Secara umumnya, keadilan ini kata Hashim Kamali ialah:
“…placing something in its rightful place, the place where it belongs. It signifies a sense of moral rectitute in that things should be where they ought to be.”
Letaklah sesuatu itu di tempatnya. Walaupun secara zahir ia tidak nampak sama, tetapi apabila ia dipenuhi dengan segala hak-haknya menurut kadar tertentu, maka itulah keadilan. Kadar itu mestilah mengikut keperluan penerima hak.
Lelaki dan wanita. Mana boleh disamakan. Lelaki boleh mentalakkan isteri, namun sebaliknya isteri tidak boleh. Kalau begitu, ia tidak sama secara zahir. Namun, ia adil. Kerana lelaki ada peranan khasnya. Wanita juga ada peranan khasnya. Jadi Allah mengagihkan hak itu secara adil. Namun tak nampak sama.
Kalau kita lihat dari kaca mata yang umum. Manusia itu bersosial dan berhubung sesama sendiri. Sebahagian besar yang menjadi pengawal hubungan sesama manusia itu adalah keadilan.
Mesti kalian selalu dengar, “Kalau kita tak nak orang buat kita. Kita jangan buat orang.” Atau, “Apa kau rasa kalau orang buat kau? Tak kan? Kalau tak, kenapa kau buat orang?”
Ayat ini sebagai satu ayat muhasabah diri sebelum kita nak buat sesuatu yang buruk pada orang lain. Moga-moga ayat ini membendung niat kita untuk buat jahat pada orang.
Sebenarya, ayat ini dimuatkan di dalam bab Keadilan, buku tulisan Hamka iaitu Falsafah Hidup. Hamka mentakrif keadilan itu umumnya sebagai tegak di tengah. Khususnya sebagai:
“Jangan diperbuat kepada orang lain, barang yang kita tidak senang kalau diperbuat orang kepada kita.”
Kerana menafikan hak orang lain itu adalah tidak adil sama sekali. Lawan bagi adil itu adalah zalim. Zalim ini adalah apabila kebenaran dikhianati dan kesalahan itu dipertahankan.
Hamka menggalakkan untuk kita menghormati sesama sendiri sama ada menghormati kepercayaan, nilai budaya dan lain-lain.
Dasar keadilan kontemporari sekarang ada tiga, iaitu persamaan, pemilikan dan kemerdekaan menurut Hamka di dalam Falsafah Hidup.
Persamaan itu bukanlah keadilan. Namun persamaan itu hanya satu cabang daripada keadilan. Setiap orang itu sama. Walaupun hidup ini kita tidak boleh elak daripada perbezaan seperti raja dan rakyat, namun di muka undang-undang mesti sama. Raja kena hukuman yang sama dengan rakyat jika berbuat suatu jenayah.
Undang-undang itu mengiktiraf hak pemilikan seseorang terhadap harta. Memiliki harta itu adalah tabiat manusia, jika kita merampasnya, bermakna kita merampas tabiat manusia. Namun, setiap orang yang berkemampuan itu harus menunaikan zakat untuk mengagih-agihkan rezeki dengan baik kepada golongan yang memerlukan.
Hamka sebut di dalam Tafsir Al-Azhar:
“Di negeri-negeri yang berjalan peraturan Islam, dan seratus persen berdasar Islam, tentu sajalah Al-Imam (Kepala Negara), yang berkuasa tertinggi, memungut dan menyuruh bagikan zakat. Adapun di negeri Islam yang dasar hukumnya belum seratus persen Islam, tentulah mengeluarkan zakat menjadi kewajipan bagi tiap-tiap anggota ummat, sebagaimana wajibnya mengerjakan sembahyang, puasa dan haji. Apabila kesadaran beragama telah mendalam, niscaya dengan tenaga sendiri masyarakat Islam itu, akan mengatur pemungutan dan pembagian zakatnya.”
Setiap manusia itu dilahirkan merdeka, atau bebas. Setiap orang harus terus hidup dalam keadaan merdeka sepertimana yang dia lahir juga sebagai seorang yang merdeka. Kemerdekaan itu tidak diiktiraf jika ia menggunakannya sebagai alat untuk mengancam kemerdekaan orang lain.
Ketiga-tiga ini, berpaksi kepada satu sendi keadilan yang utama, iaitu diri kita sendiri. Manusia harus sedar diri menerusi jiwa yang luhur. Dari situ, keimanan dapat berputih, seterusnya kasih sayang dapat timbul. Barulah manusia itu boleh berlaku adil sesama sendiri dengan relanya kerana jiwa sudah dipenuhi dengan kesedaran.
Bagi Hamka, keadilan itu semestinya benar. Dan ia perlu diisi dengan perasaan cinta kerana cinta itu tidak membeza-bezakan manusia dan perbuatan tidak membeza-bezakan manusia itu adalah perbuatan yang adil. Di dalam novelnya yang bertajuk Di Bawah Lindungan Kaabah, Hamka menulis:
“Memang anak. Cinta itu adil sifatnya, Allah telah mentakdirkan dia dalam keadilan, tidak memperbeza-bezakan antara raja dengan orang minta-minta, tiada menyisihkan orang kaya dengan orang miskin, orang mulia dengan orang hina, bahkan kadang-kadang tidak juga berbeza baginya antara bangsa dengan bangsa.”
Ternyata Hamka amat tidak suka kepada perbuatan membeza-bezakan manusia baik dari segi rupa, suku, warna kulit, bangsa dan lain-lain. Hamka mengkritik perbuatan membeza-bezakan ini. Padanya, membeza-bezakan ini adalah alat yang digunakan manusia untuk menindas manusia yang lain.
Hamka juga memperjuangkan hak wanita yang ditindas oleh lelaki. Sebelum itu, mungkin kita pernah dengar, kata-kata begini:
“Demikianlah perempuan, ia hanya ingat kekejaman orang kepada dirinya walaupun kecil dan ia lupa kekejamannya sendiri pada orang lain.”
Kata-kata ini diambil dariapada filem adaptasi novel tulisan Hamka, iaitu Tenggelamnya Kapal Wan Der Wijck.
Ramai wanita akan triggered dengan ayat ini. Sebab ayat ini seolah-olah membahan kaum wanita kaw-kaw. Tapi, jangan kita terlepas pandang. Sebab Hamka juga ada mengkritik perbuatan kaum lelaki yang selalu perasan dirinya betul.
Dalam novel Hamka yang lain bertajuk Keadilan Ilahi, beliau memuatkan dialog ini:
“Syamsiah hanya diam sahaja mendengar perkataan-perkataan itu, tidak dijawabnya sedikit jua. Suaminya berceritera, bahwa isteri-isterinya yang sudah diceraikannya ialah kerana tidak menurut perintahnya, pendeknya menurut perkataannya itu, semuanya salah perempuan, laki-laki tidak ada yang salah.”
Mengisahkan tentang Sutan Marah Husin yang menafikan hak isterinya, Syamsiah dengan mendera, memukul dan sebagainya. Hamka juga menyindir lelaki dengan frasa lelaki sahajalah yang betul. Syamsiah protes dalam diam. Namun tidak mahu melawan kerana tidak ingin apa-apa yang lagi buruk bakal berlaku.
Jadi, Hamka bukan sekadar mengkritik perbuatan wanita, namun lelaki juga turut sama. Kerana dua-dua itu ada buat silapnya.
Demikianlah keadilah menurut Hamka. Manusia itu perlu berinteraksi dengan adil melalui sifat kasih mengasihi sesama sendiri. Kerana, keadilan itu, adalah penyumbang kepada keharmonian umat manusia.
RUJUKAN:
Abdullah, A. H., & Yusoff, Z. B. (2010). Islam dan keadilan sosial menurut pandangan Hamka dalam Tafsir Al-Azhar: Tumpuan khusus kepada kepentingan zakat. Universiti Malaya, 1-10.
Hamka, B. (1977). Falsafah Hidup . Kuala Lumpur: Pustaka Antara.
kreatifnya, P. k. (2018). Yus’aiman Jusoh. e-Prosiding Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan (pp. 41-59). Bangi : Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.
Artikel dikirimkan oleh Sadiq Salihoddin untuk The Patriots.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih