Dalam artikel lepas, saya berbicara secara panjang lebar perbandingan antara liberal sebenar dengan liberal jadi-jadian. Dan tanpa disangka-sangka, ia mengundang minat mendalam orang ramai tentang maksud sebenar kebebasan terutama apa yang ditafsirkan dalam dokumen Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu 1957 dan dokumen Pengisytiharan Penubuhan Malaysia 1963. Pada mulanya, saya sangka definisi ‘liberty and justice’ hanya wujud dalam dokumen Pengisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat semata-mata dan slogan negara Perancis. Tetapi setelah mengkaji dengan lebih lanjut dua dokumen 1957 dan 1963 di atas, terma yang dimaksudkan wujud dalam kedua-dua dokumen tersebut. Jadi, persoalan yang diutarakan ialah, apakah maksud sebenar ‘liberty and justice’ dalam masyarakat hari ini? Mari kita lihat.
Kalau mengikut definisi Kamus Dewan, bebas itu bermaksud merdeka atau bebas daripada penjajahan, terlepas daripada hukuman atau tuduhan dan tidak disekat daripada melakukan sesuatu perkara. Sementara adil pula membawa konotasi menyebelahi pihak yang benar, meletakkan sesuatu pada tempat yang betul, menepati hak individu atau tidak bias. Jika dilihat dari perspektif lebih luas, ‘liberty and justice’ atau kebebasan dan keadilan ialah hak bagi mana-mana individu dalam sesebuah negara untuk melaksanakan haknya tanpa perlu bimbang dan bebas serta mendapat hak-hak yang telah dijaminnya berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan. Bagaimanapun, kebebasan tersebut tidak meliputi hak mengkritik dan mengejek orang lain sehingga melampaui batas serta mewujudkan ketidakadilan dalam masyarakat kerana perbuatan tersebut sama sekali berlawanan dengan semangat toleransi dan perpaduan yang terkandung bukan saja dalam Perlembagaan bahkan dalam kedua-dua dokumen deklarasi kemerdekaan dan penubuhan Malaysia, satu perbuatan yang menjadi makanan harian kelompok liberal jadi-jadian.
Dalam Islam, kebebasan dan keadilan sentiasa mengikut kerangka prinsip syarak. Maksudnya di sini, Islam tidak menafikan kebebasan, cuma ia ada hadnya kerana ada perkara yang dilarang oleh Tuhan dan Rasul-Nya. Tidak seperti kebebasan yang digembar-gemburkan sesetengah kelompok liberal sampai melanggar batas-batas moral manusiawi, kebebasan menurut agama mengambil kira aspek moral dan spiritual individu. Ini kerana jika kebebasan itu dilakukan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira kedua-dua aspek tersebut, kebebasan yang didambakan dilihat kosong dan tidak bererti sama sekali. Mengapa? Kerana manusia yang benar-benar bebas di sisi Tuhan sentiasa bertanggungjawab dan mengangkat setiap prinsip moral termasuk prinsip keadilan sesama manusia. Jika prinsip tersebut dilanggar semata-mata nak memuaskan keinginan serakah semata-mata, makanya individu tersebut bersikap mementingkan diri sendiri dan membiarkan dirinya menjadi virus kemusnahan kepada masyarakat dan negara.
Begitu juga dengan keadilan menurut Islam. Keadilan yang sebenar bukannya membahagikan hak sama rata tanpa mengambil kira semua pihak terlibat seperti diyakini kelompok liberal jadi-jadian. Keadilan sebenar menurut agama ialah meletakkan hak pada tempat yang betul dan semua pihak yang mendapatnya akan berpuas hati. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam ayat 7 hingga 9, Surah Ar-Rahman. Orang yang menyatakan keadilan hanya untuk puaknya dan tidak pada orang lain sebenarnya individu yang bersikap mementingkan diri sendiri dan terlalu mengikut kehendak serakahnya. Orang sebegini hanya memikirkan apa yang terbaik pada diri dan kumpulan yang diwakili tanpa memikirkan kepentingan yang lebih besar pihak terlibat. Bila ini berlaku, ia bukan saja menimbulkan perasaan tidak puas hati, malah ia boleh menimbulkan perpecahan dalam kalangan masyarakat dan persepsi ketidakdilan wujud pada kelompok yang terkesan. Malah, kelompok sebegini dikecam Allah s.w.t dalam ayat 135, Surah An-Nisa. Ini satu hakikat yang cuba dinafikan kelompok liberal jadian tetapi berlaku di serata dunia termasuk di sini.
Jika difikirkan, kebebasan dan keadilan ini sudah menjadi makanan ruji manusiawi tanpa mengira bangsa, warna kulit, agama, fahaman atau status ekonomi untuk beratus-ratus tahun lamanya. Namun sejak kebelakangan ini, kebebasan dan keadilan bukan lagi mengikut prinsip yang dinyatakan dalam Perlembagaan. Pada mereka yang skeptik, mereka menganggap kebebasan itu hanyalah lesen kepentingan diri sendir sementara keadilan pula dihadkan pada ketetapan melaksanakan hukuman setimpal bagi sesuatu jenayah. Ini tidak seharusnya berlaku kerana kebebasan dan keadilan itu bersifat sejagat dan layak dinikmati oleh semua, bukan terhad pada sesetengah golongan semata-mata. Apabila berlakunya pembahagian seperti itu, ia sebenarnya membuka ruang kepada tirani dan penindasan, seterusnya meletakkan asas-asas perpecahan dan kemusnahan sesebuah negara. Namun bagi kelompok liberal jadian, itu bukan kebimbangan mereka kerana pada mereka, yang utama ialah perjuangan mereka tanpa memikirkan kesan buruk yang lebih besar kepada masyarakat dan negara.
Sudah terlalu lama terma kebebasan dan keadilan dijadikan modal untuk memarakkan api persengketaan dan memecah-belahkan masyarakat di negara ini. Kebebasan dan keadilan sebenar ialah memberi ruang kepada semua untuk berjaya tanpa diskriminasi dan melaksanakan hak tanpa prejudis serta menghormati pandangan orang yang berbeza dengan kita. Dari sinilah, ia akan menjadi benih kepada perpaduan sesama manusia dan kemakmuran sesebuah negara. Tanpa kedua-duanya, peluang untuk mencapai perpaduan manusiawi dan kemakmuran hanya sekadar mimpi di siang hari. Dan senario paling menakutkan ialah kelompok liberal jadian mengintepretasikan kedua-duanya mengikut kepentingan mereka, sanggup melakukan apa saja agar bersesuaian dengan kerangka kebebasan dan keadilan versi mereka, walaupun itu bermakna menjual maruah negara tercinta dan mengorbankan kepercayaan kepada Tuhan.
Akhir kalam, kebebasan dan keadilan ialah prinsip utama yang membentuk manusiawi hari ini. Tanpa kedua-duanya, ia membibitkan tirani dan penindasan tanpa kesudahan dalam kalangan masyarakat. Walaupun kita sudah tahu definisi dan huraian berkenaan kedua-dua terma tersebut, persoalan sekarang ialah apa tindakan kita seterusnya? Selagi mana kita bersikap berdiam diri dan tidak mahu bertindak menolak naratif alternatif kumpulan tidak bertanggungjawab ini, maka selagi itulah kumpulan liberal jadian ini berleluasa dan mempromosikan agenda songsang mereka kepada masyarakat. Kiranya kita mahu bertindak bila mana ia telah mencapai tahap kronik, pada masa itu, ia sudah terlambat dan kita akan menanggung akibat yang mahal harganya. Ingatlah akan kata-kata Edmund Burke ini, “The only thing necessary for the triumph of evil is for good men to do nothing.”
Sumber:
Howard, Barry. (2015). What Our Founders Meant By ‘Justice and Liberty’ For All. http://www.ethicsdaily.com/what-our-founders-meant-by-liberty-and-justice-for-all-cms-22771
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih