Untuk artikel ini saya hanya fokuskan asal-usul kaum ini dengan tidak memasukkan isu konflik antara kaum ini dengan negara China kerana saudara Ayman telah membincangkan isu ini dalam artikelnya lepas.  Artikel ini cuma membentangkan siapakah kaum Uyghur yang telah mendapat kedudukan sensasi dalam media sosial.

Sejarah kaum Uyghur terbahagi kepada 5 fasa: Pra-Monarki (300 SM – 630 M), Monarki (630 – 840), Idiqut (840 – 1200), Mongol (1206 – 1600), dan Moden (1600 – Kini). Disebabkan saudara Ayman telah tuliskan tentang kaum Uyghur pada fasa Moden yang bermula dari penaklukan China dinasti Qing hingga kini, artikel ini hanya fokuskan fasa Pra-Monarki hingga Mongol.

  1. Fasa Pra-Monarki

Sebenarnya kaum Uyghur adalah orang Turkic berketurunan golongan pengembala kambing dan lembu dari pergunungan Altai bernama Tiele. Golongan Tiele ini tinggal di selatan lembah Tasik Baikal dan sekitar Sungai Yenisei. Negeri Xinjiang yang kita kenal sekarang sebenarnya milik kaum Dingling, salah satu kaum Siberia Purba yang kemudian menyerap masuk sebagai sebahagian golongan Tiele. Kaum Tiele kemudian melebar di sekitar tanah mereka dan mengamalkan sistem pertanian mereka. Mereka juga mahir dalam bidang pertukangan besi kerana besi mudah ditemui di kawasan Sungai Yenisei ketika itu.

Masuk 300 SM, penempatan kaum Tiele dijarah oleh kaum nomad Xiongnu kemudian diperhambakan sebagai hamba tukang besi. Setelah empayar Xiongnu runtuh, kaum Tiele berterusan sebagai hamba tukang besi kepada kerajaan seterusnya, antaranya Rouran dan Hepthalite.

Kaum Tiele kemudian terbahagi kepada 12 etnik kecil. Salah satu etnik ini iaitu Fufuluo mengukuhkan kuasa dan pengaruh mereka, kemudian menubuhkan Kerajaan pertama kaum Tiele: A-Fuzhiluo (481 – 520) di Dzhungaria (utara Xinjiang). Dalam sejarah China, Fufuluo dilabel sebagai keturunan orang Uyghur.

Tahun 546, kerajaan Rouran runtuh. Maka orang Turk meluaskan jajahan untuk menubuhkan Empayar Göktürk. Entik Fufuluo yang memimpin kaum Tiele berusaha menangani invasi orang Turk namun gagal. Kegagalan ini menjadikan kaum Tiele sekali lagi menjadi hamba empayar Göktürk dan tanah mereka diserap menjadi sebahagian jajahan Göktürk. Dalam diam, 9 buah entik Tiele menubuhkan kesatuan mereka iaitu 9 Etnik Tokuz-Oguzes yang terdiri dari etnik Xueyantuo, Basmyl, Oguz, Khazar, Alans, Kyrgyz, Tuva, dan Yakut. Kesatuan ini diwujudkan untuk membebaskan kaum mereka dari genggaman Göktürk.

Masuk tahun 600, kaum Uyghur yang diketuai oleh Bey (ketua mengikut bahasa Turki) Erkin Tegin bersekutu dengan China dinasti Sui demi menumbangkan lawan yang sama, Göktürk. Ini adalah sekutu bersama bangsa lain yang pertama direkodkan dalam sejarah kaum Uyghur. Tahun 603, setelah pemerintah Göktürk ketika itu, Tardu Khan dikalahkan dalam perang gabungan Uyghur-Sui dan Göktürk, persekutuan ini dibubarkan begitu saja.

Pada tahun 611, kaum Uyghur yang dipimpin oleh etnik Xueyanto berjaya menghentikan invasi Göktürk namun Göktürk bangkit semula oleh pemerintahan Shipi Qaghan. Tahun 627, kaum Uyghur berperang lagi melalui revolusi Tokuz-Oguz. Tiga tahun kemudian, empayar Göktürk seratus-peratus digulingkan oleh temtera China dinasti Tang.

Dari penggulingan itu etnik Xueyanto mengambil kesempatan untuk merampas bahagian timur empayar Göktürk dan menjadi ‘duri dalam daging’ dinasti Tang setelah sekian lama bersekutu menumbangkan Göktürk. Namun pada tahun 646, dinasti Tang bersama kaum Uyghur pimpinan Tumitu Ilteber telah menggulingkan kekuasaan Xueyanto dan mengiktiraf pemerintah (khagan) Uyghur sebagai Pelindung Anbei, iaitu benteng utama dalam menangani penjarahan orang nomad Mongolia.

Tahun 683, Empayar Göktürk Kedua ditubuhkan dan ini menyukarkan kaum Uyghur lagi untuk hidup mana walaupun bersekutu dengan China. Kaum Uyghur pimpinan Bey Tuchiachi dikalahkan di tanah sendiri dan terpaksa melarikan diri ke lembah Sungai Selenga. Dari lembah ini, mereka bersungguh mematahkan invasi Göktürk. Tahun 688, kaum Uyghur sekali lagi sebagai hamba Göktürk namun semangat kebangsaan Uyghur tak pernah pudar dengan perlaksanaan perang kecil-kecilan Tahun 744, kaum Uyghur pimpinan Qutlugh Bilge Köl bersatu dengan etnik Basmyl dan Qarluq, bersama jeneral perang Tang iaitu Wang Zhongsi telah berjaya menggulingkan Göktürk kali kedua. Setahun kemudian, kaum Uyghur berupaya membina empayar mereka sendiri iaitu Uyghur Khaganate yang ibu kotanya terletak di Gunung  Ötüken.

  1. Fasa Monarki

Empayar Uyghur meluas dari Laut Caspia ke Manchuria (Mongolia) dan memerintah dari tahun 745 hingga 840. Ordu-Baliq adalah kota diraja yang menjadi ibu kota empayar Uyghur dan ia adalah salah satu kota purba Mongolia terbesar. Dalam fasa ini, terma Uyghur digunapakai kepada rakyat empayar Uyghur. Tidak kira individu itu berketurunan Uyghur atau tidak.

Sebenarnya, selain bangsa Uyghur, ada bangsa asing yang pada mulanya adalah pelarian dari penjarahan Göktürk kemudian sah menjadi rakyat Uyghur. Bangsa asing itu adalah kaum Sogdian. Dahulu, kaum Sogdian mempunyai tanah sendiri di Asia Tengah dan bergantung kepada sistem perdagangan untuk hidup. Ketika Göktürk meluaskan jajahan, kaum Sogdian menjadi pelarian.  Saat empayar Uyghur ditubuhkan, kaum Sogdian memperoleh perlindungan, kemudian secara tidak langsung mempengaruhi kehidupan asal orang Uyghur.

Akibat kehadiran kaum Sogdian, para bangsawan Uyghur memeluk ajaran baru selepas Buddhism, iaitu Manichaeism, ajaran Nabi Mani yang diamalkan oleh kaum Sogdian. Kebudayaan Uyghur kemudian bercampur dengan kebudayaan Sogdian dan kebanyakan jawatan empayar Uyghur diambil alih oleh orang Sogdian. Peter B. Golden, Professor Emeritus dalam sejarah Asia Tengah mengemukakan bahawa kaum Uyghur tidak sekadar mengamalkan tulisan dan ajaran agama orang Sogdian, Uyghur melihat Sogdian sebagai ‘mentor’ dalam pembentukan kehidupan dan empayar sendiri seperti pengurusan dagangan di Jalan Sutera sehingga empayar Uyghur mencapai kemakmurannya.

Masuk tahun 840, empayar Uyghur mengalami perang saudara dan kebuluran sehingga ia dijajah oleh kaum Kirghiz, salah satu kaum Turkic yang berasal dari utara Sungai Yenisei. Kebanyakan kumpulan etnik yang pernah menjadi rakyat Uyghur bermigrasi di barat laut China, terutamanya Xinjiang yang kita kenal. Kaum Uyghur juga bermigrasi ke Mongolia dan Gansu. Sekitar tahun 850, kaum Uyghur menubuhkan dua kerajaan baru: Yugur dan Qocho.

  1. Fasa Idiqut/Kerajaan Uyghur

Kerajaan Yugur (870 – 1036) adalah kerajaan yang ditubuhkan oleh etnik Yugur di kawasan paling timur Dzungaria. Ibu kotanya terletak di Ganzu yang kini menjadi negeri China. Kerajaan ini menjadikan Tibetan Buddhism menjadi agama utama meninggalkan agama Manichaeism. Etnik Yugur juga dikenali sebagai Uyghur Kuning dan satu-satunya etnik dari kaum Uyghur terkini yang tidak memeluk agama Islam. Sekitar tahun 1028 – 1036, kerajaan Yugur mengalami konflik terhadap anasir kerajaan asing kemudian terserap sebagai jajahan kerajaan Tangut selepas kekalahannya.

Kerajaan Qocho pula ditubuhkan sekitar tahun 856 – 866 di utara Dzungaria dan ia dikenaloi sebagai kerajaan Idiqut (bermaksud kemakmuran). Kerajaan ini mengamalkan ajaran Buddha dan berperanan sebagai pusat penyebaran budaya Uyghur. Kerajaan ini mendanai pembinaan kuil-kuil Buddha yang rancak di Bezeklik. Pada mulanya kerajaan ini memerintah bersendirian, kemudian ia menjadi kerajaan naungan Kara-Khitans (Dinasti Liao Barat mengikut catatan China).

Tahun 1209, pemerintah Qocho bernama Idiqut Barchuq mengisytiharkan persekutuan dengan kaum Mongol pimpinan Genghis Khan dan dijadikan tanah naungan Mongol sehingga 1335. Sejak bersekutu dengan Mongol, kaum Uyghur berkhidmat sebagai ahli birokrat yang mengurus pemerintahan Mongol. Walau bagaimanapun, Mongol pimpinan Chaghataid menggulingkan Qocho pada abad ke-14 Masihi akibat konflik dalaman para pewaris takhta Mongol.

Selain kedua-dua kerajaan kaum Uyghur ini, terdapat sebuah dinasti Turkic yang ditubuhkan berkaitan dengan kaum Uyghur. Kerajaan tersebut adalah Kara-Khanids atau Karakhans. Kerajaan ini ditubuhkan dari persekutuan beberapa ernik dari kaum besar Turkic seperti Karluks, Chigils, dan Yaghmas. Sejarahwan berpendapat bahawa  kerajaan ini wujud selepas runtuhnya Empayar Uyghur walaupun masih terdapat perdebatan mengenainya. Pemerintah Karakhans iaitu Sultan Satuq Bughra Khan (920 – 956) memeluk Islam pada tahun 934, kemudian diikuti oleh pemelukan agama Islam besar-besaran pada tahun 960.

Pemerintahan Karakhans ini dianggap sebagai antara sejarah terpenting bagi kaum Uyghur sekarang. Masjid, sekolah, jambatan, dan perumahan dibina sekeliling kota dan ibu kota Kashgar, Bukhara, dan Samarkand menjadi pusat pendidikan dan pengembangan sastera Turkic. Pokoknya, inilah kerajaan Uyghur Muslim yang pertama yang mempunyai kemajuan mendahului kerajaan-kerajaan terdahulu.

Namun apabila kerajaan Seljuk ditubuhkan di tanah Iran, Karakhans menjadi kerajaan naungan Seljuk. Kemudian Karakhans menjadi negeri autonomi Kara-Khitans melalui suzerainty (pembayaran cukai untuk meneruskan pemerintahan autonomi) setelah Seljuk dikalahkan dalam Perang Qatwan. Kerajaan Karakhans kemudian runtuh saat tanahnya dibahagi kepada dua dinasti iaitu Khwarezmids dan Kuchlug.

  1. Fasa Mongol

Ketika kaum Mongol melakukan misi penaklukan, kesemua kerajaan kaum Uyghur bersekutu dengan Mongol dibawah pimpinan Genghis Khan. Setelah kewafatan Gengkis Khan, berlaku konflik rampasan takhta oleh para pewaris sehingga empayar Mongol berpecah kepada 4 buah kerajaan. Chagatai Khan, putera kedua Genghis Khan turut menubuhkan empayar sendiri iaitu Chagatai Khaganate dan menakluk kerajaan-kerajaan Uyghur yang sekian lama taat kepada ayahandanya.

Setelah pemerintahan Empayar Chagatai terakhir, Qazan Khan mangkat pada 1346, empayar tersebut terbahagi kepada dua Chagatai barat (Transoxiana) dan Chagatai timur (Moghulistan/Uyghuristan). Transoxiana diperintah oleh puak-puak Mongol manakala Uyghuristan pula seorang Khan dari Empayar Chagatai iaitu Tughlugh Timur memeluk Islam dan pada tahun 1361, Tughlugh menjarah Transoxiana untuk melaksanakan misi penyatuan seluruh etnik Mongol dan Turkic. Keputusannya, Tughlugh berjaya meluaskan Uyghuristan dari Sungai Irtysh di Siberia hingga kota Ghanzi di Afghanistan serta dari Transoxiana ke lembah Tarim Basin.

Namun hayat Tughlugh sebagai raja yang menguasai Transoxiana dan Uyghuristan cuma pendek kerana mangkat 2 tahun kemudian.Transoxiana diabaikan dan ketua etnik Qara’unas’, Amir Husayn merampas Transoxiana. Tamerlane, orang asal Transoxiana yang menganut agama Islam dan kononnya generasi Genghis Khan ingin kembalikan lagi kegemilangan Mongol. Maka, Tamerlane bersama etnik sekutunya menakluk seluruh Transoxiana. Kemudian empayar yang meluas ini dinamakan sebagai Moghulistan sempena keturunan diraja Timurid (Tamerlane) yang berasal dari etnik Moghol.

Di Uyghuristan, setelah mangkatnya Tughlugh, Uyghuristan dipecahkan kepada beberapa buah kerajaan Uyghur muslim seperti kerajaan Kashgar, Yarkant, dan Qomul. Walau bagaimanapun, kerajaan-kerajaan muslim ini sentiasa berperang sesama sendiri. Empayar Moghulistan di Transoxiana dan kerajaan-kerajaan muslim Uyghur di Uyghuristan berkekalan sehingga berlaku invasi China dinasti Qing yang menakluk Moghulistan pada abad ke-18 Masihi. Qing menakluk Dzungaria pada 1759 kemudian menamakannya sebagai Xinjiang.

RUJUKAN:

Gardner Bovingdon (2010). “Chapter 1 – Using the Past to Serve the Present”. The Uyghurs – strangers in their own land. Columbia University Press.

Peter B. Golden (1992). “Chapter VI – The Uyğur Qağante (742–840)”. An Introduction to the History of the Turkic Peoples: Ethnogenesis and State-Formation in Medieval and Early Modern Eurasia and the Middle East. p. 155.

Peter B. Golden (2011), Central Asia in World History, Oxford, New York: Oxford University Press, p. 47

Svatopluk Soucek (2000). “Chapter 4 – The Uighur Kingdom of Qocho”. A history of Inner Asia. Cambridge University Press.

Golden, Peter. B. (1990), “The Karakhanids and Early Islam”, in Sinor, Denis (ed.), The Cambridge History of Early Inner Asia, Cambridge University Press


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.