Uslub al-Hakim atau gaya bahasa orang yang bijaksana merupakan suatu elemen penting dalam ilmu maani (ilmu yang membantu seseorang berbicara sesuai dengan golongan sasar), manakala ilmu maani merupakan suatu cabang dari ilmu balaghah ( ilmu retorik yang dilontarkan bagi melihat sejauh mana sesuatu ayat memberi kesan mendalam kepada kumpulan sasar).
Uslub al-Hakim merupakan suatu tindak balas yang kadang kala luar dari pertimbangan normal, misalnya tidak semua soalan yang diajukan akan dijawab kerana kadang kala diam lebih baik atau mengalihkan persoalan ke arah jawapan yang lain juga lebih baik dilakukan.
Nabi Muhammad SAW merupakan ikon dakwah sepanjang zaman. Setiap didikan baginda memberi kesan yang mendalam kepada golongan sasar yang didakwah. Melalui hadith sabdaan baginda tampak keindahan dan keistimewaan perkataan-perkataannya, kemanisan sebutannya serta keupayaan luar biasa baginda SAW dalam menerangkan suatu maksud yang luas melalui beberapa perkataan sahaja (Jawami’ al-Kalim). Keunggulan cara penyampaian hadith Nabi SAW mampu menggugat kemampuan masyarakat Arab yang terkenal dengan kesusasteraan yang hebat dalam bahasa mereka.
Menurut Habbanakah (1996), uslub al-hakim bermaksud jawapan yang diberikan kepada pihak yang bertanya tidak seperti soalan yanh dilontarkan dengan gaya bahasa tertentu. Tujuan utamanya adalah untuk mengingatkan pihak yang bertanya berkenaan keutamaan jawapan yang diberi. Dalam erti kata lain, soalan yang dilontarkan oleh penanya tidak sesuai dengan kehendak dan keperluan penanya tersebut.
Secara umumnya, uslub hakim terbahagi kepada dua bahagian iaitu pertama: dikemukakan dalam bentuk soal jawab dan kedua: dalam bentuk ungkapan biasa tanpa soal jawab di mana pihak penerima tidak menjangka ungkapan tersebut akan dilontarkan. Tujuannya adalah bagi mengingatkan bahawa mesej tersebut merupakan keutamaan dalam suatu perbicaraan. Antara contoh hadith Nabi SAW yang menggunakan uslub hakim ialah hadith riwayat Aisyah:
“Aku pernah meminta izin kepada Nabi SAW untuk turut sama berjihad”.Jawab Nabi SAW: “Jihad bagi kamu golongan wanita adalah melaksanakan haji” (Al-Bukhari). Aisyah pada mulanya memohon keizinan untuk berjihad, tetapi sebaliknya jawapan yang diberikan tidak seperti yang diharapkan, bahkan Nabi SAW mengalih jawapan kepada perkara yang lebih penting.
Hal ini kerana menurut Ibn Hajar (1986), golongan wanita tidak wajib berjihad untuk mengelakkan percampuran dan lebih sesuai jiwa mereka berada dalam keadaan tidak terdedah. Oleh itu, maksud Nabi, jika percampuran dengan umum tidak dapat dielakkan, maka ibadat haji perlu diutamakan kerana ia suatu kewajipan. Selain itu terdapat juga hadith riwayat Thauban katanya:
Ketika turun ayat ini “Dan (ingatlah)
orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya” (Al-Taubah:34) Nabi SAW bersabda: “Binasalah orang yang menyimpan emas dan perak”. Maka kami pun berkata: Wahai Rasullah apakah
jenis harta yang patut kami simpan?. Sabda Nabi SAW: Kamu hendaklah mempunyai hati yang sentiasa bersyukur, lidah yang sentiasa basah mengingati Allah dan isteri yang baik”. (Musnad Ahmad)
Soalan para sahabat adalah berkaitan harta tetapi jawapan Rasulullah SAW adalah tidak menjurus kepada soalan tersebut, sebaliknya mengalihkan jawapan kepada perkara yang lebih penting. Sewajarnya, mereka bertanya Nabi berkenaan aset bernilai yang patut disimpan pada masa depan tidak hanya dalam bentuk emas atau perak semata-mata. Maka, hadith ini memberi penjelasan berkenaan fiqh keutamaan yang perlu dihayati dengan sebaiknya. Kemudian, uslub hakim juga boleh didapati dalam hadith riwayat Ibnu Umar ini, katanya:
Seorang lelaki pernah bertanya
kepada Nabi SAW: Apakah tempat yang paling buruk? Jawab Nabi SAW: Aku tidak tahu sehingga aku bertanya kepada Jibril. Kemudian Nabi SAW bertanyakan hal demikian kepadanya, jawab Jibril aku pun tidak tahu sehingga aku bertanya Mikail. Setelah Mikail datang memberikan jawapan sabda Nabi SAW: “Sebaik-baik tempat adalah masjid dan seburuk- buruk tempat adalah pasar”. (Ibn Hibban)
Dalam hadith di atas, nabi menggunakan uslub al-hakim dalam memberi jawapan yang sempurna berserta perkara yang berlawanan dengannya. Ini bermakna masjid merupakan sebaik-baik tempat untuk manusia berdamping dengan Allah manakala pasar mendedahkan manusia kepada perkara yang membuatkan dia lalai dari mengingati Allah. Secara tidak langsung, nabi memberi peringatan berguna kepada pihak yang bertanya.
Kesimpulannya, sabdaan nabi SAW yang penuh dengan nilai dan keindahan merupakan bukti baginda mendapat petunjuk dan bimbingan daripada Allah SWT. Oleh kerana menyeru manusia atau berdakwah merupakan tugas sebenar seorang rasul, maka gaya penyampaian dakwah yang baik merupakan perkara asas dalam keberkesanan dakwah.
RUJUKAN:
1) Ahmad bin Hanbal (2008). Musnad al-Imam Ahmad. Dar al-Minhaj.
2) Al-Bukhari, Muhammad bin Ismail (1987). Sahih al-Bukhari. Beirut: Dar Ibn Kathir.
3) al-Khurasani, Muhammad bin Hibban (2004). Sahih Ibn Hibban. Dar al-Ma’rifah.
4) Habbanakah, Abdul Rahman (1996). Al-Balaghah al-Arabiyyah. Damaskus : Dar al-Qalam
5) Husni bin Abdullah (2017). Uslub Hakim dalam Dakwah Nabi SAW satu pendekatan berkesan. Journal Hadith KUIS.
6) Ibn Hajar, Ahmad bin Ali (1986). Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari. Dar al-Rayyan li al -Turath.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih