Genap sebulan setelah Russia melancarkan operasi ketenteraan ke dalam Ukraine, bermula pada bulan lepas. Serangan Russia secara umumnya dipacu dari 3 paksi iaitu utara (dari sempadan Belarus), timur (sempadan Russia dan wilayah pro Russia), dan selatan (wilayah Crimea).

Setelah berbulan-bulan mengumpulkan tentera dan logistik di sepanjang garis sempadan Russia- Ukraine, pemerhati-pemerhati dan penganalisa ketenteraan, serta dunia umumnya tertanya-tanya kerana dengan status Russia selaku kuasa besar nuklear dan militari berpuluh tahun, operasi penawanan Ukraine sepatutnya dilihat bersepadu, teratur, bekalan logistik yang mampan, dan penglibatan kuasa udara yang menggerunkan.

Tetapi, kemaraan Russia yang perlahan ini menimbulkan pelbagai persoalan. Propaganda Ukraine dan barat mengatakan pelbagai masalah di pihak Russia manakala, adakah Russia sendiri beroperasi pada kadar sepatutnya.

Kita akan cuba mengupas dan menganalisis dari sudut sisi pandang Barat dan doktrin militari Russia sendiri.


DOKTRIN MILITARI EVOLUSI DAN TRANSISI

Dalam perlaksanaan strategi dan taktikal operasi ketenteraan, di sebalik penglibatan di medan hadapan, satu istilah yang harus dilihat dan difahami sebagai kerangka utama adalah doktrin ketenteraan yang digunakan.

Doktrin militari adalah pelan strategik bagaimana sebuah pasukan tentera digerakkan dalam kempen kententeraan, operasi major dan pertempuran.

Blitkriegz, Airland Battle, Deepland Battle, Pre-Emptive Strike, Forward Defence dan Poison Shrimp adalah sekadar memetik beberapa nama doktrin yang digunakan.

Doktrin akan membentuk strategi, manakala strategi akan membentuk taktikal pasukan.

Doktrin militari moden mula berkembang ketika Perang Dunia Kedua (WW2), dipelopori oleh Nazi Jerman melalui konsep “Blitzkrieg” nya. Operasi serangan bersepadu melibatkan elemen armor Panzer, mekanis “PanzerGrenadier”, artileri, elemen pasukan payung terjun Fallshimjaeger dan tentera udaranya “Luftwaffe”, membolehkan mereka menawan eropah pada 1939-1940.

Ianya mula diadaptasi oleh pasukan berikat dan diolah mengikut acuan kuasa besar selepas itu iaitu US, British dan Soviet.

Pasca WW2, menyaksikan siri-siri peperangan dan konflik yang melihatkan pertembungan doktrin. Siri perang arab-israel 1948-1973 menyaksikan pertembungan doktrin “pre-emptive strike” Israel dengan doktrin Soviet yang digunakan oleh kebanyakan negara-negara Arab.

Perang Korea 1950 menyaksikan doktrin airland battle pasukan UN yang diketuai US bertembung dengan doktrin China yang baru sahaja memenangi perang saudara menentang Kuomintang

Perang Iran-Iraq menyaksikan doktrin Iraq yang banyak mengikut acuan Soviet menentang Iran yang terpaksa membangunkan doktrin srategik tersendiri setelah komander dan jeneral veteran zaman Shah Iran, disingkirkan ketika revolusi 1979.

Perang Teluk 1990 pula menyaksikan doktrin moden US dan sekutu menghancurkan Iraq sehingga menyerah kalah pada 2003.

Malaysia melalui ATM melihat perubahan dari doktrin “counter insurgensi warfare” ke peperangan konvensional iaitu “ forward defence” selepas pasca 1990an, menyaksikan pemodenan semua cabang. Ianya teruji dan dilaksanakan ketika pencerobohan Sulu 2013 di Sabah.

DOKTRIN MILITARI RUSSIA: MODEN ATAU LEGASI SOVIET ?

Apabila Russia melaksanakan operasi ke atas Ukraine, semua pemerhati memerhatikan rapat akan fasa demi fasa. Sebagai kuasa nuklear dan kuasa ketenteraan dunia, ini adalah medan konvensional yang akan menguji Russia, setelah mereka paling akhir beroperasi di Chechnya pada 1990an, serta pendudukan Afghanistan ketika era Soviet.

Ketika era Soviet, industri pertahanan Russia sangat besar sehingga 1 daripada 5 orang dewasa Soviet bekerja di industri pertahanan.

Pembubaran Soviet, memberi kesan terus pada perkembangan, peralatan, serta kemampuan operasi Russia pasca Soviet. Kelembapan ekonomi dan inflasi ketika era Boris Yeltsin, dengan penguncupan bajet, menyaksikan Russia terpaksa mengecilkan kemampuan militari serta keanggotaan mereka.

Soviet ketika awal 90an mempunyai 3.6 juta tentera aktif dan 4 juta simpanan, manakala Russia sekarang mempunyai 900 ribu anggota tentera profesional.
Tank, pesawat, artileri, kapal perang, kapal selam juga mengalami pengecilan saiz berbanding era Soviet. Russia juga awalnya bergelut dengan masalah kewangan untuk menyelenggara peralatan perang mereka

Walaupun begitu status Russia sebagai kuasa militari dunia tidak terjejas dan masih mempuyai kredibiliti walaupun tidak segah zaman Soviet.

Perang Chechnya pertama pada 1994 menyaksikan Tentera Russia ditewaskan teruk oleh pejuang Chechnya terutamanya di Grozny, Doktrin mereka menggunakan strategi seolah menentang musuh konvensional, dan menggunakan tank, pasukan armor sebagai teraju utama dalam peperangan bandar mengundang padah apabila kolum armor Russia yang dibarisi T-80, T-72, BMP, BTR 80 dimusnahkan pada skala yang besar dan mengakibatkan korban yang tinggi.

Jeneral Russia ketika ini masih dibelenggu doktrin era Soviet di mana ianya tidak praktikal untuk digunakan di dalam OBUA ( Operation In Built Up Area). Russia hanya dapat menawan Chechnya pada 1999, Perang Chechnya Kedua.

Pasca 2010, hampir 15 tahun selepas peperangan di Chechnya, Russia mula mentransformasikan pasukan tentera mereka mengikut arus pemodenan.

Walaupun menggunakan “military hardware” era Soviet yang dinaiktaraf, kebanyakannya masih beroperasi dengan baik dan mampu melaksanaka tugas dengan baik.

Kita masih boleh melihat Helikopter penyerang Ka-52 Alligator, jet penyerang Su-25 Grach, T-72 yang dinaiktaraf, dan lain2 seperti varians BMP.

OPERASI MILITARI RUSSIA DI UKRAINE

Setelah sebulan Russia melancarkan operasi, kita melihat bagaimana doktrin Russia akan dilaksanakan setelah pelbagai usaha pemodenan tentera mereka Dengan jentera perang legasi Soviet yang masih berbisa dan dinaik taraf, doktrin Russia masih menggunakan “ Deep Battle” iaitu menyerang musuh dalam medan pertempuran panjang dan berlapis.

Beberapa siri serangan yang serentak dan pelbagai medan, bertali arus atau mana-mana kombinasi, pelbagai arah bagi mengaburi perkiraan serta percaturan musuh.

Kuasa tembak yang banyak, konsisten, berlapis digunakan semaksimum mungkin bagi menyelerakkan pasukan musuh dan mengurangkan tumpuan titik pertahanan mereka

Doktrin “Deep Battle” memerlukan aset serta jumlah anggota yang ramai, di mana Russia masih ada kedua elemen ini, selain dari faktor sempadan yang panjang dan keluasan negara yang terluas di dunia. Doktrin ini akan mengambil masa yang panjang dan tempo operasi yang berlanjutan.

Doktrin sebegini, kemaraannya tidaklah pantas seperti mana konsep “Blitzkrieg” Nazi Jerman atau doktrin “ Airland Battle” pasukan barat, tetapi ianya umpama satu gelombang pengepungan pasukan musuh dan memusnahkan musuh secara menyeluruh.

Terma diberi jolokan “Soviet Steamroll” pada perang dunia kedua, di mana Soviet mara dengan doktrin ini seterusnya memusnahkan “Army Group Centre” dan “Army Group South” Nazi Jerman, melalui “Operation Uranus”, operasi strategik Soviet pada 1942 bagi menghentikan kemaraan Nazi di Stalingrad.

Ini dapat dilihat dari perkembangan operasi militer Russia di Ukraine di mana kemaraan Russia boleh dilihat berhati-hati, grid demi grid, kawasan demi kawasan, dan pengepungan pasukan, bandar Ukraine dilihat berlaku dimana pasukan Ukraine dilihat kukuh.

Russia melalui doktrin ini sangat menunggu serangan balas Ukraine, dimana apabila serangan balas Ukraine kehilangan momentum, Russia akan menyerang kembali dengan kuasa tembak yang besar, dan melumatkan kemampuan Ukraine untuk menyerang balas.

Adalah penting untuk Russia bertahan, maju dengan perlahan dan terus menerus mmastikan garisan logistik, bekalan dan penggantian anggota dapat dilakukan secara berterusan bagi memastikan objektif mereka tercapai, menekan Ukraine, menghapuskan golongan neo nazi dan membawa Ukraine ke meja rundingan.

Walaupun Russia dilihat bermasalah dalam mengekalkan logistik mereka pada fasa awal, tetapi selaku kuasa besar, mereka pasti dapat menangani perkara ini sedikit masa lagi. Kita boleh lihat kawasan Ukraine yang ditawan masih dalam penguasaan Russia,dan kawasan ini terus bertambah walaupun dengan perlahan.

Sekatan pelbagai dan tekanan ekonomi yang diberikan pada Russia dilihat tidak memberikan kesan ada operasi mereka, ini akan kita kupas dalam artikel yang berlainan.

PROPAGANDA BARAT DAN UKRAINE, FAKTA ATAU AUTA ?

Ukraine mendapat sokongan dari barat dan NATO serta Eropah, pelbagai bantuan persenjataan seperti senarai dibawah dalam skala yang sangat besar;

Belgium – 2,000 laras rifle FN FNC dan 3,000 mesingan
Austria – 10,000 unit helmet dan jaket kalis peluru
Kanada – 4,500 M72 LAW (anti armor) , drone dan pelbagai
Belanda – 3,000 helmet, 2,000 flak jaket, 5xAN/TPQ-36 Firefinder radar dan pelbagai
Poland – Piorun MANPADS dan pelbagai.

Senarai di atas sekadar memetik beberapa negara, ini termasuk jumlah besar senjata dari Sweden, UK, US dan negara NATO lain, termasuk bantuan dari pemetaan satelit, perisikan dan peperangan eloktronik.

Malah, media-media antarabangsa terus menyebarkan propaganda yang menyebelahi Ukraine. Pasukan Russia dimomokkan sebagai pasukan yang tidak cekap, aset-aset armor musnah, aset-aset udara tehempas dengan banyak, penawanan anggota-anggota tentera Russia dan pelbagai lagi laporan yang menunjukkan moral tentera Russia tidak dalam keadaan baik.

Malah ada video menunjukkan petani Ukraine menunda BMP Russia, dan penawanan dapur Medan Russia yang menggunakan platform lori Kamaz.

Walaupun Russia tidak dinafikan mempunyai masalah operasi mereka, propaganda Ukraine dan Barat ini, penulis secara peribadi ianya terlampau “hype” dan lebih kepada pembunuhan karekter Russia yang dilihat sebagai penindas.

Satu persoalan, jika Russia sangat teruk dan cacamerba dalam operasi mereka, mengapa peta penguasaan Ukraine masih tidak berubah dan Russia mempunyai kemajuan berdikit-dikit setiap minggu.

Malah, kerugian kempen Russia secara berterusan ini dilihat lebih memberi kesan terus pada Ukraine kerana peperangan atas tanah sendiri, infrastruktur musnah, infrastruktur militari musnah, pelarian awam, ekonomi musnah, dan pembinaan semula negara bukan sesuatu yang mudah.

FOG OF WAR

Dalam situasi media Russia disekat dan naratif barat yang sangat intensif memihak pada Ukraine, sukar untuk kita melihat secara telus dan  dengan pelbagai propaganda, “fog of war” adalah sesuatu yang realiti.

Isu sebegini tidak dapat dilihat secara hitam putih atau binari semata-mata. Dapatan analisis seharusnya dicerna dan dihadam agar kita tidak menjadi bidak catur pihak-pihak yang berkepentingan.

Rasional dalam menilai dapat membantu kita memahami isu geopolitik ini dengan kaca mata sebagai seorang manusia.

Artikel dikirimkan oleh Muhammad Faiq Bin Shaf’ii untuk The Patriots. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Leave A Reply