik selesai.

Sebenarnya penggabungan Israel dan Palestin dipanggil “one-state solution”. Dua negara menjadi satu, tunggal daripada Sungai Jordan hingga Laut Mediterranean. Sekarang ini pun, Israel dan Palestin sudah bergabung sebenarnya.

Cuma rakyat Palestin tidak mendapat hak sama seperti warga Arab di Israel. Jadi persoalan masih belum terjawab: kenapa Palestin tidak menjadi wilayah Israel saja?

Penggabungan tiga agama Ibrahim dalam dua negara?

Ada satu jawapan mudah. Sebab Israel tidak mahu Tebing Barat dan Semenanjung Gaza. Tiada kerajaan berani mengambil kedua-dua wilayah ini, kerana mesti akan kalah dalam pilihan raya seterusnya.

Pertama sekali, Israel mempunyai populasi berhaluan kanan. Ramai dalam kalangan rakyat Israel akan mempertahankan status ketuanan Yahudi yang diasaskan sejak kemerdekaan lagi. Jadi sesiapa yang menjemput Palestin masuk dalam Israel akan ditolak majoriti Yahudi.

Kedua, status ketuanan Yahudi tentu sekali teran.cam jika Palestin masuk Israel. Populasi Arab di Palestin sekarang ini sudah mencecah 5.03 juta. Israel pula mempunyai 1.89 juta warga Arab.

Jadi jika Palestin masuk Israel, dua angka ini akan campurlah. Dominasi Arab menjadi kukuh dengan 6.92 juta, masih belum majoriti kerana Yahudi berada dalam lingkungan 7.3 juta orang. Namun dalam aspek politik, Yahudi akan menjadi minoriti.

Haluan Kanan (Biru), Haluan Kiri (Merah), Parti Arab (Putih).

Pilihan Raya Israel akan memilih 120 wakil Dewan Knesset. Seorang Perdana Menteri perlu mendapat sokongan 61 wakil Knesset. Dengan 1.89 juta orang, bangsa Arab sudah menguasai 8.3 peratus (sebelum ini 12.5 peratus).

Jika warga Arab Palestin diberi hak mengundi, kuasa Ayman Odeh dan Mansour Abbas takkan mungkin boleh ditandingi mana-mana parti Yahudi… tambah jika mereka bergabung menjadi satu parti Arab tunggal.

Inilah mimpi buruk untuk kaum Yahudi. Dari dulu lagi mereka menggigil, contohnya Yisrael Koenig yang menyiapkan sebuah memorandum untuk mengatur langkah pengurangan populasi warga Arab di kawasan Galilee (Sa’di, 2003).

Benjamin Netanyahu sendiri pernah berkata, yang Yahudi takkan kekal majoriti jika bangsa Arab dibiar meningkat (Sedan, 2003). Pengaruh Koenig dan Netanyahu menyelubungi Israel, yang mengisytihar amalan poligami sebagai masalah keselamatan negara.

Mengulangi Tawaran Donald Trump

Semua pemimpin Amerika Syarikat sejak tahun 1948 menjulang hak perlindungan Israel. Namun dalam kalangan mereka, Donald J. Trump layak digelar penyokong Israel paling setia. Pada 28 Januari 2020, beliau membentangkan rancangan keamanan yang sebenarnya dirangka menantunya Jared Kushner (Marcus, 2020).

Rancangan ini akan menubuhkan sebuah negara untuk Palestin, yang berpusat (ibu negara) di Jerusalem Timur seperti diminta (Holland, et al., 2020).

Mujur pentadbiran Palestin teliti betul-betul. Kerana “Jerusalem Timur” bagi Trump bermula di kampung Abu Deis, bermakna Masjid al-Aqsa dan Haram ash-Sharif (Dome of the Rock) akan diambil Israel.

Pentadbiran Palestin hanya di kawasan hijau.

Status kenegeraan Palestin akan bermula dalam bentuk percubaan dulu. Dan Palestin tiada kuasa dalam bab pengurusan dasar luar, keselamatan dan ruangan udara.

Kedaulatannya akan terhad, kerana tidak boleh menyertai apa-apa jua pertubuhan antarabangsa tanpa restu Israel. Banyak persoalan yang timbul, terutamanya bab pendudukan Israel di Tebing Barat yang seolah-olah menjadi sah di sisi undang-undang pula (Plett-Usher, 2019).

Kejatuhan Trump sememangnya satu kebaikan untuk Palestin yang tidak perlu menanggung ris.iko pelaksanaan tanpa rela. Rancangan ini akan mengesahkan pengilhakan (ann.exation) Israel di bumi Palestin.

Tetapi orang-orang Palestin tidak menjadi warganegara Israel, sekali gus menjaminkan status Israel sebagai negara Yahudi. Dengan kata lain, tanah ambil, rakyat halau.

Gaza pula tidak memberi sebarang kepentingan ekonomi untuk Israel. Semenanjung itu sudah terdedah dengan masalah ekonomi seperti gangguan bekalan elektrik dan air. Rakyatnya hidup dalam kesusahan tanpa pelaburan asing, melainkan derma dan dana daripada Dunia Islam.

RUJUKAN:

Holland, S., et al. (2020, Januari 28). Trump leaps into the Middle East fray with peace plan that Palestinians denounce. Reuters.

Marcus, J. (2020, Januari 28). Trump releases long-awaited Middle-East peace plan. BBC.

Plett-Usher, B. (2019, November 18). US says Israeli settlements are no longer illegal. BBC.

Sa’di, A.H. (2003, Julai 1). The Koenig Report and Israeli Policy Towards the Palestinian Minority, 1965-1975: Old Wine in New Bottles. Arab Studies Quarterly.

Sedan, G. (2003, Disember 18). Netanyahu: Israel’s Arabs are the real demographic (ditapiskan). Haaretz.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Comments are closed.