KAUM Pegu atau orang Pegu sudah tentu bukanlah satu kaum yang begitu dikenali oleh rakyat Malaysia amnya dan Sarawak khususnya kerana inilah antara kaum menurut sejarahwan sebagai kaum yang hilang di bumi Sarawak sejak di kurun ke-18 lagi. Sehingga ke hari ini para pengkaji sejarah masih lagi tertanya-tanya apakah punca sebenar kepupusan kaum ini atau mungkin juga kaum minoriti ini pupus dek kerana serangan wabak penyakit atau kalah sewaktu perang kayau berleluasa masih belum lagi terungkai dan menjadi misteri.
Tidak banyak yang diketahui mengenai apakah kebudayaan dan tradisi yang diamalkan oleh Kaum Pegu namun begitu menurut apa yang ditulis oleh Roth dan H. Ling di dalam “The Natives Of Sarawak and British North Borneo” yang diterbitkan pada tahun 1896 menyatakan bahawa asal muasal Orang Pegu adalah di kawasan lembah Sungai Sadong iaitu di sekitar Sungai Sadong Atas, kaki Gunung Bukar, dan Sungai Samarahan Atas. Orang Pegu tinggal tidak jauh dari kaum Bidayuh Bukar-Sadong yang mendiami perkampungan seperti Kumpang, Lanchang, Jinan dan Mungo Babi. Dan mereka tidak beragama Islam sebaliknya beragama pagan atau animisme atau mungkin hindu sebagai kepercayaan mereka.
Menurut Mr Denison yang juga dipetik di dalam “The Natives of Sarawak and British North Borneo” menyatakan bahawa penghijrahan besar-besaran orang Pegu ke Samarahan berlaku akibat satu peristiwa (tidak dinyatakan apakah peristiwa tersebut) dan mereka mendiami kawasan dipanggil Si Muntungs di Samarahan. Dan menurut Mr Charles Grant pula dari Si Muntungs ini sebahagian daripada orang Pegu berhijrah ke Santubong. Penghijrahan itu disebabkan bagi mencari tanah pamah yang baru serta penghidupan yang lebih mendamaikan jauh dari segala sengketa.
Teori Mr Charles Grant juga menyebut bahawa berkemungkinan besar kaum Pegu adalah kaum yang terawal menduduki Santubong jauh sebelum Kerajaan Pasir Kuning itu wujud. Dan kenyataan beliau diperkuatkan lagi apabila penggalian arkeologi di tanah Santubong yang dibuat oleh Dr Harrison ada menemui beberapa barang tembikar dan emas di satu kawasan di Santubong mungkin menunjukkan itulah kawasan penempatan asal mereka suatu ketika dahulu.
Titik. Itulah sahaja penceritaan sejarah mengenai mereka kerana selepas itu langsung tidak kedengaran lagi apakah nasib yang menimpa kaum ini sehingga lenyap di dalam senarai demografi kaum di Sarawak.
Dalam pada itu para pengkaji sejarah Sarawak pula mempunyai beberapa teori mengenai “kepupusan” orang Pegu. Dr. Jeniri Amir melalui kertas kerja bertajuk Asal Usul Melayu Sarawak; Menjejaki Titik Tak Pasti dibawah sub klausa “Masuk Islam, Masuk Melayu” menyatakan;
“Sebagai satu kaum, Pegu sudah lenyap daripada demografi Sarawak ekoran proses asimilasi sesudah mereka memeluk agama Islam. Hal ini sekali gus membayangkan betapa kuatnya pengaruh agama Islam dan budaya Melayu sehingga melenyapkan identiti asal mereka. Proses asimilasi berlaku apabila kumpulan minoriti atau kumpulan etnik yang baru mengamalkan budaya dan identiti kumpulan majoriti untuk mengurangkan batas etniknya (Shamsul Amri, 2012). Asimilasi mutlak atau sempurna dalam kalangan kaum Pegu telah menyebabkan berlakunya penghapusan penuh perbezaan dari segi kebudayaan dan identiti sehingga kemudiannya mereka menjadi Melayu.” – Dr. Jeniri Amir-
Teori “Masuk Islam, Masuk Melayu” kaum Pegu ini dari Dr. Jeniri Amir ini adalah bersandarkan kepada kenyataan Mr. Charles Grant yang pernah mengunjungi kawasan Samarahan pada akhir kurun ke-19. Pada masa itu beliau mencari mungkinkah Orang Pegu itu adalah nenek moyang kepada kaum Bidayuh Bukar Sadong yang ada pada waktu itu memandangkan mereka tinggal dekat-dekat suatu ketika dahulu. Sebaliknya tinjauan beliau disahkan bahawa Orang Pegu adalah nenek moyang kepada kaum Melayu Sarawak yang mendiami Samarahan pada waktu itu setelah mereka memeluk Islam secara beramai-ramai suatu ketika dahulu.
Berdasarkan kepada apa yang disajikan ini jelas membuktikan bahawa kaum Pegu tidaklah “hilang” di mukabumi Sarawak sebaliknya masih ada cuma sudah dilahirkan semula sebagai Kaum Melayu Samarahan yang kita kenali sekarang.
Seharusnya perlu ada lagi pengkajian yang lebih holistik di dalam kita cuba mengenali Kaum Pegu terutama sekali apabila kita berbicara dari segi budaya dan tradisi mereka malah apakah bahasa pertuturan mereka. Malahan kenyataan bahawa mereka mungkin kaum awal yang pernah mendiami Santubong serta menjadi pengamal agama Hindu harus diperjelaskan secara terperinci. Mungkin ianya akan membuka satu lagi lembaran baru di dalam dunia sejarah purba masyarakat Sarawak.
Tidak Kenal Maka Tidak Cinta
-HB-
#KamekSayangSarawakBah!
Kredit gambar: http://www.magiccarpetjournals.com
Rujukan:
- Author: Roth, H. Ling – The Natives Of Sarawak and British North Borneo terbitan London: Truslove and Hanson,1896
- Penulis: Dr Jeniri Amir – Asal Usul Melayu Sarawak: Menjejaki Titik Tak Pasti
- Sarawak Voice, 29 Julai 2016 oleh Dr. Jeniri Amir – Mencari Kaum Yang Hilang Di Sarawak https://sarawakvoice.com/2016/07/29/mencari-kaum-yang-hilang-di-sarawak/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih