Jepun adalah salah sebuah negara maju yang tidak perlu saya kenalkan lagi kepada anda. Kini berada di tempat ke-3 dalam tangga ekonomi dunia,[1] ia merupakan antara negara yang merintis perkembangan teknologi dunia kita pada masa kini. Pun begitu, di sebalik arus kemodenan, Jepun masih mampu mengekalkan tradisi dan budaya mereka yang diterapkan oleh sejarah yang penuh dengan suka dan duka.
Menjejakkan kaki ke Jepun merupakan antara salah satu dari impian hidup saya sejak kecil lagi, dan kesempatan yang diberikan majikan saya baru-baru ini amat saya alukan. Memang terdetik dalam hati saya ingin ke Jepun dan melihat sendiri budaya dan keindahan negara matahari terbit ini. Dan salah satu dari tarikan yang saya ingin kunjungi adalah model berskala penuh RX-0 Gundam Unicorn yang terletak Odaiba.
Maka tidak hairanlah, sehari sahaja selepas mendarat, saya mencari dan menyelidik cara terbaik untuk melihat salah satu dari mercu tarikan yang ada di Jepun ini. Berbekalkan beg galas dan telefon pintar, saya pun memulakan perjalanan saya dari Yokohama ke Odaiba.
Odaiba: Dari Kubu Meriam ke Kawasan Perlancongan
Odaiba merupakan sebuah pulau buatan yang telah dibina sekitar kurun ke-19. Pada ketika itu, Jepun yang takutkan ancaman dari Amerika Syarikat bertindak membina kubu meriam di kawasan di pesisir pantai Shinagawa. 11 kubu meriam dirancang untuk dibina, tapi akhirnya hanya 5 sahaja yang berjaya disiapkan.[2].
Tapi sayang sekali, kubu meriam yang dibina oleh 5,000 tenaga kerja ini tidak dapat dimanfaatkan. Kerajaan Jepun yang pada ketika itu mengamalkan polisi tertutup akhirnya terpaksa akur dengan permintaan Amerika Syarikat bagi membuka pelabuhan mereka untuk tujuan perdagangan. Maka terbiarlah Odaiba begitu sahaja, dilupakan oleh aliran masa yang berlalu.[3]
Buat berkurun lamanya, Odaiba hanya berfungsi sebagai laluan perdagangan ke pesisir Shinagawa, dan sebagai sumber rumpai laut kepada sekitar Tokyo. Dari 5 kubu, dua daripadanya terpaksa dilupuskan bagi memberi laluan kepada kapal dagang yang ingin berlabuh. Segalanya berubah pada pertengahan 1990-an.[4]
Pada ketika itu ada usaha untuk membangunkan semula Odaiba, sebagai sebuah bandar futuristik yang bakal menelan belanja sehingga $10 billion dollar. Disebabkan kesesakan bandar Tokyo, Odaiba dibayangkan sebagai alternatif dan menawarkan gaya hidup masa depan buat mereka yang menetap di sini. Malang sekali, akibat kegawatan ekonomi, projek itu akhirnya ditinggalkan begitu sahaja, menjadikan Odaiba sekali lagi terbiar.[5]
Odaiba diselamatkan pada penghujung 1990-an, apabila beberapa syarikat televisyen mula memindahkan pejabat mereka ke pulau itu. Dan dari saat itu berdirilah pusat beli-belah, pusat hiburan dan juga taman tema yang menarik minat ramai orang untuk berkunjung. Kini Odaiba merupakan salah satu dari tarikan utama yang terdapat di sekitar Tokyo.[6]
Ada banyak cara sebenarnya hendak ke Odaiba. Cara yang paling mudah (pada saya) adalah dengan melalui rel keretapi. Anda hanya perlu menggunakan aplikasi Google Maps dan mencari Odaiba, dan ia akan membimbing anda menggunakan laluan rel terbaik untuk ke destinasi. Kosnya bergantung kepada lokasi anda berada, dan jika anda memiliki Japan Rail Pass, mungkin anda akan mendapat sedikit diskaun
.
Cara yang paling menarik adalah dengan melalui Asakusa. Mungkin anda perlu ke Asakusa dahulu dengan menaiki rel kereta api. Dan selepas itu, anda mungkin boleh menaiki feri terus ke Odaiba. Dengan itu, anda boleh menikmati pemandangan indah melihat pulau buatan ini dari feri yang bergerak.[7]
Satu lagi cara adalah dengan melalui Rainbow Bridge,sama ada melalui teksi, ataupun melalui rel Yurikamome. Namun, ia hanya menawarkan pemandangan yang indah, tapi tidak disarankan kerana kos yang tinggi dan jarak yang lebih jauh. Tapi terpulanglah pada cita rasa masing-masing.
Saya memilih untuk menggunakan rel kereta api. Perjalanan saya dari Yokohama ke Odaiba mengambil masa selama lebih kurang sejam, dengan bertukar rel sekali di Oimachi dan menaiki Rinkai Line terus ke Odaiba.
Gundam dan Genre Mecha
Setibanya sahaja saya ke stesyen Tokyo Teleport, saya pantas bergegas, melajukan gerak langkah kaki saya menuju ke destinasi. Tidak sabar rasanya hati ingin melihat sendiri dengan lebih dekat model berskala penuh Gundam Unicorn yang dipamerkan di depan pusat beli-belah Diver City Tokyo.Sebagai peminat Gundam, ini adalah sesuatu yang sangat mengujakan.
Bagi mereka yang tidak mengetahui, Gundam merupakan salah satu dari francais yang popular di Jepun. Mula ditayangkan pada April 7, 1979, ia membawa perubahan yang besar kepada genre mecha yang ketika itu dipenuhi dengan trope Super Robot. Gundam yang membawa nafas baru dalam genre mecha, memaparkan robot yang dikawal manusia dan digunakan sebagai senjata ketenteraan dan bukannya sebagai adirobot dengan kuasa luar biasa. [8]
Walaupun begitu, ketika Gundam mula ditayangkan, ia kurang mendapat sambutan. Mungkin gaya dan tema penceritaan yang berat, menyebabkan ia kurang diminati peminat mecha, yang ketika itu dipenuhi kanak-kanak yang gemarkan trope Super Robot. Melihatkan pada itu, siri Gundam yang pertama ini hampir-hampir gagal. Namun, ia berjaya diselamatkan oleh hasil jualan permainannya.[9]
Hasil jualan model plastik kit Gundam yang dikeluarkan oleh Bandai menaikkan kembali minat orang ramai terhadap siri itu. Ini membolehkan Gundam mula bertapak di hati peminat genre mecha dan secara tak lansung mewujudkan trope baru, iaitu Real Robot (menggunakan robot sebagai senjata ketenteraan) dalam genre tersebut. Sejak dari itu Gundam terus maju ke hadapan dan tidak menoleh lansung ke belakang.[10]
Gundam kini adalah satu francais yang hebat, dengan lebih dari 12 siri TV ,filem, permainan video, manga dan banyak lagi.[11] Impak dan kesan francais ini terhadap budaya Jepun amatlah besar. Ia bukannya hanya terhad kepada model kit dan permainan sahaja, malah ianya turut meninggalkan bekas dalam setiap aspek kehidupan warga Jepun.
Sebagai contoh, Gundam pernah dipaparkan dalam poster pasukan bomba dan penyelamat Jepun. Angkatan Pertahanan Jepun juga menggunakan nama Gundam sebagai salah satu daripada kod pembangunan teknologi ketenteraannya. [12]Malah, pada Olimpik 2020 nanti, kerajaan Jepun juga bercadang untuk menghantar model plastik Gundam ke angkasa.[13]
Jika anda ingin melihat sendiri impak dan kesan Gundam ke atas budaya Jepun, maka model skala penuh inilah tempat yang patut anda kunjungi. Mengigati kembali sejarah dan impak Gundam membuatkan saya lebih teruja dan tidak sabar untuk melihat tugu simbolik Gundam ini.
Keluar sahaja dari Diver City Tokyo, mata saya terpaku pada struktur berketinggian hampir 20 meter itu. Malah rakan saya yang tidak meminati Gundam turut terpegun melihat mercu tanda yang megah dan tinggi itu.
Pada asalnya, tugu Gundam yang dipaparkan di Odaiba adalah Gundam RX-78-2, model yang dibina berdasarkan siri Gundam yang pertama ditayangkan. Bermula pada penghujung tahun 2017, Gundam RX-78-2 akhirnya digantikan dengan RX-0, Gundam Unicorn, berdasarkan kepada siri Mobile Suit Gundam Unicorn. Ianya juga lebih besar dan lebih tinggi dari model RX-78-2 sebelum ini, menjadikan ia sebagai mercu tanda tidak rasmi buat Odaiba.
Melihat model skala penuh ini tidak memerlukan sebarang yuran masuk, ianya percuma. Dan anda dinasihatkan untuk datang pada pukul 5 petang (pukul 11, pukul 1, dan pukul 3 juga boleh) bagi melihat sendiri proses transformasi Gundam Unicorn ini kepada “destroy mode” yang memaparkan bentuk ikonik “v-fin” emas yang sinonim dengan imej Gundam. Di sekitar kawasan ini juga terdapat kedai cenderamata dan juga sebuah Gundam Café, tapi pengunjung yang beragama Islam perlu berwaspada, makanan halal tidak disediakan di sini.
Kemungkinan Yang Tidak Terbatas
Kami tiba menghampiri pukul 5, dan walaupun ketika itu hari bekerja, kami melihat ramai orang sudah menunggu di depan model skala penuh ini, bersedia dengan telefon pintar, ingin merakam proses pertukaran itu. Pengalaman melihat pertukaran itu benar-benar sesuatu yang mengasyikkan dan takkan saya lupakan sampai bila-bila. Tapi dalam keterujaan itu, minda saya cuba memikirkan, apakah simbolik model Unicorn Gundam ini kepada Jepun.
Kita tahu di awal tadi, yang Odaiba adalah sebuah pulau buatan, yang dibina pada kurun ke-19 bagi mempertahankan Jepun dari ancaman Amerika Syarikat. Kita juga tahu yang Odaiba mengalami tranformasi yang hebat pada penguhujung 1990-an dari kubu tentera menjadi tempat kunjungan dan perlancongan yang menarik. Kita juga tahu yang Odaiba digambarkan pada asalnya sebagai bandar futuristik untuk penduduk Jepun di masa hadapan.
Dan sudah tentulah, ada simboliknya Gundam itu di Odaiba. Gundam seperti juga anime yang lain mendapat inspirasi dari peristiwa dan keadaan sosial yang berlaku di Jepun. Seperti Godzilla yang terhasil selepas perang dunia kedua, yang menggambarkan kuasa pemusnah bom nuklear,Gundam pula satu simbolik kepada kepesatan perkembangan teknologi dan ekonomi di Jepun pada 1980-an.
Dan bagi mereka yang pernah menonton Gundam Unicorn, pasti tahu yang Unicorn juga dipanggil sebagai “beast of possibility”. Ia satu lambang kepada kemampuan dan kemungkinan yang tidak terbatas yang dimiliki oleh Jepun yang membolehkan mereka bertapak menjadi antara salah satu negara maju di dunia hanya beberapa dekad selepas Perang Dunia Ke-2.
Tapi ia mungkin hanya fikiran dan anggapan saya semata-mata. Namun begitu, ia tidak menafikan impak dan kesan francais popular ini kepada Jepun secara keseluruhannya.
RUJUKAN:
About Odaiba. (2019, July 5). Retrieved from Happy Jappy: http://www.happyjappy.com/tokyo/odaiba/about_odaiba.html
COSMOSJAPANESELANGUAGESCHOOL. (2014, 8 7). Gundam – “The Star Trek of Japan”. Retrieved from COSMOS JAPANES ELANGUAGE SCHOOL: https://cosmosjapaneselanguageschool.com/2014/08/07/gundam-the-star-trek-of-japan/
Projected GDP Ranking (2019-2023). (2019, July 5). Retrieved from Statistics Times: http://statisticstimes.com/economy/projected-world-gdp-ranking.php
Timetable / Fares. (2019, July 5). Retrieved from Suijo Bus: https://www.suijobus.co.jp/en/price/
Tokyo Bayside Story: History of Odaiba. (2019, July 5). Retrieved from WAttention: https://wattention.com/tokyo-bayside-story-odaiba/
Wah, L. C. (2019, May 17). Japan to launch Gundam into space for Tokyo 2020 Olympics. Retrieved from Time Out: Tokyo: https://www.timeout.com/tokyo/news/japan-to-launch-gundam-into-space-for-tokyo-2020-olympics-051719
Whitbrook, J. (2015, 9 3). A History of Gundam: The Anime that Defined The Giant Robot Revolution. Retrieved from iO9 Gizmodo: https://io9.gizmodo.com/a-history-of-gundam-the-anime-that-defined-the-giant-r-1690326227
NOTA KAKI:
[1] (Projected GDP Ranking (2019-2023), 2019)
[2] (Tokyo Bayside Story: History of Odaiba, 2019)
[3] (Tokyo Bayside Story: History of Odaiba, 2019)
[4] (About Odaiba, 2019)
[5] (About Odaiba, 2019)
[6] (About Odaiba, 2019)
[7] (Timetable / Fares, 2019)
[8] (Whitbrook, 2015)
[9] (Whitbrook, 2015)
[10] (Whitbrook, 2015)
[11] (COSMOSJAPANESELANGUAGESCHOOL, 2014)
[12] (Whitbrook, 2015)
[13] (Wah, 2019)
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih