Tatkala Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mencatat kutipan lumayan di pawagam, satu kontroversi timbul beberapa hari lepas. Kononnya, gambaran tentera Sikh yang digunakan pihak British terhadap pejuang-pejuang Pahang dalam filem tersebut sebagai fitnah dan tidak tepat. Tetapi ia turut mengundang persoalan bagaimana tentera Sikh boleh menjadi balaci British?

Mungkin jawapan ini boleh diketahui dengan mengkaji bagaimana ia bermula. Sekitar 1799, Empayar Sikh terbentuk di mana kerajaan-kerajaan kecil Sikh disatukan di bawah satu pemerintahan. Individu yang ditabalkan sebagai pemerintah kerajaan ini ialah Maharaja Ranjit Singh pada 1801. Di bawah pemerintahan baginda, kerajaan ini meliputi Mithankot di sebelah selatan, Kashmir (utara), Khyber Pass (timur) dan barat Tibet (barat).

Maharaja Ranjit Singh

Kemunculan kerajaan ini timbul pada masa sama Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) berusaha meluaskan pengaruh mereka di India. Walaupun telah menjalin hubungan diplomatik dengan wakil British itu, Ranjit mempunyai sebab untuk tidak mempercayai mereka. Ini kerana pihak SHTI sentiasa berusaha meluaskan pengaruh mereka walau dengan apa cara sekalipun sama ada secara penipuan mahupun ketenteraan.

Atas sebab itu, Ranjit berusaha membina kekuatan tentera Empayar Sikh agar ia sukar dikalahkan pihak SHTI. Bagi melatih tentera kerajaan itu, baginda mengupah ramai orang Eropah termasuk sesetengah pegawai dan tentera British yang tidak lagi berkhidmat dengan SHTI. Walaupun bilangan mereka tidak diketahui, sejarawan percaya jika mereka dikumpulkan dalam satu kumpulan, ia cukup untuk membentuk satu platun.

Ranjit juga secara rahsia turut meluluskan kemasukan tentera Sikh ke dalam tentera SHTI. Pada mata kasar, ia kelihatan seperti tanda hubungan baik Empayar Sikh-SHTI. Hakikatnya, baginda mahukan mereka berperanan sebagai perisik dan melaporkan setiap perkara kepada kerajaan itu di Lahore, ibu kota kerajaan berkenaan. Ini termasuk teknik persenjataan dan susun atur organisasi ketenteraan semasa di medan perang.

Jean-Francois Allard

Tentera Eropah pertama menyertai Empayar Sikh sekitar 1809. Menjelang 1822, terdapat 50 orang tentera Eropah dari pelbagai negara yang menjadi sebahagian daripada tentera kerajaan berkenaan. Ini termasuk dua bekas jeneral Perancis yang berkhidmat dengan Maharaja Napoleon Bonaparte – salah seorang daripada mereka ialah Jean-Francois Allard. Kerajaan Sikh turut mempunyai sebuah kilang membuat senjata yang diuruskan oleh seorang saudagar Perancis dengan kualiti pembuatannya jauh lebih baik daripada senjata keluaran British.

Ranjit tidak berhenti di situ saja. Sekitar 1804, semasa SHTI sibuk memburu pemerintah kerajaan Maratha, Yashwant Rao Holkar, baginda menyusup masuk ke kem SHTI yang ketika itu diketuai oleh panglima perang tertinggi mereka di India, Lord Lake (Gerard Lake, 1st Viscount Lake) dan menyamar sebagai salah seorang tentera India di situ. Ranjit bukan saja meninjau keupayaan dan organisasi tentera SHTI. Malah, baginda turut berpeluang menemubual Lord Lake berkenaan perkara sama.

Dengan semua perkara yang dilakukan oleh baginda, tidak hairanlah lebih 40 tahun kemudian, SHTI berdepan masalah besar semasa terjebak dalam Perang Anglo-Sikh (1845-1846). Tidak seperti tentera tempatan yang memilih untuk lari apabila situasi tidak memihak kepada mereka, lain pula ceritanya dengan pihak Sikh. Mereka kembali bergabung dan mengumpul semula kekuatan sebelum menyerang. Tentera Sikh juga lebih berdisiplin dan bersungguh-sungguh melawan – jauh mengatasi pihak British.

Sebut pasal perang, Empayar Sikh menjadi kucar-kacir berikutan kemangkatan Ranjit pada 1839. Susulan itu, perebutan takhta dan pembunuhan berleluasa dalam kalangan pihak berkepentingan itu. Dan ini memberi peluang kepada SHTI untuk meluaskan pengaruh mereka di situ. Dan itu membawa kepada siri pertempuran di Mudka, Ferozashah dan Sabraon sekitar 1845 dan 1846.

Bagi peminat-peminat kisah pertempuran, kalian dipelawa membeli buku ini: https://thepatriots.store/store/books/ketenteraan/pertempuran-agung/

Dalam setiap pertempuran, pihak Sikh mempunyai bilangan anggota yang ramai dengan sokongan meriam yang banyak. Di atas kertas, ini meletakkan SHTI pada kedudukan yang lemah. Tetapi itu tidak menghalang mereka untuk menang ke atas pihak lawan walaupun terpaksa menanggung jumlah korban yang ramai. Jika tidak kerana kesungguhan tentera Gurkha menyamai kesungguhan pihak Sikh, sudah pasti jumlah korban pihak SHTI bertambah dan berpotensi menyebabkan mereka kalah.

Apabila Perang Anglo-Sikh Kedua (1848-1849) tercetus, situasi sama kembali berulang. Bezanya di sini, SHTI mempunyai bilangan meriam yang mencukupi untuk melindungi pasukan tentera mereka. Itu cukup untuk membantu SHTI membubarkan Empayar Sikh dengan pemerintah terakhirnya Maharaja Sir Duleep Singh dibuang negeri ke Britain. Sementara bondanya yang menjadi pemangku pemerintah Sikh, Maharani Jind Kaur pula dibuang negeri di Nepal sebelum menyertai baginda di London.

Kesungguhan tentera Sikh sudah pasti menyakinkan pihak British bahawa mereka berbaloi untuk dijadikan sebagai tentera tambahan. Mereka bukan saja berdisiplin dan kesungguhan di medan perang tetapi juga menunjukkan kemahiran organisasi yang mirip dengan tentera-tentera Eropah ketika itu. Keputusan yang dibuat ternyata berbaloi lapan tahun kemudian.

Pada 1857, Pemberontakan Sepoi tercetus di India membabitkan tentera Sepoi yang beragama Islam dan Hindu. Salah satu sebab utama pemberontakan ini ialah pengenalan senapang Enfield untuk kegunaan di medan. Sebelum ia boleh digunakan, kartrij peluru yang berminyak perlu digigit terlebih dahulu sebelum ia boleh dimasukkan dalam senapang.

Hal ini mengundang khabar angin yang mencetuskan kemarahan tentera Sepoi yang beragama Islam dan Hindu. Kononnya, lemak yang digunakan pada kartrij ialah lemak lembu dan babi, dua haiwan yang mempunyai simbol berbeza dalam kedua-dua agama. Bagi umat Islam, babi sememangnya telah diisytiharkan sebagai haiwan yang haram dimakan seperti dinyatakan ayat 173, Surah al-Baqarah. Sementara lembu pula ialah haiwan suci dalam agama Hindu.

Contoh pemberontakan Sepoi di Meerut

Sikap SHTI yang bersikap acuh tak acuh terhadap khabar angin ini mengakibatkan pemberontakan tercetus di seluruh India. Hanya dua kelompok saja yang terus setia bersama SHTI iaitu tentera Gurkha dan tentera Sikh. Tidak seperti tentera Gurkha yang memang setia dengan pihak British terutama selepas pembentukan batalion mereka berpuluh-puluh tahun sebelumnya, tentera Sikh mempunyai dua sebab untuk tidak menyertai rakan-rakan seangkatan mereka dalam pemberontakan itu.

Orang Sikh menyifatkan dengan bergabung dengan tentera Sepoi beragama Islam dalam pemberontakan, ia ibarat mengkhianati sejarah figura mereka yang dibunuh oleh kerajaan Mughal. Figura yang dimaksudkan ialah Guru Gobind Singh yang menjadi duri dalam daging kepada pemerintahan Maharaja Aurangzeb. Ironinya, kematian mereka selang setahun dengan Aurangzeb mangkat pada 1707 dengan Guru Gobind Singh pada 1708.

Disebabkan kempen ini juga, orang Sikh tidak mahu bergabung dengan tentera Sepoi beragama Hindu. Ini kerana sistem sosial yang wujud pada era Mughal dilihat banyak memberi kelebihan kepada orang Islam dan Hindu serta menganaktirikan golongan Sikh. Bagi mereka, buat apa mereka bergabung dengan dua pihak yang banyak menyusahkan mereka selama ini. Kecenderungan mereka ini mendorong mereka setia – satu perkara yang dihargai pihak SHTI.

Dengan SHTI dianggap lebih menyusahkan dan gagal mengawal keadaan di India, syarikat itu dibubarkan pihak British pada 1858. Susulan itu, India dijadikan sebagai Jajahan Tanah Mahkota dengan semua tenteranya termasuk tentera Sikh kini dikawal sepenuhnya oleh kerajaan di London. Dengan keputusan ini, ini membolehkan British menghantar mereka ke mana-mana tanah jajahan yang memerlukan bantuan dari segi keselamatan.

Disebabkan kelebihan mereka sebagai tentera yang berdisiplin, sesetengah daripada mereka turut direkrut sebagai polis. Kelibat mereka disaksikan pada 1807 apabila orang Sikh direkrut sebagai polis di Pulau Pinang. Pengalaman SHTI dengan orang Sikh di India termasuk hubungan baik dengan Maharaja Ranjit Singh membolehkan mereka direkrut terlebih dahulu.

Hal ini sudah pasti disedari oleh ramai pegawai British termasuk Kapten Tristram Speedy yang kemudiannya menjadi Superintendan Polis Pulau Pinang. Pada 1873, beliau diupah oleh Orang Kaya Larut, Ngah Ibrahim untuk membina sebuah pasukan polis bagi mengawal keselamatan di Larut. Ini susulan Perang Larut yang tercetus setahun sebelumnya membabitkan kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San. Daripada 110 orang tentera Sepoi yang dibawa dari Calcutta, majoriti daripadanya ialah orang Sikh.

Selepas Perjanjian Pangkor dimeterai pada 1874 bagi menamatkan krisis perebutan takhta Sultan Perak, kuasa Ngah Ibrahim dimansuhkan. Ini menyebabkan pasukan polis Larut dibubarkan tetapi itu tidak bertahan lama. Selepas Speedy dilantik sebagai Penolong Residen kepada Residen J.W.W Birch, pasukan polis dibentuk semula dengan kebanyakannya merupakan anggota asal polis Larut. Seperti polis Larut, majoriti anggota polis baru ini juga merupakan orang Sikh.

Tetapi jika hal ini dilihat dalam konteks ketenteraan, maka kelibat tentera Sikh dapat dilihat seawal 1871 . 100 tentera Sikh direkrut oleh Wakil Yamtuan (Wizurai) Selangor yang juga menantu kepada Sultan Abdul Samad, Tengku Kudin. Mereka berperanan sebagai tentera garison yang menjaga pertahanan sekitar Kuala Selangor.

Tempoh 1867 hingga 1873 merupakan satu tempoh getir kepada negeri Selangor. Ini kerana pada ketika itu, Selangor dilanda Perang Klang membabitkan Raja Mahadi dengan Raja Abdullah sebelum diteruskan oleh Tengku Kudin dan putera Raja Abdullah, Raja Ismail. Ia tercetus akibat perebutan mendapatkan muara Sungai Klang bagi membolehkan keuntungan eksport bijih timah yang lumayan di situ. Ramai sejarawan percaya ramai tentera Sikh yang direkrut dari Negeri-Negeri Selat terbunuh dalam konflik berkenaan.

Kelibat tentera Sikh terus digunakan oleh pihak British dalam siri campur tangan mereka di Sungai Ujong (termasuk isu perebutan takhta Yamtuan Besar) dan paling dinantikan, Pahang. Akibat penentangan sengit pejuang-pejuang Pahang terhadap British dari 1892 hingga 1894, negeri itu menanggung hutang yang banyak di mana ia terpaksa ditanggung oleh Sultan Ahmad al-Muazzam Shah.

Bekas parit dan kubu yang terletak berhampiran Kampung Budu. Sumber: Luqman Hakim Zubir/Utusan Malaysia

Salah satu babak berdarah Perang Semantan ialah peristiwa pembakaran Kampung Budu pada Ramadan tahun 1892. Pada ketika itu, pejuang-pejuang Pahang seperti Tok Gajah dan Mat Kilau menjangkakan pihak British akan menyerang kampung berkenaan dengan kekuatan 2,400 orang (2,000 orang tentera Gurkha dan Sikh, 400 orang polis dari Raub). Serangan diketuai sendiri oleh Residen Pahang ketika itu, Hugh Clifford.

Pejuang Pahang telah membuat persiapan awal dengan menggali parit-parit dan menyediakan jerangkap samar sekitar kawasan hutan dan sungai. Hasilnya, apabila pihak musuh tiba di situ, bukan sekali mereka menjadi mangsa jerangkap samar pejuang-pejuang Pahang. Berang dengan apa yang berlaku, pihak British membakar Kampung Budu yang menyaksikan 300 orang penduduknya terbunuh.

Kubur-kubur tak bertanda di Kampung Budu. Sumber: Luqman Hakim Zubir/Utusan Malaysia

Peristiwa ini memaksa pejuang-pejuang Pahang berundur ke Kelantan dan Terengganu selepas mereka mengebumikan semua penduduk yang terbunuh. Sehingga hari ini, kawasan kampung berkenaan dianggap ‘keras’ oleh penduduk tempatan berikutan sejarah gelapnya. Salah satu bukti peristiwa berdarah Kampung Budu ialah penemuan kubur-kubur tak bernama yang hanya ditanda dengan batu sungai sebagai batu nisan.

Mungkin bagi sesetengah pihak, apa yang dipaparkan dalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan ialah fiksyen. Tetapi itulah yang berlaku terutama di Kampung Budu pada 1892. Betul, mereka mempunyai kod kepahlawanan tetapi kalau sudah arahan, mereka tak boleh berbuat apa-apa. Kesetiaan mereka ditumpahkan kepada pihak British ketika itu dan itu bermakna perlu patuh kepada semua arahan mereka. Dan itu merupakan satu hakikat pahit yang patut diakui.

Tentera Sikh terus dikekalkan khidmat mereka oleh British sehingga Perang Dunia Kedua (WWII). Setelah India mencapai kemerdekaan beberapa tahun selepas itu, mereka menjadi sebahagian daripada tentera India sehingga hari ini. Walaupun wujud idea untuk membangunkan rejimen khas Sikh di Britain, idea tersebut ditolak oleh London atas alasan ia bertentangan dengan undang-undang anti-diskriminasi UK.

Kami juga ada karya-karya fiksyen khas untuk para peminat pelbagai genre. – https://shopee.com.my/thepatriotsasia

RUJUKAN

D. Ness, G. dan Stahl, W. (1974). WESTERN IMPERIALIST ARMIES IN ASIA. Center for Research on
Social Organization. CRSO Working Paper #112.

Anderson, I. (2019, 16 Januari). Nostalgia: Sikhs And The Perak Police Force. Ipoh Echo.

NegeriPahang.com. (2019, 23 Jun). Tragedi Berdarah Kampung Budu Dibakar British.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply