Sebut pasal wakaf, semua sedia maklum ini sebenarnya peluang bagi orang Islam untuk berinfaq di jalan Allah s.w.t selain sedekah dan berzakat. Tetapi entah di mana silapnya, kesedaran orang Islam berkenaan soal wakaf masih lagi di tahap rendah. Sikap sebegini seharusnya diubah kerana wakaf sebenarnya mempunyai pelbagai kelebihan bukan saja terhadap orang yang berwakaf, malah memberi impak jauh lebih besar terhadap masyarakat dan negara amnya.

Sebelum menerangkan kelebihan wakaf, molek kiranya kita nyatakan perbezaan sedekah, zakat dan wakaf itu sendiri. Wakaf merupakan satu bentuk sedekah yang bersifat berterusan di mana harta itu perlu bersifat kekal seperti wang tunai atau tanah. Selagi mana harta wakaf itu dimanfaatkan, selagi itulah si pewakaf akan mendapat pahala berterusan walaupun selepas meninggal dunia. Contohnya, bila si pewakaf mewakafkan wang sebanyak RM10 di mana wang tersebut dikumpulkan dalam satu tabung kumpulan wakaf. Kemudian, wang tersebut digunakan untuk tujuan wakaf seperti pembinaan masjid, hospital, perpustakaan atau kemudahan awam yang memberi manfaat kepada semua. Selagi mana kemudahan wakaf itu dimanfaatkan oleh orang ramai dan kekal berada di situ, selagi itulah si pewakaf menerima pahala berterusan dari-Nya.

Sementara sedekah pula ialah satu ibadah di mana pahala hanya diraih bila si pemberi bersedekah. Dan ia boleh dalam pelbagai bentuk dari pemberian harta hinggalah senyum atau membantu orang lain. Terdapat banyak hadis Nabi Muhammad s.a.w berkenaan bentuk-bentuk sedekah. Antaranya, satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim mafhumnya, “Setiap anggota badan manusia diwajibkan bersedekah setiap harinya selama matahari masih terbit; kamu mendamaikan antara dua orang yang berselisih adalah sedekah; kamu menolong seseorang naik ke atas kendaraannya atau mengangkat barang bawaannya ke atas kendaraannya adalah sedekah; setiap langkah kakimu menuju tempat solat juga dihitung sedekah; dan menyingkirkan duri dari jalan adalah sedekah.”

Sementara zakat pula bermaksud mengeluarkan harta mengikut syarat-syarat tertentu yang diagihkan kepada golongan-golongan tertentu yang ditetapkan syarak. Ia hanya boleh dikeluarkan apabila pemilik harta mempunyai harta melebihi keperluan diri dan tanggungannya serta harta tersebut melebihi atau mencapai paras nisab.

Dari segi kelebihan ketiga-tiga amalan ini, ia sama sekali tidak mengurangkan harta. Bahkan, Allah s.w.t memberkati dan merahmati harta orang yang melakukan amalan-amalan ini. Firman Allah s.w.t dalam ayat 39, Surah Saba’, “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, dan Ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi Rezeki.” Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w bersabda, “Infaqkanlah hartamu. Janganlah engkau menghitung-hitungnya (menyimpan tanpa mahu bersedekah). Jika tidak, maka Allah akan menghilangkan keberkatan rezeki tersebut. Janganlah menghalangi anugerah Allah untukmu. Jika tidak, maka Allah akan menahan anugerah dan kemurahan untukmu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tetapi ia tidak dapat mengatasi impak sedekah jariah terutama dari segi wakaf. Ini berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah r.a, “Apabila matinya seseorang anak Adam itu maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkannya dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kepada kedua ibu bapanya.” (Riwayat Muslim) Ini saja sudah menunjukkan impak sedekah jariah atau lebih spesifik wakaf dalam kehidupan manusia bukan saja di dunia bahkan di akhirat. Lihat pula firman-Nya dalam ayat 261, Surah Al-Baqarah, “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”

Dari segi spiritual, ibadah wakaf sebenarnya merupakan tanda pengabdian manusia kepada Allah s.w.t dan sekaligus, mendekatkan lagi hamba tersebut kepada Penciptanya. Ini kerana untuk mengorbankan harta yang disayangi ke jalan yang diredhai-Nya bukanlah sesuatu yang mudah. Tetapi bagi manusia yang melihat akhirat sebagai matlamat kehidupannya, harta yang diraih dan dikumpul hanyalah alat untuk menyuburkan ladang pahala dan memberi manfaat kepada manusiawi sejagat. Atas sebab itulah, para sahabat Nabi s.a.w dan salafus soleh sentiasa berlumba-lumba mewakafkan harta mereka di jalan Allah. Dan ini seharusnya dicontohi umat Islam hari ini.

Misalnya, pada satu ketika, Madinah dilanda musim kemarau dan satu-satunya sumber air bersih ketika itu ialah sebuah telaga bernama Rummah atau Telaga Pemanah. Tetapi malangnya, sesiapa yang ingin mengambil air tersebut terpaksa membayar harga mahal yang dikenakan pemiliknya yang beragama Yahudi. Ini mendorong Rasulullah s.a.w bersabda, “Wahai Sahabatku! Sesiapa sahaja di antara kamu yang menyumbangkan hartanya untuk dapat membebaskan telaga itu, lalu mendermakannya untuk umat, maka akan mendapat Syurga Allah s.w.t.” Ini mendorong Uthman bin Affan r.a untuk membeli perigi berkenaan dari lelaki tersebut. Tetapi permintaan beliau tidak dilayan atas alasan lelaki tersebut akan mengalami kehilangan pendapatan sekiranya ia dijual. Lalu sahabat merangkap menantu Nabi itu menawarkan untuk membeli separuh dari pemilikan telaga tersebut, satu tawaran yang dipersetujui dengan harga 12,000 dirham.

Berdasarkan syarat pemilikan, mereka bergilir-gilir memiliki telaga setiap selang sehari. Pada hari Uthman r.a menguruskan telaga, penduduk Madinah boleh mengambil air secara percuma pada hari itu kerana telaga dimiliki beliau. Selain itu, mereka juga diingatkan untuk mengambil air dalam jumlah mencukupi kerana hari berikutnya, telaga itu menjadi milik lelaki Yahudi itu. Bila hari itu tiba, orang Yahudi itu terkejut kerana tiada siapa yang datang mengambil air dengannya. Merasakan apa yang berlaku merupakan satu kerugian, lelaki itu menjual separuh lagi pemilikan telaga kepada Uthman r.a dengan harga 8,000 dirham. Selepas mendengar apa yang berlaku, seorang lelaki cuba menawarkan harga mahal untuk membeli telaga tersebut daripada beliau. Tetapi tawaran lelaki itu ditolak sahabat Nabi yang mulia itu kerana hanya Allah s.w.t yang menjanjikan ganjaran lumayan kepadanya melebihi apa yang ditawarkan lelaki tersebut.

Dari segi ekonomi pula, ia merupakan tunjang ekonomi ummah dari dahulu sampai sekarang. Siapa sangka, ia sebenarnya salah satu bentuk pengagihan semula kekayaan bagi membolehkan orang lain merasai nikmat sama yang dikongsi. Orang yang bersedia berkongsi kekayaan mereka bukan saja dapat membantu orang lain terutama golongan memerlukan dapat hidup selesa, bahkan ia sebenarnya melembutkan hatinya dari dipengaruhi sikap bakhil. Motivasi sebegini ditekankan Allah s.w.t dalam firman-Nya iaitu ayat 38, Surah Muhammad, “(Ingatlah), kamu ini adalah orang-orang yang bertabiat demikian – kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu yang berlaku bakhil, padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya ia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepada-Nya dalam segala hal). Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.”

Selain sebagai satu bentuk pengagihan semula kekayaan, ia sebenarnya merupakan satu peluang untuk mengekalkan pemilikan harta dan aset membabitkan orang Islam. Ini kerana aset-aset sebegini bukan saja menjadi pemain utama sektor ekonomi, bahkan berpotensi menambah lagi kantung kewangan negara terutama membabitkan orang Islam. Buktinya pada era pemerintahan kerajaan Bani Abbasiyah, zaman tersebut menyaksikan kerajaan tersebut meraih pendapatan sebanyak 900 juta dirham dari institusi wakaf saja. Pada zaman moden hari ini, wakaf merupakan pemain ekonomi utama negara-negara Islam terutama dalam sektor perbankan. Di Turki misalnya, Badan Berkuasa Wakaf Turki (DGF) menubuhkan Bank Wakaf Turki dengan badan tersebut mempunyai pegangan saham sebanyak 75%. Bank ini merupakan bank terbesar di Turki dengan modal permulaan sebanyak 17 juta lira atau $45 juta. Kini, Bank Wakaf Turki mempunyai 300 cawangan di seluruh negara dan pedapatannya digunakan untuk apa saja urusan yang berkaitan wakaf seperti pentadbiran dan penambahbaikan aset wakaf.

Di sini dapat disimpulkan, bahawasanya wakaf bukan saja wadah bagi manusia menyebarluaskan kebaikan di dunia dan akhirat. Malah, ia sebenarnya boleh saja menjadi enjin ekonomi sesebuah negara bukan saja pada masa lampau tetapi juga sekarang. Benarlah, apa saja perintah-Nya itu bukanlah bersifat sia-sia. Bahkan, sebaliknya ia memberi manfaat kepada manusiawi terutama hamba-hamba-Nya yang beriman.

Makna dan Kelebihan Wakaf. Untuk mula berwakaf, klik SINI

SUMBER

  1. Abd. Rahman, Asmak. (2009). Universiti Malaya. PERANAN WAKAF DALAM PEMBANGUNAN EKONOMI UMAT ISLAM DAN APLIKASINYA DI MALAYSIA.
  2. Abdul Hamid, Harmizul. (2014). Utusan Malaysia. Perbezaan zakat dan wakaf. http://www.zakatselangor.com.my/keratan-akhbar/perbezaan-zakat-dan-wakaf/
  3. Majlis Agama Islam Negeri Johor. Kelebihan Berwakaf. http://www.maij.gov.my/?page_id=436
  4. Omar, Mohd Noor. (2017). Sinar Harian. Wakaf pemangkin ekonomi ummah. http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/ta-dib/wakaf-pemangkin-ekonomi-ummah-1.723171
  5. Shafi-Q. (2014). Shafiqolbu. Akaun, Harta Milik Khalifah Saidina Uthman Affan Masih Wujud Hingga Kini. https://shafiqolbu.wordpress.com/2014/12/15/akaun-harta-milik-khalifah-saidina-uthman-affan-masih-wujud-hingga-kini/
  6. Soalan-Soalan Lazim Mengenai Wakaf (FAQs). Bank Muamalat. http://www.muamalat.com.my/downloads/consumer-banking/FAQs-wakaf.pdf
  7. Uswatun Hasanah, MA. (2008). Badan Wakaf Indonesia. Inovasi Pengembangan Wakaf di Berbagai Negara. https://bwi.or.id/index.php/ar/publikasi/artikel/222-inovasi-pengembangan-wakaf-di-berbagai-negara.html

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.