Semenjak tarikh 23 April 2018, negara Iran menjadi sebutan di ruang-ruang komentar internet dan media sosial dari dalam dan luar negara itu yang dipenuhi dengan berita mengenai penemuan mayat yang terawet dipercayai milik Reza Shah, raja pertama dan pendahulu raja terakhir kerajaaan monarki Iran merangkap bapa kepada Mohammad Reza Shah, raja terakhir Iran yang digulingkan dalam Revolusi Islam 1979.

Mayat itu ditemui semasa projek memperluaskan kawasan pusat Shah Abdol Azeem, sebuah pusat ibadat yang popular di selatan Tehran sedang dijalankan. Projek ini dilakukan di bekas tapak Makam Reza Shah, di mana mayatnya yang sudah terawet dibawa pulang ke Iran untuk dikebumikan setelah dia meninggal dunia ketika hidup dalam pengasingan di Johannesburg pada tahun 1944.

Sebahagian daripada punca yang menyebabkan kisah ini menjadi tumpuan besar adalah kerana ia melibatkan Ayatollah Sadeq Khalkhali, seorang batu api yang menghasut rusuhan dan menjadi hakim Mahkamah Revolusioner yang terkenal sebagai “hakim penggantung” kerana dia sangat gemar mejatuhi hukuman mati ke atas sesiapa saja yang dibicarakan di mahkamahnya.

Pada tahun 1979, dia mengetuai satu perarakan bersama bersama para perusuh untuk memusnahkan makam Reza Shah dan cuba menggali kubur untuk merosakkan mayatnya. Dia berjaya memusnahkan beberapa makam dan mengeluarkan sisa jenazah tokoh-tokoh yang lain, dan dia berjaya membinasakan binaan makam Reza Shah, tetapi tidak pernah menemui mayat bekas raja itu.

Ayatollah Khalkhali bersama perusuh sedang memusnahkan makam Reza Shah.

Khalkhali dan orang lain menjangkakan, ada kemungkinan mayat Shah Reza sudah tiada di makam tersebut kerana boleh jadi Mohammad Reza Shah telah menggali semula makam bapanya itu lalu mayatnya dibawa bersama meninggalkan negara itu pada Januari 1979.

Walau bagaimanapun, dakwaan ini dinafikan dengan keras oleh keluarga diraja Dinasti Pahlavi. Walaupun tidak ada sebarang pengesahan rasmi ketika itu, mayat yang menjadi mumia itu benar-benar amat mirip dengan foto lama mayat Reza Shah di dalam keranda yang pada tahun 2018 akan disebar bersama-sama lampiran foto mayat yang ditemui untuk dibandingkan.

Hasilnya, tiada perbezaan ketara. Sesiapa pun yang melihatnya pasti akan nampak persamaan itu, dan ia menunjukkan kedudukan mayat Reza Shah di dalam keranda selepas dia meninggal dunia sebelum dikebumikan berada dalam kedudukan yang serupa dengan mayat yang ditemui pada tahun 2018 itu.

Penemuan ini juga telah menghidupkan kembali kisah kekejaman Khalkhali sekaligus mendedahkan kebenaran tentang pelbagai kisah-kisah lagenda. Ini termasuklah semasa hakim itu menjatuhkan hukuman mati ke atas Amir-Abbas Hoveyda, perdana menteri Pahlavi yang pernah berkuasa semasa zaman pemerintahan Mohammad Reza Shah.

Dikatakan dia sendiri telah melaksanakan hukuman mati itu dengan menembak Hoveyda bagi menghentikan tuntutan antarabangsa yang melalui panggilan telefon menuntutnya agar menarik balik keputusan itu. Selepas membunuh Hoveyda, dia kembali menjawab panggilan telefon dengan menyatakan “maafkan saya, hukumam telah pun dilaksanakan sejak tadi lagi”. Tetapi kisah ini masih tidak jelas kebenarannya.

Persamaan yang boleh dilihat dengan jelas dari kedudukan mayat.

Dua foto yang dibandingkan di media sosial itu menjadi asas kukuh untuk mengaitkan mayat itu dengan bekas raja Iran pertama atas beberapa faktor, antaranya ialah kerana ia ditemui betul-betul di atas tapak asal kompleks pemakaman Reza Shah, dan kedudukan mayat tersebut terutamanya bahagian lengannya, amat menyerupai kedudukan terakhir mayat Reza Shah sebelum dikebumikan.

Penemuan tersebut telah memicu gelombang tumpuan dan spekulasi yang semuanya menyokong satu fakta: Reza Shah adalah tokoh yang menjadi punca perpecahan.

Bagi kelompok nasionalis dan mereka yang merindui prestij dari zaman semasa Iran dibawah pemerintahan Dinasti Pahlavi, Reza Shah adalah bapa pemodenan Iran, dia adalah orang yang bertanggungjawab di atas pembangunan sistem jalan raya, kereta api, infrastruktur, pusat bandar, dan pelbagai lagi jasa-jasa yang lain.

Namun, kelompok Islamis akan menentang dia kerana dia juga telah menukar undang-undang etika berpakaian, dia membentuk peraturan yang melarang pakaian tradisional Iran dan menggantikannya dengan kod pakaian Eropah. Lalu menghilangkan status kesaksamaan pakaian kurta India atau dishdasha Arab. Sebenarnya kerajaan Pahlavi Iran ini boleh dikatakan sebagai sebuah kerajaan monarki yang sekular.

Reza Shah bersama Mustafa Kemal Ataturk, seorang lagi tokoh yang ada masalah konspirasi tentang makamnya.

Reza Shah pada asalnya ingin membina sebuah negara republik kerana dia telah menyaksikan kejayaan konsep sekular yang dilaksanakan oleh Mustafa Kemal Ataturk di Turki, namun pengaruh dirinya tidak akan sama dengan pengaruh Ataturk, atmosfera politik Parsi tidak sama dengan atmosfera politik Anatolia.

Dan pendakian kuasa Reza Shah tidak sekuat Ataturk kerana kebangkitan Ataturk adalah bersifat memerangi kuasa-kuasa Eropah seperti British, sebaliknya, Reza Shah menjadi raja Pahlavi Iran hasil bantuan British dan sumbangannya semasa berkhidmat sebagai tentera di bawah seliaan tentera British.

Dan apabila dia mendapat kuasa, dia mula bimbang akan ancaman pihak British, komunis Soviet dan golongan agamawan, akhirnya, suka atau tidak, dia mesti harus memerintah sebagai seorang raja monarki berkuasa mutlak. Lalu tertubuhlah Dinasti Pahlavi di Iran.

Bagi pihak yang melancarkan Revolusi Islam 1979, mereka memandang Reza Shah sebagai pemerintah zalim yang telah ‘membaratkan’ Iran dan perosak nilai-nilai tradisionalisme, penghapus komuniti beragama, dia dianggap sebagai lebih teruk berbanding Mustafa Kemal Ataturk kerana dia dikatakan telah memaksa kaum wanita menanggalkan hijab melalui undang-undang yang melarang tudung pada tahun 1930-an sedangkan Mustafa Kemal tidak pernah meletakkan sebarang standard pemakaian terhadap kaum wanita di Turki.

Dia juga memaksa rakyat Iran meninggalkan ‘namoo’ (maruah, kehormatan, kesopanan dan norma sosial cara Islam). Bagi kebanyakan golongan intelektual, dia adalah seorang yang telah melanggar tradisi yang digelar cesura dalam sejarah Iran dengan mengimport model perindustrian Barat dan yang berkaitan dengannya, dan dia akan mendiamkan sebarang suara yang berbeza pendapat dengan kaedah yang kejam.

 

Sisa runtuhan kompleks pemakaman berlatarkan pusat Shah Abdol Azeem.

Beberapa pandangan yang lain tentang Reza Shah adalah, dalam dia menyingkirkan apa saja yang dilihatnya sebagai tradisional dan lapuk, dan secara autokratik, dia mengimport budaya kemodenan dari barat, dia turut memusnahkan nilai-nilai identiti komunal-nasional yang kukuh, menggantikannya dengan konsep yang sukar difahami dan tidak lengkap, iaitu sebuah negara-bangsa moden yang berkiblatkan sekularisme dan sosialisme, tetapi mahu berorientasikan budaya dan sejarah Parsi kuno.

Tetapi, segala kenangan dan pengalaman buruk rakyat tentang pemerintahan Reza Shah yang autoritarian itu telah hilang dan pudar begitu saja, ia berpunca dari reaksi terhadap realiti politik semasa di Iran hari ini. Bagi kebanyakan orang Iran hari ini, penekanan identiti Parsi kuno terhadap Iran moden yang dipromosikan oleh Reza Shah adalah isu kedua – isu yang paling ketara sama ada ianya baik atau ataupun tidak, ialah tindakan Reza Shah yang memaksa hijab ditanggalkan dari kepala wanita pada zamannya.

Ironinya, larangan yang dikuatkuasakan iti secara tidak langsung telah meninggalkan kesan pengaruh atau fobia yang teruk lalu menghasilkan konteks berbeza yang kini ditetapkan dalam dasar-dasar Republik Islam yang memaksa wanita memakai hijab pula, dan hari ini ia juga dilihat sebagai tindakan progresif oleh sesetengah orang. Pelik benar perjalanan politik Iran yang berusia 2,500 tahun ini, tidak tahu apa kehendak mereka sendiri.

Di mana sebenarnya autoriti Iran mengebumikan kembali mayat ini?

Di tanah Parsi, pembangunan dalam perindustrian Reza Shah yang autorotarian kini kembali dilihat oleh sebahagian besar masyarakat sebagai satu-satunya cara yang paling masuk akal untuk memajukan ekonomi Iran. Lebih-lebih lagi, dengan dendam dan rasa tidak puas hati yang semakin meningkat terhadap pemerintah kerajaan Syiah Iran sekarang.

Kerana itulah hari ini seluruh anggota dinasti Pahlavi dan pengasas mereka sendiri, Reza Shah (kalau masih hidup) kini sedang menikmati simpati ramai dan mendapat sokongan serta nostalgia yang baru disedari dunia. Penerapan program berorientasikan budaya Parsi kuno untuk mewujudkan identiti Iran moden yang dilaksanakan dinasti Pahlavi telah mendapat banyak sokongan sebagai satu respon antitesis dan penawar terhadap sisi gelap Republik Islam Iran dan radikal Islamis ketika iklim Islamofobia semasa yang sedang merebak di seluruh dunia.


Pewaris takhta Reza Shah, Mohammad Reza Pahlavi dan isterinya, Farah Pahlavi.

Tetapi, apa kaitannya dengan penemuan mayat seorang raja yang sudah lama mati? Pernah dengar atau baca tak berita penemuan sisa rangka mayat bekas raja monarki Inggeris beberapa tahun lalu di Leicester?

Rangka mayat King Richard III ditemui di bawah tapak tempat letak kereta pada tahun 2012, pastinya ramai orang yang menjangkakan bahawa penemuan mayat raja di sebalik sisa runtuhan makamnya akan menjadi satu perkara yang akan menarik keghairahan dan rasa ingin tahu sejarah lampaunya.

Tetapi, dalam sebuah masyarakat yang menawarkan pandangan yang penuh perbezaan politik dan merasakan ia sebahagian besar dari sejarah, mayat Bapa Kemodenan Iran itu bukan sekadar mayat semata-mata. Reza Shah dilihat oleh ramai pihak sebagai penyelamat Iran zaman moden, sebagaimana nenek moyang terpilih bangsa Parsi sendiri, Dinasti Pahlavi dianggap berdaulat melalui mandat seperti mana yang diterima pengasas Empayar Iran yang sudah berusia 2500 tahun, Cyrus Yang Agung.

Seperti Cyrus, Reza Shah juga membawa gelaran Kabeer atau Bozorg, yang bermaksud “Yang Agung” atau “the Great” – dalam sebutan penuh sebagai “Reza Shah Kabeer”. Di dalam pemikiran sesetengah penyokongnya, perbandingan ini semakin jauh, seperti kenyataan seorang pengulas politik Israel-Iran, Meir Javedanfar yang bahkan memberi kredit kepada Reza Shah kerana menyelamatkan Yahudi Iran, tindakan yang dianggap sama seperti yang pernah dilakukan Cyrus Yang Agung.

Dia dijulang sebagai bapa perpaduan negara yang memberikan hak kepada kaum minoriti yang dianggap tiada sebarang hak di seluruh dunia sebelum itu, hingga rakyat boleh melupakan dasar-dasarnya yang menekan pengguguran akidah dan penghapusan budaya ke atas orang Islam.

Tetapi di sebalik semua pujian ini, hakikat yang terus berlanjutan sehingga beberapa tahun lalu selepas penemuan mayat Reza Shah, walaupun setelah kerajaan Republik Islam Iran mengabaikan setiap respon dari seluruh dunia mereka terus mendiamkan diri tanpa sebarang tindakan atau pendirian lanjut secara rasmi yang lebih jelas terhadap peristiwa ini ketika itu.

Mungkin kerana mereka sedar bahawa penemuan itu boleh mendorong masyarakat untuk lebih meminati Reza Shah dan menyebarkan kisah-kisah tentang jasa dan sumbangannya terhadap Iran di saat ia sudah pun menjadi salah satu faktor yang sedang mendorong perdebatan ideologi di kalangan warga Iran secara nasional.

Ada yang mengenang kembali kisah Khalkhali dan berpuas hati kerana hakim yang dianggap kejam, gila dan paranoid itu telah menemui ajalnya. Sebilangan kecil pihak mengambil kesempatan tersebut untuk sekali lagi mengungkit kembali sejarah lama tentang betapa teruknya zaman pemerintahan Dinasti Qajar dan bagaimana Reza Shah telah menyelamatkan Iran dari cengkaman mereka yang tidak kompeten ini.

Revolusi 1979.

Ini merupakan satu lagi naratif yang nampaknya tidak pernah berubah, apatah lagi entiti Pahlavi itu sendiri, yang akan sentiasa berulang sama ada mayat Reza Shah ditemui atau tidak. Tetapi, pada waktu itu masih belum ada sesiapa yang tahu bagaimana hendak bertindak balas terhadap berita itu sendiri dan apakah maksud sebenarnya.

Apa yang mereka sudah lihat hanyalah sekeping dua foto, termasuklah swafoto bersama mayat oleh seseorang yang tak dikenali, dan tidak ada kenyataan rasmi yang jelas dari mana-mana pihak berkuasa. Pihak autoriti sendiri mungkin tidak tahu apa yang patut mereka lakukan atau reaksi bagaimana yang harus mereka pamerkan.

Mereka mungkin boleh terus mendiamkan diri buat seketika berikutan penemuan mayat itu boleh dikatakan adalah di bawah tanggungjawab organisasi separa autonomi yang mengendalikan projek berdekatan pusat Shah Abdol Azeem, dan bukan oleh mana-mana agensi kerajaan.

Di tengah-tengah iklim politik Iran pada tahun 2017 di mana berlakunya protes Disember, demonstrasi anti-Hijab, kejatuhan nilai mata wang secara tiba-tiba, perang Syria, dan yang paling penting adalah Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA), sebuah perjanjian mengenai program nuklear Iran yang dipersetujui di Vienna pada 14 Julai 2015 antara Iran dan P5 + 1.

P5+1 yang dimaksudkan merupakan lima negara anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu – China, Perancis,  Rusia, United Kingdom, Amerika Syarikat, dan Jerman sebagai tambahan bersama-sama dengan Kesatuan Eropah. Dan yang menjadi tumpuan selepas itu sudah tentulah tentang nasib program tersebut serta “Kabinet Perang” Donald Trump.

Memantau projek pembinaan landasan dan stesen kereta api.

Mayat raja yang sudah berdekad mati itu lebih panas daripada pisang panas, dan tak ada sesiapa yang mahu terus memegang pisang panas itu terlalu lama. Ketua agensi warisan kebudayaan Tehran akhirnya mengisytiharkan bahawa walau siapa pun jua pemilik mayat itu, ia adalah aset kebudayaan atau dalam erti kata lain, harta hak milik negara.

Sesetengah orang lain menafikan penemuan mayat itu pernah berlaku. Belum ada sesiapa yang menjelaskan melalui kemaskini foto terbaru atau lokasi terkini mayat itu berada. Di media sosial, ada yang berspekulasi bahawa kerajaan mungkin merancang untuk memusnahkan mayat itu dan berharap perkara ini tidak pernah berlaku atau diingati lagi.

Seiring masa berlalu dengan kemajuan teknologi, semakin jelas bahawa mayat itu memang wujud, dan mana-mana pihak perlu buat sesuatu tentangnya. Tapi apa yang mereka perlu buat? Kerajaan Syiah Iran hari ini tidak lagi sama seperti awal kebangkitan revolusi yang penuh dendam dan kemarahan, Iran hari ini hanya tahu mengeluarkan ugutan apabila terancam, kadang kala pegawai tentera sendiri pun maut diserang. Jadi, nak buat apa dengan mayat Reza Shah ini?

Macam-macam perkara yang perlu difikirkan pemerintah Iran dari segi politik. Jika mayat iti diletakkan di muzium seperti mumia para Firaun dari Mesir, ia jelas bertentangan dengan akidah Islam yang ketat di Iran walaupun berfahaman Syiah, apatah lagi kerajaan Iran hari ini tidak mahu rakyat mengenang walau setitik pun sumbangan dari tokoh kemodenan Iran itu.

Protes rakyat yang akan dikesali pada masa akan datang

Mengebumikan mayatnya adalah senario yang paling mungkin akan berlaku, tetapi di mana lokasi untuk mengebumikan tokoh tersebut?  Di tapak asal makamnya? Adakah Iran sanggup membina semula makam diraja selepas lebih empat dekad dan ‘menyucikan’ semula bekas tapak rasmi diraja tersebut, seperti tempat letak kereta yang menjadi tempat penemuan rangka milik Raja Richard III?

Atau, adakah dia akan dikuburkan di Behesht-e Zahra (tanah perkuburan awam Tehran) seperti rakyat biasa yang lain? Nama apakah yang akan diukir pada batu nesannya? ‘Reza, Shah yang Agung’? Mustahil, dan tindakan ini lebih berbahaya kerana berisiko menggadaikan kedaulatan negara berikutan kesan tindak balas pihak konservatif tegar dan kroni mereka.

Mungkin sebuah kubur dengan nama Reza Pahlavi sudah mencukupi, tanpa perlu memperkenalkan siapakah dirinya? Ini juga tidak mungkin kerana ia boleh menarik simpati dan tumpuan ramai pihak terhadap nasibnya dan mungkin akan memberikan alasan yang lebih kukuh kepada anggota bekas dinasti monarki dengan tuntutan mereka sebelum ini untuk menambah sokongan.

Ternyata nampaknya ancaman raja bernama Reza Shah ini lebih berbahaya buat kerajaan Republik Islam Iran semasa dalam bentuk sekujur mayat yang sudah lama tak bernyawa berbanding semasa dia masih hidup memerintah dahulu.

Kematian Reza Shah lebih diterima sebagai simbol kehendak warga Iran yang ingin melihat kembali sejarah lampau mereka, terkini mahupun kuno, berbanding bekas pemerintah negara itu yang lain.

Sebenarnya penting juga untuk kita fahami bagaimana mayat orang yang meninggal dunia dan upacara yang berkaitan dengan mereka di Iran secara umumnya dianggap relevan dalam kes ini, baik dari segi sejarah mahu pun kontemporari.

Kes yang paling mirip dengan Reza Shah adalah kes jenazah Nassereddin Shah Qajar (1848-1896) yang dimakamkan di tapak pemakaman berdekatan yang sama berhampiran dengan pusat ibadat Shah Abdol Azeem.

Makam yang didakwa menempatkan jenazah Nassereddin Shah Qajar.

Beliau dibunuh pada tahun 1896 semasa menziarahi makam ratu kesayangannya Jayran, Nassereddin Shah dikebumikan berhampiran lokasi pembunuhannya dan di sebelah makam isterinya. Makam itu dihiasi dengan batuan yang mewah dan dipamerkan dengan jelas untuk kunjungan para jemaah Shah Abdol Azeem.

Namun, pada Revolusi tahun 1979, Nassereddin Shah turut menerima nasib malang yang serupa dengan Reza Shah walaupun sudah mati dan tidak mampu melawan. Pihak tentera revolusi telah meruntuhkan binaan makam Nassereddin Shah dan isterinya manakala sisa mayat mereka dipercayai telah dikeluarkan dan disimpan di muzium Istana Golestan di Tehran dan makam yang asal telah menjadi lubang kumbahan najis yang dibina di tapak makamnya.

Dan sebenarnya tak ada sesiapa yang benar-benar pasti adakah sisa mayat atau rangka pasangan diraja Qajar itu benar-benar telah dikeluarkan dan disimpan di Istana Golestan. Walau apa jua spekulasi yang timbul, ini jelas membuktikan pendirian pemerintah Syiah Iran yang pernah popular dengan kenyataan “Kami orang-orang yang beriman tidak peduli sama ada kamu raja sekali pun”.

Ironinya, pada masa yang sama, nama tapak pusat ibadat Shah Abdol Azeem itu sendiri adalah nama dan makam milik seorang tokoh awal Islam Syiah yang dianggap oleh semua orang Iran sebagai wali Allah. Tapak tersebut masih bersemadi jenazah beliau dan berperanan sebagai salah satu lokasi ziarah jemaah Syiah yang terpenting di Tehran.

Dan apa yang ramai orang jarang tahu, di Tehran sahaja sudah ada lebih dari 100 makam imamzadeh (keturunan imam Syiah) dan tempat ziarah lain yang dianggap suci bagi Syiah, bahkan ini termasuklah makam Sar-e Ghabr-e Agha, menantu Nassereddin Shah merangkap pemimpin doa dan imam di dalam setiap majlis kerajaan Pahlavi pada akhir abad ke-19.

Nasereddin Shah Qajar

Selain dari para imam dan tokoh-tokoh sejarah, upacara pengebumian khas untuk para syuhada Perang Iran-Iraq, sama ada ketika perang atau semasa pra-perang merupakan sebahagian tradisi penting dalam mana-mana majlis umum yang ditaja oleh negara itu hingga sekarang.

Perarakan besar dari masjid-masjid besar menuju ke Blok Syuhada yang dikhaskan di tanah perkuburan awam Behesht-e Zahra yang sering kali mendapat liputan media, adalah satu peringatan tentang peperangan dan menjadi sebahagian dari ideologi kerajaan Iran hari ini untuk memerangi kuasa yang ingin menghancurkan mandat Revolusi dan nilai-nilainya.

Sebaliknya, mayat bapa seseorang, suami seseorang, bahkan mungkin seseorang yang pernah berjasa kepada negaranya, tetapi ada setitik saja kaitan dengan pihak yang ditentang oleh pro-revolusi, akan dianggap tidak boleh diterima oleh nilai-nilai revolusi dan Republik Islam, termasuklah musuh politik yang dihukum bunuh. Mayat mereka yang malang ini ada waktunya dilayan seperti orang bukan Islam.

Mereka semua sering dikebumikan tanpa sebarang majlis bacaan doa, tanpa ditemani, ditatap untuk dicium ahli keluarga buat kali terakhir, jika ada bacaan doa sekali pun, ia dilakukan dalam majlis pengebumian pada waktu malam oleh pasukan keselamatan.

Dan ahli keluarga si mati hanya akan mengetahui di mana lokasi kubur orang yang tersayang selepas pengebumian selesai. Ini bagaikan lebih teruk daripada kaedah mengebumikan mangsa yang terkorban akibat Covid-19 hari ini.

Maka kali ini, untuk mayat seorang bekas raja monarki Iran yang telah lama mati, terutamanya semenjak usaha membongkar mayatnya berakhir dengan sia-sia semasa awal kebangkitan Revolusi adalah mayat yang sangat penting sejak hari ia ditemui.

Apa saja tindakan yang dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab – sama ada mereka mengebumikan Reza Shah secara diam-diam seperti yang biasa dilakukan terhadap musuh-musuh politik mereka, atau memberikan Reza Shah satu upacara pengebumian yang normal seperti pengebumian para syuhada perang.

Atau, mungkin menghadiahkan satu upacara mengikut tradisi diraja yang lebih gemilang (sangat mustahil), seperti yang dilakukan oleh Adolf Hitler untuk menghormati kematian Kaisar Wilhelm II, (namun Iran tidak mahir bermain propaganda putih seperti Jerman) setiap tindakan mereka akan dipantau dengan teliti, dan berada dalam keadaan yang berisiko untuk dipersalahkan dalam apa jua keadaan.

Dalam sebuah sistem masyarakat di mana kematian dan sekujur jenazah seseorang yang mati merupakan satu perkara yang penting apabila melibatkan orang ramai, kedudukan seseorang yang dilantik khas dengan imbuhan yang mahal hanya untuk menguburkan kembali mayat seorang raja yang dimumiakan, tidak mungkin akan menjadi satu pekerjaan yang dicemburui oleh orang lain.

Legasi yang ditinggalkan Reza Shah kekal sebagai kontroversi hingga ke hari ini. Para penyokongnya bertegas bahawa Reza Shah adalah kuasa pemodenan dan perpaduan yang penting bagi Iran yang sebelum itu amat teruk di peringkat antarabangsa kerana kemerosotan drastik di sepanjang era pemerintahan Dinasti Qajar.

Manakala, para pengkritiknya menegaskan bahawa pemerintahannya bersifat keji, dengan kegagalannya memodenkan populasi petani Iran yang besar akhirnya menaburkan benih Revolusi Iran hampir empat dekad kemudian, yang bertanggungjawab mengakhiri zaman pemerintahan monarki beraja Parsi yang berusia 2,500 tahun.

Lebih-lebih lagi, tekanan terhadap bentuk nasionalisme etnik dan unitarisme kebudayaan, bersama dengan pengasingan dan pemisahan etnik secara paksa, mengakibatkan penindasan terhadap beberapa kumpulan etnik dan sosial.

Walaupun Reza Shah sendiri sebenarnya berasal dari keturunan Mazandarani Iran, namun kerajaan di bawah pemerintahannya telah mengikut jejak langkah bersejarah para pendatang Turki Seljuk zaman dahulu dengan melaksanakan dasar Parsinisasi yang meluas demi mewujudkan satu identiti bangsa yang tunggal, bersatu dan negara homogenik yang besar.

Penyelidikan saintifik merupakan salah satu sumbangan Reza Shah.

Dia dipengaruhi oleh dasar Turkifikasi Mustafa Kemal Ataturk di Republik Turki selepas kejatuhan Empayar Uthmaniyah. Maka, Dinasti Pahlavi Iran merupakan sebuah kerajaan monarki Iran yang meraikan pelbagai ideologi sama ada kiri mahu pun kanan, nasionalis ataupun komunis. Jadi, tidak hairanlah mengapa British dan Soviet dengan mudah menggulingkan Reza Shah.

Selepas British dan Kesatuan Soviet menceroboh dan menduduki Iran pada 25 Ogos 1941, British menawarkan keturunan keluarga dirajanya akan terus dikekalkan menguasai takhta pemerintahana jika Reza Shah bersetuju untuk meneruskan hidupnya sebagai orang buangan.

Reza Shah turun dari takhta dan tentera Inggeris segera membawa dia dan anak-anaknya ke Mauritius, kemudian ke Durban, dan berakhir di Johannesburg, Afrika Selatan, di mana menurut British dia meninggal dunia pada 26 Julai 1944 kerana sakit jantung. Dia berusia 66 tahun semasa kematiannya.

Selepas kematiannya, jenazahnya dibawa ke Mesir, di mana ia diawet dan disimpan di Masjid Al Rifa’I di Kaherah. Pada bulan Mei 1950, jenazah itu diterbangkan kembali ke Iran, di mana bahan pengawetannya dikeluarkan, dan dikebumikan di sebuah makam yang dibina khas di kota Ray, pinggir selatan ibukota, Tehran.

Parlimen Iran (Majelis) kemudian menganugerahkan gelaran “Yang Agung” untuk ditambah pada namanya. Pada 14 Januari 1979, tidak lama sebelum Revolusi Iran, terdapat desas desus tentang jenazahnya dipindahkan kembali ke Mesir dan dikebumikan di Masjid Al Rifa’I di Kaherah.

Kompleks pemakaman Reza Shah sebelum dimusnahkan

Namun, segala-galanya mula terbongkar apabila satu dokumentari berjudul “From Tehran to Cairo” menemubual menantu Reza Shah, merangkap permaisuri kepada Mohammad Reza Shah iaitu Ratu Farah Pahlavi (Farah Diba) yang mendakwa bahawa jenazah Allahyarham Reza Shah tidak pernah dipindahkan selepas ia dikebumikan di kota Ray.

Selepas Revolusi Iran (dikenali secara global sebagai Revolusi Islam) 1979 dan semasa tempoh Kerajaan Sementara Iran, Iran menghadapi siri rusuhan yang dilakukan oleh kumpulan ekstremis yang diketuai oleh Sadeq Khalkhali.

Semasa rusuhan yang berlaku di seluruh negara ini, sebarang binaan, papan tanda, poster, atau apa saja perkara yang menggambarkan atau bahkan menyebut nama Shah dan keluarganya akan dimusnahkan, termasuklah meruntuhkan makam Reza Shah dan cuba membongkar mayatnya tetapi mereka gagal menemuinya.

Pada tahun 2018, mayat yang terawet dipercayai milik Reza Shah telah ditemui di tapak kawasan bekas makamnya di Tehran. Sama ada benar atau tidak, perkembangan terbaru dari pihak autoriti Iran telah mengaku bahawa mereka mengebumikan semula jenazah Shah Reza tanpa dijelaskan di mana, atau dalam bentuk apa.

Seperti Mustafa Kemal Ataturk, jasa-jasa yang disumbangkan Reza Shah terhadap Iran juga tidak boleh dinafikan walau seteruk mana jua penghujung era pemerintahannya. Antara jasanya yang paling besar adalah penggunaan nama Iran itu sendiri bagi menggantikan nama Parsi selaku nama geografi.

Reza Shah di hari pertabalannya.

Dari segi reformasi negara, dia memperkenalkan angkatan ketenteraan moden Iran, membina infrastruktur moden seperti jalan raya, hospital, sekolah, universiti, dan sistem penggajian penjawat awam pada waktu yang tepat dan adil saksama yang terbukti berkesan dan menyumbang kepada penurunan kes-kes rasuah dan korupsi.

Dalam konteks warisan kebudayaan, Shah Reza telah menubuhkan Akademi Bahasa dan Sastera Iran yang telah menyelamatkan dan memulihara bahasa Parsi dan identiti Iran, serta yang paling penting dalam konteks sejarah, penyelidikan dan ekskavasi saintifik pertama di Persepolis, bekas ibu kota Empayar Achaemenid kuno yang dilaksanakan hasil inisiatif Reza Shah sendiri.

Mungkin kerana faktor-faktor inilah dia boleh dianggap sebagai seorang rakyat biasa yang diangkat menjadi raja monarki yang berkiblatkan ideologi sekular dan sosialisme pada era moden di dunia timur tengah. Namun kerana kesan doktrinisasi radikalis agama, negara Iran sentiasa dibentuk menjadi sebuah negara yang tidak mungkin boleh bertoleransi dengan pegangan ideologi yang berbeza dengan pemerintahnya.

Ini bermakna, walau siapa jua yang akan memerintah Iran, dan jika esok lusa ditakdirkan Iran kembali ke tangan Dinasti Pahlavi, besar kemungkinan ia boleh menjadi lebih radikal berbanding kerajaan republik Syiah hari ini.

Dan kajian sikap terhadap pandangan politik masyarakat di Iran mungkin akan menghasilkan perkara yang sama saja baik dari era Pahlavi mahupun Republik, kedua-duanya memupuk fahaman yang lebih cenderung memuja dengan penuh taksub terhadap keagungan seorang pemerintah secara individu. Semuanya kerana kesan dari sebarang tindakan semasa.

RUJUKAN:

Ghanī, Sīrūs. (2000). Iran and the rise of Reza Shah : from Qajar collapse to Pahlavi rule. London: I.B. Tauris Publishers.

Hignett, Katherine (24 April 2018). Iran Unearths Mummy That Could Belong to One of its Last Royal Leaders. Newsweek.

Abrahamian, Ervand. (1982) Iran Between Two Revolutions, 1982, Princeton University Press.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.