Sebelum kedatangan Islam di Tanah Arab, kebanyakkan wanita dinjak maruah mereka atas dasar tanggapan yang serong oleh masyarakat ketika itu. Kaum lelaki kebiasaannya menganggap wanita sebagai alat untuk memuaskan hawa nafsu semata-mata dan dilakukan seperti barangan jual beli.
Malahan, penghinaan juga berlaku apabila isteri melahirkan anak perempuan kerana mereka percaya bahawa anak perempuan membawa bencana dan kesialan. Atas dasar ini juga, ada yang sanggup untuk mengambil langkah drastik dengan membunuh anak perempuan mereka. Nauzubillah.
Kedudukan wanita di zaman Jahiliyyah berada pada tahap yang rendah di mana kebanyakkan wanita di zaman ini didiskriminasikan hak-hak mereka. Maka, disini akan diberikan penjelasan bagaimana kedudukan dan martabat wanita di zaman tersebut.
Pertama, sudah menjadi kebiasaan bagi orang Arab ketika untuk membawa golongan wanita dalam peperangan dan berada di barisan belakang. Apa yang menjadi masalahnya ialah pihak yang menang di dalam peperangan akan menawan wanita-wanita pihak yang kalah dan wanita itu dihalalkan bagi mereka untuk melakukan apa sahaja sesuka hati mereka.
Namun demikian, anak-anak yang lahir daripada wanita itu kebiasaannya akan mendapat keaiban sepanjang hidupnya. Begirulah hinanya martabat wanita tatkala itu, dipindah milik dan diguna pakai seolah-olah tiada nilai.
Kedua, merungsingkan keadaan ialah amalan dan cara pernikahan pada zaman inorang-orang arab jahiliyah. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Aishah R.A (Hadis No. 5127) bahawa perkahwinan di era jahiliyyah terbahagi kepada 4 bahagian.
(1) Pernikahan seperti yang diamalkan di zaman kini
(2) Kemudiannya ialah pernikahan “istibda” dimana seorang suami akan menyuruh isterinya untuk bersetubuh dengan lelaki sekian (fulan bin fulan). Si suami tidak akan menyentuhnya selagi isterinya tidak hamil, dan apabila dia hamil, maka atas kehendaknya untuk bersetebuh dengan isterinya atau tidak. Tujuan nikah dengan cara ini ialah untuk mendapatkan zuriat yang baik
(3) kemudiannya ialah sekumpulan lelaki tidak melebihi 10 orang akan menyetubuhi seorang wanita dan apabila hamil maka wanita itu akan menamakan anaknya kepada seorang lelaki yang disukainya dari kalangan mereka.
(4) Wanita pelacur yang tidak menghalang sesiapa untuk menyetubuhi mereka bahkan mereka memasang bendera pintu rumah sebagai tanda kepada sesiapa yang mahu menyetubuhi mereka. Jika hamil, maka anaknya akan dinisbahkan kepada lelaki yang paling iras wajah dengan anaknya.
Tambah parah apabila wanita turut dibelenggu di bawah milik suami bukan seperti seorang isteri namun seperti hamba abdi yang dibeli melalui akad nikah. Apa yang menyedihkan ialah apabila seorang suami itu meninggal dunia maka isterinya pada kebiasaannya akan diwarisi oleh keluarga dan ahli waris terdekat dengan tujuan supaya isteri tersebut menebus dirinya.
Ketiga, bayi perempuan yang lahir di zaman ini pula kebiasaannya akan dibunuh. Bapa kepada bayi perempuan ini membunuh kerana bimbang mendapat malu atau bimbang tidak dapat membiayai kehidupan mereka. Bayi perempuan ditanam hidup-hidup oleh mereka seolah-olah mereka tidak mempunyai perasaan untuk membezakan antara manusia dan haiwan.
Allah S.w.t berfirman: Dan apabila seseorang dari mereka diberi kabar dengan (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya, dan dia sangat marah. Ia menyembunyikan dirinya dari orang banyak, disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan ataukah akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup)?. Ketahuilah, alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu. (An-Nahl 58-59).
Ibnu Kathir berpendapat bahawa sekiranya mereka yakni ibu bapa tersebut memilih untuk memeliharanya serta menjaga bayi perempuan tersebut maka nescaya mereka akan membiarkan anak perempuan mereka hidup dalam keadaan yang hina. Anak perempuan tersebut juga tidak akan diberi hak dalam harta warisan serta tidak diberi perhatian kerana kecenderungan untuk memelihara dan mendambakan anak-anak lelaki.
Allah menjawab serta memberi jawapan kepada pemikiran yang tidak realistik mereka bahawa anak perempuan itu membawa kehinaan dan bebanan di dalam surah al-Isra (31):
Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu karena takut kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.
Keempat, pada zaman jahiliyyah juga zihar dihukumkan sebagai talaq di mana sudah menjadi “trend” di kala itu untuk para suami mengizharkan isterinya apabila sudah tidak disukai lagi. Implikasinya agar kritikal iaitu sudah jatuh haram persetubuhan dengan suami yang mengizharkannya buat selamanya atas dasar izhar dihukumkan sebagai talaq. Namun lebih besar peritnya ialah tujuan disebaliknya ialah menghalang isteri berkenaan daripada berkahwin dengan orang lain kerana kedudukannya yang tergantung.
Kelima, mereka turut mengamalkan yang tidak bermoral dengan mengahwini isteri bapa mereka (ibu tiri) setelah kematian bapa mereka. Perkahwinan seperti ini sudah dilarang apabila Islam datang kerana taraf ibu tiri sama seperti ibu kandung sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji, dan dibenci (oleh Allah), serta menjadi seburuk-buruk jalan.” (An-Nisa:22).
Apa yang menarik untuk ditegaskan disini ialah, bukan semua wanita di era Jahiliyyah berada dalam situasi seperti ini. Ini kerana kata al-Mubarakfuri bahawa wanita bangsawan mempunyai kelas yang tersendiri serta terpuji di kalangan orang Arab.
Hubungan lelaki dan isterinya yang berada dalam kalangan bangsawan boleh dikatakan berada dalam keadaan maju kerana wanita bangsawan mempunyai kebebasan untuk melaksanakan segala kemahuan, kehendak dan menyuarkan pendapatnya.
Wanita dalam kalangan bangsawan ini dipelihara dan dihormati sehingga masyarakat arab sanggup berperang bagi menegakkan kehormatan wanita bangsawan. Begitulah kehidupan, yang punya darjat pasti disanjung dan yang tidak punya apa-apa diinjak malah dihina.
Islam yang datang ke Tanah Arab dengan perutusan baginda Saw telah membawa sinar dan cahaya kepada kehidupan dan martabat wanita setelah sekian lama dihina. Islam telah memberi pengiktirafan dan penghormatan yang tiada tolok tandingnya kepada wanita dengan memberi hak yang sama dengan lelaki, bahkan di angkat ke darjat yang tinggi.
Agama Islam juga telah menghapuskan pandangan serong terhadap darjat wanita yang menjadikan mereka sebagai barang perhiasan dan barang permainan di era jahiliyyah.
Wanita diletakkan sebagai penyeri dan tempat berkasih sayang di mana ianya merupakan naluri fitrah penciptaan manusia, bahkan sebaik-baik penyeri kehidupan manusia sebagaimana sabda baginda S.A.W yang bermaksud:
“Dunia adalah perhiasan, dan sebaik baik perhiasan adalah wanita yang solehah”
(HR. Muslim)
Sungguh perbezaan ini bukanlah bebanan dan dugaan namun saling melengkapi sebuah kehidupan. Islam datang dan memposisikan wanita, samada bujang atau berkahwin, sebagai suatu individu yang mempunyai hak-hak tersendiri, termasuklah hak untuk memiliki pekerjaan, pendapatan, harta dan kekayaan manakala bayi perempuan bukanlah keaiban malahan zuriat yang membawa keberkatan sama seperti lelaki. Wanita bukanlah untuk diperjudikan tetapi untuk dibimbing, didik dan disayangi.
A.R.KASA
Mahasiswa Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam,
Universiti Malaya.
RUJUKAN:
1. Ahmad Shalaby, Sejarah dan Kebudayaan Islam.
2. Saffiyu Rahman al-Mubarakfuri, Sirah Nabawiyyah:al Rahiq al-Makhtum
3. Ibnu Kathir, Lubaabul Tafsir, Pent. Abdullah Bin Muhammad.
4.Kamal Ahmad Awn, al-Mar’ah fil Islam.
5.https://www.academia.edu/30232014/WANITA_SEBELUM_SELEPAS_KEDATANGAN_ISLAM_DAN_KINI
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih