Cuba anda bayangkan sebentar. Anda seorang penghantar Grab. Cuba untuk mengejar masa menyampaikan makanan yang dipesan. Barangkali ianya sekadar nasi goreng biasa. Ataupun makanan yang istimewa seperti KFC ataupun pizza.

Tak kisahlah apapun makanannya. Yang penting makanan anda perlu tiba cepat. Dalam lingkungan masa yang telahpun dijanjikan app Grab. Dipandu kepintaran buatan (AI) yang tak tahu masalah yang anda sedang hadapi. Barangkali AI itu tak tahu yang hujan lebat memaksa anda menggunakan kereta. Yang ada kesesakan lalu lintas yang menyebabkan anda tersekat hampir 10 minit.

Boleh dapatkan dua buku terbaru kami di webstore: https://bit.ly/pratempahktmktr

Bila sahaja anda sampai ke rumah pelanggan, walaupun makanan itu sampai dalam keadaan yang baik, anda hanya diberi 2 bintang kerana lambat. Reputasi anda sebagai penghantar Grab  jatuh, menyebabkan anda sukar untuk mendapat tempahan di masa akan datang.

Anda tak punya pilihan lain, melainkan terima sahaja seadanya. Menyedari tentang nasib malang anda, anda pulang ke rumah, menghabiskan masa di depan skrin telefon pintar. Sama ada bermain game ataupun melayan media sosial. Hanyut sebentar di dunia kedua.

Kalau anda semua nak tahu, apa yang anda baca di atas tadi adalah plot permulaan novel Snow Crash, karya Neal Stephenson. Kenapa novel itu penting? Sebab dari novel inilah datangnya perkataan metaverse, yang menjadi inspirasi kepada Zuckerberg.

Pada 28 Oktober yang lalu, Mark Zuckerberg, mengumumkan untuk menukar nama syarikatnya dari Facebook kepada Meta. Mengumumkan visi syarikatnya untuk membawa internet ke tahap yang seterusnya. Membawa internet ke peringkat metaverse.

Sebelum kita terus berbicara tentang metaverse, lebih eloklah kita faham apa itu metaverse. Ya, saya tahu anda pasti dah muak mendengar maksud metaverse. Mungkin dah faham apa itu metaverse secara asasnya. Jadi saya akan ringkaskan penerangannya, dan sampaikan dalam bentuk contoh.

Metaverse adalah bentuk baru internet. Kita kan sekarang ni kalau buat apa-apa sahaja pasti gunakan internet. Baca buku pakai internet, beli buku pakai internet, tulis nota dari buku pakai internet, nak cetak petikan dari buku pun kita pakai internet. Tu belum lagi aktiviti-aktiviti lain seperti menonton wayang, memesan makanan, bermain, beriadah, bersosial dan banyak lagi. Hampir semuanya boleh dan sudahpun dilakukan melalui internet.

Dan kewujudan pandemik COVID-19 dua tahun yang lepas mempercepatkan lagi transisi. Sehingga hampir semua aktiviti manusia kini terpaksa melalui internet. Nak makan? Kena melalui internet. Nak buat kerja? Mesyuarat ke apa perlu melalui internet. Ini menjadikan manusia terlalu bergantung kepada internet. Sehingga hilang sempadan antara dunia internet dan juga realiti yang kita sedang diami.

Tapi perlu diingatkan, yang sempadan itu masih lagi wujud. Kerana segala transisi yang dilakukan di internet, perlulah melalui skrin. Sama ada skrin komputer, TV, mahupun peranti mudah alih. Jadi bila anda mahu keluar dari dunia internet, anda hanya perlu mengalihkan mata dari skrin.

Mark Zuckerberg tak mahu macam tu. Dia mahu menghapuskan terus sempadan itu. Kerana itulah dia ingin membawa internet ke peringkat seterusnya. Ke alam realiti maya yang dipanggil sebagai metaverse. Di mana semua urusan internet kini tertakluk dalam dunia realiti maya yang dibina olehnya. Tidak lagi perlu melalui skrin.

Ramai memberi contoh, seperti Ready Player One. Dunia realiti maya di dalamnya yang dipanggil sebagai Oasis. Yang peminat anime suka bagi contoh Isekai seperti Sword Art Online ataupun Accel World. Tapi bagi saya kedua-duanya tak tepat.

Sebab dunia realiti maya dalam Ready Player One mahupun SAO merupakan dunia yang dibina untuk permainan video. Metaverse lebih besar daripada itu. Bagi saya contoh yang paling tepat sekali (dah tentulah selain Snow Crash), adalah Ralph Breaks the Internet. Begitulah bentuk metaverse yang sepatutnya. Internet, yang dijadikan sebagai dunia maya.

Sumber: Disney Brings the Web to Life in ‘Ralph Breaks the Internet’ | WIRED

Satu persoalan yang mungkin terlintas kita di fikiran kita pada ketika ini adalah, boleh ke? Entah Mark Zuckerberg ni, boleh percaya ke tak. Silap-silap sembang je. Tapi Mark tak sembang beb. Mark dah ada asasnya. Teknologi realiti maya (VR) Oculus dah pun ada di tangan Mark. Sekarang Mark hanya perlu fikirkan bagaimana untuk memastikan teknologi ini matang, murah dan boleh digunapakai oleh semua penduduk di muka bumi ini.

Bibit-bibit metaverse ni dah pun ada sebenarnya. Cuma perlu dicantum dan dicerakinkan menjadi sesuatu yang lengkap. Sejak teknologi realiti maya berkembang pada tahun 2013, sudah ada lebih 171 juta pengguna peranti realiti maya ini di seluruh dunia. Dan jumlah ini dijangka akan terus meningkat, dan bakal membawa pulangan sehingga $200 billion pada tahun 2022.

Ini membuktikan yang teknologi maya hanya menunggu masa sahaja untuk menjadi arus perdana. Menjadi sesuatu yang bakal berada di dalam setiap rumah di seluruh dunia. Sama juga seperti mana televisyen pada suatu ketika dulu.

Tapi pada ketika ini, teknologi realiti maya hanya mekar untuk permainan video. Tak nampak lagi ada perisian realiti maya yang meluas digunakan untuk aktiviti selain dari bermain permainan video. Pun begitu, ini tak bermakna yang permainan video terhad hanya untuk bermain sahaja.

Pada April tahun lepas (2020), penyanyi rap popular Amerika Syarikat menganjurtkan konsert secara lansungnya di dalam Fortnite. Berpuluh-puluh juta penonton menyaksikan konsert itu, yang berlansung selama 15 minit, dalam dunia maya Fortnite. Ini pun merupakan satu contoh yang terbaik, bila dunia maya digunakan untuk aktiviti selain dari bermain permainan video.

Pembaca semuanya pasti sedar, yang kita sebenarnya sudahpun separuh kaki menuju ke metaverse. Separuh lagi kaki hanya menanti masa untuk meluncur laju ke dunia seperti itu. Dunia di mana metaverse sudah menjadi sebahagian dari kehidupan. Dan untuk itu, kita perlu bersedia. Kerana dunia seperti itu sangatlah bahaya.

Apa bahayanya? Banyak. Terlalu banyak untuk disenaraikan di sini. Jadi saya cerita dua sahaja buat pembaca. Sebab saya pun tak nak rencana ni jadi panjang berjela.

Yang pertama tentang pemasaran. Macam yang saya cerita pada mula tadi, metaverse ni akan digunakan untuk banyak benda. Dan memberi belah adalah salah satu darinya. Jika sekarang pun kita dah rasa kurang senang bila data kita  (seperti tabiat kita melayar laman sosial, ruang internet, dan apa yang kita bualkan) dijual kepada syarikat-syarikat di luar sana. Cuba bayangkan apa yang akan terjadi nanti, bila metaverse sudahpun ada.

Kewujudan metaverse mewujudkan dunia yang baru kepada entiti pemasaran. Kini pemasaran tak terhad sekadar video ataupun poster,  tapi mereka yang memasarkan sesuatu, boleh membentuk dunia yang baru kepada pelanggan, mewujudkan dunia kedua.

Dan pada masa yang sama mereka yang menguasai dunia metaverse juga, boleh menjual lebih banyak jenis data. Data seperti bentuk wajah, gerak badan, gerak jantung, dan sebagainya kini boleh dijual dan digunakan oleh pihak pemasaran, menyebabkan sempadan privasi pengguna makin lama makin tipis. Sanggupkah kita membiarkan perkara sebegitu berlaku?

Belum lagi bila kita bercerita tentang kawalan informasi. Sekarang pun, bila kita melayari Facebook ataupun media sosial seumpamanya, jika ada sahaja hantaran yang kita buat yang tidak kena dengan tekak masyarakat globalisasi, ia pasti akan dipadam. Dan akaun kita akan diberi amaran. Mahukah kita nanti bila ada suatu ruang maya yang tiada sempadan dengan realiti, di mana semua maklumat yang sampai ke telinga kita dikawal oleh satu entiti?

Perlu diingatkan yang nama metaverse itu pun sendiri datangnya dari dunia fiksyen. Dan karya-karya fiksyen seperti ini seringkali datang amaran. Amaran kepada masyarakat seperti kita tentang bahaya masa hadapan. Jika ia tidak dikawal dari sekarang.

Dalam novel Snow Crash sendiri, metaverse itu menjadi tempat di mana golongan korporat menguasai. Ia menjadi dunia melepaskan diri dari realiti. Sehingga manusia tak mampu nak membezakan lagi antara realiti dan fantasi.

Beli novel terkini tulisan penulis, Azhrael Si Penjejak Kubur di: bit.ly/MK-Azrahel

Dalam novel Azrahel si Penjejak Kubur karya saya sendiri, dunia metaverse yang dipanggil sebagai Mayaloka, juga dikawal oleh satu syarikat. Di mana semua informasi di dalamnya dikawal sepenuhnya, untuk memastikan semua pengguna tetap berada di bawah kawalan. Dan tiada siapa yang mampu memberontak.

Sepatutnya Zuckerberg bukan setakat mengambil nama metaverse. Tapi juga mengambil pengajaran yang tersirat dari karya seperti itu. Ada bahayanya dunia metaverse ini, jika ia tak diperhatikan dengan teliti. Janganlah kita terlalu asyik mengejar dunia maya metaverse, sampai membiarkan dunia distopia fiksyen menjadi realiti.

RUJUKAN:

France, L. R. (2020, April 24). Travis Scott’s virtual concert on Fortnite set a record. Retrieved from CNN.com: https://edition.cnn.com/2020/04/24/entertainment/travis-scott-fortnite-concert/index.html

Hackl, C. (2020, August 2). Now Is The Time To Talk About Ethics And Privacy In The Metaverse. Retrieved from The Forbes: https://www.forbes.com/sites/cathyhackl/2020/08/02/now-is-the-time-to-talk-about-ethics–privacy-in-the-metaverse/?sh=2d2551b0ae6c

Jr, T. H. (2021, November 3). This 29-year-old book predicted the ‘metaverse’ — and some of Facebook’s plans are eerily similar. Retrieved from CNBC.com: https://www.cnbc.com/2021/11/03/how-the-1992-sci-fi-novel-snow-crash-predicted-facebooks-metaverse.html


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang jurutera muda yang meminati teknologi, sejarah dan paling utama sekali, permainan video. Motto hidupnya adalah: "Kalau tak perlu buat,jangan harap aku nak layan. Kalau perlu,sepantas kilat aku kerjakan." Beliau berhasrat mengumpul ilmu sebanyak mungkin dan menyebarkannya demi kemajuan bangsa,agama dan tanah air.

Comments are closed.