Tiada empayar dalam dunia ini berjaya membentukkan sebuah kedaulatan sehebat Empayar Mongolia. Daripada Genghis Khan ke Toghan Temur Khan, bangsa ini menghamburkan pelbagai perkara menakjubkan, pengajaran dan gambaran kehidupan Zaman Pertengahan.

Empayar Mongolia bukan sekadar empayar biasa. Ia memenuhi semua pra-syarat untuk diklasifikasikan sebagai kuasa besar: nilai ketamadunan, ketenteraan dan kebudayaan yang terjamin.

Disinilah semua agama disatukan dalam aliran teknologi dan kesenian. Segelintir masyarakat – guru, ketua agama dan artis – dikecualikan daripada bayaran cukai, turut menyumbang elemen kepakaran domestik.

Dan sama seperti kuasa besar moden, batu asas kehebatan mereka diterapkan melalui kezaliman luar biasa. Kemaraan Angkatan Ketenteraan Mongolia mengiringi maut kepada sekitar 35 juta orang. Masyarakat Iran berdepan ambang kepupusan yang begitu dahsyat. Populasi bangsa itu kembali ke paras pra-Mongol pada abad ke-20, satu jangkamasa mencecah 600 tahun lamanya.

“Untuk membunuh orang, rampaslah harta-harta mereka, nikmati kesengsaraan yang dibuat keatas keluarga mereka, dan rogollah wanita-wanita mereka sebagai pertunjukan tunjang kekuasaan.” – Genghis Khan.

“Kegembiraan hebat seorang mampu meraih ialah menawan musuh-musuh lalu menghalau mereka, merampas kuda-kuda dan harta-harta mereka, melihat wajah-wajah tangisan keluarga mereka dan merangkul tubuh isteri-isteri dan anak-anak perempuan mereka.” – Genghis Khan.

“Akulah bala Tuhan. Kalau kau tidak melakukan dosa, masakan Tuhan akan menghantar bala seperti aku kepada kau!” – Genghis Khan.

Di dalam rumah sendiri, Mongolia menjaminkan keunggulan agung; di luar pagar, mereka membuka lohong kezaliman tanpa batasan. Seorang wanita dijahit mulut dan hidungnya sebelum dilemaskan dalam air. Tidak lupa juga akan penglibatan Angkatan Ketenteraan Mongolia secara tidak rasmi dalam penyebaran Wabak Maut Hitam yang membunuh hampir 200 juta orang di seluruh dunia.

Darah dan abu kehancuran ini bermula selepas Genghis Khan dilahirkan, diteruskan pengganti-penggantinya sampailah Empayar Mongolia terpecah. Menurut Sejarah Rahsia Mongolia (Mongol’yun Niyuca Tobciyan), Genghis Khan dilahirkan sambil menggenggam segumpal darah – petanda kebesarannya pada masa akan datang.

Dataran Tinggi Mongolia dulu didiami masyarakat bersistem puak – Khereid, Khamag, Naiman, Merkit dan Tatar, dibawah penguasaan Dinasti Jin yang mengamalkan asakan “pecah perintah” dan hasutan agar bangsa Mongol dan Tatar sentiasa menentang satu sama lain, sekaligus melemahkan ancaman mereka.

Asalnya wilayah sekadar penguasaan puak Borjigin, Genghis Khan memulakan usaha-usaha penawanan melalui kerjasama dengan Toghrul, Khan puak Khereid. Sebelum itu, Genghis Khan juga mendapat bantuan Toghrul Khan dan Jamukha untuk menyelamatkan isterinya yang diculik puak Merkit. Musuh utama Toghrul-Genghis terletak di semua arah – Naiman (Barat), Merkit (Utara), Tangut (Selatan) dan Dinasti Jin, termasuk bangsa Tatar (Timur).

Pengepungan ini tidak membantutkan kemaraan Genghis Khan. Sementara mengasak, Genghis Khan menjanjikan masyarakat dan tenteranya perkongsian harta rampasan. Pihak tertewas dimasukkan dalam zon perlindungannya, manakala anak-anak yatim diambil anak angkat. Inovasi politik ini merapatkan saraf dalamannya, efektif bersama sistem pentadbirannya berdasarkan merit dan ketaatan, bukan lagi pertalian darah atau perkahwinan seperti tradisi Mongolia. Tetapi teknik ini juga memecahkan pakatan bersama ketuanya, akibat iri hati Senggum, anak lelaki Toghrul Khan. Dan bersengketa dengan Toghrul Khan, baginda juga kehilangan sahabatnya, Jamukha.

Peperangan yang meledak menyaksikan kemenangan Genghis Khan dan pembubaran puak Khereid. Jamukha turut mati dalam persengketaan ini, atas permintaannya bahawa hanya satu matahari sahaja boleh wujud dalam dunia ini. Jamukha mendapat kematian terhormat, iaitu tanpa titisan darah. Tulang belakangnya dipatahkan.

Kekalahan Merkit, Khereid dan Naiman menyatukan Dataran Mongolia dalam cengkaman Genghis Khan. Kebenaran petanda genggaman darah sewaktu lahirnya menjadi benar, disaksikan kejayaan-kejayaan Genghis Khan. Angkatan Ketenteraan Mongolia tidak berhenti disitu – banyak pihak dijatuhkan kemaraan berkuda mereka, tidak kira khan mana yang menguasai empayar agung ini.

Kejatuhan Empayar Khwarezmia di tangan Mongolia boleh diriwayatkan sebagai tragedi diplomasi yang gagal. Khwarezmia yang memegang wilayah 12 negara moden di Timur Asia Barat dan sebahagian besar Asia Tengah turut menguasai perhubungan Laluan Sutera (Silk Road), maka pengaruh perdagangan yang ada menjaminkan keuntungan pada mata Genghis Khan. Lalu dihantar Duta Mongolia bersama 500 orang penjaga agar hubungan Mongolia-Khwarezmia dirapatkan.

Delegasi kedutaan ini dituduh perisik dan dibunuh. Tetapi Mongolia menghantar delegasi kedua yang salah seorangnya beragama Islam. Dua duta berbangsa Mongol dicukur dan dihantar kembali untuk mempersembahkan kepala duta Islam kepada Genghis Khan. Perbuatan ini diterima Mongolia sebagai penghinaan besar. Murka benar Genghis Khan. Dan apabila Genghis Khan menyeru, seluruh Mongolia menyahut.

Baginda menyusupi Empayar Khwarezmia di hadapan 100,000 tentera. Dalam perjalanan pulang ke Mongolia, Angkatan Ketenteraan dibahagikan untuk menyerbu negara-negara laluan mereka – Afghanistan, India, Kaukasia, Rusia, Armenia, Azerbajian, Georgia, Crimea, Bulgaria, Hungary, dan Poland. Angkatan Rusia (Kievan Rus’) mempunyai 80,000 tentera bersedia untuk mempertahankan kedaulatan mereka, tetapi habis hancur diratah. Bergelimpangan mayat-mayat mereka selepas pertempuran yang berlangsung. Sesungguhnya Sungai Kalka, Ukraine tidak pernah merasai darah 75,000 orang sedemikian rupa.

Keamanan diberikan berdasarkan tradisi Mongolia – semua pemimpin Rusia dibunuh secara terhormat. Enam putera Rusia, termasuk Mstislav III, diremukkan dalam penghancur diperbuat daripada kayu. Dan kemangkatan Genghis Khan tidak menghentikan ancaman besar Mongolia. Sesungguhnya perkembangan kedaulatan empayar ini akan diteruskan lebih gah lagi. Serangan dibuat keatas Koryo (Korea), Dinasti Sung (China), masyarakat Turki Kipchak; misi ke utara (Rusia) disambung dibawah tanggungjawab Batu Khan. Hampir seluruh Rusia dimasukkan dalam wilayah Ulus Jochi, salah satu negara empayar ini, kecuali Novgorod yang menjadi rakan atas kepintaran diplomasi Adipati Besar Alexander Nevsky.

Batu Khan memainkan peranan besar dalam percaturan bersama Guyuk Khan dan Mongke Khan. Boleh dikatakan Empayar Mongolia hampir terhumban dalam kancah perang saudara akibat ketegangan Guyuk Khan-Batu Khan.

Volga-Bulgaria, Alania, Transylvania, Poland – semuanya ditundukkan dalam usaha Mongolia untuk mencapai “Laut Besar” – Lautan Atlantik. Dan Empayar Mongolia berjaya merealisasikan impian ini, selepas kedaulatan mereka menyentuh Laut Mediterranean.

Sama seperti empayar-empayar lain, Mongolia tidak lari daripada perpecahan akibat warisan takhta. Bukan sekali persidangan perlantikan khan (kurultai) mengundang padah kepada kesatuan Empayar Mongolia. Kali pertama perpecahan berlaku adalah selepas kemangkatan Ogedei Khan. Isterinya Toregene dijadikan pemangku dan merancakkan usaha pembasmian dalam barisan politik agar pegawai-pegawai tertinggi menyokong Buyuk sebagai pengganti Ogedei Khan. Menteri-menteri dihentikan perkhidmatan. Pihak berkuasa diberkas. Penyelia dan setiausaha agung melarikan diri. Gabenor Khorasan disumbatkan batu dalam mulut sehingga tercekik, hukuman mati kerana melanggar perintah.

Hasrat Ogedei Khan untuk meletakkan Siremun sebagai pengganti diketepikan. Kurultai memihak kepada Buyuk. Sesi kurultai menunjukkan betapa besarnya pengaruh Mongolia:

Sejumlah besar pemimpin-pemimpin luar menghadirinya –Kilij Arslan (bakal Sultan Rum), wakil Khalifah Al-Mustakfi II (Abbasiyah), David Narin dan David Ulu (penuntut-penuntut takhta Georgia), Adipati Besar Yaroslav Vsevolodovich (Vladimir-Suzdal), wakil Paus Innocent IV, adik Raja Hethum I (Armenia), wakil Sultan Alaudin Masud (Kesultanan Delhi), dan tentunya ramai lagi. Menariknya, Adipati Besar Yaroslav mangkat sebaik sahaja bersantap bersama Toregene Khatun. Baginda dipercayai diracuni.

Selepas dinaikkan sebagai Khan, hubungan Buyuk bersama Toregene musnah. Pembasmian anti-“Toregenisme” pula dimulakan. Wanita bernama Fatima dibunuh melalui penjahitan mulut dan hidung sebelum dicampakkan dalam air. Guyuk Khan cuba menghentikan korupsi. Walaupun kaki mabuk, baginda mampu memimpin, mengusahakan gempur keatas barisan Hashshashin yang tidak menerima keputusan kurultai.

http://www.thepatriots.my/assassin-lagenda-organisasi-sulit-yang-ditakuti-bani-seljuk/

Walaupun Guyuk tidak disokong Ulus Jochi semasa kurultai, baginda tetap diterima Batu Khan sebagai penguasa empayar. Perang saudara hampir bermula selepas Batu Khan dijemput ke Karakorum.

Disangka akan diberkas, Batu Khan menyahut seruan ini… bersama tentera yang besar dalam perjalanan ke ibu negara begitu perlahan. Tetapi Guyuk Khan mangkat di Xinjiang sebelum pertemuan itu berlaku, dan sesi kurultai diadakan sekali lagi, yang melantik Mongke Khan turut kerana campur tangan Batu Khan.

Pentadbiran Mongke Khan mengiringi pembersihan politik dan penstabilan rizab kewangan. Ini kerana, selepas pemilihannya, anak Oghul Qaimish membawa bala tentera berniatkan untuk menyerang. Disarankan hukuman, pihak pemberontak dihukum. Isteri Guyuk Khan disumbat dalam karung lalu dilemaskan dalam sungai, hukuman tradisi Mongolia atas dakwaan penggunaan ilmu hitam. Hampir 300 bangsawan dibunuh, dan ada juga dibuang negara.

Selepas penstabilan aliran kewangan, sekali lagi Empayar Mongolia merancakkan gempur ketenteraannya. Kashmir, Iran, Khilafah Abbasiyah, dan Yunnan diserang. Dan Mongke Khan bertanggungjawab dalam serangan keatas Kota Baghdad, tindakan ini menaikkan berang Berke, adik Batu Khan. Operasi ketenteraan dikelaskan berjaya, tetapi tentera-tentera Mongolia mula menghidapi penyakit. Dan Mongke Khan sendiri mangkat, dipercayai kerana penyakit cirit birit berdarah. Maka ketenteraan Mongolia membuat pengunduran agar kurultai dapat dilaksanakan.

Ketenteraan Mongolia juga ditewaskan buat kali pertama pada masa ini. Pihak Mamluk dan Tentera Salib mengetepikan persengketaan dalam usaha menyekat kemaraan Angkatan Ketenteraan Mongolia. Kedua-dua mereka bersetuju bahawa Mongolia merupakan ancaman lebih berbahaya. Dan tentera Mamluk berjaya menewaskan Mongolia di Telaga Jalut (Ayn Jalut). Disinilah titik lokasi terakhir kemaraan Mongolia – empayar agung ini tidak mampu melaksanakan serangan melepasi Syria.

Atas kesibukan berperang Hulagu dan Kublai, adik bongsu Mongke Khan – Ariqboke – mengambil kesempatan dan menobatkan dirinya sebagai khan dalam kurultainya sendiri, di Karakorum. Kublai pula membuat perkara yang sama di Kaiping. Apabila dua raja dinobatkan sebagai penguasa agung, kehancuran akan melanda. Dan itulah Perang Saudara Tolui, nama sempena anak keempat Genghis Khan.
“Hulagu telah menjarah banyak bandar-bandar Islam dan membawa maut kepada Khalifah. Dengan izin Allah, aku akan menuntut keadilan akan pertumpahan darah ini.” – Berke Khan, seorang Islam.

“Kita bantu Mongke menjadi khan. Tetapi dia lupa siapa musuh, siapa kawan. Sekarang, dia sedang menjarah tanah-tanah sahabat kita, Khalifah Abbasiyah. Hina betul.” – Berke, kepada Batu Khan.

Kebencian Berke Khan kepada Hulagu Khan memulakan satu lagi peperangan antara Ulus Jochi-Il Khanate. Maka Kublai Khan merapatkan saf bersama Hulagu, sementara Ariqboke Khan pula bersama Berke. Kematian Hulagu dan Berke menghentikan konflik ini. Sementara itu, tentera-tentera Kublai dengan mudah hapuskan penyokong-penyokong pro-Ariqboke di Selatan Mongolia. Karakorum jatuh ke tangan Kublai selepas serangan makanan dibuat, tetapi Ariqboke berjaya merampasnya kembali. Tetapi Ariqboke menyerah kalah beberapa tahun selepasnya.

Kublai Khan menubuhkan sistem baru buat China, iaitu Dinasti Yuan, dan mencinakan keterampilannya sebagai modal politik untuk menjadi Maharaja China. Ibu negara pula dipusatkan dalam Beijing, keputusan yang tidak disenangi Mongol. Kublai Khan meneruskan operasi ketenteraan mereka di Burma, Annam, Sakhalin, Champa, Jepun dan Jawa, tetapi dua yang terakhir menemui kegagalan.

Dibawah Kublai Khan, Empayar Mongolia berada di kemuncak kesatuan mereka. Selepas terpecah susulan kemangkatan Kublai Khan, mereka tidak lagi mengusahakan kesatuan. Apa yang dikenali “Khan Bangsa Mongol” dijadikan “Maharaja Yuan”. Empayar Mongol berhenti begitu sahaja, tetapi kuasa bangsa Mongolia diteruskan dibawah lima khan yang merdeka:

1. Empayar Yuan
2. Angkatan Kencana Biru
3. Angkatan Kencana Putih
4. Ilkhanate
5. Khan Chagatai

Pengukuhan mereka di Rusia dipatahkan selama-lamanya selepas kemelut besar di Sungai Ugra – dimana tiada seorang pun mati, kecuali penguasaan Mongolia keatas Rusia.

Dari segi pengaruh, memang sukar untuk membincangkan penglibatan Empayar Mongolia kepada politik antarabangsa. Mereka menjalurkan penghapusan populasi kemudian membangunkan blok ekonomi yang menjaminkan.

Seperti kuasa besar yang lain, Empayar Mongolia tidak boleh dikatakan baik atau jahat.

Tetapi empayar ini juga tidak boleh disisihkan begitu sahaja. Ia merupakan empayar yang memegang 40 negara moden, hampir dua kali ganda Persekutuan Rusia.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

1 Comment

  1. Ke hadapan penulis, boleh ceritakan serba sedikit tentang sejarah kelahiran Genghis Khan? Siapa gurunya, kenapa dia dahagakan darah. terima kasih

Leave A Reply