Mesti kita terfikir, jahat sangat ke Abu Lahab ni sampaikan Allah SWT buat 1 surah special untuk membinasakan dia.
Bayangkan kita ni, kita masih lagi diberikan peluang untuk bertaubat.
Abu Lahab atau nama sebenarnya Abdul Uzza ibn Abdul Muttalib ni sebenarnya salah seorang daripada bapa saudara Rasulullah SAW.
Macam mana mulanya kebencian Abu Lahab terhadap Rasulullah SAW ialah ketika Rasulullah SAW mula berdakwah kepada ahli keluarganya sendiri.
“Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat”
(Al-Shua’ra:214)
Lantas baginda memanggil Bani Hashim sehingga terhimpun seramai 45 orang di hadapan baginda.
Namun baginda hanya mendiamkan diri dan tidak bercakap. Apabila baginda memanggil mereka buat kali kedua baginda lantas berucap, “Segala Puji bagi Allah, aku memuji-Nya dan memohon pertolongan-Nya. Aku beriman dengan-Nya dan aku berserah kepada-Nya. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah yang tidak ada sekutu bagi-Nya.”
Al-Mubarakfuri nukilkan bahawa baginda kemudiannya meneruskan ucapannya dengan berkata, “Sesungguhnya orang yang merintis jalan ini tidak pernah dituduh berbohong oleh keluarganya. Demi Allah yang tiada Tuhan selain-Nya sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah kepada kamu dan seluruh umat Manusia”.
Abu Talib menyokong Rasulullah SAW walaupun beliau belum mahu untuk mengikut ajarannya kerana masih berpegang pada ajaran Abdul Muttalib.
Disinilah bermulanya episod derita bagi Abu Lahab kerana menentang baginda dengan membalas, “Demi Tuhan. Ini adalah keburukan. Halangilah dia sebelum dia mempengaruhi orang lain”.
Abu Talib bingkas mempertahankan baginda. Jaminan bapa saudara baginda sungguh memberikan kepadanya suatu keberanian untuk berdakwah secara terang-terangan.
Imam Bukhari meriwayatkan bahawa baginda memanjat Bukit Safa lalu menyeru Umat Manusia ketika itu, “Wahai Bani Fihr! Wahai Bani Adi!” Sehinggalah terkumpul mereka yakni anak pinak Quraisy di hadapannya.
Kemudian datanglah juga Abu Lahab lalu baginda bersabda, “Mahukah kamu percaya sekiranya aku memberitahumu bahawa di sebalik lembah ini ada angkatan berkuda yang ingin menyerang kamu?”
Lantas mereka menjawab, “Ya, kerana engkau tidak kami dapati kecuali benar”.
Maka baginda menyambung dengan berkata, “Sesungguhnya Aku ini adalah pemberi peringatan kepada kamu tentang azab yang pedih”.
Dengan tak semena-mena Abu Lahab bingkas bangun sambil mengibas tangannya lalu membalas ucapan baginda, “Celakalah engkau seluruh hari ini! Apakah engkau mengumpulkan kami hanya kerana ini?!” Lalu turunlah ayat ini:
تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ
Maksudnya: Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah!
Abu Lahab berkata, “Jika apa yang telah dikatakan oleh anak saudaraku itu benar, maka sesungguhnya aku akan menebus diriku dari azab itu dengan harta benda dan anak-anakku.” Lantas turunlah ayat seterusnya:
مَا أَغْنَىٰ عَنْهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ
Maksudnya: Tidaklah berfaedah kepadanya harta benda dan apa yang dia usahakan.
Kemudian ayat seterusnya di dalam surah ini:
سَيَصْلَىٰ نَارًا ذَاتَ لَهَبٍ ﴿٣﴾ وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الْحَطَبِ ﴿٤﴾ فِي جِيدِهَا حَبْلٌ مِّن مَّسَدٍ
Maksudnya: Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergelojak. Dan begitulah juga isterinya, seorang perempuan pembawa kayu bakar. Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal.
(Surah al-Masad)
Sebenarnya isteri Abu Lahab ialah Ummu Jamil atau nama sebenarnya iaitu Arwa binti Harb bin Umayyah.
Dia pun terbabit menjadi pembantu setia kepada kederhakaan suaminya.
Ummu Jamil selalu buat fitnah yang sangat dahsyat kepada Nabi Muhammad SAW. Ummu Jamil jugak yang meletakkan duri di jalan baginda.
Abu Lahab dan Ummu Jamil lagi gila menyerang baginda setelah kematian Abu Talib. Rasulullah SAW hilang jaminan daripada ahli keluarganya sendiri.
Dipendekkan cerita, selepas hijrah Rasulullah SAW ke Madinah, berlakunya perang pertama umat Islam iaitu Perang Badar.
Abu Lahab tak turun berperang seperti pembesar-pembesar Quraisy lain. Sebaliknya, dia sewa khidmat adik Abu Jahal, al-As bin Hisham sebagai penggantinya.
al-As buat sebagai cara menyelesaikan hutangnya sebanyak 4,000 dirham dengan Abu Lahab.
Kemenangan tentera Islam dibantu dengan bantuan para malaikat yang menyamar sebagai tentera berjubah putih.
Kisah ni diketahui penduduk Makkah lepas dibawa oleh dua orang lelaki bernama al-Haismana dan Abdullah al-Khuza’i di khemah besar yang menempatkan Perigi Zamzam.
Abu Rafi dan Lubaba al-Harith tak dapat menyembunyikan rasa gembira dengan Abu Rafi menjerit, “Mereka merupakan para malaikat!”
Panas hati dengan luahan hamba Abbas ibn Abdul Muttalib itu, Abu Lahab paksa Abu Rafi berbaring di atas tanah dan mula pukul dia.
Lubaba pukul balik kepala Abu Lahab dengan sebatang kayu besar sambil berkata, “Kamu pukulnya semasa tuannya tiada.”
Ini sekaligus mengakibatkan Abu Lahab mengalami kecederaan teruk di kepala. Dia menderita selama seminggu sebelum kembali ke negeri cacing pada 24 Ramadan tahun kedua Hijrah.
Bau mayat Abu Lahab sangat busuk sampaikan anak-anaknya sendiri menjauhinya.
Mayat bapa mereka dibiarkan mereput di rumah selama dua hingga tiga malam.
Situasi ni mengundang rasa kurang senang jiran tetangga dan menggesa mereka mengebumikan Abu Lahab secepat mungkin.
Mereka arahkan sekumpulan hamba untuk membawa keluar mayat dari rumah. Dari situ, ia dimandikan dari jarak jauh sebelum ditolak masuk ke dalam sebuah kubur di luar Makkah dengan sebatang galah. Kubur kemudiannya ditutup dengan batu-batu yang dilempar dari jauh.
Ironinya, pembesar paling berkuasa di Mekah, dikebumikan di luar Mekah. Begitulah pengakhiran musuh Allah yang terhina di sisinya.
___
Bercakap pasal dakwah, segala rintangan yang dihadapi Rasulullah juga perlulah kita jadikan tauladan dan pengajaran. Nak tahu lebih lanjut, dapatkan MUHAMMAD: DAKWAH DAN DIPLOMASI. Cepat borong di Shopee: https://shope.ee/AKBSOU4wr3
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih