Dalam setiap empayar Islam, pasti akan wujud khalifah yang alim dan khalifah yang kejam. Antara khalifah alim yang paling kita kenali adalah Umar Bin Abdul Aziz. Tapi ada seorang khalifah ni memiliki kedua-dua sifat iaitu alim dan kejam. Kealimannya boleh membuatkan ramai orang terpesona. Kekejamannya bikin kita jadi terkedu.
Siapakah khalifah tersebut?
Baginda adalah Abdul Malik Bin Marwan yang menjadi khalifah kelima bagi dinasti Umayyah. Ketika muda, baginda sangat tekun mempelajari ilmu agama. Malah baginda juga pernah berguru dengan sahabat Rasulullah S.A.W seperti Abdullah Bin Umar, Abu Hurairah, dan Abu Sa’id Al-Khudri. Abdul Malik Bin Marwan juga sempat berguru dengan Khalifah Uthman Bin Affan.
Dari segi keperibadian pula, Abdul Malik Bin Marwan dikenali sebagai seorang yang zuhud, berilmu dan suka bersedekah. Dikatakan ketika itu tiada yang lebih dermawan selain daripada Abdul Malik Bin Marwan di Madinah. Ketekunannya dalam menuntut ilmu juga membuatkan baginda diangkat sebagai ulama fiqh.
Walau bagaimanapun semua itu berubah apabila baginda mula menjadi khalifah dan berperang dengan sahabat Rasulullah S.A.W iaitu Abdullah Zubair. Sikap dan perwatakan Abdul Malik Bin Marwan terus berubah dengan ketara dan menjadi agak kejam.
Persoalannya macam mana semua ini boleh terjadi?
Selepas sahaja Husayn Bin Ali terkorban dan pelantikan Yazid Bin Muawiyah sebagai khalifah Bani Umayyah yang kedua, Abdullah Bin Zubair telah bangkit untuk mempertahankan pelantikan khalifah menggunakan sistem syura. Penyerahan kuasa secara turun temurun dianggap menyalahi tradisi Islam.
Masyarakat Mekah juga tidak berpuas hati dengan kematian Husayn Bin Ali ditangan pemerintah Bani Umayyah. Sebagai balasan, Abdullah Bin Zubair telah dibaiah sebagai khalifah pengganti Muawiyah Bin Abu Sufyan. Dalam masa yang singkat, hampir keseluruhan Semenanjung Arab turut membaiah Abdullah Bin Zubair sebagai khalifah.
Bagi memastikan dinasti Umayyah terus berkuasa, Yazid Bin Muawiyah telah menghantar tentera untuk menakluk Madinah dan Mekah. Madinah dengan mudah jatuh ke tangan tentera Umayyah. Tapi Mekah liat sikit sebab tentera Umayyah perlu kepung dalam masa yang agak lama.
Sayangnya ketika pengepungan itu berlaku, Yazid Bin Muawiyah telah mangkat. Hal ini lantas membuatkan tentera Umayyah segera kembali ke Damsyik. Tampuk pemerintah diambil alih oleh Muawiyah II Bin Yazid. Visi baginda tidak sama seperti bapanya sebab Muawiyah II mahu menamatkan perang lebih awal.
Muawiyah II tarik semua tentera di Madinah dan Mekah ke Damsyik semula. Baginda juga terus mengumumkan genjatan senjata dengan Abdullah Bin Zubair. Malah turut menjanjikan jawatan khalifah kepada Abdullah Bin Zubair kerana baginda tidak miliki anak lelaki.
Selepas sahaja Muawiyah II mangkat, berlaku kekosongan kuasa dalam empayar Islam. Sebab Muawiyah II tiada waris yang sah dan baginda tidak mewasiatkan jawatan khalifah kepada sesiapa pun kecuali Abdullah Bin Zubair. Masyarakat Islam pun dengan mudah membaiah Abdullah Bin Zubair sebagai khalifah baru.
Tapi Bani Umayyah sangat tidak bersetuju dengan pelantikan tersebut lantas menyeru Marwan Bin Al-Hakam menjadi khalifah Umayyah keempat. Padahal baginda baru sahaja mahu mengiktiraf Abdullah Bin Zubair sebagai khalifah yang baru.
Baginda terus menakluk Syria dan Mesir daripada tangan Abdullah Bin Zubair. Belum sempat untuk kembalikan empayar Islam kepada Bani Umayyah, Marwan Bin Al-Hakam telah mangkat.
Tempatnya telah diganti oleh Abdul Malik Bin Marwan yang sangat terkenal dengan kewarakkan dan ketinggian ilmu. Mungkin ada yang anggap baginda akan segera menghentikan perang tetapi tidak. Sebab baginda meneruskan apa yang dilakukan oleh bapanya.
Dalam masa yang singkat beberapa kawasan dalam empayar Islam telah jatuh ke tangan Bani Umayyah semula. Hal ini membuatkan wilayah kekuasaan Abdullah Bin Zubair yang merangkumi Semenanjung Arab sahaja. Apa yang Abdul Malik bin Marwan buat ni bikin semakin ramai orang Islam terbunuh dan berperang sesama sendiri. Baginda tak peduli semua ni, asalkan Bani Umayyah muncul sebagai pemerintah yang tunggal.
Disebabkan Abdullah Bin Zubair masih lagi mampu bertahan, Abdul Malik Bin Marwan telah menghantar tentera untuk menakluk seluruh Semenanjung Arab. Cara itu berjaya dan tinggal Mekah yang masih belum berada dalam kekuasaan Bani Umayyah.
Abdul Malik Bin Marwan pun hantar tentera yang diketuai oleh Al-Hajjaj ibn Yusuf untuk menakluk Mekah. Kali ni caranya beza sikit sebab Abdul Malik Bin Marwan minta Al-Hajjaj berunding dengan Abdullah Bin Zubair dan jangan sesekali menumpahkan darah di Mekah.
Masalahnya Abdullah Bin Zubair terlalu degil dan tidak mahu menyerah kalah walapun sudah dikepung begitu lama. Di atas perkenan Abdul Malik Bin Marwan, Al-Hajjaj telah menyerang Abdullah Bin Zubair bertubi-tubi. Akhirnya dia dan ramai penyokongnya terbunuh.
Maka tamatlah pertelingkahan panjang di dalam empayar Islam dan Abdul Malik Bin Marwan dianggap sebagai satu-satunya khalifah bagi umat Islam. Setelah itu empayar Islam telah berkembang dengan pesat dan sangat maju.
Dekat sini walaupun nampak Bani Umayyah dan Abdul Malik Bin Marwan ni kejam, apa yang mereka buat ada asas. Sebab hanya kestabilan kuasa sahaja mampu selamatkan empayar Islam. Untuk Abdullah Bin Zubair, dia pun ada asas. Sebab Bani Umayyah tidak lagi amalkan sistem syura.
Apa-apapun jadilah baik dan jahat pada tempat yang betul.
RUJUKAN:
DWD. (2013, November 26). Islamic History, Part 15: the Second Fitna (680-692) and, finally, some stability. The Foreign Exchanges Companion. Dipetik daripadahttps://fx-companion.com/2013/11/26/islamic-history-part-15-the-second-fitna-680-692-and-finally-some-stability/
Study Smarter. (n.d). Abd Al-Malik. Dipetik daripada https://www.studysmarter.co.uk/explanations/history/spread-of-islam/abd-al-malik/
Study Smarter. (n.d). Second Fitna. Dipetik daripadahttps://www.studysmarter.us/explanations/history/spread-of-islam/second-fitna/
The Saylor Foundation. (n.d). The Umayyads: The first Muslim dynasty. Dipetik daripadahttps://resources.saylor.org/wwwresources/archived/site/wp-content/uploads/2012/10/HIST101-9.2-Umayyads-FINAL1.pdf
Zulkifli Al-Bakri. (2022, Disember 7). Khalifah Abdul Malik Bin Marwan : Ulama dan khalifah umat Islam. Dipetik daripadahttps://zulkiflialbakri.com/khalifah-abdul-malik-bin-marwan-ulama-dan-khalifah-umat-islam/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih