Sejak zaman prasejarah, tanah Burma yang subur, aliran air sungai yang tenang dan mempunyai gunung-ganang yang berfungsi sebagai tempat berlindung, menarik perhatian ramai etnik untuk membuat penempatan. Dari akhir 1000 SM hingga abad ke-9 Masihi, banyak negara-kota yang berkembang pesat hasil dari berkembangnya penanaman padi dan aktiviti perdagangan di kawasan Indo-China. Politik dan kebudayaan negara-kota ketika itu banyak diserap dari India. Masyarakat Burma beransur-ansur menganut Buddhism dan membina banyak buah candi. Candi tinggi berbentuk silinder yang dipanggil sebagai stupa, menjadi prototaip bagi rujukan pembinaan seni arkitek keagamaan. Contohnya, Pagoda Shwezigon yang dibina pada abad ke-11 Masihi yang mempunyai reka bentuk stupa.
Apabila Eropah berada di zaman pertengahan, di mana institusi agama Kristian menjadi kuasa besar, dua negara-kota Burma yang berpengaruh membentuk sebuah empayar berkuasa. Pada 1044 Masihi, Anawrahta Minsaw (1044 – 1077) menjadi raja kaum Burma kepada kerajaan Pagan di Myanmar Utara. Selepas mengukuhkan ekonomi negara-kota dengan pembinaan terusan secara meluas, Anawrahta hampir menakluk keseluruhan Myanmar Utara dan Selatan. Sekitar 1200 Masihi, Empayar Pagan (1044 – 1297) mencapai kemuncaknya: Bahasa Burma menjadi lingua franca, mempunyai kanun undang-undang, dan jajahan yang besar.
Uniknya empayar Pagan ini adalah, dari segi ketenteraan, bilangan tentera di ibu kota sangat terhad sehingga kerahan menambah tentera berlaku semasa penglibatan empayar Pagan dalam perang. Empayar ini mempunyai bilangan tentera infantry yang begitu besar. Sejumlah bilangan tentera bergajah iaitu tentera elit dan symbol kekuasaan Pagan, diserap dalam setiap pasukan tentera. Tentera bergajah dilengkapi dengan Howdah, sejenis pedati, menempatkan ramai tentera memanah untuk mensasarkan musuh di tunggangan gajah. Tambahan pula, empayar Pagan mempunyai jumlah tentera berkuda yang besar. Para tentera Burma berperang menggunakan pelbagai jenis senjata termasuklah pedang, lembing, busur dan panah. Sepanjang kurun ke-11 dan ke-12 Masihi telah banyak tentera Burma perolehi kemenangan berperang, termasuk menumbangkan kemaraan para tentera Monggol pada 1285 Masihi. Tanpa kepimpinan raja Pagan yang hebat, tidak akan wujud empayar Pagan yang menyatukan seluruh Myanmar.
Pada abad ke-14 Masihi, empayar Pagan terbahagi kepada 4 buah kerajaan akibat dari pemberontakan rakyat dan saingan sesama suku. Semasa perang saudara berlaku ke atas keempat-empat kerajaan, kerajaan Toungoo mengambil kesempatan dengan memberi perlindungan kepada para pelarian, megembangkan jajahan dan menyerang negara-kota jiran. Pada 1510 Masihi, pemerintah Toungoo ketika itu, raja Mingyinyo (1485 – 1530) menuntut kemerdekaan. Di zaman pemerintahan pewaris raja Mingyinyo, iaitu raja Tabinshwehti (1530 – 1550) dan raja Bayinnaung (1550 – 1581), kerajaan Toungoo berkembang menjadi empayar kaum Burma paling besar di Asia Tenggara, dengan jajahan meliputi Myanmar, Thailand, dan Laos kini. Dengan penggunaan senjata api dan merekrut tentera meriam Portugis, menjadikan kaum Burma tiada tandingannya dalam pertempuran.
Akibat dari pertumbuhan populasi yang pesat, empayar Toungoo menjadi tidak terkawal. Selepas kemangkatan raja Bayinnaung, kerajaan-kerajaan naungan Toungoo memberontak. Puteranya, raja Nanda (1581 – 1599), berusaha keras mengembalikan kekuasaan Toungoo ke atas kerajaan yang memberontak. Namun usahanya hanya seketika. Kerajaan Toungoo telah banyak kali gagal menghentikan kemaraan kerajaan Thai Ayutthaya sehingga tentera Burma terpaksa melepaskan jajahan dan berundur. Tambahan pula, kegagalan aktiviti menuai disebabkan musim tengkujuh mencacatkan ekonomi kerajaan Toungoo. Pada 1599 Masihi, ibu kota Toungoo dibedil, seterusnya menggulingkan kerajaan kaum Burma kedua dan berakhirlah zaman empayar milik kaum Burma.
RUJUKAN:
- Sejarah ringkas dari video game Age of Empires II
- Htin Aung, Maung (1967).A History of Burma. New York and London: Cambridge University Press. pp. 63–65.
- Lieberman, Victor B. (2003). Strange Parallels: Southeast Asia in Global Context, c. 800–1830, volume 1, Integration on the Mainland. Cambridge University Press.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih