Kota Melaka sentiasa menjadi simbol kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka (KMM). Ini kerana kota berkenaan bukan sekadar berperanan sebagai pusat pentadbiran kerajaan tetapi juga sebagai pusat perdagangan dan pusat penyebaran agama Islam di rantau Nusantara pada abad ke-15.

Namun, ada yang menyifatkan kewujudan kota berkenaan sebagai mitos semata-mata berikutan ketiadaan bukti fizikal yang menyokong kewujudan kota berkenaan. Hakikatnya, Kota Melaka benar-benar wujud berdasarkan pelbagai bukti yang muncul dalam lipatan sejarah dunia.

Pertama sekali, kita perlu meneliti kenyataan penulis Portugis, Tome Pires dalam bukunya Suma Oriental. Beliau berkata, “…orang tidak dapat mentafsir nilai Melaka kerana kebesaran dan keuntungannya. Di sana kamu boleh dapat semua yang kamu kehendaki dan kadangkala lebih daripada yang kamu cari. Sesiapa yang menjadi tuan di Melaka, seperti menguasai Venice di Eropah.”

Kenyataan Pires ini menerangkan beberapa perkara. Pertama, kesibukan Melaka sebagai pelabuhan entrepot menyaingi atau melebihi kesibukan pelabuhan Venice. Kedua, nilai dagangan yang masuk ke Melaka dari Timur (China dan India) dan Barat (Timur Tengah) bukan saja menjadikan KMM sebagai sebuah kerajaan yang kaya tetapi juga mengancam status pelabuhan Venice. Ketiga, dengan melihat lukisan-lukisan Venice abad ke-15 sebagai inspirasi, ia menunjukkan Kota Melaka juga merupakan sebuah kota batu-bata yang kukuh setaraf dengan Venice.

Buktinya, kewujudan sebuah lukisan peta yang dihasilkan oleh Jorge Reinel pada tahun 1510, setahun sebelum serangan Portugal diketuai Alfonso de Albuquerque ke atas Melaka. Walaupun lakaran tersebut menggunakan lakaran kota bercirikan Eropah, tetapi itu menjelaskan kemajuan Melaka ketika itu. Kedua, lakaran tersebut turut menggambarkan status Melaka sebagai pelabuhan entrepot dunia walaupun pada ketika itu, ia berhadapan dengan krisis pemerintahan yang lemah semasa era Sultan Mahmud Shah. Akhir sekali, satu-satunya kota yang dianggap maju di Nusantara ketika itu ialah Kota Melaka. Justeru, lakaran Reinel menunjukkan kehebatan Melaka setanding dengan Venice dan mengesahkan kewujudannya secara fizikal.

Lakaran Kota Melaka oleh Jorge Reinel. Sumber: http://gingtz.blogspot.com/2017/09/kota-melaka-venice-of-east.html

Selain lakaran peta Reinel, lukisan-lukisan dari China juga turut menjadi bukti fizikal kewujudan Kota Melaka. Perlu diingat, China semasa era Dinasti Ming merupakan kuasa besar pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan Melaka semasa era Parameswara. Melalui jalinan hubungan diplomatik ini, sudah pasti akan ada banyak rekod menarik membabitkan kedua-dua kerajaan terutama dari segi perdagangan, ilmu dan teknologi. Maka, China dianggap sumber yang berautoriti sebagai sumber dan panduan yang membuktikan kewujudan Kota Melaka.

Selepas menubuhkan Melaka sebagai sebuah kerajaan, Parameswara sedar keupayaan Melaka untuk bertahan dari serangan Siam dan Majapahit hanya akan berhasil sekiranya mereka menjalin hubungan dengan China. Pada masa sama, China pula melihat Melaka sebagai peluang mengembangkan pengaruhnya di luar kerajaan berkenaan. Justeru, Maharaja Yongle menghantar Laksamana Yin Ching ke Melaka pada tahun 1403 dan ini diceritakan dengan panjang lebar dalam Ming Shi (Sejarah Dinasti Ming):

“Melaka letaknya di sebelah Campa. Kalau berlayar dengan angin paksa maka lapan hari boleh tiba di Lang Ya Men (Lingga), berlayar lagi dua hari ke arah barat maka tibalah di Dun Sun (Tenasserim), Tang Ge Luo Sha (Segenting Kra). Bulan 10 tahun pertama Tahun Yong Le (1403 TM) Maharaja mengutus Menteri Dalam Yin Ching ke negeri itu untuk menghantarkan bingkisan yang berupa sutera dewangga, kunci emas, tabir-mabir dan lain-lain.

Adapun negeri itu tidak beraja, juga tidak disebut negara, takluk kepada Siam, tiap tahun mempersembahkan emas 40 tahil sebagai ufti. Setelah tiba, maka Yin Ching pun menghebahkan kedaulatan dan keluhuran budi kaisar dan menyampaikan jemputan supaya datang menghadap. Kepala negerinya Parameswara sangat bersukacita dan disuruhnya pula seorang utusan mengikuti Yin Ching pergi menghadap kaisar serta mempersembahkan barang-barang hasil mahsul. Bulan 9 tahun 3 (1405 TM) tibalah di ibu negeri. Melaka pun sangat memujinya, maka mengiktirafkannya sebagai Raja Negeri Melaka dan menganugerahkan cap kempa, macam-macam wang, pakaian kerajaan, payung iram-iram kuning, menyuruh Yin Ching pergi semula ke Melaka.

Hatta maka utusan Melaka pun berdatang sembah: “Raja hamba mengagumi keadilan, ingin berjiran sebagai negeri bawahan dengan Tiongkok, tiap tahun mempersembahkan ufti, maka mohon dirasmikanlah sebuah bukit sebagai tiang seri negara.”

Permohonan itu pun dikabulkan oleh kaisar dan disuruh buatkan batu bersurat untuk ditegakkan di bukit itu, dan di bahagian akhirnya diterakan sebuah puisi yang berbunyi:

Dari samudera barat daya sampai ke Tiongkok alam menyambung,
berjuta tahun sama-sama dirahmati langit dan bumi dengan berkat dan untung.


Bersebati mesra disinari suria dan candra dengan cahaya nan lembayung,
bertumbuh subur rumput pokok disirami hujan dan embun yang melindung.
Bersemarak kesuma kencana memancarkan warna-warni kilau nan membubung, nun, di situlah berdiri sebuah negeri dengan rakyatnya yang menjunjung adat agung.


Rajanya bijak dan adil tiada lalai berdatang kunjung,
berikhtiar lebih daripada jirannya mematuhi adab unggun yang dijunjung.
Keluar masuk diarak pengiring dengan berapit payung mayung,
adat resam daripada nenek-moyang dengan khidmat sentiasa dipanggung.
Syahdan bersuratlah pada batu mulia memuji bakti setia nan tak pernah urung, di bukit barat negerimu bertegak megah selama peredaran dunia berlangsung.


Penjaga gunung dan laut bagaikan pengawal selalu taat mendukung,
nenek-moyang berkenan turun bermukim di alam nan bercakerawala lengkung. Dinaungi nujum mulia negerimu kian hari kian makmur beruntung, dan anak cucumu sekaliannya bertuah bahagia tiada berhujung.

Dengan mengiktiraf kekuasaan Parameswara sebagai Raja Melaka dan mengurniakan batu sendi kepada Melaka, ia memberi pelbagai tanda hubungan China-Melaka. Pengiktirafan Maharaja Yongle dianggap isyarat bahawa keupayaan pemerintahan baginda dalam mentadbir Melaka sehingga menjadi sebuah negeri yang makmur diiktiraf oleh kuasa besar dunia.

Kedua, pengurniaan batu sendi sebagai tiang seri negara menunjukkan bukit yang didiami oleh baginda ialah Bukit Melaka sekaligus merupakan tapak istana KMM. Dengan kemakmuran yang dinikmati Melaka pada dekad-dekad seterusnya, ia memberi peluang kepada KMM mendirikan Kota Melaka sebagai simbol kekayaan dan kemakmuran kerajaan berkenaan selama lebih seabad.

Kota Melaka menurut sejarah China. Sumber: British Library dan Ming Shi.

Kedua, lihat pula lukisan-lukisan China ini. Kedua-dua lukisan ini jelas menunjukkan kedudukan Istana Melaka yang terletak di Bukit Melaka di mana reka bentuknya menggabungkan elemen China dan Nusantara seperti bumbung istana berbentuk runcing (seni bina China) dan menara menggunakan seni bina China dan Nusantara dari menara masjid hinggalah menara kawalan keselamatan.

Tidak mustahil, hubungan erat yang terjalin antara kedua-dua kerajaan sedikit sebanyak mempengaruhi seni bina bangunan tempatan. Kedua, lukisan ini juga merupakan bukti keterangan perjalanan Laksamana Yin Ching pada tahun 1403 dan menggambarkan pusat pentadbirannya sebagai pusat perdagangan dan kubu pertahanan yang kukuh. Perkara ini hanya terjadi apabila ia dibina menggunakan batu-bata sebagai asas binaannya dan lukisan ini jelas menggambarkan ciri fizikal Kota Melaka itu sendiri.

Dari segi reka bentuk sesebuah kota, bentuk Kota Melaka sama sekali berbeza dengan kota-kota yang dibina penjajah Eropah seperti Kota A’Famosa. Tidak seperti kota Eropah yang dibina mengikut keluasan dan muka bumi sesebuah kawasan, bentuk Kota Melaka masih berbentuk segi empat dengan mengikut sejarah pemerintah terdahulu Asia Tenggara.

Tidak kira di mana saja sesebuah kerajaan itu bertapak sama ada di muara sungai atau hutan belantara, segi empat sentiasa menjadi pilihan. Ia menjadi pilihan kerana bertepatan dengan falsafah bentuknya yang ringkas dan sinonim dengan struktur sosial masyarakat serta senang diselenggara. Dari situ, sebuah pusat pentadbiran atau pemerintahan dibina di tengah-tengahnya bukan sekadar untuk memantau setiap penjuru kota tetapi juga menjadikan ia sebagai satu institusi yang istimewa.

Contoh ibu kota kerajaan Nusantara di Indonesia. Sumber: British Library dan Arkib Indonesia.

Reka bentuk kota berbentuk segi empat ini sebenarnya boleh dikesan sejauh abad keempat Masihi melalui penemuan arkeologi di Lembah Bujang, Kedah. Selain itu, kota-kota kerajaan ini turut menggunakan batu di kawasan pesisir laut atau muara sungai sebagai asas binaan kerajaan mereka. Reka bentuk kota bersegi empat ini berterusan sehinggalah ke era pemerintahan penjajah-penjajah Eropah di mana ia diaplikasikan kepada kubu-kubu pertahanan seperti Kota Melawati, Kota Lukut, Kota Simpang dan Kota Kuala Kedah. Dengan pemilihan segi empat ini juga, ia turut menjustifikasikan lukisan-lukisan orang Eropah dan China berkenaan Kota Melaka bukan saja dari segi susunan kota tetapi juga dari segi bahan binaan kota.

Lakaran Kota Melaka menurut pedagang dan perisik Eropah. Sumber: Lisbon Library, Arkib Kebangsaan Portugal dan British Library.

Jika ada yang merasakan ia masih lagi satu dongengan, maka lihat saja pelbagai sumber penulisan yang merujuk tempoh pasca-penaklukan Melaka pada tahun 1511. Sewaktu membentangkan kertas kerja Melaka Fort dalam Seminar Pengkisahan Melaka 2003-2006 anjuran Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) pada tahun 2006, sejarawan Graham W. Irwin berkata, “The first fort built at Melaka was constructed by Malays. It consisted of a system of earthworks, surmounted by wooden stockades and, by the early sixteenth century, was well provided with guns. Within its defence line lay the royal palace of the Melaka sultans. During Alfonso d’Albuquerque’s attack of 1511 these Malay work were much damaged, though traces of them could still be seen in 1641.” Ini jelas menunjukkan masih ada kesan kubu Kota Melaka yang terus bertahan walaupun selepas teruk dibedil angkatan perang Portugal diketuai Alburquerque.

Kedua, untuk mengukuhkan semula pertahanan kota dan menghilangkan kesan agama Islam di Melaka, satu kota baru diarah dibina di atas runtuhan Masjid Agung Melaka. Sekali imbas, bentuk Fortaleza de Malaca (Kota Melaka versi Portugis) nampak seperti kubu tipikal Eropah. Hakikatnya, ia meniru reka bentuk segi empat kota-kota di Nusantara dan pelan asas sesebuah masjid di seluruh dunia dari Timur Tengah hingga rantau Nusantara. Buktinya, anda boleh lihat dua gambar di bawah:

Jika anda amati betul-betul, bentuk Fortaleza de Malaca sama dengan reka bentuk masjid Nusantara dari pemilihan reka bentuk segi empat sehinggalah kedudukan menara. Persamaan paling menonjol ialah kedudukan ruang kecil di bahagian paling hadapan kota ini mirip dengan tempat solat imam dan kedudukan mimbar. Sementelah pula, menara peninjau yang dibina oleh Portugis mirip kedudukan dan binaan menara pada masjid yang dibina sebelah kanan bangunan menghadap kiblat.

Bagi memastikan kota ini dapat diselesaikan dalam masa singkat, bahan binaan Fortaleza de Malaca diambil dari pelbagai sumber termasuk runtuhan Masjid Agung Melaka, bangunan-bangunan keagamaan (masjid dan madrasah) di seluruh Melaka dan batu-batu nisan sultan-sultan Melaka terdahulu. Ya, apa yang dilakukan mereka licik dan kejam. Tetapi bagi Alburquerque, bahan-bahan ini menjadi pilihan mereka kerana ia merupakan batu laterit, sejenis batu yang dianggap kukuh dan sesuai sebagai asas binaan kubu mereka. Kesan binaan kubu dari bahan ini masih ada sehingga hari ini dan boleh dilihat di bawah:

Kota Melaka era Portugis banyak menggunakan batu laterit. Kota yang tertimbus di bawah tanah menjadikannya seakan „diawet‟ lantas mengekalkan tekstur dan warna asal batu laterit. Sumber: Noor Aisyah Mokhtar, 2013.

Satu lagi bukti yang menunjukkan ia dibina di atas runtuhan Masjid Agung Melaka ialah ia dibina di kawasan kaki bukit berhampiran muara Sungai Melaka. Mengikut falsafah pembinaan kota Melayu, masjid selalunya dibina berhampiran dengan kawasan yang mempunyai akses kemudahan air seperti sungai atau tasik.

Dengan akses sebegini, ia memudahkan orang ramai untuk menyucikan diri terlebih dahulu sebelum melangkah masuk ke masjid. Selain bertujuan menghapuskan kehadiran Islam di Melaka, lokasi ini turut dipilih kerana ia mudah diselenggara dan boleh diperkukuhkan semasa perang, satu lagi bentuk peniruan falsafah pertahanan kubu Melayu oleh Portugis.

Justeru, tidak hairanlah kenapa falsafah ini dipergunakan Portugis sehabis mungkin untuk mempertahankan Melaka bukan saja dari ancaman Sultan Mahmud Shah (serangan dari Bentan dan Kampar) malah dari Kesultanan Acheh dan Kesultanan Johor pada abad ke-16 sebelum ia akhirnya tumbang pada tahun 1641 menerusi pakatan Belanda-Johor. Jika ia dibina dari asas runtuhan Kota Melaka, maka kita boleh bayangkan bagaimana Kota Melaka KMM berdiri gah walaupun diasak hebat oleh pihak musuh pada tahun 1511 sebelum dan selepas ia runtuh.

Jika ada merasakan seni pembinaan kota dan kubu pertahanan yang dibuat daripada batu-bata ini hilang selepas kejatuhan Melaka, anda salah. Ia tetap diteruskan oleh kerajaan-kerajaan Melayu lain termasuk pewaris KMM, Kesultanan Johor menerusi pembinaan Kota Johor Lama. Kota yang dibina pada tahun 1540 ini dibina di atas puncak sebuah bukit di tebing kiri hilir Sungai Johor dengan sebahagian tembok kota terletak di Tanjung Batu. Tembok ini terdiri daripada lapisan batu-batu pejal selebar tiga meter dan diturap dengan simen kapur.

Tembok tersebut turut dilengkapi dengan meriam-meriam yang bertanggungjawab mempertahankan kota berkenaan dari serangan musuh. Buktinya, selepas berjaya menghalau Kesultanan Johor dari Johor Lama, angkatan perang Portugal menemui 800 laras meriam di kota berkenaan. Apa yang ditonjolkan di Johor Lama merupakan penambahbaikan ilmu pembinaan kota dan kubu orang Melayu mengikut peredaran zaman. Sementara di Makam Tauhid pula, kota berkenaan yang pernah menjadi ibu kota Kesultanan Johor pada abad ke-17 itu dibina menggunakan batu-bata dan konkrit sebagai bahan binaannya.

Ini sekaligus menunjukkan bahawa orang Melayu mempunyai kemahiran membina seni bina dengan mengaplikasikan teknologi dan bahan konkrit. Lantas, amat munasabah menyatakan Kota Melaka versi KMM dibina menggunakan batu-bata dan diturap dengan simen serta dilengkapi dengan meriam-meriam untuk mempertahankan Melaka dari ancaman musuh. Dan berikutan tegapnya struktur kota berkenaan, maka tidak hairanlah mengapa British bergelut memusnahkan Kota Melaka versi Belanda ini pada tahun 1806 berikutan asas kota yang kukuh.

Saki-baki seni bina ini masih dapat dilihat sehingga hari ini hasil campur tangan Stamford Raffles yang bercuti sakit di Melaka ketika itu dan William Farquhar yang ditugaskan memusnahkan kubu berkenaan. Farquhar kemudiannya bertanggungjawab menyelamatkan dua pintu gerbang kota termasuk Gerbang Santiago daripada dimusnahkan pada tahun 1807.

Di samping itu, satu lagi ketinggian teknologi KMM ialah kewujudan kincir air di tebing Sungai Melaka. Menariknya, reka bentuk kincir air ini sama dengan reka bentuk kincir air di Timur Tengah. Kincir air ini berperanan sebagai alat untuk menimba dan mengalirkan air dari anak sungai untuk kegunaan pedagang. Lazimnya kincir berbentuk roda dibina di kawasan saluran sungai atau parit yang airnya deras bagi membolehkan pengayuh bergerak dan memusingkan roda.

Teknologi kincir air terdapat di Hama, Syria, negara China, India dan Eropah. Kincir air ini dikatakan ditemui semasa proses pembersihan dan pengindahan Sungai Melaka giat dijalankan pada tahun 2008. Di Nusantara, perkara ini bukan sesuatu yang baru kerana ia dibina oleh masyarakat yang duduk di kawasan pergunungan seperti suku Minang, Kerinci dan Jawa. Ini kerana dengan kincir air, air boleh dibawa ke tempat tinggi dari tempat rendah secara automatik.

Teknologi ini berkemungkinan diambil semasa perjalanan Hang Tuah ke Turki untuk membeli ubat bedil diperlukan untuk meriam-meriam Melaka dan ia direkodkan dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Perjalanan beliau ke sana bukan sekadar untuk urusan diplomatik dan perdagangan semata-mata. Tidak mustahil, wujud pertukaran kemahiran antara kedua-dua kerajaan memandangkan Turki ketika itu diperintah Empayar Turki Uthmaniyyah dengan kedua-dua kerajaan mempunyai matlamat pembinaan empayar yang sama walaupun berada di dua bahagian dunia yang berbeza.

Justeru, tidak hairanlah mengapa angkatan Alburquerque terkesima melihat rampasan 3,000 laras meriam yang diambil dari Melaka dan itu cuma sebahagian sahaja. Melalui rombongan diplomatik ke negara-negara luar, peluang ini dimanfaatkan oleh KMM bukan setakat mengeratkan hubungan diplomatik dua hala tetapi juga mempelajari kemahiran diperlukan untuk memantapkan sektor pertahanan masing-masing. Dan tradisi ini diteruskan oleh kerajaan-kerajaan Melayu yang terkemudian dari Acheh hingga Johor.

Kincir air Melaka.

Jika kita ingin tahu sama ada masih wujud lagi kesan fizikal Kota Melaka versi KMM, jalan terbaik ialah melalui dua cara, Radar Tujahan Tanah (GPR) dan radar satelit pengimejan angkasa (SIR). Dua kaedah ini bertanggungjawab menemui sisa bangkai bahtera Nabi Nuh a.s yang tersadai di Bukit Judi, Sirnak, Turki dan runtuhan kota Ubar di Oman. Tidak mustahil melalui dua kaedah ini, kita bukan saja dapat menemui sisa runtuhan Kota Melaka malah dapat menemui pelbagai lagi tinggalan kerajaan-kerajaan lama Nusantara yang hanya menanti masa saja untuk ditemui.

RUJUKAN:

Kosman, Kamarul Afizi, Nik Abdul Rahman, Nik Hassan Shuhaimi dan Mokhtar, Noor Aisyah. (2013). KEWUJUDAN KOTA MELAYU MELAKA. Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.