Ada satu tweet yang jadi tular di media sosial di mana si polan ini memperlekeh kelompok pemain permainan video sebagai bersikap keanak-anakan, tidak matang, tidak mahu fikir masa depan dan anggap ia tidak memberi sebarang faedah. Untuk pengetahuan si polan, sahabat saya, Helmi Effendi sudah bidas mentaliti sebegini dalam satu artikelnya berkenaan e-sport dan Revolusi Industri 4.0 beberapa bulan lepas. Sekarang giliran saya untuk tunjukkan bermain permainan sebegini sebenarnya memberi banyak faedah termasuk dari segi kesihatan kepada para pemainnya.
1. PAKAR BEDAH HEBAT
Siapa yang baca mesti kata ini satu kenyataan mengarut dan hanyalah mitos semata-mata. Tetapi ia sudah dibuktikan menerusi satu eksperimen yang dijalankan di Florida Hospital Celebration Health. Pakar bedah, Dr James ‘Butch’ Rosser melakukan satu eksperimen membabitkan 300 pakar bedah. Menerusi eksperimen tersebut, 150 pakar bedah bermain permainan video selama enam minit sementara separuh lagi tidak bermain apa-apa permainan sebelum menjalankan pembedahan laparoskopi secara maya. Hasilnya, Rosser mendapati pakar bedah yang bermain permainan video lebih cemerlang berbanding rakan mereka yang tidak bermain. Statistik menunjukkan pakar bedah yang bermain permainan video lebih daripada tiga jam seminggu akan kurang melakukan kesilapan sebanyak 37%, lebih pantas dengan peratusan 27% dan lebih baik dengan markah peratusan lebih 26% berbanding kumpulan kawalan.
Rosser menyifatkan tindakan pakar bedah bermain permainan video ini seperti perilaku seorang atlet melakukan aktiviti pemanas badan sebelum sesebuah acara atau perlawanan. Dan impak dari kajian tersebut mendorong hospital itu mewujudkan satu ruangan di mana pakar bedah boleh bersiap sedia atau bermain permainan video. Ruangan itu boleh menempatkan empat orang pakar bedah pada satu-satu masa.
2. DISLEKSIA
Sesetengah kajian menunjukkan kesukaran memberi tumpuan merupakan antara komponen utama disleksia. Satu kajian diketuai oleh Dr Andrea Facoetti menunjukkan individu sebegini dapat menambahbaik pemahaman semasa membaca selepas sesi permainan video yang lama. Menerusi eksperimen itu, 20 kanak-kanak dipilih di mana 10 daripadanya bermain permainan video dalam sembilan sesi selama 80 minit dengan permainannya terdiri siri-siri permainan mini. Sementara baki 10 lagi bertindak sebagai kumpulan kawalan. Kemahiran bacaan dan penumpuan mereka diuji sebelum dan selepas sesi permainan dan ia dibandingkan dengan keputusan ujian kumpulan kawalan.
Hasilnya, para saintis mendapati kumpulan yang bermain permainan video mempunyai kemahiran penumpuan lebih baik berbanding kumpulan kawalan. Dan mereka juga boleh membaca dengan pantas tanpa mengalami kehilangan dari segi ketepatan. Menurut Facoetti, permainan video membantu individu ini memperbaiki penumpuan visual dan pengambilan maklumat dari persekitarannya. Ini sekaligus menjadikan mereka lebih fokus dan mampu memproses maklumat dengan lebih berkesan. Ketika ini, Facoetti dan rakan-rakan sekerjanya dari Universiti Padua sedang mengkaji kesan permainan video kepada proses mencegah masalah disleksia.
3. MEMPERBAIKI PENGLIHATAN
Satu kajian yang dijalankan oleh Daphne Bavalier dari Universiti Rochester pada tahun 2009 mendapati kekerapan bermain permainan video aksi seperti siri Call of Duty atau Battlefield sebenarnya membantu menambahbaik penglihatan pemain. Untuk menguji teori tersebut, Bavalier meminta sekumpulan pemain permainan video aksi berpengalaman bermain permainan Unreal Tournament 2004 dan Call of Duty 2. Sementara satu kumpulan pemain berpengalaman diminta bermain permainan simulasi The Sims 2. Hasilnya, beliau mendapati kumpulan pertama mempunyai kualiti penglihatan lebih baik berbanding kumpulan kedua.
Kajian sebelumnya mendapati permainan video aksi turut membantu pemain menambahbaik kemahiran visual seperti mengesan beberapa objek pada satu-satu masa dan memberi tumpuan kepada pelbagai peristiwa yang berlaku pada masa pantas. Bavalier dan pasukan kajiannya ingin tahu bagaimana ia dapat menajamkan penglihatan pemain. Beliau membuat teori latihan mengesan dan menembak musuh merupakan satu senaman bagi mata. Satu lagi teori ialah perubahan persekitaran yang pantas dan tak menentu dalam permainan sebegini memaksa pemain memantau persekitaran mereka sepanjang masa dan memproses data yang dilihat lebih pantas.
4. LEBIH BERJAYA DALAM KARIER
Kadang-kadang dalam sesetengah permainan video atau komputer, ia memerlukan kita mencapai pencapaian tertentu untuk mara ke peringkat seterusnya. Jadi tidaklah mengejutkan apabila para saintis berpandangan impak pencapaian sebegini sebenarnya meningkatkan lagi motivasi para pemain semasa bekerja. Dan jangan terkejut jika anda ada saja idea untuk mengimprovisasi sekiranya wujud krisis sama ada di rumah, pejabat, sekolah atau seumpamanya. Ini kerana ianya berkait dengan kelebihan anda memanfaatkan apa yang ada dalam permainan video atau komputer.
5. TERTARIK DENGAN SEJARAH
Ada kata teori permainan video boleh mencambahkan minat pada sejarah satu teori mengarut. Siapa kata sedemikian sebenarnya tidak faham akan nilai estetika sebuah penceritaan. Bagi pemain seperti kami, unsur sejarah terutama dari watak dan latar tempat sebenarnya membantu kami lebih memahami budaya atau sejarah bagi sesebuah tempoh. Contohnya, bagi penggemar siri permainan bersejarah seperti Age of Empire dan Total War, selain membantu pemain capai matlamat ditetapkan, ia sebenarnya mencambahkan minat para pemain pada budaya dan sejarah negara asing atau dalam sesetengah kes, sejarah negara sendiri. Berdasarkan satu kajian, ibu bapa yang membelikan buku-buku, peta atau apa saja yang dikaitkan dengan permainan tersebut mendapati anak-anak mereka mahu belajar lebih lanjut. Dari situ, ia sebenarnya mencambahkan penghargaan seumur hidup mereka pada sejarah.
6. AWET MUDA
Jika anda mahu otak anda kelihatan awet muda, cadangan saya, buat permainan video membabitkan teka-teki, memori dan penyelesaian masalah. Tiga profesor psikologi dari Universiti Montreal iaitu Gregory West, Sylvie Belleville dan Isabelle Peretz membuat dua kajian pada tahun 2014 dan 2017. Menerusi eksperimen ini, sekumpulan orang dewasa berusia 20-an diminta bermain permainan video tiga dimensi (3D) berunsur logik dan teka-teki pada platform seperti Super Mario 64. Hasilnya, mereka mendapati terdapat pertambahan jirim kelabu pada hipokampus selepas selesai sesi permainan. Jirim kelabu pada hipokampus ini ialah penanda bagi masalah neurologi seperti Alzheimer.
Lalu West cuba mereplika semula keputusan kajian dengan menukar kumpulan umur peserta dari 20-an kepada peserta antara 55 hingga 75 tahun. 33 peserta dipilih dan dibahagikan kepada tiga kumpulan rawak. Satu kumpulan diminta bermain Super Mario 64 30 minit sehari, lima hari seminggu. Satu lagi kumpulan diminta belajar bermain piano mengikut rutin sama. Sementara satu lagi kumpulan bertindak sebagai kumpulan kawalan. Eksperimen dijalankan selama enam bulan dan diadakan di rumah peserta di mana konsol permainan dan piano disediakan oleh pasukan penyelidik. Keputusan sama diraih selepas enam bulan di mana wujud pertambahan jirim kelabu pada hipokampus dan serebelum pada peserta kumpulan pertama serta meningkatkan ingatan jangka pendek.
7. PENGHILANG KESAKITAN
Satu kajian yang diterbitkan dalam American Journal of Preventive Medicine 2012 mendapati permainan video sebenarnya boleh memulihkan kesihatan 195 pesakit dari pelbagai cabang dari terapi fizikal hingga psikologi. Dua tahun sebelumnya, satu kajian yang dibentangkan pada persidangan Persatuan Kesakitan America (American Pain Society) mendapati bermain permainan video terutama realiti maya amat berkesan mengurangkan masalah kebimbangan atau kesakitan kronik yang tercetus akibat penyakit kronik atau prosedur perubatan. Menurut Jeffrey Gold dari Universiti California Selatan mendapati apabila pemain fokus pada sesebuah permainan, mereka tidak akan fokus pada kesakitan atau prosedur perubatan. Sementara permainan realiti maya pula membantu merangsang pelbagai deria termasuk deria penglihatan.
8. PERHUBUNGAN SOSIAL
Tuduhan bermain permainan video boleh menyebabkan pemain suka bersendirian sesuatu yang disifatkan radikal. Peningkatan permainan pelbagai pemain dalam pelbagai platform termasuk secara dalam talian sebenarnya membuka ruang kepada aktiviti bersosial sesama pemain. Ini kerana dalam platform sebegini, pemain-pemain bukan saja perlu bekerjasama tetapi juga memerah otak dalam mencari penyelesaian bersama-sama. Permainan sebegini memerlukan tumpuan dan koordinasi yang baik bagi memastikan pemain-pemain ini menang dalam senario yang dihadapi. Kajian turut mendedahkan pemain-pemain ini sebenarnya meningkatkan lagi peluang bertemu di dunia sebenar. Statistik menunjukkan 70% pemain bermain bersama rakan-rakan mereka.
9. MENGURANGKAN SIMPTOM SKLEROSIS BERBILANG (MS)
Kebanyakan kajian pesakit Sklerosis Berbilang mendapati permainan video yang membabitkan pergerakan fizikal membantu meningkatkan keseimbangan pesakit. Menurut Luca Prosperini, seorang pakar neurologi dari Universiti Sapienza, Rom memberitahu permainan sebegini meningkatkan keseimbangan pada pergerakan pesakit. Namun jika ia tidak diteruskan, kelebihan sebegini akan hilang berikutan perubahan struktur otak atau memerlukan ia dipelajari semula untuk mendapatkan kemahiran itu. Menurut Prosperini, kajian ini tidak terhad kepada pesakit MS sahaja. Ini boleh diaplikasikan pada pesakit palsi serebrum, Parkinson, autisme dan kecederaan trauma otak.
Selain itu, pesakit MS yang aktif bermain permainan penembak orang pertama seperti Call of Duty, Battlefield dan Counter Strike didapati boleh meningkatkan kemahiran motor mereka dari segi ketepatan, kelajuan, penyasaran dan ketangkasan walaupun dia tidak pernah bermain permainan sebegini. Kajian tahun 2013 ini diterbitkan dalam jurnal Advances in Experimental Medicine and Biology.
10. MENGHENTIKAN TABIAT BURUK
Jika anda ada menghadapi masalah ketagihan sama ada makan terlampau banyak, ketagihan merokok atau alkohol, jangan risau. Jika anda ada rasa ketagihan sedemikian, pilihlah alat kawalan konsol atau komputer. Ini berdasarkan satu kajian bersama oleh Universiti Brown, Persatuan Kanser Amerika dan Universiti Stony Brown pada tahun 2014. Dalam kajian tersebut, mereka mendapati perokok yang mengalami ketagihan boleh mengurangkan ketagihan dengan bermain permainan dua individu atau selesaikan teka-teki bersama pasangan atau orang tersayang. Mengapa ianya boleh menjadi? Pengimejan MRI pada pasangan-pasangan yang bermain permainan sebegini mendapati ia mengaktifkan pusat ganjaran sama dalam otak sama seperti nikotin. Kebanyakan permainan kasual yang kita main seperti Candy Crush direka untuk menawarkan ganjaran berterusan bila menyelesaikan sesebuah cabaran. Jadi jika anda ada rasa ketagih, beri ganjaran kepada diri anda dengan bermain permainan sebegini.
11. PELEGA STRES
Satu kajian yang dibuat oleh Universiti Texas A & M yang dijalankan oleh Profesor Madya Dr Christopher J. Ferguson menunjukkan lelaki dan wanita yang suka bermain permainan video aksi jangka panjang dilihat mempunyai kemahiran mental untuk mengendalikan stres, tidak mudah murung dan tidak cepat marah semasa menghadapi tugasan yang mengecewakan. Permainan sebegini menurut Ferguson turut dilihat berpotensi sebagai terapi untuk membantu orang ramai mengendalikan kekecewaan mereka dalam dunia sebenar.
Selain itu, satu kajian dari University College, London pada tahun 2014 turut mendedahkan permainan video FPS ini membantu pemain memulihkan semula keadaan mental mereka selepas seharian bekerja atau belajar. Dan ia amat membantu pemain mengendalikan stres dengan lebih baik untuk hari seterusnya. Dan ia bukan saja terpakai pada kanak-kanak dan remaja tetapi juga boleh diaplikasikan kepada semua lapisan umur.
SUMBER
1. Handwerk, Brian. (2009). National Geographic News. Video Games Improve Vision, Study Says. https://news.nationalgeographic.com/news/2009/03/090329-video-game-vision.html
2. BBC. (2013). Video games ‘help reading in children with dyslexia’. http://www.bbc.com/news/health-21619592
3. Bennington-Castro, Joseph. (2015). Everyday Health. 6 Ways Video Games May Improve MS Symptoms. https://www.everydayhealth.com/multiple-sclerosis/symptoms/ways-video-games-may-improve-ms-symptoms/
4. Dube, Ryan. (2015). Make Use Of. Science Proves That Playing Video Games Reduces Your Stress. https://www.makeuseof.com/tag/video-game-stress-reduction-need-start-playing-right-now/
5. Bowler, Jacinta. (2017). Science Alert. 6 Scientific Benefits of Playing Videogames. https://www.sciencealert.com/6-scientific-benefits-of-playing-videogames
6. Mental Floss. (2018). 15 Surprising Benefits of Playing Video Games. http://mentalfloss.com/article/65008/15-surprising-benefits-playing-video-games
7. Specktor, Brandon. Reader’s Digest. 8 Reasons Video Games Might Just Be Better for You Than Books. https://www.rd.com/health/wellness/health-benefits-of-video-games/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih