Kaum Khmer adalah salah satu kumpulan etnik Asia Tenggara yang berasal dari tanah Kemboja yang mempunyai populasi sekitar 15.9 juta orang. Mereka berkomunikasi dengan bahasa Khmer, antara kumpulan bahasa Austroasiatik terbesar yang biasa diamalkan oleh masyarakat di utara, timur, dan timur laut India serta sebahagian Bangladesh. Masyarakat di selatan China dan beberapa kepulauan di Lautan India juga mengamalkan bahasa Khmer. Komuniti Khmer juga hadir di beberapa buah negara barat seperti Perancis, US, UK, Kanada, dan Australia.

Kaum Khmer adalah antara kumpulan etnik tertua yang menetap di Asia Tenggara dan tinggal di bahagian barat jauh dari Burma yang ketika itu diduduki oleh kaum Mon. Majoriti ahli arkeologi, linguistic dan sejarahwan China berpendapat kaum Khmer tiba di Asia Tenggara sebelum 2000 SM dan membawa ilmu agrikultur terutamanya penanaman padi. Kaum Khmer mewujudkan alphabet Khmer, alphabet terawal Asia Tenggara sehingga lahir alphabet seterusnya iaitu Thai dan Laos yang sehingga kini diamalkan oleh masyarakatnya.

Pada abad pertama Masihi, kerajaan Funan (50 – 550) ditubuhkan sekitar tenggara tanah Kemboja dan delta Sungai Mekong. Dari pemerintahan kerajaan Funan yang memfokuskan kepada aktiviti perdagangan laut, komuniti Khmer ketika itu menerima ajaran Buddha dan mengambil konsep devaraja dari ajaran Hindu: kepercayaan bahawa raja itu jelmaan tuhan/dewa. Pada abad ke-5 Masihi, muncul kerajaan saingan iaitu Chenla yang bertempat di Utara Kemboja datang menumbangkan kerajaan Funan dan akhirnya menguasai Kemboja. Walaupun kerajaan agraria Chenla (550 – 802) berjaya tumpaskan Funan, namun tiada kesatuan sesama mereka yang berada di posisi kerajaan masing-masing. Pada tahun 802, raja kaum Khmer iaitu Jayavarman II muncul sebagai wira dengan menyatupadukan Kemboja utara dan selatan, kemudian menggelarkan dirinya sebagai Chakravartin iaitu Raja Segala Raja atau Raja Dunia.

GAMBAR 1: Empayar Angkor pada 900 M

Menurut inskripsi Sdok Kok Thom, pada tahun 781, Indrapura adalah ibu kota pertama milik Jayavarman II yang berdekatan dengan kota Kompong Cham. Ketika itu Jayavarman membina pengaruhnya dengan menentang raja-raja seterunya dan pada tahun 790 baginda menjadi raja kepada kerajaan Angkor atau Kambuja, gelaran bagi kerajaan persendirian kaum Khmer. Kemudian baginda memindahkan pusat pemerintahan ke kota purba Mahendraparva, jauh ke utara dari tasik besar Tonle Sap. Di situ baginda bersama rakyat menyambut kebebasan dan penubuhan kerajaan mereka dan Jayavarman II melantik dirinya sebagai devaraja dalam ritual pertabalan mengikut tradisi Hindu.

Pada tahun berikutnya dan seterusnya, raja Jayavarman II memulakan kempen penaklukan dan sekali lagi baginda memindahkan pusat pemerintahan dengan membina kota purba Hariharalaya, berdekatan kota Rolous. Selepas kemangkatan Jayavarman II pada tahun 835, pemerintahan Angkor diteruskan oleh anaknya iaitu Jayavarman III. Pada tahun 877, tiba giliran Indravarman I menjadi pemerintahn Angkor setelah kemangkatan Jayavarman III.

Keturunan Jayavarman II meneruskan kempen penaklukan Angkor ke atas tanah kerajaan lain namun Indravarman I mahu mengembangkan kuasa kerajaan tanpa sebarang perang. Jadi, baginda memulakan projek pembinaan sebagai cara pengembangan kuasa melalui agama, dengan menggunakan sumber kewangan dari hasil perdagangan dan agrikultur. Binaan pertama dalam projek ini adalah kuil Preah Ko. Kemudian Indravarman I mengembangkan pembangunan kota Hariharalaya dengan pembinaan kuil Bakong. Kuil Bakong dikatakan binaan hasil inspirasi pembinaan kuil Borobudur yang terkenal di Pulau Jawa. Ini menunjukkan kerajaan Angkor mempunyai hubungan rapat dengan Pulau Jawa yang ketika itu Dinasti Sailendra adalah pemerintahnya.

Pada tahun 889, Yasovarman I, putera Indravarman I menjadi pemerintah Angkor seterusnya. Dengan mengikut jejak ayahandanya, baginda membina kota pertama kerajaan Angkor selepas pemerintahan raja pertama, iaitu Yasodharapura. Kuil utama kota pertama Angkor ini adalah Phnom Bakheng yang terletak di bukit ketinggian 60 meter dari kota. Baginda juga membina tasik buatan iaitu Baray Timur yang menampung air sebanyak 50 juta meter per padu.

Pada awal abad ke-10 Masihi, kerajaan Angkor berpecah dengan pembinaan kota purba Lingapura oleh raja Jayavarman IV. Pada tahun 944, Rajendravarman II berjaya satukan kembali dengan kembalikan pusat pemerintahan ke kota Yasodharapura. Baginda meneruskan kembali projek pembinaan kuil oleh raja-raja terdahulu di seluruh tanah Angkor dengan  pembinaan kuil Mebon Timur yang bertempat di tengah pulau dalam Baray Timur dan beberapa kuil Buddha seperti kuil Pre Rup. Setelah sekian lama kerajaan Angkor tidak terlibat dalam peperangan, pada tahun 950 terjadilah peperangan Angkor dengan kerajaan jiran iaitu Champa.

Putera raja Rejendravarman II iaitu Jayavarman V menjadi pemerintah pengganti ayahanda dari tahun 968 hingga 1001. Baginda memastikan kerajaannya masuk ke zaman kemuncak iaitu Pax-Angoria atau zaman keamanan dengan memperkayakan budaya tempatan dan menjana kekayaan sumber. Jayavarman V membina ibu kota baharu yang bernama Jayendranagari sebagai pusat pemerintahan baru serta membina kuil diraja iaitu Ta Keo, satu-satunya kuil yang dibina menggunakan batu kapur. Di zaman baginda juga lahirnya beberapa kelas menengah seperti ahli falsafah, cendikiawan dan artis seni.

GAMBAR 2: Kuil Ta Keo

Setelah kemangkatan Jayavarman V, selama 5 tahun konflik kerajaan berlaku dengan perebutan takhta oleh tiga orang raja yang saling bersaing sehinggalah saja Suryavarman I peroleh takhta pada tahun 1006. Di zamannya, Suryawarman I mengadakan hubungan diplomatik dengan dinasti Chola yang memerintah selatan India dan baginda menghadiahkan kereta kuda perang (chariot) kepada pemerintah Chola ketika itu bernama Rajaraja Chola I. Dalam pemerintahan baginda sentiasa ada konflik dari pihak musuh yang ingin menggulingkannya. Setelah berjaya menyelesaikan konflik tersebut, kerajaan Tambralinga pula menjadi saingan Angkor seterusnya. Bagi menghalang kerajaan Tambralinga yang semakin berkembang, Suryavarman I memohon bantuan dari kerajaan dinasti Chola di mana pemerintahnya adalah Rajendra Chola I. Kerajaan Tambralinga yang sedar akan kesatuan Chola-Angkor itu turut memohon bantuan dari kerajaan Srivijaya yang menguasai perdagangan maritime di Asia Tenggara. Ini menjadikan peperangan secara tidak langsung antara dinasti Chola dan Srivijaya. Akhirnya kesatuan Chola-Angkor berjaya menyekat pemgembangan kuasa Tambralinga dengan kemenangan mereka.

Tidak sekadar Suryavarman I berfokus kepada penyelesaian konflik para pesaingnya, baginda juga tidak melupakan projek pembangunan kuil yang telah lama diteruskan oleh raja-raja lain antaranya adalah Preah Vihear di atas Pergunungan Dangrek yang mana sehingga kini masih dalam perebutan antara Thailand dan Kemboja. Setelah kemangkatan baginda pada tahun 1050, Udayadityavarman II menjadi pemerintah seterusnya dengan pembinaan kuil Baphuon dan Baray  Barat. Pada 1074, kerajaan Angkor yang diperintah oleh adik leleki Udayadityavarman II iaitu Harshavarman III berkonflik lagi dengan kerajaan Champa bawah pemerintahan Harivarman IV.

GAMBAR 3: Kuil Preah Vihear

Abad ke-12 adalah zaman yang konflik melibatkan perebutan kuasa di tanah Kemboja. Sehingga pemerintahan Suryavarman II (1113 – 1150), kerajaan Angkor bersatu semula dan kuil terbesar telah dibina selama 37 tahun, iaitu Angkor Wat sempena penyembahan kepada dewa Vishnu. Baginda juga melakukan kempen penjarahan ke atas kerajaan Melayu Champa dan Dai Viet namun gagal walaupun negara-kota Vijaya milik Champa sentiasa bertukar tangan sehingga menjadi milik Angkor pada tahun 1149. Masuk tahun 1177, Angkor Wat dijarah dan berlaku peperangan maritim di tasik Tonle Sap yang dimulai oleh raja Champa, Jaya Indravarman IV. Pemerintah ketika itu, raja Tribhuvanadityavarman (1165 – 1177) telah dibunuh.

Masuk ke zaman pemerintahan Jayavarman VII (1181 – 1219), baginda dikatakan adalah raja Kemboja terbaik sepanjang zaman. Sebelum menaiki takhta, baginda adalah jeneral perang. Setelah Champa menakluk ibu kota Angkor, baginda mengumpulkan para tenteranya dan melakukan misi rampasan kembali ibu kota mereka. Setelah pertabalan diraja, Jayavarman VII meneruskan kempen menentang kerajaan Champa selama 22 tahun dan diakhiri dengan kekalahan musuh. Sebahagian besar tanah Champa telah menjadi milik Angkor.

GAMBAR 4: Angkor Wat

Raja Jayavarman VII dikatakan sebagai raja terbaik yang terakhir kerana tidak sekadar kejayaan besar dalam kempen menentang Champa. Ia disebabkan baginda bukan raja yang tirani seperti raja-raja terdahulu. Baginda menyatukan seluruh kerajaan (termasuk tanah jajahan bekas Champa) dan melakukan projek pembangunan yang terpenting. Ibu kota bernama Angkor Thom (bermaksud ‘Kota Terbaik’) dibina menjadi kota pemerintahan baru. Banyak kuil Buddha dibina dimulai dengan kuil Bayon, khas kepada penganut aliran Mahayana; Ta Prohm, Preah Kham, Banteay Kdei dan Neak Pean. Tasik buatan seperti Srah Srang juga dibina dalam projek pembinaan baginda. Tidak lupa juga jalan raya yang dibina untuk menghubungkan setiap kota dalam empayar, tempat rehat untuk para pengembara dan menubuhkan 102 buah hospital. Inilah zaman kemuncak Angkor yang memfokuskan pembangunan empayar.

Setelah kemangkatan Jayavarman VII, puteranya iaitu Indravarman II (1219 – 1243) menggantikan posisi mendiang ayahandanya. Baginda meneruskan projek pembangunan kuil yang sekian lama ayahanda usahakan. Namun pemerintahan baginda masuk kepada zaman keruntuhan empayar Angkor. Pada tahun 1220, akibat konflik dari pengembangan kuasa kerajaan Dai Viet dan sekutunya iaitu Champa, beberapa buah kawasan di timur (tanah bekas jajahan Champa) dirampas kembali. Manakala di bahagian barat empayar, kaum Thai memberontak sehingga menubuhkan kerajaan Thai di kota Sukhothai dan menekan Angkor. Dua ratus tahun kemudian, kerajaan Sukhothai menjadi kerajaan saingan empayar Angkor.

Pemerintahan Indravarman II kemudian digantikan oleh Jayavarman VIII (1243 – 1295). Jayavarman VIII adalah penganut ajaran Hindu Shaivisma.  Kerana membenci ajaran Buddha yang dianuti oleh raja-raja sebelumnya, banyak patung-patung Buddha dimusnahkan dan menggantikan kuil Buddha kepada kuil Hindu. Pada tahun 1283, empayar Angkor ditekan oleh dinasti Yuan di China, ketika itu diperintah oleh Kublai Khan, menghantar rombongan perang yang diketuai oleh jeneral Sogetu ke Angkor. Jayavarman VIII tidak mahu mencetuskan peperangan, seterusnya memulakan penghantaran ufti ke China bermula tahun 1285. Sehingga pada tahun 1295, pemerintahan Jayavarman VIII digulingkan oleh anak menantu baginda iaitu  Srindravarman (1295 – 1309). Raja Srindravarman adalah penganut ajaran Buddha Theravada yang baru saja tiba dari Sri Lanka. Jadi baginda berusaha menyebarkan ajaran Buddha baru itu ke seluruh empayar.

Pada bulan Ogos 1296, pengutus China bernama Zhou Daguan tiba ke Angkor dan merekodkan bahawa “Dalam peperangan dengan Siam, kota ini hampir ke penghancuran”. Zhou Daguan tetap tinggal di istana Srindravarman sehingga bulan Julai 1297. Belia adalah pengutus pertama dan terakhir ke Angkor. Tujuan beliau menetap hampir setahun di Angkor kerana beliau ingin mencatat kehidupan seharian kaum Khmer. Beliau adalah figura terpenting dalam membawa asal-usul kaum Khmer. Beliau juga mencata dengan terperinci tentang kuil-kuil agung seperti Angkor Wat dan Bayon. Pernah beliau mencata bahawa kuil Bayon diliputi dengan emas. Dalam catatan beliau juga ada mencatat beberapa informasi penting berkenaan cara hidup rakyat Angkor.

Pada abad ke-14 Masihi, empayar Angkor di ambang kehancuran. Para sejarahwan menyatakan beberapa faktor kehancuran empayar Angkor:

  1. Impak penyebaran ajaran Buddha Theravada.
    Akibat tindakan raja Srindravarman meluaskan dakyah ajaran Theravada ini, konsep ‘devaraja’ yang Sekian lama para raja terdahulu gunakan dikuburkan. Kuasa raja menjadi terhad dan hubungan raja dan kerabat semakin renggang sehingga berlaku perang saudara bersiri. Maka, pengaruh raja ke atas empayar berkurang sehingga pengurusan baray tidak teratur dan hubungan maritime antarabangsa terabai.
  2. Tekanan kerajaan Thai
    Dari pemberontakan kaum Thai, tertubuhnya kerajaan Sukhothai bagi menekan empayar Angkor yang semakin melemah. Tidak cukup dengan Sukhothai, kerajaan baru Thai yang lebih berkuasa menjajah Angkor, iaitu Ayutthaya. Kerajaan yang berpusat di Chao Phraya Basin yang diperintah oleh Raja Uthong menjarah Angkor pada tahun 1352. Pada tahun berikutnya, takhta Angkor menjadi milik para putera diraja Thai. Tahun 1357, takhta Angkor dikembalikan dengan pertabalan raja Khmer iaitu Suryavamsa Rajadhiraja. Ayutthaya dibawah perintah raja Ramesuan sekali lagi menakluk Angkor pada tahun 1340. Akhirnya pada tahun 1431, setelah Angkor dirampas kembali oleh raja Ponhea Yat, baginda terpaksa meninggalkan ibu kota Angkor dan menubuhkan kota baru di kawasan Phnom Penh.Ibu kota Oudong telah dibina sebagai pusat pemerintahan ‘kedua’ Angkor namun ia tidak berkekalan. Kerana iklim yang mencabar sehingga berlaku kemarau dan banjir berterusan, aktiviti ekonomi maritime terganggu. Dari kekurangan sumber ekonomi, segala pembangunan yang dirancang lama terbantut. Termasuk konflik diraja, pasti kaum Khmer tidak mampu lagi membina empayar.
  3. Gangguan ekologi.
    Faktor ini adalah yang terbaru dalam mengkaji sebab jatuhnya empayar Angkor. Angkor terkenal dengan pembinaan terusan dan air takungan/tasik buatan bagi tujuan aktiviti perdagangan, penanaman padi, dan pengangkutan. Bagi menampung populasi Angkor yang semakin meningkat, bukit-bukau Kulen harus diratakan bagi penanaman padi. Pada abad ke-14 dan ke-15 Masihi, perubahan iklim berlaku. Maka, banjir dan kemarau melanda empayar sehingga pengurusan air terganggu dan kurangnya sumber produktiviti dari tanaman padi. Kerana pembangunan Angkor yang mengancam ekosistem, akhirnya alam menghukum Angkor.
  4. Faktor ini juga menjadi bukti kukuh yang mampu mengancam populasi padat Angkor sehingga jatuh ke zaman penghancuran. Pada abad ke-14 Masihi, wabak Black Death menjangkiti Asia. China pertama kali terjangkit pada tahun 1330 dan menjangkiti Eropah pada tahun 1345. Maka, perlabuhan-perlabuhan di Asia Tenggara juga terkena tempias wabak tersebut, kemudian menjangkiti rakyat Angkor. Wabak yang disyaki menjangkiti adalah cacar, jangkitan bakteria bubonic dan malaria

Di akhir kekuasaan Angkor, pada zaman pemerintahan Barom Reachea (1566 – 1576), sempat bertahan seketika dari anccaman kerajaan Thai dan terpaksa kembali semula ke kota Angkor bersama para diraja, terpaksa akur dengan kekuasaan Thai. Kini, Kemboja menjadi sebuah negara bangsa setelah mendapat kemerdekaan dari kependudukan Perancis pada tahun 1953 dan berlaku siri peperangan yang terkenal seperti Perang Vietnam (1969 – 1973) dan Perang Kemboja-Vietnam (1979 – 1991).

SUMBER:

  1. Nota ringkas dari video game Age of Empire II.
  2. Buckley, B. M., Anchukaitis, K. J., Penny, D., Fletcher, R., Cook, E. R., et al. (2010). Climate as a contributing factor in the demise of Angkor, Cambodia.[1]Proceedings of the National Academy of Sciences 107(15):6748-6752.
  3. David Chandler,A History of Cambodia (Westview Press: Boulder, Colorado, 2008) p. 39.
  4. Higham, C. (2001).The Civilization of Angkor. London: Weidenfeld & Nicols
  5. Jacques Dumarçay; et al. (2001).Cambodian Architecture, Eight to Thirteenth Century. Brill. 44–47
  6. Kenneth R. Hall (October 1975). Khmer Commercial Development and Foreign Contacts under Sūryavarman I.Journal of the Economic and Social History of the Orient18(3):318-336.
  7. Miranda Leitsinger (13 June 2004).“Scientists dig and fly over Angkor in search of answers to golden city’s fall”. Associated Press. Archived from the original on 10 December 2008. Retrieved 21 August 2013.
  8. Miriam T. Stark (2006).“9 Textualized Places, Pre-Angkorian Khmers and Historicized Archaeology by Miriam T. Stark – Cambodia’s Origins and the Khok Thlok Story” (PDF). University of Hawaii. Retrieved January 15, 2018.
  9. Stark, M.T. (2006).From Funan to Angkor: Collapse and regeneration in ancient Cambodia. After collapse: The regeneration of complex societies. 144-167.
  10. Zhou Daguan (2007).A Record of Cambodia. translated by Peter Harris. University of Washington Press. p. 70.

 

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.