Zaman Penemuan (atau turut disebut sebagai Zaman Penjelajahan) merujuk kepada sebuah era dalam sejarah Eropah di mana banyak pengembaraan merentas lautan luas dilakukan. Era ini secara kasarnya berlangsung pada awal kurun ke-15 hingga pertengahan kurun ke-17 Masehi dan kebiasaannya dikaitkan dengan Portugal dan Sepanyol, walaupun tentunya ada sahaja negara-negara lain yang turut melakukan penjelajahan tersendiri. Rantau Eropah Utara dan Russia juga tidak ketinggalan dari turut merasai kehangatan zaman ini. Banyak faktor yang memicu berlakunya Zmaan Penemuan dan ia meninggalkan kesan yang bukan hanya mempengaruhi sejarah Eropah, akan tetapi seluruh dunia.
FAKTOR-FAKTOR YANG MENDORONG BERLAKUNYA ZAMAN PENEMUAN
Salah satu faktor utama yang membawa kepada berlangsungnya Zaman Penemuan adalah perdagangan. Sekitar awal kurun ke-13 Masehi, dunia menyaksikan betapa Genghis Khan menubuhkan Empayar Monggol dan membangunkannya sehingga menjadi empayar daratan paling luas dalam sejarah, merentangi China di sempadan timur hingga ke Eropah Tengah di sempadan barat. Menerusi hegemoni Monggol ini, aktiviti perdagangan dapat dijalankan dengan lancar antara dunia timur dan dunia barat, khususnya di sepanjang Laluan Sutera.
Walau bagaimanapun, empayar tersebut mula berpecah pada kurun ke-14 dan natijahnya, Laluan Sutera tidak lagi menjadi rangkaian jalan perdagangan yang selamat. Tentunya, aktiviti perdagangan boleh sahaja dilangsungkan melalui jalan laut, namun terdapat satu masalah yang terpaksa dihadapi – Laut Mediterranean dikuasai oleh Venetia sementara Laut Merah yang berfungsi sebagai pintu masuk ke Lautan Hindi pula dikawal oleh Turk-Uthmaniyah. Keadaan sebegini tentunya tidak memihak, bahkan merugikan negara-negara yang terletak jauh di barat.
Di samping tekanan dari sudut perdagangan, Zaman Penemuan juga didorong oleh suasana politik. Di Semenanjung Iberia, kempen Reconquista yang berlangsung sejak kurun ke-8 Masehi kian menghampiri pengakhirannya pada lewat kurun ke-15 Masehi. Walaupun Granada hanya jatuh pada tahun 1492 sekaligus menyudahkan kempen pen4klvkan tersebut, hakikatnya seluruh Semenanjung Iberia (kecuali Emiriyah Granada) sudah pun tumbang ke tangan Kristian semenjak pertengahan kurun ke-13 lagi.
Kejayaan Reconquista mendorong kebangkitan kerajaan-kerajaan Kristian di Eropah, khususnya Portugal dan Sepanyol. Raja dari kedua-dua kerajaan ini kemudian menggalang rakyat jelatanya untuk meneroka lautan luas sekaligus memicu kelangsungan Zaman Penemuan. Tambahan, pada masa-masa itu jugalah berlakunya perkembangan dalam teknik pembuatan dan pengemudian kapal.
Faktor agama juga tidak boleh dikesampingkan, lebih-lebih lagi bagi pihak Portugal. Salah satu motivasi utama yang mendorong monarki Portugal untuk menjelajah dunia adalah legenda Prester John, iaitu raja legenda yang kononnya memerintah sebuah kerajaan Kristian di Timur. Warga Portugis berhasrat mahu menemui raja legenda itu dan mengadakan pakatan dengan mereka dalam memerangi umat Islam, justeru mereka pun berusaha mengembara ke belahan timur dunia.
PENGEMBARAAN-PENGEMBARAAN AWAL
Walau bagaimanapun, perlu dikepilkan nota ringkas di sini bahawa pengembaraan dan penerokaan sudah pun dilakukan pada kurun-kurun yang lalu, sebelum bermulanya Zaman Penemuan. Misalnya pada Zaman Pertengahan, para pedagang dari Itali (khususnya Marco Polo) dan mubaligh-mubaligh Kristian (seperti Franciscn Odoric dari Pordenone) sudah pun berkelana ke timur.
Begitu juga dengan tamadun-tamadun lain yang turut melakukan pengembaraan tersendiri, lebih-lebih lagi dengan kewujudan Laluan Sutera Maritim yang menyaksikan para pedagang dari China, Asia Tenggara, India, dan Semenanjung Arab saling berinteraksi. Ibnu Battuta, pengembara masyhur dari Maghribi, turut melakukan pengembaraan jarak jauh pada kurun ke-14 Masehi, di mana beliau tidak hanya mengunjungi wilayah-wilayah Islam, tetapi turut mengunjungi rantau yang dipengaruhi budaya dan agama lain seperti Asia Tengah, Asia Tenggara, dan China.
MERENTASI KAWASAN YANG BELUM DIPETAKAN
Walau bagaimanapun, terdapat satu perbezaan ketara antara pengembaraan yang dilakukan pada Zaman Pertengahan dan Zaman Penemuan, iaitu pada Zaman Penemuan, pengembara-pengembara yang terlibat memulakan keberangkatan mereka di penghujung barat benua Eropah dan mengharungi lautan luas yang sama sekali belum pernah mereka terokai.
Sepertimana yang telah disebutkan di atas, akses ke Lautan Hindi dari Laut Merah telah dikawal dan dihalang oleh Turki sekaligus memustahilkan orang Eropah untuk melaluinya. Oleh kerana itu, laluan alternatif untuk ke timur adalah dengan berlayar ke penghujung selatan benua Afrika lalu mengubah haluan ke timur.
Pada masa itu, pantai Afrika masih belum diteroka sepenuhnya dan mustahil pula untuk orang Eropah mengambil laluan darat kerana Afrika Utara ketika itu berada di bawah pemerintahan Muslim. Maka mahu tidak mahu, mereka terpaksa berlayar di sepanjang pantai barat Afrika dan menemukan penghujung selatannya lalu mengubah haluan ke timur untuk memasuki Lautan Hindi.
PETUALANGAN AWAL OLEH PARA PENGEMBARA PORTUGAL
Penemuan-penemuan awal pada era ini banyak dikreditkan kepada peneroka dari Portugal. Tahun 1415 dianggap sebagai tahun penubuhan Empayar Kolonial Portugal, memandangkan pada tahun tersebut Portugis merentasi Selat Gibraltar dan men4klvki kota Muslim di Ceuta.
Empat tahun kemudian, iaitu pada 1419, dua orang kapten Portugis yang berkhidmat untuk Putera Henry dibadai ribut taufan semasa berlayar sehingga terdampar di sebuah pulau yang dinamakan sebagai Porto Santo. Tahun berikutnya, mereka kembali semula ke pulau itu untuk mewartakannya sebagai milik Portugal dan dalam kesempatan itu, mereka menemui sebuah pulau yang lebih besar, iaitu Pulau Madeira. Pada tahun 1427 pula, mereka menemui Pulau Azores dan pada dekad-dekad berikutnya, Portugis terus melakukan penerokaan di sepanjang pantai barat Afrika.
Cape Bojador (di pantai utara Sahara barat) diharungi pada tahun 1434 dan sebelas tahun kemudian, Portugis tiba di Senegal dan Cape Verde. Tahun berikutnya, mereka meneroka Sierra Leone moden. Begitu juga dengan Teluk Guinea, dan seterusnya Congo yang ditemui oleh Portugis pada tahun 1482.
Empat tahun berikutnya, mereka tiba di Cape Cross, Namibia moden, sebelum akhirnya pada tahun 1488, Bartolomeu Dias berjaya sampai di Tanjung Harapan. Ia dianggap sebagai satu peristiwa yang signifikan buat Portugal kerana ketibaan di Tanjung ini membawa maksud mereka berjaya menemui penghujung selatan benua Afrika dan selangkah lagi untuk mereka tiba di Lautan Hindi yang terletak di sebelah timur.
Apapun, sepuluh tahun masa diambil oleh Portugal untuk benar-benar tiba di sub-benua India, atau lebih tepat, Calicut yang dikunjungi oleh Vasco da Gama pada tahun 1498 sekaligus menjadikannya orang Eropah pertama yang sampai di India melalui jalan laut.
Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, Reconquista baru sahaja diselesaikan pada tahun 1492 dengan tumbangnya Granada. Tambahan, Sepanyol turut disibukkan dengan rantau Mediterranean memandangkan monarki Aragon turut memerintah beberapa kawasan di luar Semenanjung Iberia, seperti Itali selatan, Sardinia, dan Sicily.
Sepanjang kurun ke-15 Masehi, Portugis bebas meneroka lautan luas tanpa menerima saingan daripada mana-mana negara Eropah. Hal ini kerana pada waktu itu Sepanyol (pada masa itu Monarki Kastil dan Aragon) yang kelak menjadi seteru utama Portugis sedang disibukkan dengan urusan-urusan lain.
PERSAINGAN ANTARA SEPANYOL DAN PORTUGAL
Tentunya, Sepanyol tidak ingin kalah tanding dengan Portugis dan kedua-dua kerajaan ini pun bersaing mahu menjadi yang pertama tiba di timur melalui jalan laut. Pada Januari 1492 sejurus selepas men4kl4ki Granada, seorang pengembara dari Genoa bernama Christopher Columbus menerima perkenan Ferdinand II dan Isabella I untuk berlayar merentasi Lautan Atlantik.
Columbus percaya, tanah Asia boleh dicapai dengan berlayar ke barat (bukan ke timur). Usulan yang sama ini pernah dibentangkan kepada John II, raja Portugal, namun ditolak. Cadangannya itu juga pada mulanya ditolak oleh Ferdinand dan Isabella sebanyak dua kali, sebelum berjaya jua meraih naungan mereka berdua pada tahun 1492.
Sedikit bercanggah dengan tanggapan umum, cadangan Columbus ini tidaklah ditolak dek kerana masyarakat ketika itu mempercayai yang bumi itu rata. Akan tetapi oleh kerana pakar-pakar di istana Portugal dan Sepanyol beranggapan kiraan jarak antara Eropah dan Asia yang dibentangkan oleh Columbus agak tidak masuk akal.
Dalam persoalan ini, sememangnya keraguan pakar-pakar Portugal dan Sepanyol benar. Cuma nasib menyebelahi Columbus apabila beliau tetap jua menemui sebuah daratan luas di antara Eropah dan Asia, iaitu benua Amerika yang kewujudannya belum diketahui ketika itu.
Maka, Columbus pun dikenang di Barat sebagai individu yang menemukan Dunia Baru. Sejarahwan berpendapat bahawa andai Amerika tidak wujud, nama Columbus mungkin hanya akan berada di ruangan nota kaki dan diingati sekadar sebagai salah seorang pengembara yang berlayar ke barat tanpa pulang. Sepanjang tahun-tahun awal sesudah Dunia Baru ditemui, Columbus bertegas mengatakan bahawa beliau sudah menjumpai laluan ke Asia walaupun hakikatnya, tanah yang dijumpainya itu bukanlah Asia, sebaliknya sebuah benua lain.
Apapun, kita ketepikan sebentar soal Columbus, penemuan Dunia Baru ini merancakkan lagi konflik antara Portugal dan Sepanyol. Semasa Columbus pulang dari perlayarannya yang pertama pada tahun 1493, Sepanyol mendakwa tanah-tanah yang baru ditemui itu sebagai milik mereka. Dakwaan ini dibantah oleh Portugal yang mengedepankan titah paus pada tahun 1455, 1456, dan 1479 yang mewartakan hak pemilikan mereka ke atas tanah-tanah tersebut.
Rentetan itu, Sepanyol pun berusaha mendapatkan titah paus yang baru untuk membatalkan titah-titah yang lama. Entah kebetulan yang bagaimana,Alexander VI yang bertugas sebagai paus pada waktu itu adalah warga Valencia dan rakan karib kepada raja Sepanyol. Maka, dengan mudah titah-titah paus yang banyak memihak Sepanyol berjaya diperoleh. Salah satu titah tersebut adalah Inter caetera yang mewartakan kesemua tanah dalam lingkungan 100 farsakh ke barat dan selatan dari Kepulauan Azores dan Kepulauan Cape Verde adalah milik Sepanyol.
PERJANJIAN TORDESILLAS
Portugal sama sekali tidak berpuas hati dengan kandungan titah paus tersebut. Maka, mereka pun mengadakan rundingan dengan Sepanyol dan seterusnya menandatangani Perjanjian Tordesillas pada 7 Jun 1494. Perjanjian ini kemudian menerima persetujuan daripada Paus Julius II pada 1506. Menurut perjanjian tersebut, dunia dibahagikan kepada dua hemisfera yang masing-masing diperuntukkan kepada Sepanyol dan Portugal.
Perjanjian ini membolehkan kedua-dua kerajaan itu men4kl4ki mana-mana tanah baru yang mereka terokai (kecuali yang diperintah oleh kerajaan Kristian) – Sepanyol berkuasa di barat manakala Portugal mendominasi timur. Rentetan itu, Sepanyol pun menubuhkan koloni di Amerika Selatan sepanjang dekad-dekad berikutnya sambil Portugal men4kl4ki dunia timur. Namun, berlaku juga kes terpencil seperti Brazil yang menjadi milik Portugal semasa ia diteroka pada tahun 1500, memandangkan negara itu berada dalam separuh timur meridian.
GAJAH SAMA GAJAH BERP3R4NG, PELANDUK M4TI DI TENGAH-TENGAH
Kelemahan Perjanjian Tordesillas semakin ketara pada tahun 1512 apabila Kepulauan Maluku diteroka oleh Portugal. Walaupun Portugal mendakwa kepulauan itu sebagai milik mereka, Sepanyol mengemukakan bantahan pada tahun 1521 rentetan ia berada dalam hemisfera barat yang jika menurut perjanjian, ia jatuh di bawah lingkungan kepemilikan Sepanyol. Peleraian konflik ini hanya dicapai pada tahun 1529 apabila Perjanjian Zaragoza ditandatangani.
Walaupun kedua-dua perjanjian tersebut disepakati oleh Sepanyol dan Portugal, ia secara langsung mengenepikan penglibatan kuasa-kuasa Eropah yang lain. Maka, mereka pun menjalankan ekspedisi penerokaan yang tersendiri. Inggeris dan Belanda yang mendiami Eropah Utara misalnya, berminat dengan idea untuk mencari laluan laut ke timur di belahan utara Eurasia dan usaha itu dimulakan pada pertengahan kurun ke-16 namun hanya menemuinya pada separuh kedua kurun ke-18 Masehi.
Selain Laluan Timur Laut Untuk Ke Timur (dari Eropah Utara ke Asia), mereka turut mencari Laluan Barat Laut Untuk Ke Timur (dari Amerika Utara ke Asia). Penerokaan kedua ini dijalankan seawal kurun ke-16 dan hanya membuahkan hasil pada awal kurun ke-20.
Sebagai penutup, walaupun Zaman Penemuan dianggap sebagai sebuah era kegemilangan orang Eropah, kisah yang berbeza berlaku bagi tamadun-tamadun yang berhadapan dengan mereka. Kebanyakannya berakhir dengan dit4klvki oleh negara-negara Eropah, dan tidak kurang juga ada yang menerima nasib yang tragis.
Hal ini dapat dilihat dengan jelas dalam sejarah Empayar Aztec dan Inca. Sewaktu awal-awal ketibaan peneroka Sepanyol di Dunia Baru, kedua-dua tamadun itu merupakan tamadun yang sangat maju. Namun, masing-masing dihancurkan dalam tempoh yang sangat singkat.
Antara faktor besar yang membolehkan conquistador–conquistador Sepanyol men4klvki tamadun-tamadun di Dunia Baru adalah penularan wabak yang dibawa dari Eropah. Penyakit ini meragut banyak nyawa warga tempatan sekaligus mengurangkan tenaga kerja dan menjejaskan semangat mereka.
Senario tragis ini tidak terhenti di situ. Dek kurangnya populasi tempatan untuk diperhambakan oleh penjajah Sepanyol bagi mengusahakan tanah-tanah perladangan yang dibuka, habis warga-warga Afrika yang turut menerima petaka penjajah Eropah dimangsakan sebagai buruh abdi di Dunia Baru.
TERJEMAHAN:
Wu Mingren. (27 Januari 2020). The Age of Discovery: A New World Dawns. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/age-discovery-0013205
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih