Abu Hurairah r.anhu merupakan seorang sahabat yang paling banyak meriwayatkan Hadith daripada Rasulullah SAW. Namanya ketika Jahiliyyah merupakan ‘Abdu al-Shams bin Sakhr, (Hamba kepada matahari) lalu ketika beliau memeluk Islam, Rasulullah memberi namanya Abdul Rahman dan menggelarnya Abu Hurairah.
Beliau merupakan dari kabilah ad-Dusi, kabilah yang menerima dakwah Islam melalui sahabat Tufail al-Dusi. Beliau merupakan antara orang yang terawal menerima ajakan Tufail. Pada tahun ketujuh Hijrah, beliau pergi ke Madinah bersama rombongan Tufail bin Amru ketika umurnya 28 tahun untuk menemui Rasulullah menyatakan keislamannya. Setelah itu, beliau terus berdamping dan menjadi rapat dengan baginda Rasulullah SAW.
Walaupun beliau berdamping dengan Rasulullah tiga hingga empat tahun sahaja dibandingkan dengan sahabat-sahabat lain, namun kegigihannya menghafaz hadith Rasulullah dan kelazimannya berdamping dengan baginda membolehkan beliau meriwayatkan lebih 5000 hadith dalam masa empat tahun tersebut.
Mengenai gelarannya Abu Hurairah, Hurairah berasal dari perkataan Hirr bermaksud kucing, Hurairah merupakan ism tasghir bagi hirr yang bermaksud anak kucing. Beliau digelar seperti itu kerana sering dilihat kucing bersamanya. Beliau berkata: “Aku pernah menternak binatang ternakan keluargaku, dan aku membela seekor kucing kecil, pada waktu malam aku meletakkannya di bawah pokok, manakala waktu siang aku membawanya berjalan bersamaku, aku bermain dengannya dan mereka menggelarkan aku kerananya”.
Gelaran itu juga kerana sifat peribadi beliau: Beliau merupakan seorang yang lemah lembut dan bersopan santun, ceria dan kelakar. Beliau sangat mencintai baginda Rasulullah SAW, sehingga apabila beliau merindui baginda, beliau tidak akan berasa tenang hingga dapat bertemu baginda, melihat baginda dan menetap bersama baginda.
Selepas kewafatan Rasulullah, Abu Hurairah, pada zaman Khalifah Abu Bakar al-Siddiq telah menyertai perperangan riddah melawan golongan murtad, kemudian menyertai perperangan menawan Parsi ketika zaman Khalifah Umar r.a.. Beliau telah dilantik menjadi gabenor Bahrain ketika zaman pemerintahan Umar al-Khattab.
Selepas tamat pemerintahan khalifah Umar, beliau kembali ke Madinah, menetap di situ mengajarkan hadith dan mengeluarkan fatwa kepada murid-muridnya seperti Anas bin Malik, Hassan al-Basri dan lain-lainnya. Beliau wafat pada tahun 59 H, ketika berumur 78 tahun dan dimakamkan di perkuburan al-Baqi’.
RUJUKAN:
1) Al-Mubarakfuri, Abdul Rahman (n.d.) Tuhfah al-Ahuzi Syarah Jami’ al-Tirmidzi. Beirut, Dar al-Kutub al-Ilmiah.
2) Al-Zahabi, Shamsuddin (1985). Siyar A’lam al-Nubala’. Beirut, Muassasah al-Risalah.
3) Al-Asqalani, Ibnu Hajar (1995). Al-Isabah fi al-Tamyiz al-Sahabah. Beirut. Dar al-Kutub al-Ilmiah.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih