Entah kenapa orang Mongol zaman dulu sering menjadikan raja atau pemerintah pihak musuh yang kalah per.ang di tangan mereka sebagai tawanan pe.rang. Mungkin kerana Mongol terikat dengan larangan menumpahkan darah keturunan raja.

Empayar Turki Uthmaniyah pernah terkenal dengan konflik bersejarah mereka dengan Empayar Timuriyyah yang berkemuncak dengan kekalahan Uthmaniyah dalam Pertempuran Ankara. Ia melibatkan tentera Uthmaniyah di bawah Sultan Bayezid I menentang tentera Timuriyyah di bawah Amir Timur.

Pertempuran ini sangat penting, kerana berikutan kekalahan Uthmaniyah dalam pertempuran ini, Sultan Bayezid I ditangkap dan dijadikan tawanan per.ang Amir Timur hingga baginda menemui ajalnya semasa berada dalam tawanan. Empayar Uthmaniyah dijadikan kerajaan bawahan Timuriyyah.

Berikutan dari kematian Sultan Bayezid, Empayar Uthmaniyah terjebak dalam vakum kuasa yang mengakibatkan empayar tersebut wujud tanpa pemerintah yang sah selama 10 tahun kerana perang saudara melibatkan para putera Bayezid yang berebut takhta berlangsung sepanjang tempoh itu.

Itu cerita di Turki. Manakala ketamadunan China juga turut mengalami hal yang hampir serupa, Dinasti Ming turut menghadapi musuh yang ada kaitan dengan keturunan Genghis Khan dalam sejarahnya.

Walaupun Amir Timur bukan keturunan Mongol yang tulen, tetapi dia berkahwin dengan wanita dari keturunan langsung keluarga emas Mongol atau keturunan Genghis Khan untuk mengabsahkan dirinya sebagai pemerintah Mongol.

Amir Timur adalah seorang yang berdarah Turki, Parsi dan Mongol, dan dia berasal dari klan bangsawan Barlas Timur. Kerana itulah dia tidak boleh memakai gelaran Khan seperti keturunan Borjigin, para pemerintah Empayar Timuriyyah menggunakan gelaran Amir, Mirza, dan Sultan.

Pada tahun 1449, Maharaja Zhentong yang baru berusia 21 tahun diyakinkan oleh penasihatnya, Wang Zhen, agar baginda mengepalai bala tentera Ming secara peribadi untuk menentang tentera Mongol semasa Krisis Tumu di sempadan Ming-Yuan Utara (China-Mongolia moden).

Walaupun ketika itu Mongol bukan lagi kuasa besar seperti zaman kebangkitannya sebelum itu, namun Maharaja Zhentong kalah teruk di tangan tentera Dinasti Yuan Utara (Mongol) dalam Pertempuran Tembok Tumu (sebahagian daripada Krisis Tumu).

Krisis Tumu merupakan pertikaian sempadan yang melibatkan Dinasti Ming dengan Dinasti Yuan Utara yang dipisahkan oleh Tembok Besar China setelah sekian lama pemerintahan bangsa Mongol di China ditumbangkan oleh Dinasti Ming dan orang-orang Mongol diusir kembali ke Mongolia.

Dalam pertempuran antara yang paling memalukan dalam sejarah China itu, tentera Ming dengan kekuatan setengah juta tentera dibawah perintah Zhentong dimusnahkan oleh tentera Mongol di bawah komander bernama Esen Taishi yang dianggar hanya sekitar 20,000 pasukan tentera berkuda.

Seluruh saki baki pegawai, tentera, menteri, petugas istana dan para penasihat yang masih ada termasuklah Wang Zhen, kesemuanya disembelih oleh tentera Esen Taishi, dengan mengecualikan Maharaja Zhentong sahaja.

Berikutan kekalahan itu, Maharaja Zhentong dijadikan tawanan pe.ra.ng oleh pihak musuh, berita ini telah menggegarkan seluruh Empayar Ming, dan krisis ini nyaris-nyaris menyebabkan Dinasti Ming yang diasaskan bangsa Han itu berkemungkinan akan runtuh sekali lagi.

Namun semua itu mungkin hanya akan berlaku jika seorang menteri yang mentadbir wilayah pemerintahan Ming yang bernama Yu Qian tidak bangkit mempertahankan ibu kota Ming dengan menentang kemaraan tentera Mongol dari gagasan Empat Suku Oirat.

Walaupun Maharaja Zhentong berada di dalam tahanan pihak musuh, baginda bergaul dan berkawan baik dengan Taisun Khan, Khan Agung yang memerintah Dinasti Yuan Utara ketika itu dan penasihat agungnya (taishi) Esen Taishi, orang yang bakal menggulingkan Taisun Khan tidak lama lagi.

Sementara itu, bagi meredakan kepanikan rakyat di China, adik lelaki Zhentong yang bernama Zhu Qiyu dilantik sebagai maharaja dengan memakai gelaran Maharaja Jingtai. Ini mengurangkan status diraja Zhentong dan dia diberi gelaran Taishang Huangdi (emeritus maharaja).

Maharaja Zhentong akhirnya dibebaskan setahun kemudian pada tahun 1450, tetapi apabila dia kembali ke China, dia segera dikenakan tahanan rumah oleh adiknya sendiri selama hampir tujuh tahun.

ia ditempatkan di bawah kawalan ketat di dalam istana selatan Kota Terlarang, dan segala hubungan komunikasi dia dengan orang luar akan dihalang oleh Maharaja Jingtai.

Putera sulung bekas Maharaja Zhentong, yang sepatutnya bakal menaiki takhta sebagai Maharaja Chenghua, dilucutkan gelaran putera mahkota dan digantikan oleh anak Maharaja Jingtai sendiri.

Tindakan keji ini amat mengecewakan Zhentong, tetapi pewaris takhta terbaru yang merupakan anak Maharaja Jingtai itu tiba-tiba meninggal dunia tidak lama kemudian.

Kerana terlalu sedih, Maharaja Jingtai jatuh sakit, dan bekas maharaja, Zhentong memutuskan untuk menggulingkan adiknya melalui rampasan kuasa istana.

Zhentong berjaya merebut kembali takhtanya lalu menukarkan nama gelaran dan eranya kepada yang baru iaitu Maharaja Tianshun (Kepatuhan kepada Syurga) dan terus memerintah Dinasti Ming selama tujuh tahun lagi.

Maharaja Jingtai diturunkan status dirajanya menjadi Pangeran Cheng dan dikenakan tahanan rumah sebelum tiba-tiba meninggal dunia, dipercayai dibu.nuh.

Setahun kemudian di Mongolia atau Dinasti Yuan Utara, Esen Taishi yang tidak layak memerintah kerana dia bukan dari keturunan klan Borjigin mahupun berdarah keturunan Genghis Khan, telah bertikam lidah mengenai isu pewarisan takhta dengan Taisun Khan.

Pada tahun 1453, selepas mengalahkan se.rangan ofe.nsif pasukan pengawal Taisun Khan, Esen Taishi mengisytiharkan dirinya sebagai Khan Agung untuk Empayar Yuan Agung selepas Taisun Khan terbu.nuh. Kemudian beliau melancarkan s.eran.gan terhadap Transoxiana, Tashkent dan Moghulistan.

Namun Esen Taishi mati dibun.uh tidak lama kemudian. Legasi Esen Taishi akan berlanjutan sehingga melahirkan suku Dzungar, salah satu suku Mongol di bawah cabang Mongol Oirat, yang akan pupus beberapa abad kemudian selepas dibantai pada skala yang besar oleh tentera Dinasti Qing.

Apakah persamaan di antara Pertempuran Ankara dengan Krisis Tumu? Kedua-duanya dimenangi oleh pemerintah yang ada kaitan dengan keturunan Mongol secara langsung atau tidak langsung. Kesan dari vakum kuasa Uthmaniyah dan Ming, mereka terpaksa menghadapi era perebutan kuasa.

 

Walaupun Sultan Bayezid I dan Maharaja Zhentong menjadi tawanan pe.ra.ng, kedua-dua pemerintah Turki dan China ini menerima layanan yang baik dari musuh masing-masing.

Kedua-dua peristiwa ini nyaris-nyaris menyebabkan Empayar Uthmaniyah dan Dinasti Ming mengalami kejatuhan sepenuhnya. Jarak garis masa kedua-dua peristiwa ini hanya berbeza sekitar 50 tahun saja.

Apa yang berbeza adalah, Sultan Bayezid I dan Maharaja Zhentong dijadikan tawanan per.a.ng, namun hanya Maharaja Zhentong saja yang tidak mati dalam tahanan.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.