Kemari merupakan sebuah permainan bola di zaman purba yang berasal-usul dari Jepun dan mempunyai beberapa kesamaan dengan sebuah sukan moden yang dikenali sebagai bola sepak, salah satu sukan paling masyhur pada hari ini. 

Sukan bola sepak mula meraih bentuknya seperti yang dikenali sekarang di England pada tahun 1863, iaitu apabila sukan ragbi dan sukan bola sepak mula mengorak haluan masing-masing. Tahun tersebut juga memperlihatkan Persatuan Bola Sepak di England, iaitu badan pengurusan bola sepak pertama, ditubuhkan.

Jika dibuat perbandingan masa, kemari sudah pun wujud sejak abad ke-7 Masihi walaupun undang-undangnya hanya diseragamkan pada beberapa kurun kemudian.

BERMULANYA SUKAN KEMARI


Kemari
 diperkenalkan oleh masyarakat Cina ke dalam kebudayaan Jepun pada suatu tempoh masa sekitar tahun 644M. Salah satu sumber tertua yang ada menyebut tentang permainan ini adalah Nihon Shoki, sebuah buku sejarah klasik Jepun yang kedua paling tua.

Menurut sumber sejarah ini, kemari pernah dimainkan di Hôkôji di Nara pada tahun 644M. Salah seorang pemainnya ketika itu adalah Putera Nako no Ôe (yang kelak menjadi Maharaja Tenji). Dalam permainan tersebut, kasut yang dipakai oleh putera tiba-tiba tercabut dan tercampak. Melihat keadaan itu, seorang pemain lain yang bernama Nakatomi (kelak dikenali sebagai Fujiwara) no Kamatari mengambil kasut tersebut dan menyerahkannya semula kepada putera.

Kejadian ini merupakan satu peristiwa yang penting memandangkan mereka berdua kemudiannya menjadi rakan baik dan bersama-sama terlibat dalam usaha menggulingkan puak Soga pada tahun berikutnya.

Halaman dari salinan Nihon Shoki, sebuah karya pada awal era Heian

CARA KEMARI DIMAINKAN

Di negara Cina, terdapat sebuah sukan yang mirip dengan sukan bola sepak iaitu cuju. Ia dikatakan telah wujud sejak zaman Negeri-Negeri Berperang (476-221SM) lagi. Cuju merupakan sebuah sukan yang lasak dan digunakan untuk melatih kaum tentera. Merentas peredaran masa, penyeragaman undang-undang pun dilakukan ke atas permainan ini. Sifatnya yang lasak mula dikurangkan apabila ia mula tersebar secara meluas dalam kelas sosial yang lain. Pun begitu, sifat kompetitif sukan ini masih dikekalkan.

Karya pelukis dari Dinasti Ming, Du Jin yang menggambarkan kaum wanita Cina sedang bermain cuju

Jika dilihat cara kemari dimainkan pada hari ini, dapat dilihat bagaimana sukan tersebut mengalami perubahan yang drastik berbanding bentuk asalnya ketika ia mula diperkenalkan di kawasan pantai Jepun. Perubahan pertama yang boleh dikesan sudah tentu sifat kompetitif sukan cuju yang dihilangkan.

Gol bagi cuju sama seperti bola sepak moden, iaitu pemain perlu menendang bola hingga memasuki gawang yang terdedah tanpa menggunakan tangan. Namun, gol (atau matlamat) bagi sukan kemari pula adalah mengekalkan bola di udara selama mana yang boleh dengan menggunakan seluruh anggota badan selain tangan. Tidak seperti cuju dan bola sepak, sukan kemari tidak memiliki pemenang atau si kalah.

Setiap permainan kemari biasanya melibatkan antara enam hingga lapan orang pemain. Kebiasaannya, terdapat empat orang pemain utama dan dibantu oleh pemain-pemain pembantu. Pemain-pemain ini perlu bekerjasama untuk memastikan agar bola kekal di udara selama mana yang boleh sekaligus menitik-beratkan sifat kerjasama dalam sukan tersebut.

Perbezaan lain antara kemari dan cuju adalah kelas masyarakat yang mula-mula memainkannya. Di Cina,cuju mula dimainkan oleh kelas tentera sementara kemari di Jepun pula terlebih dahulu masuk sebagai budaya golongan kelas atasan. Bagi golongan kelas atasan di zaman Jepun purba, permainan kemari ini dianggap sebagai suatu permainan yang baik, menarik dan menekankan aspek kemahiran.

Pada zaman Kamakura (antara abad ke-12 hingga abad ke-14M), kemari menjadi sebuah sukan yang masyhur dalam kelas samurai. Menjelang zaman Edo pula (antara abad ke-17 hingga abad ke-19M), permainan ini mula meraih penerimaan secara meluas. Namun selepas berlakunya Revolusi Meiji, kemasyhuran kemari mula jatuh menjunam sekaligus keadaan tersebut menggusarkan Maharaja Meiji.

Festival Kemari moden di Kuil Tanzan, kota Nara, Wilayah Nara, Jepun

Hal ini mendorong pemerintah Jepun itu untuk menubuhkan Kemari Hôzô Kai atau Komuniti PemeliharaKemari. Berkat usaha daripada maharaja itu, kemari masih lagi kekal wujud sehingga ke hari ini. Walaupun permainan ini tidak berhasil meraih semula tingkat kemasyhuran yang pernah dikecapinya sebelum ini, namun ia kekal hidup dalam kalangan masyarakat moden menerusi dua buah keraian penting yang diadakan pada setiap tahun.

Salah satu keraian tersebut adalah kemari hajime atau ‘sepak mula’ yang diadakan pada hari sambutan Tahun Baru di Kuil Shimogamo, sebuah kuil Shinto yang berlokasi di Kyoto. Keraian yang kedua pula adalah festival kemari yang diadakan pada setiap bulan November di Nara, ibu kota Jepun pada zaman purba.

DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI:

  • DHWTY. (9 Mei 2016). Kemari: Revival of a 7th Century Japanese Football Game in Modern Times. Ancient Origins.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.