Cuba lihat sepuluh gunung tertinggi di dunia. Kita akan dapati, nama lapan daripadanya adalah dalam bahasa ibunda – Kanchenjunga, Lhotse, Makalu, Cho Oyu, Dhaulagiri, Manaslu, Nanga Parbat, dan Annapurna.

Hanya dua sahaja berbeza, iaitu Gunung K2 dan Gunung Everest. Tentang Gunung K2, kita faham ia dinamakan begitu kerana ia merupakan gunung kedua di Banjaran Karaoram yang diukur ketinggiannya. Tetapi, bagaimana pula dengan Gunung Everest?

Mengapa ia dinamakan bersempena George Everest, ketua juruukur British di India? Kalaulah ia untuk memperingati jasanya sekalipun, mengapa penamaan kali ini berbeza – yakni tidak mengekalkan nama tempatan seperti gunung-gunung lain? Adakah George sendiri yang memberi namanya kepada gunung itu?

Ramai sejarawan mengiyakan. Misalnya Niall Ferguson dalam karya berjudul Empire: How Britain Made the Modern World.

Namun, jawapan sebenarnya adalah tidak. Bahkan, George sendiri tidak merestui perkara itu. Baginya, ia satu hal yang memalukan. Cuma kalau begitu, bagaimana penamaan tersebut boleh terjadi sedangkan tuan badan sendiri tidak sudi?

Untuk mengetahui hal ini, kita kena kembali ke tahun 1802. Pada tahun tersebut, seorang pegawai British bernama William Lambton menubuhkan satu organisasi. Nama organisasi itu ialah Great Trigonometric Survey (GTS). Lihat sahaja nama itu pun, kita boleh tahu apa objektifnya.

Lambton, di bawah tajaan Syarikat Hindia Timur, mahu mengukur seluruh sub-benua India secara tepat menggunakan kaedah saintifik. Ini penting untuk merancang pertumbuhan ekonomi, mencatur pergerakan tentera, dan menganggar jumlah pendapatan negara.

Jadi, gerak kerja GTS menumpu pada empat perkara: tinjauan topografi (menyelidik rupa bumi di daratan), tinjauan trigonometri (menghitung tinggi, jarak, latitud dan longitud), tinjauan marin (memantau ekonomi perkapalan), dan tinjauan hasil pendapatan (memantau corak pemilikan tanah orang India).

George Everest

Sepanjang beroperasi, GTS bertanggungjawab mengukur ketinggian 79 buah puncak Himalaya termasuk Everest, K2 dan Kanchenjunga. Namun, tidak semua dilakukan di bawah kendalian Lambton. Sebab, Lambton meninggal dunia pada 1823.

Kerja-kerjanya diteruskan oleh George Everest yang sudah pun bersamanya sejak 1806. Pada 1830, Everest dilantik sebagai ketua juruukur di India (Surveyor-General of India) yang pertama. Di bawah kelolaannya, GTS menerima khidmat seorang genius muda tempatan.

Namanya ialah Radhanath Sikdar. Sikdar menyertai GTS pada usia 19 tahun. Ketika itu, dia masih menuntut di Presidency College, Calcutta. Kemasukannya ke GTS adalah hasil cadangan oleh pensyarah matematiknya sendiri, John Tytler kepada Everest.

Walaupun Sikdar bukanlah satu-satunya Bengali yang bekerja di GTS, dia adalah petugas yang paling disayangi oleh Everest. Sampaikan pernah, Everest menghalang pihak atasan dari memindahkannya ke jabatan lain.

Penglibatan Sikdar dalam GTS masih berterusan walau setelah Everest bersara pada 1843, digantikan oleh Andrew Scott Waugh. Ketika itu, dia dinaikkan pangkat menjadi Chief Computer of Calcutta. Antara tugasan terbesarnya adalah mengukur ketinggian Gunung Everest.

Ikutkan, gunung itu (waktu itu disebut sebagai Gunung XV) sudah pun mendapat perhatian GTS sejak 1847. Namun, kerja-kerja pengukuran hanya dilakukan pada 1852. Itu pun setelah ketinggiannya didapati mampu mencabar rekod puncak tertinggi ketika itu, iaitu Gunung Kanchenjunga.

Menerusi perkiraan yang dibuat oleh Sikdar, ketinggiannya adalah 29,000 kaki – hampir seribu kaki lebih tinggi berbanding Kanchenjunga. Namun kerana tidak menggemari nombor genap, Waugh menambah dua kaki lagi ke dalam perkiraan tersebut. Dan ternyata, angka itu memang tidak jauh lari. Hanya kurang 30 kaki sahaja dari kiraan terkini, iaitu 29,302 kaki.

Radhanath Sikdar

Apapun, artikel ini bukanlah ingin menyentuh soal tinggi Gunung Everest. Tetapi tentang namanya. Jadi, bagaimana Gunung XV boleh berubah nama menjadi Gunung Everest?

Selepas mewartakan kiraan tadi secara rasmi pada 1856, Waugh menulis kepada Royal Geographic Society. Dalam surat tersebut, dia mengusulkan supaya gunung itu dinamakan sebagai Everest; mengambil sempena ketua juruukur pertama GTS iaitu George Everest. Usulan itu diterima dan Gunung XV pun berubah nama menjadi Gunung Everest sembilan tahun kemudian (1865).

Namun, ia sama sekali tidak menggembirakan George Everest (meninggal 1866) yang ketika itu berada di UK, menjawat kedudukan sebagai felo di Royal Society. Ini kerana dia sudah pun menetapkan arahan khusus dalam GTS, iaitu gunung-gunung yang diukur perlu dikekalkan namanya sebagaimana ia dipanggil oleh masyarakat tempatan.

Sebab itu, kebanyakan nama gunung tertinggi tadi dikekalkan dalam bahasa tempatan. Hanya Everest sahaja yang melanggar kebiasaan. Kalau tidak, kita pada hari ini mungkin mengenalinya dengan nama berbeza. Sama ada Chomolungma (panggilan oleh orang Tibet) atau Sagarmatha (panggilan oleh orang Nepal).

Alasan Waugh memang macam jenaka. Katanya, dia tiada pilihan dan tidak tahu pun tentang panggilan tempatan untuk Gunung Everest. Sebab, masa itu Tibet melarang kemasukan pendatang. Jadi, sebarang maklumat tidak dapat diakses. Itu kata Waugh lah.

Ikutkan sebelum GTS buat kerja, China menerusi Dinasti Qing sudah pun membuat pemantauan serupa. Ia dilakukan pada tahun 1708-1716 atas arahan Maharaja Kangxi. Berdasarkan hasil pemantauan tersebut, paderi-paderi Jesuit di Beijing menghasilkan sebuah peta. Peta ini dicetak pada tahun 1718, merangkumi lokasi Gunung Everest yang dilabel sebagai Jumu Lungma Alin (lihat persamaan dengan panggilan oleh orang Tibet).

Kemudian pada tahun 1733 pula, peta tersebut dimasukkan oleh ahli kartografi Perancis bernama Jean D’Anville ke dalam karya masyhurnya, Noveau Atlas de Chine (New Atlas of China). Menerusi karya tersebut, peta Gunung Everest bersama nama Tibet-nya dapat diakses oleh Barat.

Peta Chomolungma oleh Jules Jacot-Guillarmod, 1925

Erti kata lain, alasan Waugh memang tidak masuk akal dan hanya menuding kepada dua kemungkinan. Pertama, Waugh tahu tentang kewujudan peta dalam karya D’Anville tetapi memilih untuk buat-buat tidak tahu. Kedua, dia memang betul-betul tidak tahu.

Mana-mana kemungkinan pun menyebalkan. Kerana, kemungkinan pertama menuding kepada kompleks superioriti (lebih mengutamakan nama berbaur Inggeris berbanding tempatan). Kemungkinan kedua pula mengisyaratkan kecuaian.

Sebab, tempoh pemantauan ke atas Gunung Everest bukannya sekejap. Ia mula mendapat perhatian GTS pada 1847. Kerja-kerja pengukuran dimulakan pada 1852. Hasil ukuran pula diwartakan pada 1856.

Ada sembilan tahun masa yang Waugh boleh guna untuk membuat penyelidikan dan menemukan nama Chomolungma – nama yang lebih menampakkan betapa Gunung Everest bertempat di Himalaya bukannya di Amerika, dan betapa tokoh yang mengukur ketinggiannya adalah seorang Bengali dan bukannya Inggeris.

RUJUKAN:

Arvind, Lavanya Shanbhouge. (2019, 24 May). The Great Trigonometric Survey of India: A History of How India Was Measured. Madras Courier.

Dagupta, Prateek. (2021, 16 October). Why is Mount Everest Named After a Person, Unlike Other Himalayan Peaks? History of Yesterday.

Patel, Tanvi. (2018). This Brilliant Bengali ‘Computer’ Discovered the World’s Highest Mountain Without Ever Climbing It! The Better India.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.