Batman boleh dijadikan sebagai bahan dalam membincangkan falsafah etika. Batman pernah disoal oleh sesetengah watak, mengapa tidak membunuh Joker supaya dia tidak membunuh lebih ramai orang tidak bersalah pada masa depan. Aku pasti, ramai juga pembaca yang tertanya hal yang sama, “Yelah, kenapa Batman tak bunuh saja Joker? Tamat cerita.”

Dengan kes Batman ini, terdapat dua idea falsafah moral yang popular iaitu utilitarianism dan deontologism.

Utilitarianism adalah idea yang membawa kepada kebaikan maksimum. Matlamat menghalalkan cara. Tetapi matlamat tersebut haruslah memberikan kebahagian dan keseronokan kepada majoriti. Kalau matlamat bersifat individu, ia adalah fahaman egoism. Jadi, utilitarianism menggariskan suatu tindakan adalah betul apabila akibatnya memberikan kebaikan dan kebahagiaan pada ramai orang.

Deontologism pula adalah secara umumnya berlawanan dengan utilitarianism. Bagi seorang deontologis, akibat atau apa yang berlaku di masa hadapan adalah tidak relevan. Kalau perbuatan itu salah, ia tetap salah. Kalau menipu dapat menyelamatkan diri, seorang deonlogis tidak akan menipu kerana menipu adalah perbuatan yang salah.

Jadi, Batman utilitarian ataupun deontologis?

Tindakan utilitarian adalah, sekiranya keputusan akhir adalah baik, maka tindakan awalnya adalah betul. Maksud mudah, kalau membunuh Joker dapat membawa kebaikan yang lebih besar (dapat menghalang pembunuhan berterusan), maka membunuh Joker adalah perkara yang betul. Tindakan deontologis pula, mereka tidak fikir soal hasil, tetapi fikir soal tindakan mereka.

Pada deontologis, dapat membawa kebaikan yang lebih besar itu tidak relevan. Yang relevannya adalah membunuh itu adalah tindakan yang salah, maka Batman tidak membunuh Joker. Apabila ditanya, Batman selalu menjawab, samalah dia seperti penjenayah kalau dia bunuh penjenayah. Itulah sebab Lex Luthor pun tak mati di tangan Superman.

Deontogism ini boleh dikaitkan dengan etika superhero yang diterapkan iaitu membunuh adalah salah. Maka mereka patuh, walau apa pun hasilnya.

Sebab itu Batman hanya memenjarakan penjenayah supaya mereka bertaubat, bukan membunuh mereka.

Walaupun Batman seorang deontologis yang tegar, tapi dalam sesetengah keadaan dia tidak berpegang dengan etika itu, dan kelihatannya Batman agak bercelaru.

Batman mungkin popular dengan tindakannya seorang diri. Tetapi kita tidak nafikan, dia dibantu oleh beberapa orang yang berkemahiran seperti Alfred Pennyworth, Robin dan Batgirl.

Robin pula mempunyai banyak versi. Salah satunya adalah seorang anak yatim, iaitu Dick Grayson dan Jason Tood. Versi lain adalah Robin itu adalah anak Batman sendiri iaitu Damian Wayne.

Versi Dick Grayson ialah ibu bapanya dibunuh oleh sekumpulan penjenayah. Lalu dia mahu membalas dendam dan Batman bersetuju untuk melatihnya. Versi Jason Todd pula, Batman dapat tangkap Jason Todd yang cuba untuk mencuri tayar Batmobile dan seterusnya Todd dilatih menjadi Robin. Sebelum kita meneruskan, aku perlu jelaskan beberapa hal tentang deontologism.

Immanuel Kant (1724-1804) adalah seorang tokoh yang mempelopori idea deontoligism. Menurut Kant, untuk menjadi seorang deontologis, seharusnya etika itu mempunyai dua syarat. Pertama etika itu haruslah bersifat tidak berkecuali. Dia tidak boleh pada sesetengah hal, dia tidak mahu turuti etikanya. Pada sesetengah hal, dia turuti. Sepatutnya, dia turuti etikanya pada semua hal. Syarat kedua adalah bersifat universal. Maksudnya, etika itu haruslah dapat diamalkan oleh majoriti masyarakat.

Kalau Batman adalah seorang Kantian, tentunya Batman bukanlah seorang Kantian yang baik. Apabila kita terjumpa anak yatim yang terbiar, apakah secara etikanya kita dedahkan anak yatim itu pada jenayah seperti yang dilakukan oleh Batman?

Tentulah kita akan ambil tindakan menghantar anak yatim itu pada pihak yang bertanggungjawab. Lagipun menurut Kant, tindakan Batman dianggap melanggar etika deontologism kerana majoriti masyarakat tidak akan dedahkan anak yatim pada bahaya.

Mungkin etika Batman seperti berikut, apabila jumpa anak yatim, seharusnya anak yatim itu dilatih supaya menjadi orang dewasa yang kuat dengan cara mendedahkannya pada jenayah.

Tahukah anda, sekiranya etika ini diamalkan pada zaman Yunani di Athens, ianya tidak melanggar falsafah yang digariskan oleh Kant. Kerana pada zaman itu, budak-budak lelaki akan dilatih untuk menjadi tentera dan didedahkan dengan peperangan. Tetapi kalau ikut latar hidup Batman, ia tentunya melanggar etika. Jadi, Batman bukanlah deontologis atau Kantian yang bagus.

Hujah ini mungkin dapat dipatahkan oleh Batman dengan menggariskan etika, apabila terjumpa dengan anak yatim, bantulah anak yatim itu sebaik mungkin. Etika ini dapat diamalkan oleh majoriti masyarakat.

Jadi, boleh jadi Batman adalah Kantian atau deontologis yang baik. Mungkin cara Batman dan masyarakat berbeza, tetapi masih ikut etika secara universal. Berbalik pada soalan aku, kenapa aku kata Batman mempunyai etika yang bercelaru?

Mungkin lantikan Robin untuk bekerja di sisinya adalah untuk memastikan Gotham berada dalam keadaan yang selamat. Maksudnya, lantikan Robin adalah untuk kebaikan dan kesan baik yang lebih besar. Dengan terhasilnya dua superhero di Gotham, maka jumlah jenayah akan berkurangan.

Etika ini mempunyai unsur utilitarian yang Batman tidak amalkan pada penjenayah. Sekiranya Batman mahu kebaikan yang lebih besar, kenapa tidak bunuh saja Joker selepas ditangkap? Membunuh Joker mungkin lebih baik daripada membahayakan anak yatim pada jenayah.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Zamir Mohyedin merupakan penyelidik di i-Made, Institut Sains, UiTM. Mempunyai kepakaran dalam bidang fizik keadaan pepejal dan fizik bahan. Telah mengarang tujuh buah buku yang berkaitan dengan fizik, falsafah dan psikologi. Salah satu buku beliau - Theoretical Mechanics - telah menjadi rujukan di UiTM. Beliau juga telah mengarang beberapa jurnal saintifik.

Leave A Reply