Empayar Mughal di India pernah jadi salah satu kuasa besar dunia Islam. Empayar ini menguasai hampir seluruh benua kecil India selama lebih dua abad. Dari zaman pemerintahan Babur hingga kemuncak kegemilangan di bawah Akbar, Shah Jahan, dan Aurangzeb, kerajaan ini dikenali dengan kehebatan tentera, seni bina hebat, dan sistem pemerintahan yang teratur.
Namun, seperti mana-mana empayar besar, keagungan Mughal akhirnya berakhir dengan kejatuhan yang tragis. Tapi, kenapa Empayar Mughal runtuh?
Antara faktor utama kejatuhan Empayar Mughal adalah kepimpinan yang kian lemah selepas kematian Aurangzeb pada tahun 1707. Aurangzeb dan pemerintahannya yang panjang (1658-1707) menyaksikan ketegangan dalaman yang melemahkan kestabilan empayar. Selepas kemangkatan Aurangzeb, takhta Mughal menjadi rebutan dalam kalangan pewaris yang tidak berkaliber.
Pemerintah selepas Aurangzeb seperti Bahadur Shah I dan Muhammad Shah tidak memiliki keupayaan untuk satukan empayar yang semakin berpecah-belah. Kelemahan politik ini membuka ruang kepada kebangkitan kuasa-kuasa wilayah yang mula bertindak secara autonomi.
Rajput, Maratha, Sikh, dan Nawab Bengal mula menuntut kemerdekaan masing-masing. Tuntutan itu menjadikan Empayar Mughal semakin rapuh. Maratha, khususnya, menjadi ancaman terbesar dengan serangan mereka yang semakin agresif terhadap wilayah Mughal.
Selain itu, ekonomi empayar turut alami kemerosotan yang ketara. Beban kewangan akibat perang, korupsi, dan sistem cukai yang tidak lagi berkesan menyebabkan kerajaan semakin kehilangan sumber pendapatan. Perdagangan yang pernah berkembang pesat mula tergugat dengan kehadiran kuasa Eropah seperti British dan Perancis, yang mengambil kesempatan atas kelemahan dalaman Mughal.
Serangan dari luar juga mempercepatkan kejatuhan empayar ini. Pada tahun 1739, Nader Shah dari Parsi menyerang ibu kota Delhi dan menjarah kekayaan Mughal, termasuk membawa pulang Takhta Merak dan Berlian Koh-i-Noor. Serangan ini bukan sahaja hancurkan maruah Empayar Mughal tetapi juga membuktikan betapa lemahnya pertahanan Mughal ketika itu.
Akhirnya, pengaruh British menjadi faktor terakhir yang menamatkan sisa-sisa kuasa Mughal. Syarikat Hindia Timur British yang pada mulanya hanya berminat dalam perdagangan mula mengukuhkan pengaruh politik dan ketenteraan mereka. Selepas Pemberontakan India 1857, British secara rasmi menamatkan Empayar Mughal dan membuang Maharaja terakhir, Bahadur Shah II, ke Burma.
Kisah kejatuhan Empayar Mughal sarat dengan pengajaran buat umat Islam. Pertama, kepimpinan yang lemah dan perpecahan adalah faktor utama yang meruntuhkan tamadun. Kedua, ekonomi stabil adalah tunjang kepada kekuatan negara, dan kebergantungan kepada sistem lama tanpa pembaharuan hanya akan membawa kepada kemunduran. Akhir sekali, ancaman dari luar tidak akan dapat menggugat jika kekuatan dalaman sesebuah negara kukuh.
Kejatuhan Mughal bukan sekadar satu peristiwa sejarah, tetapi satu peringatan bahawa tamadun hanya akan bertahan jika dipelihara dengan kebijaksanaan, perpaduan, dan Iman yang teguh.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
Historofil yang punyai minat untuk berkongsi hasil dapatannya melalui wadah penulisan. Harapannya cuma satu, menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada pembangunan tamadun anak bangsa menuju sebuah keagungan.