Buka sahaja aplikasi group whatsapp family ataupun kejiranan pasti ada golongan boomer yang gemar berkongsi berita palsu. Mereka beranggapan itu adalah berita benar sehingga hampir menggemparkan group. Kita sebagai orang muda yang berpengetahuan sedikit ingin menegur tetapi bimbang akan dituduh sebagai ejen Yahudi. Apa yang boleh dibuat adalah dengan nasihat sahaja orang terdekat dengan kita agar tidak terpengaruh dengan mereka.
Di media sosial terutamanya Facebook, golongan boomer juga sangat gemar sebarkan berita palsu. Tindakan ini lebih bahaya kerana engagement di Facebook lebih tinggi dan berupaya memperdaya kelompok lebih besar. Macam biasa nak tegur tapi mereka marah kita balik dengan kenyataan “mereka dah lama rancang, kita je lalai”. Jadi kita biarkan sajalah golongan boomer ini terjun dengan labu-labunya.
Persoalannya sekarang betul ke boomer suka sebar berita palsu?
Menurut satu kajian yang dijalan ketika Pilihan Raya Presiden di Amerika Syarikat, boomer yang berumur 65 tahun ke atas adalah golongan yang banyak sekali menyebarkan berita palsu. Paling menarik sekali boomer ini mengatasi golongan yang berumur 18 hingga 29 dalam penyebaran berita palsu.
Hal ini dibuktikan apabila boomer di Amerika Syarikat suka mengambil berita daripada laman web yang sangat meragukan dan sebarkan di media sosial. Situasi ini semakin teruk dengan kehadiran Covid-19 di mana boomer membuat dakwaan penyakit tersebut adalah demam biasa lantas menyebabkan sentimen anti-vaksin semakin meningkat
Mungkin ada yang cakap situasi di Amerika Syarikat tidak sama seperti di Malaysia. Tidak mengapa kita mengambil contoh terdekat daripada negara jiran. Thailand telah mengesan lebih 500,000 berita palsu telah tersebar di seluruh negara dan golongan berumur 60 tahun menjadi dalang disebalik penyebaran tersebut.
The Patriots berada di PBAKL 2022 bermula 3 June sehingga 12 June. Jumpa di sana!
Jadi mengapa golongan boomer ini suka sebar berita palsu?
Jawapannya adalah ketidakmampuan golongan boomer ini mentafsir maklumat yang mereka perolehi. Bermakna mereka akan anggap berita itu benar berdasarkan logik akal semata-mata. Tambah lagi mereka lagi gemar baca berita palsu kerana story line padu dan gemar menjentik emosi berbanding berita benar berdasarkan fakta yang sangat membosan.
Di samping itu, membaca berulang kali sesebuah berita dan laporan itu membuatkan mereka beranggap ianya benar. Mungkin pada pertama kali, boomer anggap vaksin agenda yahudi adalah mengarut. Tetapi apabila berita sama diulang banyak kali, mereka terus ingat itu adalah berita benar.
Penyebaran berita palsu juga didorong oleh nama-nama besar yang golongan boomer fikir mereka tidak akan berdusta. Bak kata pepatah “takkanlah lebai nak menipu”. Bila nama-nama besar ini sebarkan sesuatu berita, boomer terus percaya tanpa buat rujuk silang sama ada betul atau salah. Kadang-kadang keluarga dan rakan-rakan terdekat juga boleh menjadi sebab boomer sebar berita palsu. Ini kerana boomer anggap mustahil untuk keluarga dan rakan baik sendiri nak menipu. Padahal mereka pun turut tertipu dengan sumber yang diragui.
Selain itu, niat sebenar boomer menyebarkan berita palsu adalah amat baik iaitu bagi mengelakkan orang terdekat ditimba musibah. Sebagai contoh penyebaran ada mikrocip dalam vaksin. Niat boomer memang baik tetapi matlamat sentiasa tidak akan menghalalkan cara. Lebih baik selidik dahulu sebelum sebarkan apa-apa berita bagi mengelakkan berlakunya situasi panik.
Senang cerita kesemua sebab ini ada kaitan dengan ketidakmampuan golongan boomer menggunakan teknologi terkini dengan lebih berkesan. Bermakna mereka hanya tahu guna media sosial seperti Whatsapp dan Facebook semata-mata. Hal ini membataskan mereka untuk memastikan berita yang mereka baca, benar atau tidak. Jadi golongan muda, sila bombing boomer gunakan media sosial dengan betul. Tunjukkan kepada mereka laman web yang diyakini kesahihannya.
Disebabkan itulah, anda perlu berusaha untuk mencari berita Malaysia merangkumi berita semasa, politik, jenayah dan luar negara dari portal yang berkredibiliti tinggi dari wartawan berpengalaman untuk mengelakkan berita palsu.
RUJUKAN:
Brashier, N & Schacter, D. (2020, Ogos 7). Op-Ed: Older people spread more fake news, a deadly habit in the COVID-19 pandemic. Los Angeles Times. Dipetik daripada https://www.latimes.com/opinion/story/2020-08-07/fake-news-older-people-social-media
Najib. (2019, Disember 9). Trend dunia menunjukkan warga emas sumber utama penyebaran berita palsu. Soya Cincau. Dipetik daripada https://bm.soyacincau.com/2019/12/09/penyebar-berita-palsu-dunia-warga-emas/
The Guardian. (2019, Januari 10). Older people more likely to share fake news on Facebook, study finds. Dipetik daripada https://www.theguardian.com/technology/2019/jan/10/older-people-more-likely-to-share-fake-news-on-facebook




No comments yet