Sepanjang sejarah dan hingga ke hari ini, kesan utama bagi teknologi ketenteraan yang baru adalah untuk menjadikan angkatan tentera lebih efektif dalam pertempuran. Tetapi senjata nuklear diyakini secara meluas mempunyai kesan yang berbeza terhadap politik antarabangsa. Daripada memberikan cara yang lebih baik untuk bertempur bagi para kombaten, senjata nuklear telah meningkatkan aspek pencegahan. Jadi, apakah yang ada pada senjata nuklear yang membuatkan aspek pencegahan begitu kuat? Kenapa senjata nuklear menjadi instrumen pencegah yang muktamad, dan bukan hanya sekadar menjadi alat peperangan yang paling berkuasa?
Penjelasan yang terang lagi bersuluh untuk kuasa pencegahan senjata nuklear yang unik ini adalah terletak pada keupayaan pemusnahannya yang besar. Namun begitu, penjelasan ini adalah tidak memadai. Tidak diragukan lagi bahawa, dengan cara yang tidak pernah berlaku sebelumnya dalam inovasi ketenteraan, kehancuran yang dibawa oleh senjata nuklear telah membuatkan para pemimpin berhenti sejenak dalam untuk bertindak. Walau bagaimanapun, perbezaan mendasar antara senjata nuklear dengan semua instrumen peperangan yang lain adalah terletak pada kecenderungan senjata-senjata tersebut untuk menimbulkan kebuntuan.
Pembelahan atom menandakan peningkatan yang ketara pada tahap kehancuran yang dapat dihasilkan oleh sebuah senjata. Pada awal era nuklear, bom konvensional yang besar dapat menghancurkan satu bangunan, bunker, atau jambatan. Sebaliknya, senjata nuklear yang paling asas sekalipun–seperti yang digunakan oleh Amerika Syarikat ke atas bandar Hiroshima di Jepun pada akhir Perang Dunia Kedua–sudah dapat membuat kerosakan yang jauh lebih besar.
Bom “Little Boy” yang digunakan dalam serangan itu menghancurkan seluas 3 batu persegi daripada bandar tersebut. Menjelang pertengahan 1950-an, senjata “termonuklear” yang tipikal dapat menghancurkan kira-kira 75 batu persegi, sebuah kawasan yang lebih besar daripada kebanyakan bandar. Tidaklah menghairankan, apabila para penganalisis berusaha untuk memahami kuasa pencegahan senjata nuklear yang unik ini, mereka seringkali tertarik kepada lonjakan kemampuan pemusnahannya yang besar.
POLITIK UNTUK PEMULA boleh membantu kalian faham intipati krisis yang sedang berlaku secara serius sejak kebelakangan ini. Amerika Syarikat jelas sedang mengalami proses pereputan politik. Manakala rakyat Malaysia pula semakin celik mata melihat betapa pentingnya institusi SBP Yang Di-Pertuan Agong. Link pembelian: https://bit.ly/3w5gI6Q
Logik mengenai keupayaan pemusnahan ini menghadapi batasan yang signifikan. Walau bagaimanapun, dalam keadaan sedemikian sebelum era nuklear, peperangan selalu memberikan kemusnahan yang amat besar—namun perang masih bersifat endemik. Dalam untuk membezakan era nuklear dengan era pra-nuklear, Kenneth Waltz menulis bahawa “negara-negara yang bersenjata konvensional [tahu] walaupun jika mereka kalah dalam peperangan, penderitaan yang mereka akan hadapi adalah terbatas.”
Tetapi dakwaan Waltz ini adalah sangat salah. Dalam kebanyakan sejarah umat manusia, kekalahan di medan perang sering berlaku secara total kerana ia merupakan permulaan kepada perhambaan, penyiksaan, dan pembunuhan secara besar-besaran.
Pembunuhan beramai-ramai telah menjadi bahagian penting dalam peperangan di sepanjang sejarah. Sebagai contoh, kisah Perang Peloponnesia pada abad ke-5 SM dipenuhi dengan peristiwa kekejaman terhadap penduduk yang kalah. Penerangan Thucydides mengenai kisah pengepungan Athens terhadap Melos terkenal kerana nada terus terang yang digunakan untuk menggambarkan natijah pengepungan tersebut: “warga Melos menyerah tanpa syarat kepada orang Athens, yang membunuh semua lelaki yang layak menjadi tentera … dan menjual wanita dan kanak-kanak sebagai hamba.”
Bagi warga Melos (dan orang-orang Aegina dan Scione yang juga dibunuh beramai-ramai oleh Athens) bukan sedikit bahana yang menimpa akibat kalah dalam peperangan. Walaupun dalam kes di mana orang Athens menunjukkan belas kasihan setelah mereka menang dalam pertempuran, mereka biasanya masih menjual kanak-kanak dan wanita daripada kota yang dikalahkan menjadi hamba.
“Dalam kebanyakan sejarah umat manusia, kekalahan di medan perang sering berlaku secara total kerana ia merupakan permulaan kepada perhambaan, penyiksaan, dan pembunuhan secara besar-besaran”
Kekejaman dalam Perang Peloponnesia bukanlah sesuatu yang luar biasa. Pembunuhan beramai-ramai adalah perkara yang biasa terjadi di dunia kuno. Walaupun pemusnahan secara total tidak berlaku, perhambaan sering berlaku. Tentera Alexander the Great membunuh atau memperhambakan warga kota yang dikalahkan mereka seperti yang terjadi kepada kota Persepolis, Tyre, dan Thebes. Apabila Rom mengalahkan Carthage, mereka menyembelih orang-orang kota tersebut, meranapkan kota tersebut ke tanah, dan memperhambakan wanita dan kanak-kanak kota tersebut.
Legion Romawi secara rutinnya membunuh para penduduk kota-kota yang mereka takluki, amalan tersebut berkurang hanya apabila Rom mula membenarkan tenteranya untuk menyimpan hasil penjualan hamba yang dirampas. Manakala bangsa Mongol dan penakluk hebat yang lainnya pula mematahkan semangat musuh mereka untuk menentang dengan kekejaman yang dilakukan tanpa henti, mereka menghapuskan semua penduduk dalam mana-mana kota yang menentang untuk menggerunkan penduduk wilayah yang berjiran supaya tunduk.
Poin pentingnya adalah bahawa, walaupun kekalahan dalam perang seringkali bersifat menyeluruh, peperangan masih tetap berterusan. Sudah berulang kali berlaku dimana para pemimpin yang sanggup menerima risiko mengerahkan askar mereka ke medan perang, hal ini kerana mereka tahu bahawa jika mereka kalah dalam pertempuran, kehancuran secara total bagi pihak mereka boleh menjadi bahananya.
Pada zaman yang lebih moden, peperangan masih merupakan sesuatu yang sangat menghancurkan, namun ianya tetap berlanjutan. Dari segi kos ekonomi dan nyawa yang melayang, Perang Dunia Pertama adalah perang yang paling membawa kemusnahan dalam sejarah Eropah, sehinggalah kedudukannya digantikan hanya 20 tahun kemudiannya oleh Perang Dunia Kedua.
Kengerian yang berlaku dalam Perang Dunia Kedua adalah perkara sudah diketahui ramai. Nazi Jerman melakukan pembunuhan besar-besaran dan genosid di dalam dan di luar negara. Imperial Jepun pula melakukan kekejaman terhadap berjuta-juta orang Cina, Korea, dan penduduk wilayah lain yang didudukinya. Tetapi para pencetus peperangan ini kemudiannya menerima padahnya akibat daripada pencerobohan yang dilakukan oleh mereka.
Amerika Syarikat dan Britain mengebom bandar-bandar Jerman, dan AS menghanguskan 64 daripada 66 bandar terbesar di Jepun — sebelum mereka menjatuhkan bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki. Ketika Red Army mara ke Berlin dan meranapkan kota tersebut, Kesatuan Soviet membalas dendam secara besar-besaran terhadap orang awam Jerman pada peringkat akhir peperangan itu. Secara mudahnya, padah yang perlu ditanggung daripada pertempuran dan kekalahan semasa era pra-nuklear adalah seringkali mengerikan. Namun begitu, kemungkinan untuk mengalami kerugian yang begitu dahsyat ini tidak menghalang para kombaten untuk pergi berperang.
Perang pada zaman pra-nuklear juga adalah bersifat total dalam aspek yang lain: pemimpin yang kalah selalu mengalami akibat yang buruk apabila tentera mereka ditumpaskan. Para pemimpin Melos dibunuh bersama dengan rakyat biasa. Pada akhir perang saudara yang mengakhiri dinasti Ming, maharaja meminta pengawal istananya membunuh penasihat kanannya sendiri, dan kemudian menggantung dirinya sendiri untuk mengelakkan nasib yang lebih teruk di tangan musuh-musuhnya. Tsar Rusia, Nicholas, membayar dengan harga yang mahal diatas kekalahannya dalam Perang Dunia Pertama: dia dibunuh, dan untuk menghapuskan calon penggantinya, musuh-musuhnya memburu dan menghapuskan anak-anak serta keluarga besarnya, sekaligus mengakhiri dinasti Romanov. Tidak menghairankan, membunuh anak-anak musuh yang kalah adalah amalan biasa di kalangan monarki berpewarisan (hereditary monarchs).
Dan walaupun ketika tidak ada ancaman kemunculan pengganti, anak-anak pemimpin selalu terseret sekali dalam peperangan. Ketika tentera Soviet semakin menghampiri kota Berlin pada akhir Perang Dunia Kedua, pemimpin kanan Nazi membunuh ahli keluarga mereka sendiri, dan kemudian mereka membunuh diri untuk melepaskan diri daripada pembalasan yang mereka tahu akan menyusuli selepas daripada kekalahan. Lebih yang terbaru, Saddam Hussein, yang merupakan pemimpin Iraq yang telah dilucutkan kuasa dan dengan anak-anaknya yang telah terbunuh, dia dihukum di tali gantung dengan dikelilingi oleh musuh-musuhnya yang mengejek. Sementara itu, pemerintah Libya iaitu Muammar Qaddafi telah diseret daripada lorong, dipukul, dia dilaporkan dliwat, dan kemudiannya ditembak hingga mati.
Kisah-kisah yang mengerikan ini menentang anggapan bahawa senjata nuklear adalah alat efektif yang unik untuk pencegahan kerana ia menjadikan perang sangat membawa kemusnahan. Bertentangan dengan apa yang didakwa oleh Waltz, padah daripada kekalahan di medan tempur ini adalah tidak “terbatas” pada zaman pra-nuklear; peperangan adalah sesuatu yang kejam. Namun–meskipun dengan semua kengerian ini–negarawan tetap menghantar pasukan askar mereka untuk bertempur, berkali-kali terjadi.
Berbanding dengan hukuman cara lama–dihukum di medan perang atau di tempat penyeksaan–apakah yang teruknya mengenai kilatan cahaya yang menyilaukan dan kematian yang cepat (oleh bom nuklear)? Orang Jepun yang menjadi mangsa di Hiroshima dan Nagasaki tidak lebih buruk situasinya daripada kebanyakan orang di sepanjang sejarah yang mengalami perhambaan, penyeksaan, penyembelihan, dan–yang paling teruk sekali–mengetahui bahawa orang yang tersayang turut mengalami nasib yang sama.
Dakwaan bahawa senjata nuklear menandakan perubahan yang besar dalam sejarah–dari era kekerasan yang terhad kepada era pemusnahan secara massa–adalah tidak betul. Bagi para pemimpin, anak-anak mereka, rakan-rakan, dan juga rakyat mereka, kekalahan di medan perang seringkali membawa kepada bencana total. Namun begitu, meskipun dengan semua padah peperangan yang begitu dahsyat ini, sejarah manusia dipenuhi dengan siri-siri peperangan yang tidak pernah berakhir.
Oleh yang demikian, “kemampuan pemusnahan” senjata nuklear ini tidak dapat menjelaskan kuasa pencegahan yang unik yang ada pada senjata ini. Mesti terdapat logik lain yang sedang bermain di sini. Mekanisme tersebut–iaitulah logik kebuntuan–adalah kunci untuk menjelaskan aspek pencegahan senjata nuklear, dan ia merupakan asas kepada hujah mengenai revolusi nuklear (nuclear revolution).
“Bertentangan dengan apa yang didakwa oleh Waltz, padah daripada kekalahan di medan tempur ini adalah tidak “terbatas” pada zaman pra-nuklear; peperangan adalah sesuatu yang kejam”
Senjata nuklear secara uniknya mencegah peperangan kerana ia menjadikan kemenangan dalam perang adalah sesuatu yang mustahil untuk diperolehi. Senjata nuklear adalah instrumen muktamad untuk mencetuskan kebuntuan. Pada zaman lampau, peperangan adalah neraka–tetapi untuk mereka-mereka yang kalah terutamanya. Melos dihancurkan; tetapi Athens tidak.
Pemimpin pada zaman pra-nuklear secara rasionalnya dapat melancarkan perang walaupun ketika mereka tahu akibat daripada kekalahan perang akan menjadi mengerikan, hal ini kerana mereka berpeluang untuk menang, dan dengan demikian mereka dapat mengelakkan padah peperangan yang paling teruk. Apa yang uniknya zaman nuklear ini bukanlah peperangan pada masa sekarang boleh menjadi begitu memusnahkan. Sebaliknya, kedua-dua belah pihak–sama ada kuat dan lemah, menang dan kalah–dapat dihancurkan jika peperangan tercetus. Seperti mana yang selalu dijelaskan, ciri yang menakrifkan pencegahan nuklear bukanlah “overkill” tetapi “mutual kill.”
Meskipun dengan semua kengerian perang yang disebutkan di atas, para pemimpin dapat melancarkan peperangan pada zaman pra-nuklear kerana kemenangan dalam pertempuran adalah sesuatu yang mungkin (pada era tersebut) dan ianya dapat menghasilkan imbalan yang sangat besar (jika menang). Kisah peperangan yang popular sering menggambarkan tindakan agresif (aggression) sebagai tidak masuk akal, hal ini sebahagiannya adalah kerana peperangan yang paling lama dan paling membawa kemusnahan adalah perang yang paling mendapat perhatian. Tetapi menyoroti konflik yang terkenal dan panjang itu memutarbelitkan sejarah; banyak sebenarnya peperangan–terutamanya pertempuran berat sebelah yang singkat antara lawan yang tidak setara–yang telah membawa kepada keuntungan yang besar.
Empayar Rom memerintah wilayah di sekitar Mediterranean kerana ia memenangi siri-siri pertempuran yang berat sebelah terhadap jiran-jirannya yang kecil dan lemah. Sepanyol dan kemudian Britain memerintah sebahagian besar dunia kerana mereka juga dengan mudah mengalahkan bangsa-bangsa yang lemah yang mendiami tanah berharga. Sementara itu, wilayah Amerika Syarikat—yang terbentang daripada Atlantik hingga lautan Pasifik—dihasilkan daripada salah satu kempen penaklukan yang paling berjaya dalam sejarah.
Perluasan wilayah A.S. sering digambarkan sebagai tindakan yang tidak terkoordinasi, didorong oleh para perintis yang mengejar tanah, mineral, dan pasaran. Walaupun berlaku banyak pertempuran, perluasan wilayah A.S. tidak kelihatan seperti kempen ketenteraan kerana pertempuran menentang orang Asli Amerika adalah begitu berat sebelah. Tetapi itulah poinnya: perang boleh memberikan keuntungan yang besar pada zaman pra-nuklear apabila pertempuran adalah bersifat berat sebelah. Bahkan sebahagian besar kempen ketenteraan yang berjalan begitu lancar bagi para penakluk adalah tidak diingati sebagai “perang.”
Walaupun banyak peperangan yang berjaya dimenangi adalah perang yang dilancarkan terhadap pihak yang jauh lebih lemah, kadang-kadang perang konvensional antara kuasa dunia juga menatijahkan kemenangan dengan kos yang rendah. British sebagai contohnya mengalahkan Armada Sepanyol dengan kehilangan hanya beberapa buah kapal, dan kemenangan tersebut memberikan London supremasi di lautan selama beberapa dekad. Tokyo pula memperolehi kemenangan muktamad dalam Perang Rusia-Jepun, sekaligus membuka jalan untuk penaklukannya terhadap Korea dan China.
Bahkan Perang Dunia Kedua yang merupakan salah satu peperangan yang paling menghancurkan dalam sejarah, ianya mungkin menatijahkan kemenangan dengan kos yang rendah untuk Jerman jika ia menghentikan kempen ketenteraannya pada musim panas tahun 1940, tepat setelah Nazi berjaya menduduki Poland, Norway, Denmark, Perancis, dan Negeri-Negeri Pamah. Ia akan menjadi salah satu perang kuasa dunia yang paling berat sebelah dalam sejarah Eropah, dan menjadikan Jerman penguasa benua Eropah dari Poland hingga ke Selat Inggeris.
Akan tetapi, penciptaan senjata nuklear pada akhir Perang Dunia Kedua melemahkan logik penaklukan ini. Pada zaman pra-nuklear, padah peperangan yang dahsyat pada dasarnya ditanggung oleh pihak yang kalah dalam pertempuran, pada zaman sekarang ianya juga dapat ditimpakan kepada pihak yang pemenang. Hal ini secara khususnya jika kedua-dua belah pihak yang bermusuh memiliki senjata nuklear yang dapat dilancarkan terhadap satu sama lain, dan bahkan kemenangan di medan perang masih akan menjadikan pemenang terdedah kepada serangan balas yang dahsyat.
Berdasarkan logik ini, pertempuran besar antara dua kuasa yang bersenjata nuklear menjadi suatu perkara yang “tidak terfikirkan”–ianya terlalu mengerikan untuk direnungkan–seperti mana ianya juga adalah pertempuran yang “tidak dapat dimenangi.”Apakah yang ada pada senjata nuklear yang menciptakan keadaan saling menghancurkan (mutual kill) ini dan kemustahilan untuk mencapai kemenangan dalam perang? Kualiti menghasilkan kebuntuan yang terdapat pada senjata nuklear adalah berasal daripada tiga karakteristik.
Pertama, senjata nuklear adalah bersaiz kecil. Bom nuklear moden atau kepala peledak peluru berpandu hanya bersaiz beberapa kaki. Malah, kepala peledak yang ada pada pelancar peluru berpandu bergerak hanya bersaiz treler traktor. Disebabkan saiznya yang kecil ini, senjata nuklear sukar untuk dikesan dan dihancurkan dengan serangan yang bertujuan untuk meneutralkan senjata tersebut.
Kedua, senjata nuklear adalah unik dari segi jumlah kuasa letupan yang terkandung didalamnya. Akibat daripada itu, serangan yang bertujuan untuk memusnahkan senjata nuklear perlu menghancurkan hampir setiap sasarannya untuk berjaya. Serangan yang masih menyisakan mangsa serangan dengan “hanya” sedozen senjata nuklear yang masih berfungsi akan membuatkannya mampu untuk menyerang balas dengan kesan kemusnahan yang teruk.
Ketiga, senjata nuklear secara relatifnya mudah untuk dihantar kepada sasaran. Disebabkan senjata nuklear bersaiz kecil dan ringan secara relatifnya, senjata ini dapat dikirimkan dengan pelbagai metod. Antaranya termasuklah menggunakan peluru berpandu balistik, peluru berpandu krus, kapal terbang, dan artileri. Tambahan pula, peluru berpandu balistik sukar untuk ditembak jatuh. Dan dengan kombinasi teknologi halimunan yang dapat mengelakkan radar dan penerbangan berketinggian rendah yang dikendalikan oleh komputer, peluru berpandu krus (dan mungkin juga pesawat) berkemungkinan akan kekal menjadi sistem penghantaran yang boleh dipercayai di masa hadapan.
Pada zaman pra-nuklear, negara yang kalah dalam peperangan biasanya tidak dapat menghukum negara pemenang kerana pihak yang kalah biasanya akan kehilangan kawalan udara, laut, dan medan utama. Tetapi disebabkan peluru berpandu balistik moden dapat mencapai sasarannya tanpa mengira angkatan udara manakah yang mengawal ruang udara (dan dalam banyak keadaan, perkara ini juga adalah betul untuk peluru berpandu dan pesawat yang halimunan), negara yang sedang tewas dalam peperangan konvensional masih dapat menyerang balas dan memusnahkan pihak yang berpotensi untuk menang.
Ketiga-tiga atribut senjata nuklear ini–saiznya yang kecil, kuasa pemusnahan yang ada pada setiap unit senjata nuklear, dan mudah untuk menghantarnya kepada sasaran–adalah asas kepada kebuntuan yang dihasilkan senjata ini. Perbezaan antara senjata nuklear dengan hampir semua instrumen peperangan yang lain adalah bahawa senjata ini membolehkan mereka-mereka yang lemah dan yang kalah untuk menimbulkan kemusnahan yang tidak mampu ditanggung kepada pihak yang kuat dan pemenang pertempuran. Senjata nuklear dengan demikian menjadikan kemenangan yang sebenar dalam peperangan adalah kelihatan mustahil.
Secara jelasnya, kedua-dua logik pencegahan ini berfungsi secara bersama-sama. Logik kebuntuan memberitahu kita bahawa dalam perang nuklear, kedua-dua pihak akan mendapat bahananya. Sementara logik kemusnahan pula memberitahu kita bahawa kedua-dua pihak yang terlibat akan menjadi sangat menderita (daripada letupan bom atom).
Artikel ini diterjemah MUAZ MALIK hasil tulisan Keir A. Lieber & Daryl G. Press bertajuk The Myth of the Nuclear Revolution: Power Politics in the Atomic Age (2020).
i. Sebagai tambahan kepada keupayaan pemusnahan dan logik kebuntuan seperti mana yang dibincangkan di sini, kepantasan kemusnahan yang dilepaskan oleh senjata nuklear kadang-kadang disorot sebagai karakteristik unik yang utama pada senjata nuklear. Lihat Robert Jervis, “The Political Effects of Nuclear Weapons: A Comment,” International Security 13, no. 2 (Autumn 1988): 80–90
ii. Pada awal zaman nuklear, bom konvensional yang paling kuat meletup dengan kekuatan kira-kira 7 tan TNT. Sementara bom atom yang menghancurkan Hiroshima mengeluarkan tenaga sebanyak 15,000 tan TNT, dan senjata termonuklear Mk-15 tahun 1950-an pula direkabentuk untuk meletup dengan kekuatan 2 juta tan TNT (atau 2 megaton). Radius kemusnahan bagi bom Hiroshima adalah kira-kira 1 batu, sepadan dengan kawasan kemusnahan yang hanya seluas 3 batu persegi. Disebabkan kesan senjata nuklear meningkat dengan hasil pada kekuatan sepertiga, radius kemusnahan bagi Mk-15 adalah kira-kira 5 batu, dan ia menghasilkan kawasan kemusnahan sekitar 75 batu persegi.
iii. Scott D. Sagan dan Kenneth N. Waltz, The Spread of Nuclear Weapons: A Debate Renewed (New York: W.W. Norton, 2003), 9.
iv. Lihat buku Philip G. Dower dan Lyndall Ryan, ed., Theaters of Violence: Massacre, Mass Killing, and Atrocity sepanjang Sejarah (New York: Berghahn Books, 2012).
v. Thucydides, History of the Peloponnesian War (New York: Penguin, 1954), 408.
vi. Brian Bosworth, “Massacre in the Peloponnesian War,” dalam buku Dower and Ryan, Theatres of Violence, 17–26
vii. Hans van Wees, “Genocide in the Ancient World,” dalam buku The Oxford Handbook of Genocide Studies, ed. Donald Bloxham dan A. Dirk Moses (Oxford: Oxford University Press, 2010), 239–258.
viii. Sebuah kajian–yang merangkumi tempoh masa yang lebih kontemporari–mendapati bahawa para pemimpin yang mengalami kekalahan dalam perang adalah empat kali lebih berkemungkinan untuk dibuang daerah, dipenjara, atau dibunuh berbanding dengan mereka-mereka yang berjaya mencapai kebuntuan nuklear. Bahkan statistik yang diceritakan ini hampir tidak memberikan kos untuk kuasa perundingan dan hak istimewa untuk dipenjara serta kekerapan dihukum mati. Lihat buku Giacomo Chiozza dan H. E. Goemans, Leaders and International Conflict (Cambridge: Cambridge University Press, 2011), 56–57. Untuk keterangan lebih lanjut mengenai pemimpin dan hasil peperangan, lihat Alexandre Debs dan H. E. Goemans, “Regime Type, the Fate of Leaders, and War,” American Political Science Review 104, no. 3 (August 2010): 430–445; dan Giacomo Chiozza dengan H. E. Goemans, “International Conflict and the Tenure of Leaders: Is War Still ‘Ex Post’ Inefficient?” American Journal of Political Science 48, no. 3 (July 2004): 604–619.
ix. Mungkin terdapat dimensi lain kepada keupayaan memusnah senjata nuklear, satu dimensi yang bahkan berbeza daripada konsekuensi terburuk perang konvensional secara total, itulah kunci kepada kuasa pencegahan yang kukuh, sebagai contohnya seperti kelajuan berlakunya kemusnahan. Atau mungkin ianya adalah hakikat bahawa peperangan nuklear berskala besar akan mengancam survival peradaban manusia. Namun, penjelasan mengenai nasib bumi ini menganjurkan bahawa bakal penakluk bersedia untuk mempertaruhkan nasib mereka sendiri dan mengambil risiko penyiksaan terhadap keluarga dan kehancuran rakyat mereka, tetapi mereka dihentikan oleh fikiran bahawa tindakan mereka membahayakan peradaban manusia. Hal ini menjadikan mereka lebih bersikap empati terhadap umat manusia berbanding yang kelihatannya masuk akal.
x. Lihat Jervis, memetik daripada Bernard Brodie dan Thomas Schelling, dalam Jervis, “Political Effects,” 83.
xi. Jerman melampaui batas dan menyerang Soviet, yang akhirnya menyebabkan kehancuran dirinya sendiri. Tetapi Jerman juga hampir berjaya dalam usahanya untuk menakluki Kesatuan Soviet. Sekiranya Jerman mengalahkan Soviet dalam peperangan pada tahun 1941 atau 1942, ia akan menguasai wilayah dari Ural ke Selat Inggeris.
Disebabkan tidak ada Front Timur yang teratur untuk dihadapi, pihaknya sepatutnya dapat mengirim banyak divisi dari timur untuk memperkuatkan wilayah barat dan menghalangi pencerobohan gaya D-Day. Lihat Richard Overy, Why the Allies Won (New York: W. W. Norton, 1995).
xii. Sebagai contohnya, panjang bom nuklear dalam simpanan senjata A.S. adalah kira-kira 12 kaki. “Kenderaan masuk semula” pada sebuah peluru berpandu standard, iaitu sambungan kon yang berada di atas peluru berpandu balistik, dan termasuk didalamnya “physics package” serta juga fius, adalah setinggi kira-kira 4 kaki.
xiii. Atas sebab ini, penyokong revolusi nuklear berpendapat bahawa kuasa nuklear yang lebih kecil tidak memerlukan jumlah senjata yang besar. Seperti mana yang ditulis oleh Waltz, “Negara-negara nuklear yang lebih kecil dapat menggunakan, katakanlah, sepuluh senjata yang betul dan sepuluh senjata yang palsu (dummies), sementara membiarkan negara lain menyimpulkan bahawa jumlahnya lebih besar. Musuh hanya perlu percaya bahawa beberapa kepala peledak nuklear mungkin dapat bertahan daripada serangannya dan mereka akan diserang dengan senjata yang masih tersisa tersebut. Kepercayaan yang sedemikian tidaklah sukar untuk diciptakan. Sagan dan Waltz, Debate Renewed, 20–21.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih