Panggilan terhadap kaum Cina selalu menimbulkan kekeliruan.

Nak panggil Cina, atau panggil Tionghoa?

Perkataan Cina berasal dari perkataan Sanskrit cīna (चीन), yang turut membawa kepada perkataan China/Chinese (Inggeris), Sina (Latin) dan aṣ-Ṣīn (Arab).

Ada banyak teori mengenai asal-usul perkataan Cina ini, tapi teori yang paling diterima ramai ialah ia berasal dari nama Cin (atau Qin menurut ejaan Pinyin moden) yang merupakan nama dinasti pertama Empayar China yang didirikan pada tahun 221 Sebelum Masihi.

Tionghoa pula merupakan sebutan perkataan Zhonghua dalam loghat Hokkien. Zhong bermaksud “tengah” manakala Hua merujuk kepada Huaren, iaitu nama endonim kaum Cina.

Endonim (endonym) ialah panggilan sesuatu kaum/negara oleh kaum itu sendiri. Contoh: orang Melayu panggil diri sebagai Melayu, maka “Melayu” ialah endonim. Malay (Inggeris), Marai (Jepun), Malais (Perancis) dan lain-lain ialah panggilian oleh orang luar, atau eksonim (exonym).

Jadi orang Cina panggil diri mereka sebagai Huaren, yang berasal dari nama purba Huaxia. Cina seberang laut (overseas Chinese, iaitu orang berketurunan Cina yang menetap di luar China) dipanggil huaqiao. Kaum Cina dipanggil huayi.

Zhonghua ialah nama rasmi kepada negara China moden. Republik Rakyat China dalam Bahasa Mandarin disebut sebagai Zhonghua Renmin Gongheguo. Jarang sekali kaum Cina berbahasakan diri mereka sebagai Zhonghua.

Di Indonesia, “Tionghoa” yang lazim digunakan, berbeza dengan Malaysia yang guna “Cina”. Sebabnya penggunaan nama Cina dianggap sebagai celaan (slur) di Indonesia.

Tapi di Malaysia, tidak timbul soal yang sama bila Cina digunakan. Malah penggunaan Tionghoa berbunyi kekok dan tidak menepati citra masyarakat Cina di Malaysia.

Sebabnya, Tionghoa ialah sebutan Hokkien. Hokkien merupakan majoriti di Indonesia, tapi di Malaysia Hokkien hanyalah salah satu kaum terbesar bersama-sama Hakka dan Kantonis. Zhonghua dalam sebutan Hakka dan Kantonis ialah Chonghwa. Tak munasabah kalau Tionghoa didahulukan.

Jadi penggunaan perkataan Cina lebih praktikal walaupun dapat diperhatikan semakin ramai yang lebih selesa dengan panggilan Inggerisnya Chinese.

Selain Huaren, kaum-kaum Cina di Malaysia juga berbahasakan diri Tangren, atau Teng-lang dalam Hokkien, atau Tong-yan dalam Kantonis, atau Tong-ngin dalam Hakka. Maksudnya ialah “orang Tang”.

Malah panggilan orang Tang ini lebih bersejarah dan popular berbanding Huaren yang agak moden. Chinatown selalunya dikenali sebagai Tangrenjie (jalan orang Tang). Nama Kampung Cina di Kota Bharu dan Kuala Terengganu juga dikenali sebagai Tangrenpo, atau Tenglangpo.

Tang merujuk kepada Dinasti Tang, dinasti yang memerintah China dari tahun 618 hingga 907.

Kaum-kaum Cina di Malaysia, yakni orang Hokkien, orang Kantonis, orang Hakka, orang Teochew lebih mengaitkan diri dengan Dinasti Tang sebab di zaman itu orang Cina di sana mula berdagang dan berlayar ke luar. Bila ditanyakan mereka siapa, mereka akan jawab “orang Tang”.

Itu juga asal-usul perkataan Tong San, yang merupakan perkataan Kantonis yang merujuk kepada Tanah Besar China.

Tenglang/Tongyan/Tongngin lebih popular berbanding Huaren disebabkan konsep Huaren hanya mula muncul pada awal abad ke-20, dicipta oleh golongan nasionalis yang mahu mewujudkan identiti kebangsaan bagi penduduk China.

Sebelum itu, identiti sedemikian berubah-ubah ikut zaman, ikut dinasti. Orang yang hidup di zaman Tang akan panggil diri Tang, orang di zaman Ming (1368-1644) akan panggil diri Ming, orang di zaman Qing (1644-1911) akan panggil diri Qing. Tidak mempunyai satu identiti yang merentasi zaman.

Maka intelektual nasionalis seperti Liang Qichao (1873-1929) membelek-belek kitab lama, dan terjumpa perkataan Huaxia yang diguna pakai sebelum Dinasti Qin lagi. Huaxia digabungkan dengan Zhongguo (negara di tengah-tengah, merujuk kepada China), maka jadilah Zhonghua (iaitu Tionghoa yang disebut awal tadi).

Zhonghua Minzu diguna untuk merujuk kepada Chinese nation. Selepas monarki Qing digulingkan, nasionalis ini menubuhkan Republik China, atau Zhonghua Minguo. Republik Rakyat China yang ditubuhkan kemudian pun memakai nama Zhonghua Renmin Gongheguo.

Konsep Zhonghua ini lebih kepada bangsa (nation). Warganegara China lebih lazim membahaskan diri sebagai Zhongguoren, yang bermaksud orang Zhongguo (China).

Bagaimana pula dengan Cina Han (Hanren) atau Han Chinese?

Han ialah etnik terbesar di Zhongguo (China), yang membentuk bangsa Zhonghua. Selain Han, ada juga etnik Uyghur, Mongol, Tibet, Manchu dan lain-lain yang menetap di dalam sempadan China.

Kaum-kaum Cina di Malaysia, di Singapura, di Indonesia, di Thailand, di Filipina pun boleh diklasifikasikan sebagai Han. Cuma penggunaan Tangren dan Huaren lebih menepati konteks kaum Cina di luar China.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Comments are closed.