Sebelum saya mulakan rencana ini, sukanya saya mengingatkan bahawa saya tidak berminat untuk mengulas mengenai politik, tetapi menggunakan isu politik untuk berkongsi ilmu megenai peperangan. Kebetulan, peperangan dan politik memerlukan helah dan kelicikkan yang sama. Justeru, perbandingan antara dua perkara ini bukanlah sesuatu yang aneh, kerana perbezaan antaranya tidaklah terlalu ketara.
“Dah kalah dah lah. Jangan sembang turunkan undi majoriti. Tak ada erti kalah bermaruah, kalah menurunkan undi dan sebagainya.”
Di atas ialah antara dialog yang dilaungkan selepas 3 PRK yang berakhir dengan kemenangan PH. Pembangkang terdiri daripada UMNO-PAS melaungkan kata-kata di atas. Kekalahan bermaruah katanya. Di pihak sebelah kerajaan pula, mereka mengatakan tidak wujud kekalahan bermaruah, yang ada hanyalah kemenangan atau kekalahan dalam sejarah. Penegasan tidak wujud kekalahan bermaruah inilah yang memanggil saya untuk memberikan ulasan. Benarkah dakwaan sedemikian? Saya ingin berbeza pendapat dalam soal ini.
Dalam peperangan, ada dua jenis kemenangan iaitu Tactical Victory dan Strategic Victory. Kenapa dua kemenangan ini wujud? Sebab hakikat yang kalian tidak dapat terima ialah betapa ada pelbagai jenis kemenangan dan kekalahan yang wujud dalam strategi peperangan.
Ya, sebab dalam peperangan, 99 kekalahan dan 1 kemenangan sudah mampu untuk membuatkan orang yang menang 1 pertempuran memenangi keseluruhan peperangan meski kalah 99 pertempuran yang lain. Tentunya kemenangan ini adalah bergantung pada jenis kekalahan yang dapat dilihat pada jenis apa 99 kekalahan itu sendiri. Sebelum pergi lebih lanjut, saya merasakan bahawa perlu untuk kita bahaskan mengenai definisi bagi setiap istilah ini sebab dari sini, wujudlah “kemenangan bermaruah” yang dilaungkan.
Tactical Victory – Merujuk kepada kemenangan yang mengakibatkan kejayaan mencapai objektif taktikal yang merupakan sebahagian daripada operasi. Juga, merujuk kepada keputusan kerugian “kekalahan” lebih besar daripada yang “menang” walaupun kekuatan menang gagal memenuhi asalnya objektif.
Strategic Victory – Kemenangan yang berjaya membawa kepada penghancuran total musuh, di mana menghadkan keupayaan musuh untuk melancarkan perang balas oleh musuh dalam waktu yang lama.
Ada situasi di mana Tactical Victory memberikan impak Strategic Defeat kepada pasukan lain dalam peperangan. Maksudnya, kemenangan pihak lawan sebenarnya sangat-sangat bermanfaat buat pasukan yang kalah. Contoh paling tepat ialah ketika Perang Dunia Kedua tercetus, pihak Jerman telah berjaya menang beberapa pertempuran kecil dalam usaha Jerman untuk menakluk Russia. Ia berlaku terutama ketika Jerman menang di Kiev dan kekalahan Russia ini memaksa Russia berundur lebih dalam dan dalam. Di Kiev ini, Jerman telah membazirkan 2 bulan masa peperangan semata-mata nak menakluk Kiev.
Dua bulan ini sangat-sangatlah pemting kerana pada detik ini, Jerman telahmembazir kerana segala sumber, tentera dan masa difokuskan di Kiev semata-mata daripada terus mara ke Moscow. Ini memang dirancang oleh Russia. Mereka tahu bahawa mereka tidak mampu menang dalam pertempuran dan peperangan yang melibatkan full-scale war, secara pantas, jadi mereka perlu cari jalan untuk melambatkan pertempuran dan peperangan. Biarlah kalah banyak kali, tetapi dari kekalahan yang banyak itu sebenarnya akan memberikan kemenangan di penghujung pertempuran.
2 Bulan di Kiev akhirnya membawa kepada musim sejuk melanda Russia. Tentera Jerman tidak bersedia untuk musim sejuk seperti mana tentera Russia. Selebihnya adalah sejarah bagaimana musim sejuk yang membunuh tentera Jerman di Russia, seperti kebanyakan penakluk-penakluk agung yang cuba masuk ke Russia, lalu dihukum oleh musim sejuk. 2 bulan di Kiev juga memberikan Stalin peluang membina pertahanan di Moscow. Rupa-rupanya kekalahan demi kekalahan yang dirasai oleh Russia sebenarnya adalah Strategic Defeat buat Russia. Ya, tactical victory berjaya dicapai Jerman, tetapi akhirnya Strategic Defeat oleh Russia itu yang memenangkan mereka.
Jepun ketika WWII juga boleh diambil sebagai contoh. Pertempuran Coral Sea menyaksikan bagaimana Jepun berjaya menengelamkan carrier USA seperti USS Lexington manakala USS Yorktown pula rosak teruk. Namun, banyak kekuatan Udara Jepun digunakan dan musnah untuk menang pertempuran ini, malah semata-mata nak tenggelamkan USS Lexington, dan merosakkan USS Yorktown, carrier Jepun sendiri Zuikaku dan Suikaku musnah. Ia membawa kepada bencana pertempuran seterusnya iaitu di Midway yang membawa kepada kemenangan USA. Tactical Victory buat Jepun, tetapi kekalahan USA membawa kemenangan seterusnya dalam banyak pertempuran.
Contoh lain adalah ketika Laksamana Hang Nadim berjaya menenangi begitu banyak pertempuran melawan Portugis. Attrition warfare yang dipamerkan oleh Hang Nadim mula menunjukkan kesan. Objektif-objektif kecil Hang Nadim berjaya dicapai seperti menutup laluan makanan ke Melaka, menutup laluan keluar dan masuk dan memberikan kesan psikologi kepada Portugis.
Namun, strategic victory masih belum berjaya dicapai oleh Hang Nadim iaitu objektif utama peperangan menghalau Portugis keluar. Dan akhirnya, di penghujung peperangan, walaupun dengan kemenangan demi kemenangan yang dimenangi oleh Hang Nadim, ia akhirnya berakhirnya dengan kekalahan apabila Hang Nadim bertempur secara berdepan dengan Portugis.
Atau lantas kita angkat semula Hannibal yang berjaya membawa gajah melintasi Banjaran Alps untuk menentang Rom. Pertempuran-pertempuran awal berjaya dimenangi oleh Hannibal, dengan strategi-strategi perang yang sangat mengasyikkan itu. Tetapi akhirnya, di tangan Scipio Africanus di Pertempuan Zama, lawan setanding sepanjang zamannya.
Tentunya, contoh paling tepat ialah Pyrrhus of Epirus, seorang raja salah sebuah negara kota Yunani yang merupakan musuh terawal Rom yang telah berjaya memenangi banyak pertempuran dengan Rom, tetapi dalam keputusan yang sangat membinasakan kekuatannya. Akhirnya, kemenangan demi kemenangan taktikalnya membuatkan kekalahan pada penghujung perang. Bahkan nama Pyrrhic Victory itu sendiri adalah diambil daripada namanya, yang membawa definisi kemenangan yang membinasakan, sesuai dengan penghormatan yang dicapai oleh Pyrrhus dalam sejarah.
Situasi yang sama tidak salah kalau kita letakkan pada politik tempatan atau antarabangsa. Kekalahan dan kemenangan tidak ditentukan pada hari ini kerana boleh jadi kekalahan pada pertempuran awal adalah penting secara strategik buat musuh, sebagai contoh matlamat untuk menurunkan undi lawan?
Kata saya, politik itu adalah sebuah marathon. Jangan begitu pantas menghukum. Ia adalah seni yang memerlukan analisis yang mendalam, pemerhatian yang sabar. Tentunya kelicikkan yang memukau adalah rencahnya. Duduk di kusyen empuk masing-masing, lalu sama-sama menyaksikan sebuah lagi babak yang akan melekat dalam buku sejarah Malaysia, sama-sama makan popcorn menyaksikan bagaimana politikus-politikus saling bertikam antara satu sama lain demi sebuah kuasa.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih