Kira-kira 362 tahun yang lalu, Tokyo, atau pada zaman itu dikenali sebagai Edo, ditimpa sebuah bencana kebakaran yang amat dahsyat. Kebakaran yang berlaku selama 3 hari itu mer4gut nyawa yang jumlahnya sama atau mungkin lebih berbanding angka korban daripada kejadian pengeb0man Hiroshima dan Nagasaki pada tahun 1945, iaitu kira-kira 100 000 orang. Sebahagian sumber menganggarkan angka tersebut mencecah 200 000 orang atau separuh daripada populasi keseluruhan bandar Edo pada waktu itu.
Walaupun Edo pada sepanjang tahun 1600 hingga 1868 menyaksikan berlakunya kebakaran demi kebakaran, akan tetapi Kebakaran Besar Meireki atau kadangkala disebut sebagai Kebakaran Furisode adalah yang paling besar. Dianggarkan bahawa kebakaran ini memusnahkan kira-kira 60-70% dari keseluruhan bandar berkenaan.
Kebakaran ini dinamakan sebagai Meireki kerana ia berlaku pada hari ke-18 dalam bulan pertama bagi tahun ketiga Meireki. Meireki merujuk kepada era pemerintahan Maharaja Go-Sai yang bermula pada tahun 1655 hingga 1663 Masehi, kira-kira 50 tahun selepas berlakunya Pertempuran Sekigahara (1600 Masehi) yang menyaksikan puak Tokugawa secara efektif menyatukan Jepun dan mengambil-alih tampuk politik sebagai shogun. Pada era Meireki ini, shogun yang berkuasa adalah cicit kepada Ieyasu, iaitu Tokugawa Ietsuna.
Dalam sebahagian sumber, Kebakaran Besar Meireki dicatatkan berlaku pada 18-20 Januari 1657. Akan tetapi, pentarikhan tersebut sebenarnya tidak tepat dan terkeliru. Sebagaimana disebutkan pada perenggan di atas, Kebakaran Besar Meireki dicatatkan dalam sumber klasik berlaku pada hari ke-18 dalam bulan pertama bagi tahun ke-3 Meireki. Bulan pertama ini bukanlah merujuk kepada bulan Januari, sebaliknya perkiraan yang disandarkan semula pada kitaran tahun Meireki itu sendiri. Tarikh tepat berlakunya kebakaran ini adalah 2-4 Mac 1657.
Walaupun kebakaran dahsyat ini merupakan bencana besar dalam sejarah Edo, akan tetapi sejarahwan masih belum dapat menyatakan puncanya secara jelas melainkan apa yang pasti, kebakaran bermula dari sebuah kuil Shinto. Bagi menerangkan lebih lanjut tentang punca kebakaran, kebanyakan sumber memetik sebuah kisah rakyat yang bersifat romantis. Antara sumber yang memerihalkan secara terperinci tentang kisah berkenaan adalah Richard Gordon Smith dalam karyanya, Ancient Tales and Folklore of Japan.
Menurut beliau, segalanya bermula daripada seorang gadis yang bernama O Same yang jatuh cinta kepada seorang sami yang beliau sendiri tidak kenali. Cinta pandang pertama itu berputik semasa pertemuan pertama dan terakhir antara mereka berdua di sebuah kuil. Memandangkan nama sami itu sama sekali tidak dikenali oleh O Same, maka mustahil untuknya mencari semula sami itu. Lantaran menanggung derita rindu yang berpanjangan, O Same jatuh sakit. Untuk mengubati hati duka anaknya itu, bapa O Same iaitu Hikoyemon menghadiahkannya sepasang kimono yang amat mahal.
Namun, usaha Hikoyemon sama sekali tidak membuahkan hasil dan O Same meninggal dunia dengan membawa hati yang telah dipatahkan oleh cinta tersebut. Selepas menyemadikan jasad O Same, kimono itu dihadiahkan ke sebuah kuil untuk dipelihara. Akan tetapi, disebabkan nilai kimono itu yang mahal, maka si ketua sami di kuil berkenaan pecah amanah dan menjualnya di sebuah kedai barangan terpakai. Setahun kemudian, kimono itu dihadiahkan semula oleh seorang ayah yang kehilangan anak gadisnya, atas sebab yang sama seperti O Same, dan kimono itu sekali lagi dijual oleh si ketua sami. Tahun seterusnya juga berlaku keadaan yang sama.
Lantaran kejadian itu berulang lagi dan lagi, maka si ketua sami dan rakan-rakan sami yang lain menganggap kimono itu telah disumpah lantas membakarnya. Namun sebaik sahaja kimono itu dijilat api, angin kencang terus bertiup sekaligus menyebarkan marakan api itu ke seluruh kuil, dan seterusnya ke seluruh bandar Edo.
Walaupun agak meragukan untuk menjadikan kisah di atas ini sebagai sebab berlakunya kebakaran, namun banyak sumber yang tidak menafikan kebarangkalian untuk kisah tersebut benar-benar berlaku. Apapun keadaannya, kemusnahan yang diakibatkan oleh kebakaran ini adalah suatu perkara yang pasti.
Tepat pada tanggal 2 Mac 1657, suatu angin barat laut bertiup kencang dan memarakkan lagi kebakaran yang berlaku di salah sebuah kuil di Edo, sekaligus mengakibatkannya tersebar ke bangunan-bangunan lain. Sebelum sempat pasukan pemadam api menangani keadaan, kebakaran sudah pun tersebar jauh melangkaui Sungai Sumida dan Terusan Nihonbashi, lalu meranapkan Fukugawa dan Kyobashi. Ramai yang menjadi korban pada hari pertama.
Memasuki hari kedua, kebakaran terus tersebar hingga ke Istana Edo. Mujur, istana utama sempat diselamatkan. Walau bagaimanapun, menara-menara di bahagian luar tembok istana habis hangus terbakar. Begitu juga dengan kediaman para daimyo dan samurai bawahan. Angka korban pada hari kedua juga ramai, namun tidak seramai hari pertama.
Walaupun kebakaran tersebut akhirnya terhenti pada hari ketiga, asap tebal terus menyelimuti langit Edo selama berhari-hari sekaligus menghalang sebarang usaha pemulihan – pencarian jasad korban ataupun membersihkan puing-puing runtuhan. Hanya pada hari ketujuh, barulah pihak kerajaan dapat menggerakkan usaha pembersihan secara giat.
Jasad mangsa-mangsa yang terkorban dibawa ke sebuah lapangan besar untuk disemadikan di dalam sebuah lubang besar yang sudah digali terlebih dahulu. Lantaran mustahil untuk setiap jasad itu dikenal pasti identitinya, maka upacara pengebumian individu tidak dilakukan. Sebaliknya, Edo membawa masuk sekumpulan sami dari pelbagai kuil untuk membacakan doa setiap kali jasad mangsa disemadikan.
Lanskap kota Edo pasca-Kebakaran Besar Meireki mengalami perubahan yang cukup drastik. Kediaman raja-raja feudal, kuil-kuil penting dan beberapa tempat suci dipindahkan ke kawasan yang lebih hampir di pinggir bandar. Lantaran itu, komuniti pinggir bandar seperti Honjo dan Fukugawa ikut terbangun dan menjadi sebahagian daripada bahagian penting kota.
Di samping itu, langkah-langkah keselamatan turut diambil dengan lebih giat. Jalan-jalan utama dilebarkan untuk memudahkan pergerakan di samping melambatkan kadar kemarakan api. Sejumlah terusan juga digali di tempat-tempat utama untuk berfungsi sebagai banteng kebakaran, selain memudahkan lagi kerja-kerja pemadaman.
Kerajaan juga mengeluarkan undang-undang baru yang antara lain adalah perintah untuk memindahkan bekalan kayu yang disimpan di Edo ke daerah Kiba. Usaha pembinaan semula bandar secara terancang juga digerakkan oleh Tokugawa Ietsuna, di mana ia mengambil masa selama 2 tahun. Saiz bandar Edo juga mengalami peningkatan.
Rentetan kejadian ini, nama era diraja ditukar daripada ‘Meireki’ kepada ‘Manji’. Nama era diraja lazimnya berubah apabila seorang maharaja baru dimahkotakan. Namun, berlakunya peristiwa besar ataupun bala bencana yang teruk juga menjadi faktor perubahan dan hal ini berlaku bagi Kebakaran Besar Meireki.
Sebagai tanda peringatan bagi mengenang peristiwa malang ini, sebuah dewan atau kuil memorial yang besar dibina. Binaan ini dinamakan sebagai Kuil Eko-in.
RUJUKAN:
Richard Gordon Smith. Ancient Tales and Folklore of Japan. (1906). London: A. & C. Black.
Tokyo
Metropolitan Library. (n.d.). Reconstruction of the city after ‘Great Fire of
Meireki”.
https://www.library.metro.tokyo.jp/portals/0/edo/tokyo_library/english/machi/page2-1.html
Sean Munger. (2
Mac 2015). The night Edo burned: The Great Fire of Meireki.
https://seanmunger.com/2015/03/02/the-night-edo-burned-the-great-fire-of-meireki/
Major Dan. (2
Mac 2017). March 2, 1657: Great Fire Kills More Japanese than Atom Bomb!
History and Headlines.
https://www.historyandheadlines.com/march-2-1657-great-fire-kills-japanese-atom-bomb/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih