Semua sedia maklum bangsa Melayu bukan saja pahlawan yang gagah berani tetapi juga pelayar yang mahir dengan selok-belok lautan. Jika tidak, mengapa terlalu banyak riwayat dan cerita pengembara luar yang menyatakan orang Melayu pernah sampai sejauh China di Timur dan Semenanjung Tanah Arab di Barat. Tetapi ada pula sesetengah pihak yang cuba memperkecilkan kehebatan bangsa ini dengan mengatakan semua riwayat itu bersifat dongengan sahaja. Mereka salah kerana terlalu banyak bukti yang menunjukkan sebaliknya.
Bagi yang pernah berkunjung ke Candi Borobudur di Indonesia, anda pasti pernah melihat satu ukiran sebuah kapal yang mampu membelah lautan semasa berlayar. Dan ukiran yang dikesan sejak dari abad kelapan Masihi ini menarik perhatian bekas anggota Tentera Laut Diraja (Royal Navy) Philip Beale semasa melawat candi berkenaan pada tahun 1982. Ia membuatkan Beale tertanya-tanya, sejauh mana kapal ini dapat berlayar, teknologi mana yang digunakan dan apakah ini bukti hubungan Alam Melayu dengan benua Afrika yang dicari-cari oleh sejarawan dan pengkaji selama ini?
Impian Beale itu tersimpan selama 20 tahun itu akhirnya menjadi kenyataan selepas bertemu Nick Burningham di Itali pada September 2002. Burningham dikenali sebagai pembina replika kapal dan pernah terlibat dalam projek pembinaan replika skala penuh kapal layar Duyfken. Duyfken merupakan kapal Eropah pertama yang berjaya sampai ke Australia pada tahun 1606.
Kapal replika yang dibina Burningham dan pasukannya pernah sampai di Indonesia pada tahun 2002 semasa dalam perjalanan menuju ke Australia bagi mengulangi perjalanan epik krew asal kapal berkenaan. Selepas mendengar impian Beale, kedua-duanya berangkat ke Bali, Indonesia atau lebih tepat Kepulauan Kangean (Pulau Pagerungan) bagi mencari pembina-pembina kapal tradisional.
Di Pulau Pagerungan inilah, mereka bertemu dengan Pak Assad Abdullah, seorang pembina kapal tradisional dengan pengalaman selama 30 tahun. Dengan kehadiran Burningham dan Pak Assad, perlahan-lahan impian Beale semakin menjadi kenyataan.
Selepas menganalisis dengan teliti ukiran kapal-kapal pada Candi Borobudur, mereka menyimpulkan kapal berkenaan mempunyai panjang 19 meter, 4.25 meter lebar, dua layar dan dua cadi sebagai pengimbang. Semasa pasukan ini membina replika yang diberi nama Samudra Raksa oleh Presiden Megawati Sukarnoputri ini, semua proses dibuat secara tradisional dengan bahan binaan diambil dari kawasan setempat. Pasukan pembina tidak menggunakan paku atau besi sebagai pengukuh kepada binaan mereka. Manakala cadi dan tiang penggulung layar diperbuat daripada buluh. Sementara tali yang digunakan untuk kapal dibuat daripada bahan-bahan semulajadi. Proses pembinaan mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan.
Selepas siap, pasukan pembina diketuai Beale mula merancang pelayaan sulung untuk Samudra Raksa. Ia sebagai testimoni bahawasanya ia bukan saja boleh meredah lautan tetapi juga sebagai bukti pelayar-pelayar Melayu pernah sampai ke benua Afrika. Bagi meningkatkan peluang kejayaan ekspedisi ini, kapal tersebut turut dilengkapi dengan beberapa peralatan moden seperti kelengkapan sistem kedudukan global (GPS) dan telefon satelit sebagai talian komunikasi dengan dunia luar.
Selebihnya menggunakan peralatan primitif seperti yang digunakan pelayar-pelayar terdahulu. Penaja utama ekspedisi ialah British Council dan Pertubuhan Bangsa Bersatu Sains, Kebudayaan dan Pendidikan (UNESCO) serta mendapat pengiktirafan Kesatuan Geografi Diraja dari United Kingdom.
Untuk menguji sama ada ia mampu berlayar merentasi Lautan Hindi, kapal ini dibawa berlayar dari tempat pembinaannya di Pulau Pagerungan ke Jakarta. Semasa perlayaran, kapal berkenaan dapat bertahan dengan baik dan ini menyakinkan Beale bahawa ia boleh dilakukan. Selepas tiba di Jakarta, kapal itu diberi nama rasmi Samudra Raksa oleh Megawati.
Dan pada Ogos 2003, beliau melepaskan kapal berkenaan dalam satu upacara rasmi perlepasan Ekspedisi Perahu Borobodur dari Pelabuhan Marina Ancol, Jakarta. Seramai 27 peserta menyertai pelayaran ini dengan Kapten Gusti Putu Ngurah Sedana dari TNI-Angkatan Laut sebagai nakhoda menemani Beale. Menariknya, 27 peserta ini bukan saja datang dari Indonesia tetapi juga dari beberapa negara. Hanya segelintir saja yang mempunyai pengalaman sebagai pelayar manakala selebihnya datang dari pelbagai latar belakang etnik dan agama. Walaupun mempunyai latar belakang berbeza, mereka bersatu demi memastikan ekspedisi ini berakhir dengan jayanya.
Untuk ekspedisi ini, ia mempunyai empat fasa. Fasa pertama membabitkan Jakarta-Seychelles (15 Ogos-12 September), fasa kedua Seychelles-Madagascar (29 September-14 Oktober), fasa ketiga Madagascar-Capetown (26 Oktober-5 Januari 2004) dan akhir sekali Capetown-Accra (17 Januari-23 Februari 2004). Perlayaran mengambil masa enam bulan dengan jarak sepanjang 27,000 kilometer. Walaupun ekspedisi diuji dengan pelbagai ujian seperti laut bergelora, kekurangan makanan, hujan lebat, tiupan angin dan kerosakan peralatan kapal, Samudra Raksa dapat bertahan dan tiba di Pelabuhan Tema, Accra pada 23 Februari 2004.
Selepas tiba di sana, ia kemudian dibawa pulang ke Indonesia melalui kapal kargo. Bagi membolehkan ia dapat dibawa naik atas kapal, Samudra Raksa perlu dileraikan terlebih dahulu sebelum dipasang semula dan dibawa berlayar setelah tiba di Indonesia. Akhirnya, kapal berkenaan tiba dan ditempatkan di Muzium Perahu Samudra Raksa, Kompleks Taman Wisata Candi Borbudur, Magelang. Muzium berkenaan dirasmikan oleh Menteri Kesejahteraan Rakyat Indonesia ketika itu, Alwi Shihab pada 31 Ogos 2005. Apa yang dilakukan Samudra Raksa ialah satu bukti amali kapal-kapal Nusantara pernah sampai sejauh benua Afrika.
Tetapi Samudra Raksa bukan satu-satunya bukti kehebatan pelayar dan kerajaan maritim Melayu. Ada beberapa perahu yang menarik perhatian ramai pengkaji termasuk sebuah perahu yang dijumpai di kawasan paya bakau di Pontian, Johor. Perahu itu diberi nama The Pontian Bot (Perahu Pontian) dan ditemui oleh seorang pengkaji British bernama IHN Evans pada tahun 1926.
Perahu berkenaan cuba dibandingkan dengan perahu-perahu yang ditemui di Asia Tenggara ketika itu terutama dari segi saiz dan cara pembinaannya. Berdasarkan kajian CA Gibson Hill pada tahun 1956, kajian pentarikhan karbon mendapati perahu-perahu ini dibina antara abad ketiga hingga kelima Masihi. Walaupun ia dalam keadaan rapuh dan hampir rosak sepenuhnya, ia dapat diselamatkan dan menjadi bahan kajian para saintis terutama sejarawan tempatan.
Selain Samudra Raksa dan Perahu Pontian, kita juga harus ingat anekdot pengembara-pengembara luar tentang kehebatan bangsa Melayu sebagai pelayar hebat. Salah satunya ialah anekdot Antonio Pigafetta berkenaan ekspedisi Ferdinand Magellan terutama perihal hamba dan teman setianya Henry the Black (Awang). Selain diajar dengan pelbagai ilmu pelayaran di bawah bimbingan Magellan, Awang turut menggunakan kemahiran yang dipelajarinya semasa di Melaka sebelum menjadi tawanan dan hamba kepada tuannya itu untuk memastikan ekspedisi mereka tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan Christopher Columbus. Atas sebab itulah, beliau seharusnya duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan Magellan dan selayaknya mendapat gelaran orang pertama mengelilingi dunia.
Seterusnya, ada satu anekdot menarik yang dipetik rakan penulis Al Semantani Jones berkenaan kehebatan kerajaan maritim Melayu dan pelayar-pelayar dari Nusantara. Menurut beliau, pelayar-pelayar Nusantara sudah sampai ke Afrika sejak abad kelima Masihi lagi, jauh lebih awal dari pedagang Arab yang hanya berani berlayar hingga ke Zanzibar. Malah, pelayar-pelayar ini juga mengatasi zaman kegemilangan pelayaran kerajaan China yang hanya bermula pada abad ke-13.
Sebut pasal abad yang dinyatakan di atas, tidak mustahil perahu-perahu purba seperti Perahu Pontian menjadi pilihan kepada mereka berlayar dan membentuk pos kara mereka di situ kerana ia amat bertepatan dengan garis masa pembuatan perahu berkenaan. Perahu-perahu ini menjadi cara mereka bergerak ke mana-mana tempat dari China hinggalah Yaman dan Mesir untuk memperdagangkan hasil bumi rantau berkenaan. Jika tidak, bagaimana cengkih yang hanya boleh didapati di Maluku boleh dijumpai di Syria dengan anggaran penggunaan sejak 3700 Sebelum Masihi.
Al-Idrisi sendiri dalam catatannya menyatakan orang-orang Zanj/Zabaj (orang Melayu Srivijaya) pernah tiba di Afrika Timur dengan kapal bersaiz kecil dan besar serta boleh berhubung dengan penduduk tempatan. Ini menunjukkan pada satu ketika, penduduk-penduduk di Afrika boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dan koloni mereka dijadikan sebagai pusat pengumpulan besi dan emas sebelum dibawa pulang ke Srivijaya.
Penulis-penulis Arab dan Parsi turut mendedahkan penglibatan orang Melayu Nusantara dalam perdagangan hamba dari Afrika dan dibawa ke sebelah timur. Buktinya, Maharaja China (berkemungkinan dari Dinasti Tang) pernah dihadiahkan hamba-hamba berkulit hitam oleh Maharaja Empayar Srivijaya. Pendek kata, orang Melayu sememangnya hebat sebagai nakhoda samudera sejak dari dulu lagi dan kehadiran mereka memberi kesan bukan sedikit bukan saja kepada kerajaan serantau tetapi kerajaan-kerajaan di benua lain dunia.
RUJUKAN:
- Nontji, Anugerah. (2017). Pusat Penelitian Oseanografi, Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia. http://oseanografi.lipi.go.id/datakolom/20%20Ekspedisi%20Borobudur.pdf
- Yusop, Siti Haliza. (2018). Berita Harian. Pelayaran Melayu silam teroka seluruh dunia. https://www.bharian.com.my/rencana/sastera/2018/12/505880/pelayaran-melayu-silam-teroka-seluruh-dunia?fbclid=IwAR3x4Obu02nFolyb86JEejj2e0F0rea-7_v9d39QhOeedxy61uuV4nk2kRs
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih