Manusia yang bergelar seniman mempunyai pelbagai kebolehan yang khusus. Ada yang cenderung ke arah seni halus, ada berlakon, ada yang berlawak. Ada juga menyanyi dan ada yang menulis. Walau apa pun bidang yang diceburi, sang seniman itu tetap melahirkan ekspresi dengan berkarya sampai ke akhir hayat mereka.
Namun tidak ramai seniman yang mempunyai kepelbagaian bakat atau istilahnya serba boleh. Dalam dunia seni kita, boleh dikatakan yang kita kenali tidaklah ramai. P.Ramlee adalah salah seorang dari golongan seniman serba boleh. Seorang lagi yang saya rasa sangat sesuai dimasukkan ke dalam kategori serba boleh namun telah hampir terlupakan. Beliau ini lebih senior dari P.Ramlee malah telah pun melibatkan diri di bidang seni lakon atau berkarya sebelum P.Ramlee menjadi seniman. Insan istimewa kelahiran Sumatra ini bergelar Armaya atau dikenali ramai sebagai AR Tompel. Gelaran Tompel diberikan merujuk kepada pementasan bangsawan Si Tompel.
ZAMAN BANGSAWAN & SANDIWARA
Lahir dengan nama Aman Ramlie bin Jaafar (1918), beliau mula melibatkan diri dengan panggung Bangsawan di zaman kegemilangan pertunjukan tersebut sewaktu di Medan. Bersama kumpulan Kris Opera yang disertainya pada 1938, bermulalah karier seninya menjadi “Tap Dancer”. Beliau juga berlakon, menyanyi dan berlawak sewaktu zaman penjajahan Jepun di Medan. Menjelajahlah beliau bersama beberapa rombongan Bangsawan ke pelbagai daerah di serata Indonesia. Setelah menimba pengalaman yang bernilai untuknya, Tompel bersama teman-teman seperjuangan seperti Jah Lelawati dan M.Booty (suami Kasma Booty) berhijrah ke Singapura pada sekitar tahun 1946.
Di Singapura, mereka terus manggung (istilah bahasa Indonesia yang bererti membuat persembahan di panggung) di atas pentas Bangsawan di tempat-tempat hiburan ternama di Singapura yakni New World, Happy World dan beberapa tempat lain si serata pulau yang menjanjikan kebebasan dan kesenangan dalam berkarya sebagai anak seni. Sambutan di waktu itu hangat. Di waktu itulah Tompel terkenal sebagai Pelawak atau ahli Komik. Setelah merosotnya Bangsawan, Tompel berganti ke rombongan Sandiwara Rayuan Asmara dan juga mula berjinak-jinak dalam dunia perfileman.
Kerana begitu kayanya pengalaman dan pengetahuan beliau dalam dunia bangsawan dan sandiwara, apa saja cerita di pernah dipentaskan sangat segar dalam ingatan dan sukar bagi sesiapa untuk cakap “auta” atau bedek dengannya. Apa tidaknya, Tompel sudah manggung sejak kecil lagi.
Di Malay Film Productions di Singapura, Tompel berlakon untuk beberapa filem seperti Nilam, Aloha, Rachun Dunia, Dewi Murni dan Bapa Saya. Beliau sangat sesuai digandingkan dengan seniman Daeng Harris dan seniwati Siti Tanjung Perak kerana gelagat lucu diantara mereka. Saya tidak boleh lupa adegan lucu beliau menari dan menyanyi “Samba Lado” dalam filem Rachun Dunia (MFP, 1949) bersama Siti Tanjung Perak.
LAWAK GAYA TOMPEL
Tompel bukan saja berlakon untuk filem-filem MFP dan NUSANTARA, beliau juga membuat banyak persembahan lawak dan Sandiwara serata Singapura dan Malaya. Keistimewaan yang ada pada Tompel adalah beliau bukan saja berlawak dengan cara slapstick atau gerak gaya atau telatah seperti teman-teman komik seperjuangannya. Tompel lebih banyak berlawak dengan kata-kata sahaja. Keluarnya kalimat-kalimat bersahaja tetapi lucu terus membuat penonton pecah perut. Boleh juga dikatakan beliau seorang “Stand Up Comedian”.
MFP vs NUSANTARA
“MFP membunuh kaliber dan bakat saya”
Tompel adalah aset yang berharga bagi MFP ketika itu kerana kemasyhurannya sebagai pelawak. Namun beliau merasa agak berbatas untuk berkarya dan hanya setakat dikenali dan dipromosikan sebagai Pelawak. Sesekali beliau diberikan peranan penulis cerita. Padahal beliau adalah seniman yang serba boleh. Beliau merasakan bahawa keterbatasan di MFP seolah-olah membunuh kaliber dan bakatnya. Maka dengan senyap-senyap beliau bergabung bersama NUSANTARA FILMS di Bukit Timah, pesaing hebat MFP di waktu itu. Di Nusantara, Tompel mendapat kebebasan berkarya. Beliau menjadi Pengarah, Pelakon, Menulis Cerita dan Kata bual. Terbitlah Filem arahannya bersama Hsu Chiao Meng yang pertama yakni PERKAHWINAN RAHSIA pada 1951 sekaligus menjadikan Tompel sebagai Pengarah Melayu pertama dalam industri perfileman. Beliau menggunakan nama samarannya ARMAYA agar tidak diketahui oleh pihak MFP. Ada yang mengatakan Seniman Haji Mahadi sebagai pengarah Melayu pertama, namun fakta ini kurang tepat. Haji Mahadi adalah pengarah Melayu pertama untuk Malay Filem Productions sahaja, menerusi filem Permata Di Perlimbahan (1952). Pihak Shaw Brothers mendapat tahu tentang pelanggaran kontrak yang dilakukan Tompel namun tidak pula mendakwanya.
Disebabkan A.R. Tompel merupakan aset penting Shaw Brothers (“Aloha”, “Berdosa”, “Bapa Saya” dan “Pulau Mutiara” menghasilkan pendapatan yang lumayan), dia telah dipanggil oleh Shaw Brothers untuk berunding yang kemudian menawarkannya sebagai pengarah filem, untuk mengarahkan “Fatimah”. A.R.Tompel menolak kerana pembayaran yang dianggapnya tidak setimpal, dan kerana itulah Haji Mahadi telah ditugaskan menjadi pengarah “Fatimah” yang kemudian ditukar tajuknya menjadi “Permata Di-Perlimbahan” (1952) yang dibintangi oleh Maria Menado dan Nordin Ahmad.
MERDEKA STUDIO
Setelah Perkahwinan Rahsia, Tompel mengarah filem-filem lainnya di Nusantara seperti Norma, Chinta Murni, Sehati Serasa, Sesal Tak Sudah dan Seniati. Sayangnya, Nusantara Films tidak kekal lama kerana kalah dalam persaingannya dengan MFP. Nusantara berhenti menerbitkan filem-filem Melayu dan hanya fokus kepada beberapa filem Mandarin sebelum menutup studionya. Tompel tidak kembali ke MFP dan terus berkarya bersama rombongan Sandiwara. Pada 1961, namanya disebut kembali di akbar dan majalah kerana kembali ke dunia perfileman sebagai pengarah filem ABU NAWAS terbitan Merdeka Studio yang bertempat di Kuala Lumpur.
“Sa-orang seniman tidak sahaja harus chinta pada kebudayaannya, tetapi harus chinta juga pada bahasanya.” – Ar Tompel
Tompel adalah seorang yang berkeperibadian Melayu, mencintai budaya dan bahasa Melayu. Beliau juga bersikap terbuka pada suasana masyarakat berbilang kaum. Beliau pernah ditanya oleh wartawan mengapa menyelenggarakan filem “Sampek Eng Tai” (1961) di Merdeka Studio dalam bahasa Melayu yang berdasarkan cerita kuno Cina padahal itu bukan cerita Melayu.
“Kita harus menyesuaikan usaha kita sekalipun kita mempunyai dasar perniagaan, dengan keadaan negeri kita.” Maksud Tompel, sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan keturunan, harus mempunyai rasa saling mengerti dan ianya tidak akan tumbuh selagi satu puak mencurigai dan tidak memahami cara hidup puak yang lain. Lagi pula cerita Sam Pek Eng Tai ni bukanlah sesuatu yang baru bagi masyarakat Melayu ketika itu. Cerita tersebut sudahpun dipentaskan di wayang-wayang Bangsawan sebelumnya. Jadi konsep satu Malaysia sudah digerakkan oleh Tompel dan juga beberapa teraju utama sejak dulu.
Tompel tidak meneruskan kariernya sebagai pengarah di Studio Merdeka setelah itu. Beliau meneruskan bidang lakonan dan menulis cerita dan dialog untuk perusahaan tersebut. Apabila seniman agung P.Ramlee berhijrah ke Merdeka Studio pada 1964, Tompel bergabung dan bekerjasama dengannya dalam filem-filem yang diarahkan P.Ramlee.
Tompel kembali terkenal dengan watak “RE” dalam filem Do Re Mi (1966), Nasib Do Re Mi (1966) dan filem terakhirnya Laksmana Do Re Mi (1972) . Saya juga minat dengan lakonan beliau sebagai orang kaya Bakar dalam filem Keluarga 69 (1967). Sepanjang kehidupannya sebagai seniman, Tompel telah menghasilkan banyak cerita dan cerpen yang diterjemahkan ke Radio, TV dan pertunjukan Sandiwara. Antara cerita yang dihasilkan ialah Yang Gila, Takut-takut Berani, Keluarga Tompel, Nasib Si Tompel dan banyak lagi.
Tompel meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 30 Januari 1973. Berita kematiannya mengejutkan dan membawa kesedihan dunia seni hiburan di Malaysia dan Singapura di waktu itu. Seniman Aman Ramli atau ARMAYA atau A.R Tompel adalah seorang seniman serba boleh dari tiga zaman (Bangsawan, Sandiwara dan Filem). Semoga kita tidak melupakan jasa Almarhum dalam dunia seni hiburan.
Terima kasih seniman kami, Aman Ramli – Armaya – A.R Tompel. Semoga Allah merahmatimu. Amin.
Sumber:
Rudy Djorhanaen
Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih