Kaum Khazar adalah salah satu kaum Turki dengan kehidupan semi-nomad yang penah menubuhkan sebuah kerajaan terkaya meliputi tenggara Rusia Eropah (barat negara Rusia) pada lewat abad ke-6 Masihi. Kerajaan yang kaum Khazar tubuhkan adalah kerajaan terkuat dari segi politik selepas tumpaskan empayar barat Turki. Disebabkan kerajaan tersebut berada dalam Laluan Sutera menghubungkan Eropah Timur dan Asia, ia menjadi sebuah kerajaan perdagangan utama di zaman pertengahan Eropah, menjadi talian perdagangan antara China, Timur Tengah, dan kerajaan Kievan Rus’. Selama tiga abad, kerajaan Khazar menjadi sebuah empayar yang mendominasi timur Krimea dan utara pergunungan Kaukasus.
Kerajaan Khazar telah lama menjadi ‘buffer state’, iaitu kerajaan atau negara penghalang kepada ketiga-tiga kuasa iaitu kerajaan Byzantine, para puak nomad di utara, dan kerajaan Khalifah Umayyah setelah menjadi proksi Byzantine bagi menentang kemaraan Empayar Parsi Sasanid. Setelah memutuskan hubungan dengan Byzantine sekitar tahun 900, Byzantine mempergunakan orang Alan, salah satu puak nomad Iran menentang Khazar, memaksa Khazar berundur dari menguasai Krimea dan Kaukasus. Ketika kerajaan Kievan Rus’ semakinm memuncak, empayar Khazar menjadi sejarah.
Bagi menjejaki bahasa kaum Khazar, ia amat sukar kerana ketiadaan orang asal yang mengamalkan bahasa tersebut dan kemajmukan kerajaan Khazar serta pengunaan lebih dari satu bahasa menyukarkan lagi pengkajian. Namun apa yang pasti adalah kaum Khazar mengamalkan sebuah agama bernama Tengrism, sebuah agama orang nomad Aisa Tengah yang meliputi animism, kebomohan, polytheism dan monotheism. Agama ini juga diamalkan oleh kaum Hun dan Mongol. Masyarakat kerajaan Khazar yang majmuk juga menyebabkan berlakunya kemajmukan agama yang diamalkan rakyat selain Tengrism iaitu agama Yahudi, Kristian, dan Islam bawaan para pedagang. Ahli akademik Sepanyol berbangsa Yahudi pada zaman pertengahan seperti Judah Halevi dan Abraham ibnu Daud menyatakan bahawa ramai kerabat pemerintah Khazar menganut agama Yahudi namun agama utama kerajaan masih tidak diketahui.
SEBELUM KHAZAR
Sebenarnya, penubuhan kerajaan Khazar diasaskan oleh persekutuan orang-orang nomad berbangsa Turki yang menetap di utara China dan selatan Siberia. Kaum nomad Oguric, Saragus, Onogurs, dan Bulgar terpaksa bermigrasi ke barat akibat serangan kaum Sabir yang mana kaum ini juga tengah melarikan diri dari serangan persekutuan Asian Avar. Kaum-kaum nomad Turki tersebut menetap di kawasan Laut Caspian dan Laut Hitam pada tahun 463.
Kemudian kaum Aryan, kaum Mongol, kaum berbahasa Uralic dan Palaeo-Siberian menyertai persekutuan orang Turki setelah mereka menumbangkan Empayar Rouran pada tahun 552. Persekutuan orang Turki ini seterusnya diketuai oleh kaum kerabat diraja Ashina. Sepanjang migrasi, persekutuan ini tiba di tanah kaum Akatziroi yang bertempat di utara Laut Hitam. Kemudian pada tahun yang sama tertubuhlah empayar Turkic atau Gokturk, empayar pertama orang Turki terbesar dalam sejarah, dari utara China ke kawasan Laut Hitam
Perenggan seterusnya tentang sejarah empayar Gokturk kerana kita kena fahami dahulu kronologi sebelum penubuhan empayar Khazar. Tahun 568 empayar Turkic menjadi goyah setelah membuat hubungan diplomatic dengan Byzantine bagi menentang empayar Parsi sehingga wujudnya perang antara para veteran dari timur empayar dan kaum muda dari barat empayar. Tahun 584 setelah kemangkatan Khagan keempat iaitu (maharaja) Taspar, konflik sekali lagi timbul terhadap perlantikan Khagan antara pilihan dari kerabat diraja, Khagan Apa dengan pilihan dari majlis tertinggi, Khagan Ishbara.
Dari konflik perebutan takhta itu, wujudlah dua kuasa iaitu Empayar Barat Turki dan Empayar Timur Turki (609). Empayar Timur Turki telah diserap masuk sebagai negeri milik dinasti Tang pada tahun 630 setelah tewas dalam siri peperangan. Kemudian maharaja Taizong dari dinasti Tang mahu menumpaskan saki-baki empayar Turki terutamanya Empayar Barat Turki yang semakin lemah. Di sini barulah kesatuan Khazar wujud bagi menentang sebarang kemaraan tentera Tang dengan mengambil alih empayar barat tersebut.
Setelah menguasai kawasan Volga di timur dan kawasan Sungai Danube dan Dniepr di barat oleh kesatuan kaum Turki Onogur dan Bulgar, wujudlah kerajaan Khazar menggantikanEmpayar Barat Turki pada tahun 650. Bahasa kesatuan Onogur-Bulgar dikatakan menjadi bahasa lingua franca Khazar. Ramai sejarahwan melihat zaman Kerajaan Khazar sebagai Pax Khazarica keranastatusnya sebagai kerajaan yang kaya dengan aktiviti perdagangan Jalan Sutera tanpa sebarang konflik perang.
EKONOMI MENGKAYAKAN KHAZAR
Sumber ekonomi utama Khazar adalah pengimportan dan pengeksportan barangan asing dan memperoleh cukai transit dagangan. Maharaja (Khagan) Khazar mengamalkan sejenis ekonomi domestik bernama ekonomi Saltovo: gabungan system pastrol tradisi iaitu mengeksport haiwan gembala seperti biri-biri dan lembu, perkembangan sistem pertanian dan perikanan, dan pembuatan kraftangan yang mampu memperoleh pulangan lumayan daripada mengenakan cukai kepada pedagang antarabangsa yang memberikan mereka kawalan penuh terhadap laluan perdagangan.
Khazar juga merupakan pembekal hamba terbesar kepada pasaran kerajaan muslim seperti kerajaan Iran Samanid, membekalkan hamba dari kaum Slav dan kaum gasar lain dari Utara Eurasia. Ia memperoleh keuntungan besar kepada Khazar apabila mana-mana kerajaan Islam mula menambah jumlah tentera muslim. Dengan lokasi Khazar dikelilingi oleh kerajaan-kerajaan yang bergantung kepada aktiviti perdagangan. Tidak mustahil Khazar menjadi sebuah kerajaan terkaya.
DIPLOMASI DAN KONFLIK DENGAN KERAJAAN LUAR
Khazar – Byzantine
Kerajaan Byzantine telah lama mengadakan hubungan diplomasi dengan mana-mana kaum nomad u7ntuk tujuan peperangan. Seperti kaum nomad Pechenegs yang sentiasa bersama Byzantine dalam kempen peperangan kerana ditawarkan upah yang lumayan. Byzantine juga pernah mengadakan hubungan dengan empayar Gokturks. Pada awal abad ke-7 Masihi, Byzantine bergabung dengan Empayar Barat Turki melawan tentera Persia Sasanid dalam Perang Byzantine – Sasanid (602 – 628).
Ketika pencerobohan kota Constantinople pada tahun 626, raja Heraclius menghantar utusan kepada raja Barat Turki, Tong Yabghu untuk memohon bantuan ketenteraan dengan balasan mengahwini puterinya iaitu Epiphania. Raja Tong Yabghu merespon dengan menghantar ketumbukan besar tenteranya, menumbangkan para tentera Persia yang mengawal kota Constantinople. Gabungan tentera Byzantine – Turki kemudian memusnahkan kota Derbent pada tahun 627, seterusnya mengepung kota Tiflis, di mana tentera Byzantine menyediakan alat menggempur iaitu Trebuchets untuk memusnahkan dinding kota Constantinople. Akhirnya kemenangan milik Byzantine.
Apabila kerajaan Khazar semakin berkuasa, kerajaan Byzantine mengambil kesempatan untuk berdiplomasi dengannya. Pada tahun 695, Maharaja Justinian II dibuang ke Cherson, Krimea iaitu tempat gabenor Khazar menetap. Pada tahun 704 atau 705, Justinian II melarikan diri dan mendapat perlindungan dari Maharaja Busir Glavan. Saat memperingati hubungan perkahwinan campur antara kedua-dua kerajaan, Maharaja Busir menawarkan adik perempuannya sebagai isteri Justinian, kemudian menamakannya sebagai Theodora.
Tidak lama kemudian, Maharaja Busir diberi rasuah oleh maharaja Byzantine ketika itu, Tiberius III untuk memohon membunuh Justinian. Kemudian Theodora memberi amaran dan Justinian melarikan diri setelah membunuh dua orang pegawai Khazar yang diutus untuk membunuhnya, dan pergi ke Bulgaria, meminta pertolongan pemerintah bernama Khan Terval bagi mendapatkan takhtanya semula. Busir menyesal atas perbuatan itu dan memulihkan hubungan semula kepada Justinian dengan menghantar Theodora ke Byzantine.
Perang Arab – Khazar
Pada abad ke-7 dan ke-8 Masihi, kerajaan Khazar telah lama berperang dengan kerajaan Khalifah Umayyah dan Abasiyah. Perang Arab – Khazar pertama berlaku ketika fasa pertama penjelajahan orang muslim. Tahun 640, tentera Arab muslim tiba di Armenia dan pada tahun 642 mereka memulakan penjarahan di kawasan Kaukasus di bawah arahan jeneral Abdul Ar-Rahman ibnu Rabiah. Tahun 652 tentera Arab cuba menjarah ibu kota Khazar, Balanjar namun kalah teruk. Melalui sumber dari sejarahwan Parsi bernama al-Tabari, kedua-dua tentera banyak menggunakan kereta pelempar batu bernama Catapult menyerang sesama sendiri.
Ketika berlaku Perang Sivil Pertama Muslim, kerajaan-kerajaan Arab Muslim menghentikan kempen berperang dengan Khazar sehingga pada abad awal ke-8 Masihi di mana Khazar mula menjarah di daerah Transcaucasian yang berada dalam kekuasaan Arab Muslim ketiga Perang Sivil Kedua Muslim masih berlangsung. Maka bermula Perang kedua Arab – Khazar.
Pada tahun 713 atau 714, jeneral tentera Umayyah iaitu Maslamah menakluk daerah Derbent setelah lama bertahan di Armenia. Tentera Khazar membalas serangan tersebut dengan menyerang Albania dan Azerbaijan namun gagal kerana pertahanan tentera Arab di bawah arahan Hasan ibn al-Nu’man. Pada 722, Khazar menyerang Armenia dengan ketumbukan 30,000 orang tentera sehingga berjaya menakluknya. Arab sekali lagi membalas serangan Khazar dengan menghantar 25,000 orang tentera ke utara, menyerang Khazar melalui Kaukasus, merampas Derbent, dan menuju ke Balanjar. Tentera Arab berjaya menceroboh ibu kota Khazar kemudian menakluknya. Impaknya ramai penduduk dibunuh dan dijadikan sebagai hamba, selebihnya melarikan diri ke utara. Usaha tentera Arab berjaya mengekang kemaraan Khazar namun mereka boleh mampu lagi menumpaskan Khazar keseluruhannya. Maka, para tentera Arab berundur ke selatan Kaukasus.
Perang Arab – Khazar berlarutan selama 2 dekad, sehingga tahun 737. Masuk Perang Sivil Ketiga Muslim, revolusi Bani Abasiyyah berlaku dan menggulingkan khalifah Umayyah pada 750. Di sini tamatlah perang tanpa kesudahan antara Umayyah dengan Khazar. Pada tahun 758, Khalifah Al-Mansur memulakan hubungan diplomatic dengan Khazar melalui perkahwinan campur, mengahwinkan jeneral perang Armenia iaitu Yazid ibn Usayd al-Sulami dengan puteri maharaja Baghatur tetapi perkahwinan pasangan ini tidak berkekalan kerana kematian mendadak isteri kerana penyakit. Pembantu isteri Yazid pulang ke Khazar, menghasut maharaja bahawa ada orang Arab meracun puterinya. Maharaja Baghatur murka dan mengarahkan jeneral perang iaitu Ras Tarkhan menjarah selatan Kaukasus pada 762 – 764, menakluk Albania, Armenia, Iberia, dan Tiflis. Sekali lagi, timbul konflik terbaru Abasiyyah – Khazar.
Kebangkitan kerajaan Kievan Rus’
Pada abad ke-9 Masihi, orang Rus’ yang menubuhkan kerajaan Kievan Rus’ ingin menjadikan sebuah kerajaan yang kaya dengan menguasai jalan perdagangan di sekelilingnya namun mereka harus selidik aktivit perdagangan laut yang berlangsung di Laut Hitam, dikuasai oleh Khazar dan kerajaan naungannya, Volga Bulgaria. Di sana, wang perak Arab diperlukan untuk memperoleh bulu dan alatan besi dan pedagang Rus hanya peroleh 1/10 daripada aktiviti dagangan tersebut.
Bagi mencapai cita-cita tersebut, kerajaan Rus’ harus bergabung dengan kaum Slav, Merja, dan Chud, bagi mendapatkan hak perlindungan kaum-kaum ini dengan menentang pembayaran ufti kepada Khazar. Tindakan Rus’ dapat dihidu oleh Khazar kemudian kerajaan ini harus berhati-hati dan bersedia jika ada serangan dari orang Rus’ selain kaum nomad lain dengan menguatkan pertahanan ketenteraan dan merapatkan lagi hubungan dagang Byzantine – Khazar.
Pada tahun 860, kerajaan Rus’ menakluk Dnieper di Constantinople selepas menguasai Kiev. Pada tahun 880, Khazar merampas kembali Dnieper dan memberi peluang kepada kerajaan Rus’ untuk menggunakan Sungai Volga sebagai laluan perdagangan. Pada tahun 913, selepas Byzantine membuat perjanjian damai dengan Rus’, utusan Arab tiba di Khazar bagi memohon bantuan atas kekacauan Rus’ di tanah Arab. Khazar kemduian menutup jalan perdagangan di Sungai Volga, mengharap Rus’ tidak lagi menyerang Arab namun tindakan itu melebihi jangkaan.
Rus’ memulakan perang bersiri dengan Khazar dan pada awal abad ke-10 hubungan Byzantine – Khazar mula goyah. Pada tahun 940-an, maharaja Byzantine iaitu Constantine VII Porphyrogenitus memutuskan hubungan dengan Khazar dan mengadakan hubungan diplomatik dengan kaum gasar Pechenegs dan Rus’. Dengan peluang keemasan Rus’ ini, Sviatoslav I iaitu putera kota Kiev berjaya menumpaskan Khazar keseluruhan dengan memusnahkan kubu terkuat iaitu Sarkel pada 965, diikuti dengan kota perlabuhan Atil pada 969. Maka, tamatlah sebuah empayar kaya yang kesempitan oleh konflik dari kerajaan saingan dan diplomasi.
KHAZAR ADALAH NENEK MOYANG YAHUDI?
Ramai kaum pasca Khazar mengaku yang mereka adalah generasi kini Khazar seperti kaum Subbotnik di Rusia, Kazakh di Kazakhstan, Krymchaks berbahasa Turki, Muslim Kumyks dan sebagainya. Namun melalui kajian, kaum Yahudi Krymchaks berbahasa Tartar di Crimea adalah generasi kini sebenar Khazar. Bagaimana dengan kaum Yahudi Ashkenazi? Tiada satupun klaim bahawa mereka adalah generasi kini Khazar. Namun ada satu teori yang menjadi perdebatan para ahli akademik seterusnya menjadi propaganda dari pihak anti-semitik/anti-Yahudi dan supremacist. Teori itu adalah Ashkenazi-Khazar Theory.
Teori Ashkenazi-Khazar dikemukakan oleh Karl Neumann, ahli orientalis Jerman pada 1847 di mana beliau berhujah bahawa kaum Khazar yang bermigrasi di Eropah diasimilasikan menjadi komuniti Yahudi Eropah Timur. Buktinya adalah ada antara golongan yang mempunyai hubungan darah Khazar dalam komuniti Ashkenazi. Kenyataan ini disokong oleh beberapa orientalis lain seperti Abraham E. Harkari.
Namun hujah orientalis pro Ashkenazi-Khazar ditentang oleh kebanyakan ahli sejarah seperti Bernard Lewis iaitu sejarahwan British Amerika. Beliau menyatakan hujah itu tidak disokong dengan mana-mana bukti konkrit penglibatan Ashkenazi dan Khazar. Baginya tidak semestinya orang Khazar itu adalah Yahudi jika sekumpulan orang Yahudi berasimilasi ke dalam masyarakat Khazar. Tambahan lagi, beliau dapat menjejak saki-baki Khazar di timur daya Turki, iaitu kaum Hakkari yang berkaitan dengan kaum Kurdis.
Hujah lawan Teori Ashkenazi-Khazar juga disokong oleh jurnalis British iaitu Arthur Koesther yang beranggapan teori itu cuma fantasi para orientalis. Pernah seorang duta Israel ke British memberi reaksi akan teori itu dengan berkata:
“An anti-semitic action financed by the Palestinian.”
Ya, orang Yahudi Israel sendiri bengang dengan teori itu sampai menjual nama Palestin namun kerana teramat laku teori itu ia sampai ke USA, pihak anti-Yahudi mengambil kesempatan untuk menghentam Yahudi yang bermigrasi dan juga menentang pengiktirafan kerakyatan dengan menggunakan teori Ashkenazi-Khazar sebagai propaganda.
Bagaimana dengan kajian genetik? Adakah ia menyokong teori Ashkenazi-Khazar tersebut? Pada tahun 2012, Eran Elhaik, pengkaji genetik menyatakan ada unsur genetiki Khazar berdasarkan penyelidikan Y-DNA dalan gene Yahudi Ashkenazi dengan menjadikan populasi orang Yahudi Kaukasia, Georgia, Armenia, dan Azerbaijan sebagai uji kaji. Namun bukti tersebut ditentang oleh seorang lagi pengkaji genetik iaitu Shaul Stampfer kerana secara teknikal dalam kajian genetik, jika wujud sebarang unsur Khazar dalam gene Yahudi Azhkenazi, peratusan itu amat sedikit atau tidak dapat dikesan.
Menurut pengkaji anthropologi Amerika, Nadia Abu El-Haj, isu mencari asal-usul kaum amat sukar direkod melalui kajian genetik dan ia mengundang pelbagai pendapat yang tiada kesudahan, bergantung kepada pemahanan kronologi sejarah dan taburan populasi orang Yahudi. Kekurangan DNA milik kaum Khazar juga menyulitkan kajian genetic tersebut.
Apa yang dapat disimpulkan dalam kisah kaum Khazar ini adalah kaum ini hanyalah seperti kaum agung lain, dari kehidupan nomad sehingga membina sebuah ketamadunan yang agung, kemudian musnah dan digantikan oleh kaum seterusnya yang lebih gagah. Jika mereka adalah kaum Yakjuj dan Makjuj yang mampu mencetuskan kiamat akan datang, mustahil mereka memegang nama sebegitu sebab mereka telah pupus atau telah berasimilasi dengan kaum lain. Jauh sekali mereka adalah kaum Yahudi. Telah banyak bukti menentang teori yang tiada kesudahan itu.
RUJUKAN:
- Abulafia, David(1987) [First published 1952]. “Asia, Africa and the Trade of Medieval Europe”. In Postan, Michael Moïssey; Habakkuk, H.J.; Miller, Edward. The Cambridge Economic History of Europe: Trade and industry in the Middle Ages. 2. Cambridge University Press. pp. 402–473.
- Barthold, Vasili(1993) [First published 1936]. “Khazar”. In Houtsma, Martijn Theodoor; Bosworth, C.E.; van Donzel, E.; Heinrichs, W.P. First Encyclopedia of Islam, 1913–1936. Handbuch der Orientalistik: Handbook of Uralic studies. 4. BRILL. pp. 935–937.
- Beckwith, Christopher I.(2011) [First published 2009]. Empires of the Silk Road: A History of Central Eurasia from the Bronze Age to the Present. Princeton: Princeton University Press.
- Behar, Doron; Skorecki, Karl; Hammer, Michael F (October 2003). “Multiple Origins of Ashkenazi Levites: Y Chromosome Evidence for Both Near Eastern and European Ancestries”. European Journal of Human Genetics. 73(4): 768–779.
- Elhaik, Eran (December 2012). “The Missing Link of Jewish European Ancestry: Contrasting the Rhineland and the Khazarian Hypotheses”. Genome Biology and Human Evolution. 5(1): 61–74.
- Golden, Peter Benjamin(1992). An Introduction to the History of the Turkic Peoples: Ethnogenesis Ans State Formation in the Medieval and Early Modern Eurasia and the Middle East. Turcologica. 9. Wiesbaden: Harrassowitz.
- Golden, Peter B.(2001a). “Nomads in the Sedentary World: The Case of Pre-Chinggisid Rus’ and Georgia”. In Khazanov, Anatoly M.; Wink, Andre. Nomads in the Sedentary World. Curzon-IIAS Asian studies series. Routledge. pp. 24–74.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih