Kita mengenali Iran sebagai sebuah negara Islam kerana sejarahnya di mana tanah Asia Barat ini pernah dimiliki oleh empayar-empayar Islam terdahulu, kemudian menjadi negara republic setelah berhadapan pelbagai perang seperti Perang Dunia I serta revolusi yang popular pada tahun 1979 yang dikenali sebagai Islamic Revolution. Namun tahukah anda, Iran pernah menjadi sebuah empayar purba yang agung sebelum menjadi tarikan para khalifah Islam?
Pada tahun 2000 SM, kaum Iran Purba iaitu orang Indo-European yang bertutur dalam bahasa Iran datang ke tanah yang kita panggil sebagai Iran dari padang rumput Eurasia. Mereka menjarah perkampungan penduduk asal dan mula menyebarkan populasi ke seluruh kawasan yang dipanggil sebagai Greater Iran (merangkumi kawasan Kaukasus, Asia Barat, Asia Tengah, dan sebahagian Asia Selatan). Maka, tanah Iran didominasi oleh puak Medes, Parsi, dan Parthia.
Dari akhir abad ke-10 hingga akhir abad ke-7 SM, puak-puak berbahasa Iran beserta kerajaan yang mereka tubuhkan telah ditakluk oleh empayar Assyria yang lokasinya berada di utara tanah Mesopotamia. Masuk ke zaman pemerintahan raja Cyaxares, iaitu raja ketiga puak Medes yang mempunyai kekuatan tentera yang besar, menubuhkan perikatan dengan raja Babylon iaitu Nabopolassar bersama puak Iran lain iaitu Parsi, Scythia, dan Cimmerians, seterusnya menyerang empayar Assyria.
Perang saudara yang berlaku di Assyria pada tahun 616 SM dan 605 SM telah membebaskan orang-orang Iran dari genggaman Assyria selama 3 abad. Penyatuan puak Medes sejak dari pemerintahan raja pertama iaitu Deioces pada 728 SM membawa kepada penubuhan empayar Medes di mana pada tahun 612 SM, raja puak Medes menguasai seluruh Iran dan timur Anatolia (Turki).
Pada 505 SM, Cyrus the Great iaitu anak lelaki Mandane (puteri puak Medes) dan Cambyses I (raja kota Anshan) menggulingkan empayar Medes dan menubuhkan kerajaan baru iaitu empayar Achaemenid dengan menyatukan negara-kota lain. Tindakan Cyrus ini yang dipanggil sebagai Persian Revolt kerana wilayah Persis yang dimiliki oleh puak Persia yang ingin membebaskan diri dari empayar Medes terutamanya pemerintahan raja Astyages yang zalim. Pembebasan ini merebak ke wilayah lain dan kemudian bersatu dengan Parsi bagi menggulingkan empayar Medes.
Selepas penggulingan raja Astyages, Cyrus dan para pewarisnya meluaskan empayar dengan menguasai kerajaan Lydia, Babylon, Mesir, sebahagian tanah Balkan dan Eropah Timur, dan bahagian barat Sungai Indus. Tahun 539 SM adalah tahun yang signifikan kerana Parsi telah berjaya mengalahkan tentera Babylon di negara-kota Opis, seterusnya menumbangkan empayar Neo-Babylonia. Cyrus melawat kota Babylon dan melantik dirinya sebagai raja monarki yang mengamalkan budaya Mesopotamia. Dari situlah sistem politik Mesopotamia dipengaruhi dengan budaya orang Parsi.
Di zaman pemerintahan Darius I dan Xerxes I, empayar Achaemenid merangkumi Iran, Azerbaijan, Armenia, Georgia, Turki, kawasan pinggir pantai Laut Hitam, timur laut Yunani dan selatan Bulgaria, utara Yunani iaitu kerajaan Macedonia, Iraq, Syria, Lubnan, Jordan, dan wilayah-wilayah Palestin. Empayar orang Parsi juga merangkumi kawasan tanah milik tamadun Mesir Purba hingga ke Libya, Kuwait, kawasan utara Arab Saudi. Tambahan juga Pakistan, Afghanistan, dan sebahagian Asia Tengah milik Achaemenid. Jajahan takluk yang begitu besar ini menjadikan empayar Achaemenid menjadi kerajaan dunia pertama yang mempunyai empayar terbesar dunia.
Dikatakan pada 480 SM, sebanyak 50 juta orang tinggal di empayar Achaemenid. Ini bermaksud empayar Achaemenid mempunyai 44% peratus dari populasi dunia, lebih tinggi dari apa yang dimiliki oleh pempayar lain.
Orang Parsi di zaman Achaemenid memberi sumbangan yang masih diamalkan sehingga kini iaitu pembinaan lebuh raya yang dipanggil sebagai Royal Road dan sistem perkhidmatan pos iaitu Chapar. Bahasa Aramaic Lama (Old Aramaic) menjadi bahasa linguistic di seluruh wilayah Parsi. Empayar itu juga mempunyai kuasa pemusatan dan pengurusan birokratik di bawah perintah seorang maharaja, kekuatan tentera yang besar, dan menubuhkan sistem perkihdmatan awan.
Pada pertengahab abad ke-5 SM, empayar Achaemenid semakin goyah bermula dari pemberontakan penduduk Ionia yang meletuskan perang Greco-Persian. Peperangan antara Yunani dan Parsi berakhir dengan Achaemenid melepaskan jajahan Balkan dan Eropah Timur.
Pada 334 SM, Alexander the Great menjarah empayar Achaemenid dan mengalahkan raja Parsi terakhir, Darius III dalam Peperangan Issus. Selepas kemangkatan Alexander, tanah Iran berada dalam kekuasaan empayar Seleucid yang mengamalkan budaya Hellenistik. Pada pertengahan abad ke-2 SM, empayar Parthia ditubuhkan dan menjadikan Iran sebagai pusat pemerintahan. Empayar Parthia kekal sebagai kerajaan feudal yang diperintah oleh raja monarki selama 5 abad walaupun sentiasa berkonflik dengan empayar Rom. Pada 224 M, empayar Sassanid atau Neo-Persia menggantikan Parthia dan menjadi salah satu kuasa besar selain kerajaan Byzantine selama 4 abad.
Empayar Sassaind meneruskan legasi Achaemenid dan menempatkan ibu kota di Ctesiphon. Sassanid juga meluaskan pengaruh budayanya hingga ke empayar Rom, Afrika, China, dan India dengan memainkan peranan penting dalam seni zaman pertengahan Eropah dan Asia.
Kebanyakkan era dalam empayar Sassanid sentiasa dibayangi dengan peperangan antara Rom dan Parsi yang berlangsung di sempadan Anatolia, barat Kaukasus, Mesopotamia, dan Asia Barat selama lebih 700 tahun. Akhirnya persengketaan kedua-dua kuasa ini berakhir dengan kedatangan para tentera Muslim. Maka berakhirnya kekuasaan orang Parsi di Iran dengan menjadikannya sebahagian wilayah empayar khilafah Umayyah.
RUJUKAN:
1. Abrahamian, Ervand (2008). A History of Modern Iran. Cambridge University Press.
2. Afary, Janet; Peter William Avery; Khosrow Mostofi. “Iran (Ethnic Groups)”. Encyclopædia Britannica. Retrieved 28 December 2018.
3. A. G. Sagona (2006). The Heritage of Eastern Turkey: From Earliest Settlements to Islam. Macmillan Education AU. p. 91
4. Del Guidice, Marguerite (August 2008). “Persia – Ancient soul of Iran”. National Geographic Magazine.
5. Jakobsson, Jens (2004). “Seleucid Empire”. Iran Chamber Society. Archived from the original on 5 June 2011. Retrieved 28 December 2018.
6. “Largest empire by percentage of world population”. Guinness World Records. Retrieved 28 December 2018.
7. Olmstead, Albert T. E. (1948). The History of the Persian Empire: Achaemenid Period. Chicago: University of Chicago Press.
8. Schmitt, Rüdiger. “Achaemenid dynasty”. Encyclopaedia Iranica. vol. 3. Routledge & Kegan Paul. Archived from the original on 28 December 2018.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih