Kalau tengok Afrika hari ni, pelik juga banyak negara di benua itu guna bahasa Perancis sebagai bahasa rasmi dan pentadbiran. Tapi kenapa? Kenapa negara Afrika sibuk guna bahasa Perancis?
Jawapannya mudah. Semua itu sebab penjajahan Perancis.
Pada abad ke-19 hingga awal abad ke-20, kuasa-kuasa Eropah sibuk berebut wilayah Afrika dalam apa yang dikenali sebagai “Scramble for Africa.” Perancis antara kuasa paling agresif.
Mereka menakluk kawasan besar di Afrika Barat dan Afrika Tengah, termasuk Senegal, Mali, Ivory Coast, Burkina Faso, Chad dan banyak lagi.
Berbeza dengan penjajah British yang biasanya beri sedikit autonomi kepada pemimpin tempatan, Perancis pula amalkan dasar “assimilation.” Maksudnya, orang tempatan ‘dipaksa’ menyerap budaya dan bahasa Perancis supaya jadi lebih ‘French’ dari segi pendidikan, pentadbiran dan sosial.
Disebabkan sudah masak dengan budaya Perancis, bila negara-negara ni merdeka sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an, mereka masih kekal guna bahasa Perancis dalam sistem rasmi.
Ada sebab lain juga seperti bahasa Perancis tu dah jadi asas dalam undang-undang, pendidikan dan pentadbiran. Nak tukar ke bahasa tempatan bukan mudah, sebab banyak negara ada berpuluh-puluh etnik dan bahasa yang berbeza.
Jadi, bahasa Perancis jadi ‘neutral ground’ atau lingua franca di negara-negara berkenaan.
Tapi dalam masa sama, penggunaan bahasa Perancis juga jadi cara halus untuk Perancis kekalkan pengaruh pascakolonial melalui apa yang dipanggil “La Françafrique.”
Walaupun negara-negara tu merdeka, hubungan politik dan ekonomi mereka masih rapat dengan Paris.
Hari ini, lebih 20 negara di Afrika masih bertutur bahasa Perancis. Bukan kerana mereka pilih sendiri, tapi kerana warisan penjajahan yang kekal melekat. Dan ia bukan sekadar soal bahasa, tetapi juga tentang kuasa, identiti dan sejarah yang panjang.




No comments yet