Sepanjang Perang Dunia Kedua, pihak Amerika Syarikat bertungkus-lumus membina sebuah senjata nuklear berdasarkan penemuan dibuat saintis Jerman. Hasilnya, mereka berjaya memperolehi bom nuklear yang digunakan sebagai senjata diplomasi paling gila pernah disaksikan dunia. Namun terfikir tidak – kenapa Amerika Syarikat tergamak menggunakan dua bom ini pada Jepun? Kenapa tidak guna pada Jerman?
Soalan kedua mudah dijawab. Tiada komplot pun antara Amerika Syarikat dan Jerman. Puncanya Amerika Syarikat agak lambat siapkan bom nuklear. Ujian terakhir dibuat pada 16 Julai 1945. Tentera Merah berjaya memburaikan pertahanan terakhir Berlin pada 1 Mei. Gandingan barisan Georgy Zhukov, Konstantin Rokossovsky dan Ivan Konev mematahkan Angkatan Vistula dan Heeresgrupe dengan jumlah 2.3 juta anggota. Itu puncanya. Tiada guna lepaskan bom pada bandar yang sudah sedia maklum akan jatuh.
Namun Jepun pula adalah hal lain. Walaupun kalah di zon antarabangsa, tanah air Jepun boleh kata belum tersentuh. Untuk mengambil Okinawa saja, Amerika Syarikat kehilangan hampir 20,000 anggota perang. Itu baru satu pulau kecil. Kalau Tentera Bersekutu menggerakkan Operation Downfall, entah apa yang akan berlaku. Memang betul – pasukan tentera Jepun sudah agak lemah pada masa itu. Tetapi lemah di tanah orang tidak bermakna akan kekal lemah berjuang di tanah sendiri. Belum lagi kira populasi awam yang boleh tahan fanatik pro-peperangan (Allen, 2011).
Amerika Syarikat merangka sebuah pelan peperangan yang melibatkan 863,000 anggota pada awal peperangan. Dalam kalangan ini, mereka menjangka 267,000 akan gugur di medan. Memang melampau betul. Sudah pasti Amerika Syarikat perlu merancang betul-betul, kerana peperangan di Eropah sendiri sudah menelan jumlah anggota sangat ramai… sesuatu yang mereka tidak mampu tanggung, kerana suara rakyat dalam politik Amerika boleh menumbangkan kerajaan.
Namun Kesatuan Soviet boleh kata lain. Rata-ratanya takut bersuara, tambah dengan Joseph Stalin sebagai penguasa. Dan Stalin pula amat mendahagakan dendam yang lama terbuku dalam hati Rusia. Stalin masih tidak lupa macam mana Jepun menewaskan Rusia pada tahun 1905… yakni buat julung kalinya negara Asia menundukkan kuasa Eropah pada zaman moden (Krowner, 2007).
Semangat Juang Jepun Goyah
Semua orang tahu yang Jepun masih mampu menandingi Amerika Syarikat di tanah air sendiri. Kemampuan ini sudah pastinya tidak terjamin. Peluang tetap ada. Jepun lebih faham tanah air sendiri, berbanding Amerika Syarikat. Namun peluang setipis ini ternyata terburai habis apabila Kesatuan Soviet berjaya menewaskan Jerman. Tanpa musuh di barat, Soviet mampu menumpukan perhatian sepenuhnya di timur. Gandingan Amerika-Soviet sememangnya adalah mimpi ngeri Jepun. Soviet boleh menyusup daripada utara sementara Jepun menghadapi tekanan di selatan.
Dan Amerika Syarikat sendiri tidak mahu perkara ini berlaku. Tiada siapa dapat menjaminkan yang Amerika Syarikat boleh menang besar di Jepun. Mereka sendiri boleh kata hilang banyak kepentingan kerana Soviet merangkul Berlin. Suka atau tidak, Jepun tidak boleh dikapak menjadi dua. Tetapi Jepun enggan menyerah kalah, walaupun selepas Joseph Stalin menghantar 1.57 juta anggota dibawah kepimpinan Aleksandr Vasilevsky dan Rodion Malinovsky. Punyalah ramai, dengan jentera-jentera perang siap.
Lalu Amerika Syarikat berputus asa dan ingin memaksa Jepun ke meja rundingan. Suka atau tidak, pelan terakhir mesti dilaksanakan. Mereka memilih Hiroshima, yakni pusat perindustrian yang amat aktif menghasilkan persenjataan. Nagasaki pula adalah antara pelabuhan laut paling besar di selatan Jepun, dengan kebolehan agak fleksibel berkaitan peperangan. Pentadbiran Truman meluluskan pengeboman dua bandar ini, untuk 1) mengakhiri perang dan 2) menghalang cita-cita Soviet untuk menduduki Jepun.
Beratus ribu orang berada dalam dua bandar tersebut. Tidak lupa juga pada tiga orang Melayu bernama Abdul Razak Abdul Hamid, Nik Yusof Nik Ali dan Syed Omar Syed Mohammad Alsagoff, yang sedang belajar di Universiti Hiroshima (Ragu, 2022). Bertempiaran warga Hiroshima lari dengar kedatangan Amerika Syarikat. Namun Nik Yusof dan Syed Omar tidak sempat keluar daripada kampus yang terletak 1,500 meter daripada titik hentaman Little Boy. Nik Yusof gugur di situ juga, terbunuh akibat letupan yang sangat kuat.
Syed Omar pula meninggal dunia di Hospital Kyoto. Manakala Abdul Razak pula terselamat. Enam hari selepas hari malang ini, Jepun mengisytihar serah kalah mutlak tanpa sebarang syarat.
RUJUKAN:
Allen, L. (2011). War, Conflict and Security in Japan and Asia Pacific. Global Oriental. Halaman 99.
Krowner, R. (2007). The Impact of the Russo-Japanese War. Routledge.
Ragu, D. (2022, Ogos 14). Forgotten Malaysian victims of Hiroshima atomic bombing. Free Malaysia Today.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih