Teringat balik tahun 2013. Lain benar dulu dan sekarang. Satu-satunya orang asyik kena marah hanyalah Najib Razak. Hari ini sampai ke Timbalan Menteri Sukan kena. Dulu orang tidak sudah bising pasal hutang negara.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Hari ini ramai marah pasal COVID-19. Dulu ramai berseronok Malaysia Airlines beli enam buah pesawat Airbus A380. Mana tidaknya – inilah pesawat penumpang paling besar dunia, boleh memuatkan 525 hingga 853 orang sekali jalan.

Besar dan megah… tetapi tidak berguna?

Hari ini Malaysia Airlines mahu berhenti menggunakan A380. Yang sa.disnya, tiada siapa kisah.

Malaysia Airlines memang kerap bermasalah. Setiap tahun ada saja isu kewangan yang dibentangkan pihak media.

Keadaannya tidak pulih meskipun dengan dua eksekutif Eropah. Christoph Mueller yang terkenal sebagai “turnaround specialist” pun berhenti dalam masa setahun (Associated Press, 2016), sedangkan beliau berjaya memulihkan Aer Lingus.

Senang kata, masalah kewangan Malaysia Airlines bukanlah satu benda baru. Cuma yang pelik, bukan Malaysia Airlines saja yang gigih menghentikan operasi A380.

Setakat ini Air France dan Hi Fly Malta telah menghentikan penggunaan A380 (Cornwell & Hepher, 2020). Dalam industri penerbangan, syarikat Emirates memang terkenal di merata tempat. Ia juga terkenal sebagai syarikat paling banyak pesawat A380.

Setakat ini, Emirates sudah membeli 115 pesawat A380 daripada Airbus. Sebelum COVID-19, pihak Emirates menempah lapan buah A380 baru. Tetapi sekarang ini, Emirates sedang cuba membatalkan lima pesanannya (Singh, 2020). Menurut CEO Emirates Tim Clark, “era A380 sudah berakhir”.

Pengguna setia A380.

Sambil memujuk Emirates, pihak Airbus terdengar yang Singapore Airlines pun telah berhenti menggunakan A380 buat sementara waktu (Goldstein, 2020). Keputusan sama dibuat Lufthansa (Jerman) dan Qatar Airways.

Walaupun mula diguna sejak 2007, “White Queen” dan “Pearl of the Sky” semakin menjadi gajah putih. Sudahlah harganya sangat mahal, sekitar AS$432.6 juta semasa diumumkan (Airbus, 2016).

Itu pun pakar industri agak hairan, kerana harga ini tidak mungkin boleh balik modal penyelidikan dan pengeluaran (Michaels, 2012). Dan Airbus sendiri sudah berhenti menerima tempahan (O’hare, 2021).

Apa yang sedang berlaku?

Punca Pemberhentian

Sektor penerbangan sebenarnya sedang berdepan dengan sebuah revo.lusi masyarakat. Sejak tahun 2015, terlalu banyak suara sedang mengadu tentang perubahan iklim. Untuk pengetahuan semua, pesawat memang banyak mengeluarkan karbon.

Fahaman ini semakin mempengaruhi Dunia Barat, tambah pula dengan adanya aktivis ternama seperti Greta Thunberg. Dulu tiada siapa peduli pun tentang “carbon emission”. Sekarang hujah ini menyebabkan pihak pengeluar (Airbus atau Boeing) untuk menceburi teknologi baru.

Air France menghentikan operasi A380 atas hujah “environmental footprint” (masalah alam sekitar). Syarikat penerbangan ini akan menggunakan Airbus A350 dan Boeing 787 sahaja mulai tahun 2023.

Peralihan teknologi dan zaman yang berubah menjadi dua faktor utama kenapa A380 semakin dipandang sebagai gajah putih. Pesawat ini memang serba mewah. Pengguna kerap memuji keselesaan A380 (Epstein, 2019).

Zaman ini, orang lebih peduli pasal tambang lebih murah. Boleh saja tambah kerusi Economy Class. Kalau tambah, A380 perlu memuatkan 800+ orang pula.

Ini masalahnya.

COVID-19 telah menutup sempadan antarabangsa, sekali gus menjejaskan aktiviti pelancongan global. Rakyat Jepun boleh dibuat contoh. Setiap tahun, ramai berlepas dari Jepun untuk melancong. Kiblat mereka selalu Hawaii.

Cuaca panas, permandangan pantai dan infrastruktur maju menenangkan jiwa mereka. Japan Airways menggunakan A380 untuk mengangkut jumlah besar ke Hawaii. Tanpa aktiviti pelancongan, A380 tersadai di lapangan terbang.

Kapal A380 Malaysia Airlines

Sebab itulah Malaysia Airlines sedang cuba mencari jalan terbaik. Kalau jual pun, siapa akan beli? Buat masa sekarang, pihak pengurusan sedar yang A380 tiada peranan dalam rancangan masa depan: susah nak penuh + kos terlalu mahal = tidak efisyen.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Kalau fikirkan, A380 memang sesuai digunakan untuk proses haji. Tetapi musim haji hanya setahun sekali (itu pun kalau Arab Saudi tidak menutup sempadan angkara COVID-19). Dan kos tinggi tidak begitu menjaminkan, sekalipun dapat mengangkut jemaah haji. Jadi memang A380 jatuh darjat. Dulu dijulang sebagai helang; sekarang pipit lagi laku.

RUJUKAN:

Airbus. (2016, Januari 12). New Airbus aircraft list prices for 2016.

Associated Press. (2016, April 20). Malaysia Airlines CEO Christoph Mueller resigns. The Guardian.

Cornwell, A., & Hepher, T. (2020, Mei 21). Air France axes A380, Emirates seen cutting deliveries. Reuters.

Epstein, S. (2019, September 4). The real reason Airbus is retiring its A380 superjumbo jet. Wired.

Goldstein, M. (2020, November 11). Singapore Airlines sounds the (ditapiskan) knell for Airbus A380. Forbes.

Michaels, D. (13 July 2012). “Airbus Wants A380 Cost (ditapiskan)”The Wall Street Journal.

O’Hare, M. (2021, Mac 18). The final Airbus A380 superjumbo makes its first flight. CNN.

Singh, S. (2020, Mei 20). Emirates In Talks With Airbus To Cancel Some A380 Orders. Simple Flying.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Comments are closed.