Zaman bersilih-ganti. Manusia juga datang dan pergi. Namun, generasi demi generasi – bermula daripada pertama sehingga terakhir – manusia masih tetap dibumbungi langit yang sama. Dicahayai bulan dan matahari yang sama. Dan dipandu oleh gugusan bintang yang sama.

Apa yang berbeza, adalah hasil cerapan ke atasnya yang berkembang dari semasa ke semasa, meliputi berbagai lapangan dan tujuan – baik dalam menerangkan bagaimana ia diciptakan, bagaimana ia membuktikan kekuasaan tuhan, dan bagaimana ia diadun menjadi identiti ketamadunan.

Tamadun-tamadun purba juga tidak ketinggalan dalam aktiviti pencerapan sebegini dan ia jelas kelihatan dalam mitos yang dititipkan oleh mereka. Justeru, artikel ingin berkongsi tentang mitos kejadian alam menurut tiga bangsa, iaitu Maori (New Zealand), Visaya (Filipina), dan Aztec (Mexico).

MAORI (NEW ZEALAND)

Kosmologi Maori dimulai dengan Te Kore. Yakni, keadaan alam semesta yang serba kekosongan. Dalam kekosongan tersebut, muncul sepasang dewa azali bernama Ranginui (si Bapa Langit) dan Papatuanuku (si Bonda Bumi).

Kedua-duanya kemudian saling bercantum (berdakapan). Akibatnya, alam yang tadi kosong kini diselubungi kegelapan – yakni tiada cahaya, tiada udara. Keadaan ini cuba diubah oleh tujuh dewa generasi kedua. Dengan pimpinan Tane-mahuta, Rangi lantas ditolak ke atas menjadi langit manakala Papa dijunam menjadi bumi.

Lalu buat pertama kalinya, alam semesta diterangi cahaya. Segala jenis hidupan juga mula diciptakan, dengan dewa-dewa tadi mewakili setiap elemen yang ada di muka bumi.

Tane-mahuta mencipta hutan, burung, dan manusia; Tumatauenga mengasuh cara hidup di dunia; Tawhirimatea mewakili segala cuaca (termasuk ribut, petir, dan angin); Tangaroa-whakamau-ta mencipta hidupan samudera; Ruaumoko mewakili bencana (gempa dan gunung berapi); Haumia-tiketike menyuburkan teratai, kunyit, dan halia; dan Rongo-ma-Tana pula melimpahi ubi dan tumbuhan semacamnya.

Perpisahan Rangi dan Papa menjadi titik mula perkembangan alam semesta dalam mitos Maori

Namun, dalam kalangan tujuh beradik dewa, ada satu yang meratapi perpisahan Rangi dan Papa. Namanya Tawhirimatea, si dewa cuaca.

Sebelum mengangkat sumpah untuk pe.rangi enam beradiknya, Tawhiri sempat mengorek kedua biji matanya. Bukan untuk dihadiahkan sebagai Sharingan. Tetapi untuk dilemparkan ke langit, lalu berubah menjadi buruj Matariki (buruj Pleiades) yang menjadi penanda Tahun Baru bagi masyarakat Maori.

Tindakan Tawhiri itu ditafsir sebagai permulaan pe.rang. Seperti Clash of Titans dalam mitos Yunani, episod penciptaan alam bagi Maori juga menyaksikan pertem.puran dahsyat berlaku sesama dewa – suatu proses yang membentur-bentuk muka bumi sehingga jadi seperti apa yang kita kenali hari ini.

Pertem.puran tersebut melihatkan ribut (Tawhiri) berputar ganas lalu membakar hutan (Tane-mahuta), melanggar lautan (Tangaroa), dan menggegar daratan (Ruaumoko). Sampaikan segala khazanah alam (Rongo dan Haumia) lari bersembunyi ke dalam perut bumi (Papa).

Satu-satunya yang teguh menahan amukan Tawhiri ialah Tumataungea. Segala se.rangan ditampan Tumataungea, membuatkan Tawhiri berhenti lalu menamatkan pepe.rangan.

Sebagai hu.kuman di atas kekalahan, Tumataungea kemudian menjadikan kelima-lima beradiknya sebagai santapan umat manusia – haiwan dibu.ru, ikan ditang.kap, tumbuhan dituai, dan pepohonan ditebang.

Di tangan Tumatauenga juga, seni mandiri dikembangkan. Cangkul dicipta. Jerat diperkenal. Api pemanggang dinyala. Segala pengetahuan ini menyumbang kepada mutu kehidupan manusia, sekali gus membolehkan mereka bercambah melahirkan keturunan yang lebih ramai.

Penciptaan Hineahuone, wanita pertama, oleh Tane-mahuta

Namun, hukuman Tumatauenga itu juga mengakibatkan percakaran berlaku sesama dewa. Dek marahkan hutan kerana membekalkan kayu-kayan untuk dibuat kanu dan cangkuk penang.kap ikan, habis daratan ditenggelami laut. Gunung pula menghamburkan laharnya dek mengenangkan khazanah yang digali dari perut bumi.

Bagi Maori, senario sebegini menjadi musabab kepada berbagai benc.ana alam yang menimpa dunia dari semasa ke semasa sehinggalah akhir masa.

VISAYA (FILIPINA)

Ribuan tahun lampau, dunia masyarakat Visaya di Filipina cuma terbina daripada lautan luas di bawah dan langit tinggi di atas. Masing-masing ditadbir oleh dewi Maguayan dan dewa Kaptan. Saat itu, alam belum lagi mengenali matahari, bulan, bintang, mahupun daratan. Apa yang ada hanya laut dan langit.

Penciptaan bermula apabila puteri Maguayan (bernama Lidagat) dan putera Kaptan (bernama Lihangin) saling berkahwin. Lalu, lahir tiga putera dan seorang puteri bernama Likalibutan (berbadan batu dan perkasa), Liadlao (berbadan emas dan ceria), Libulan (berbadan tembaga dan nirmaya), dan Lisuga (berbadan perak dan jelita).

Susulan pemergian Lidagat dan Lihangin, keempat-empat mereka mentadbir angin. Dalam kalangan mereka, Likalibutan adalah yang paling dominan. Namun, sedominan apa pun Likalibutan, dia tetap tunduk kepada keangkuhan.

Sikalak dan Sikabay, pasangan manusia pertama yang lahir dari batang buluh dalam mitos Visaya (Tagalog pula menamakan mereka sebagai Malakas dan Maganda

Dek dahagakan kuasa, dia cuba mencabar Kaptan. Dua beradik lain turut dira.cun supaya ikut serta. Lantas, mereka pun naik ke langit. Pintunya digoncang dengan angin kencang, sampai run.tuh dibuatnya.

Namun, belum sempat melangkah masuk lebih jauh, mereka dipamit Kaptan di pintu langit. Serta-merta, tiga panahan petir dilepaskan sekali gus mengakibatkan mereka melebur dan berkecai. Lisuga yang tidak tahu-menahu juga kemudiannya naik ke langit, dengan niat mencari abang-abangnya yang hilang. Tetapi malang. Dia pun ikut dipanah.

Kaptan kemudian turun ke laut, cuba menye.rang Maguayan yang disangkakan sebagai dalang. Mujur, jurus pujukan Maguayan berhasil meredakan amukan Kaptan. Amarahnya berganti kesal. Namun, kesal semata takkan pernah dapat mengubati kesilapan fatal. Nasi sudah jadi bubur. Empat cucunya sudah hancur lebur.

Bagi menebus silapnya, Kaptan melimpahi jasad mereka dengan cahaya. Dengan itu, jasad samawi pun lahir – Liadlao yang berbadan emas menjadi matahari, Libulan yang berbadan tembaga menjadi bulan, dan Lisuga yang berbadan perak menjadi bintang bergemerlapan.

Kurniaan ini bagaimana pun dikecualikan buat Likalibutan. Jasadnya dijadikan kepulauan. Di atasnya, manusia menjalani kehidupan. Dalam mitos kaum Visaya, manusia dikatakan berasal dari sebatang pokok buluh yang ditanam oleh Maguayan di atas salah sebuah pulau berkenaan.

Pasangan manusia pertama bernama Sikalak (lelaki) dan Sikabay (perempuan). Mereka mempunyai anak bernama Libo (sulung), Saman (perempuan), dan Pandaguan (bongsu). Di antara tiga beradik ini, Pandaguan paling pintar.

Dialah yang memperkenalkan perang.kap ikan. Ikan pertama yang ditang.kapnya ialah yu besar. Dek kerana besar dan kekarnya badan yu itu, Pandaguan memujanya dan meminta seluruh manusia untuk ikut memujanya.

Panduagan mengingkari tuhan dengan memuja yu tangkapannya

Pemujaan tersebut mengundang kemarahan dewa-dewi, terutama Kaptan. Manusia lantas diperintahkan supaya melempar semula yu itu ke dalam lautan dan kembali memuja mereka – hanya mereka.

Semua manusia akur, kecuali Pandaguan. Dengan angkuh, Pandaguan mengaku lebih berkuasa berbanding tuhan. Katanya, kalau yu yang sebesar Kaptan itu pun boleh ditang.kapnya, tentu dewa-dewi pun boleh diayam-ayamkannya.

Lantaran itu, Pandaguan pun serta-merta disambar petir. Cuma mujur, petir kali ini kecil. Sebab Kaptan sekadar berniat memberi pelajaran, bukan mema.tikan. Manusia-manusia lain pun diberi pelajaran.

Mereka ditebarkan ke serata dunia. Sampaikan bumi dipenuhi keturunan mereka, dengan masing-masing mempunyai warna kulit berbeza – keturunan Pandaguan berkulit hitam dek disambar petir; keturunan anak sulungnya, Aryon berkulit putih kerana berhijrah ke utara; keturunan Libo sawo matang kerana berpindah ke selatan; manakala warna kulit keturunan Saman pula kekuningan disebabkan makan tanah liat ketika berpindah ke timur.

AZTEC (MEXICO)

Masyarakat Aztec meyakini yang alam semesta dimulai dengan kewujudan Omecihuatl, sepasang dewa azali. Si dewa bernama Ometecuhtli (atau Tonacetecuhtli) dan si dewi pula dinamai Omecihuatl (Tonacacihuatl).

Kedua-duanya kemudian melahirkan empat dewa lain, iaitu Huitzilopochtli, Quetzalcoatl, Tezcatlipoca, dan Xipe Totec. Masing-masing mewakili empat mata angin – selatan, timur, barat, dan utara. Mereka ini semua bersemayam di langit ke-13, yakni langit tertinggi dalam kosmologi Aztec.

Setelah berlalu 600 tahun, dunia dan segala isinya pun mula dicipta. Antara hal pertama yang dicipta ialah lautan kosmik. Lautan ini memenuhi alam yang ketika itu masih serba kekosongan. Di dalam laut tersebut kemudian diletakkan seekor ikan-buaya besar bernama Cipactli.

Namun, Cipactli ini sifatnya rakus. Habis segala ciptaan lain dimakannya. Jadi, ia pun dikor.bankan. Bang.kainya digunakan untuk membentuk semesta. Kepala Cipactli dijadikan lapisan-lapisan langit sehinggalah lapisan ke-13. Badannya pula mewadahi bumi. Manakala ekornya menempatkan sembilan lapis neraka (disebut sebagai Mictlan dan diperintah oleh Mictlantecuhtli dan Mictecacihuatl).

Ilustrasi pertarungan antara Quetzalcoatl dan Cipactli

Lalu di atas muka bumi diciptakan sepasang manusia. Si suami bernama Cipactonal. Temannya pula bernama Oxemoco. Mereka dikurniakan zuriat lelaki bernama Piltzintecuhtli. Anak ini kemudian dipasangkan dengan wanita yang diciptakan dari rambut dewi Xochiquetzal. Keturunan mereka inilah yang mula-mula memenuhi bumi.

Namun sebelum menciptakan manusia, matahari terlebih dahulu diwujudkan. Cuma, cahayanya kurang galak. Maka, Tezcatlipoca sebagai yang paling dominan antara empat beradiknya pun mengubah diri menjadi matahari. Lantas, bermulalah zaman Matahari Pertama.

Dalam kepercayaan Aztec, mereka berpegang pada konsep kitaran alam – sama seperti tamadun Maya, India, dan Norse. Dalam konsep ini, mereka meyakini yang alam semesta mengalami proses penciptaan (genesis) dan kehan.curan (kiamat) secara berulang.

Bagi Aztec, manusia pada hari ini hidup pada zaman Matahari Kelima. Erti kata lain, sudah ada empat zaman yang berlalu. Dalam setiap zaman, akan ada dewa yang wakilkan diri menjadi matahari – yakni sumber tenaga yang menyuluhi alam semesta.

Pada zaman Matahari Pertama, dewa tersebut ialah Tezcatlipoca. Zaman ini berpanjangan selama 676 tahun dan dicirikan oleh penciptaan gergasi. Kesemua gergasi ini bagaimana pun pu.pus dimakan harimau kumbang jelmaan Tezcatlipoca. Ia berlaku selepas dia dihum.ban oleh Quetzalcoatl dalam perga.duhan antara mereka berdua.

Setelah habis kesemua gergasi tadi dimakan, Tezcatlipoca naik semula ke langit dan menjadi buruj Beruang Besar (Ursa Major). Tugas menjadi matahari diganti oleh Quetzalcoal, sekali gus memulakan zaman Matahari Kedua. Pada zaman ini, manusia sekali lagi diciptakan. Kali ini dengan saiz biasa.

Namun, ciptaan itu pun pu.pus dek manusia berubah menjadi monyet. Dalam satu versi, ia berlaku kerana keing.karan manusia itu sendiri. Sebagai hu.kuman, tuhan mengirim angin yang mengubah mereka menjadi monyet. Dalam versi kedua pula, ia berlaku hasil perga.duhan Quetzalcoatl dan Tezcatlipoca. Ketika melepaskan am.uknya, Quetzalcoatl memba.dai bumi dengan angin dan banjir. Ramai manusia jadi kor.ban. Mana yang terselamat pula terpaksa panjat pokok tinggi, dan lama-kelamaan, mereka berevolusi menjadi monyet.

Rumusan mitos penciptaan alam Aztec

Setelah berlalu 676 tahun, zaman kedua pun berakhir dan diganti oleh zaman ketiga. Kali ini, alam ditadbir oleh Tlaloc selama 364 tahun. Ia kali pertama alam tidak diperintah oleh dewa generasi kedua. Tlaloc bukanlah anak Omecihuatl. Dia dicipta oleh Quetzalcoatl dan tiga beradik lain sebagai dewa hujan.

Pada zaman tersebut, kisah kiamatnya juga hadir dalam dua cerita. Cerita pertama, ia han.cur akibat hujan api yang ditimpakan oleh Quetzalcoatl. Cerita kedua pula, ia mus.nah di tangan Tlaloc sendiri. Puncanya, isteri Tlaloc yang bernama Xochiquetzal dicu.lik oleh Tezcatlipoca. Jadi, Tlaloc pun meratap, merajuk, dan enggan menurunkan hujan. Sampailah bumi jadi tandus dan hangus dibakar hujan api. Manusia-manusia pada zaman ini semuanya berubah menjadi burung dan unggas.

Alam kemudian beralih ke zaman Matahari Keempat. Usianya antara 312 atau 676 tahun, bergantung versi. Zaman ini ditadbir oleh adik merangkap isteri kedua Tlaloc, bernama Chalchiuhtlicue. Pada zaman tersebut, manusia mula pandai menanam dan memakan jagung. Sebelum itu, mereka hanya hidup dengan kacang pain dan sayuran laut. Ini mengisyaratkan yang keadaan di bumi makin makmur dan subur.

Namun, keadaan tersebut dicemburui Tezcatlipoca dan Quetzalcoatl. Lantas, Chalchiuhtlicue pun dihumban. Langit run.tuh. Hujan pun gugur tanpa henti. Sampaikan teruk bumi digenangi banjir. Manusia-manusia yang lemas habis berubah menjadi ikan.

Bagi mengangkat semula langit yang run.tuh, Quetzalcoatl dan Tezcatlipoca berubah menjadi dua pohon besar. Ia berupaya menampung langit sehingga kembali ke kedudukan asalnya. Setelah itu, mereka berdua diangkat ke semesta oleh Ometecuhtli untuk menjadi pentadbir bintang-bintang di Bimasakti.

Pada zaman kelima, alam sempat mempunyai dua matahari. Ini kerana Tecuciztecatl yang menawarkan diri untuk jadi matahari menarik diri. Tempatnya kemudian digantikan oleh Nanahuatzin. Dek berasa malu, Tecuciztecatl pun ikut jadi matahari.

Namun, kewujudan dua matahari terlalu keterlaluan buat penghuni bumi. Jadi, dewa-dewi Aztec pun cuba mengelamkan cahaya salah satu matahari. Caranya, adalah dengan melempar arnab (apalah dosa arnab) ke wajah Tecuciztecatl. Cahaya Tecuciztecatl lantas malap lalu mengubahnya menjadi bulan. Semenjak itu, bulan dan matahari bergandingan menerangi bumi.

Bentuk arnab pada permukaan bulan

Usia zaman kelima ini bagaimana pun tidak diketahui. Mitos Aztec cuma meramalkan yang ia bakal berakhir dengan gempa bumi. Mitos juga tidak menyebutkan sama ada bakal ada zaman keenam atau pun tidak.

Cuma apa yang pasti, jika dibuat perkiraan, usia alam Aztec sejak ia mula diciptakan adalah 2,628-2,962 tahun. Jika dianjak dari tarikh kejatuhan empayarnya (1519 M), maka ia berlaku pada tahun 1,109-1,443 Sebelum Masehi yakni sekitar zaman Pra-Klasik Maya.

Sememangnya, tamadun Maya banyak mempengaruhi elemen kebudayaan Aztec. Hatta dewa Quetzalcoatl itu sendiri merupakan serapan daripada Maya, di mana ia dikenali dengan nama Kukulcan.

RUJUKAN

Ancient Origins. (2021, 23 February). The Mythological Maori Origin Stories of New Zealand.

Captivating History. (2020). Aztec Mythology Creation Story Explained in Animation.

Clark, Jordan. (2016, 30 July). Visayan Origin Myth. Aswang Project.

Mingren, Wu. (2021, 3 July). Sacrifice and (ditapiskan): The Apocalyptic Aztec Creation Myths. Ancient Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.