Semasa Era Keemasan Islam, ramai cendekiawan dari pelbagai disiplin ilmu muncul dari zoologi (al-Jahiz) hinggalah falsafah (al-Kindi). Tetapi dari abad ke-13 hingga abad ke-19, tamadun Islam dilihat mengalami kemarau cendekiawan yang memberi impak signifikan kepada dunia dalam tempoh berkenaan. Justeru tidak hairanlah jika penulis menyebut nama cendekiawan Turki Uthmaniyyah bernama Katip Celebi, pasti ramai menggaru kepala dan tertanya-tanya siapa beliau ini.

Katip Celebi atau nama sebenarnya Mustaffa bin Abdullah merupakan anak jati kota Istanbul dan dilahirkan pada tahun 1607. Tidak seperti para cendekiawan yang lahir dari sistem pendidikan tradisional, beliau mendidik dirinya dengan mengambil kelas-kelas persendirian dalam banyak disiplin ilmu dari tafsir al-Quran hinggalah sejarah dan geografi.

Oleh sebab itulah, para pegawai istana yang lahir dari sistem ini memandang rendah beliau seperti direkodkan oleh sejarawan Adnan Adivar. Anak kepada seorang askar, Katip juga pernah berkhidmat sebagai askar kerajaan selama sedekad sehinggalah beliau mendapat harta pusaka yang membolehkannya mempelajari pelbagai disiplin ilmu.

Di sebalik tohmahan dan persepsi negatif yang dilempar terhadapnya, itu tidak menghalang Katip dari menjadi salah seorang pemikir kritis Uthmaniyyah pada abad ke-17. Beliau mengaplikasikan semua pengetahuan yang diketahuinya dalam bentuk gambaran menyeluruh dan dijadikan sebagai solusi permasalahan yang dihadapi pada ketika itu.

Atas sebab itulah, dalam tempoh 48 tahun kehidupannya, Katip berjaya menghasilkan lebih 21 buah buku dan kebanyakannya masih lagi digunakan sehingga ke hari ini. Oleh sebab itulah, ini menjelaskan mengapa sejarawan Franz Babinger menggelarnya sejarawan Turki yang terhebat manakala Adivar pula menggelarnya wakil Turki semasa era Renaissance. Di sebalik kesibukannya sebagai cendekiawan, itu tidak menghalangnya berkhidmat sebagai pegawai kerajaan.

Dalam catatannya, Katip sentiasa mengingatkan ketua-ketua negara terutama kerajaan Turki Uthmaniyyah ketika itu agar mengetahui secara mendalam ilmu geografi. Walaupun menganggap perkara tersebut sebagai bukan mudah, ini sebenarnya memudahkan urusan para pemerintah dalam mengatur hal ehwal pentadbiran mereka termasuk mengatur operasi ketenteraan atau mengawal kawasan sempadan yang bersempadan dengan kerajaan-kerajaan lain. Katip turut menegaskan menerusi penguasaan ilmu geografi, kuasa-kuasa Eropah sudah mengetahui kawasan-kawasan baru yang wujud sekaligus membolehkan mereka meluaskan kekuasaan masing-masing dan menambah kekayaan kerajaan masing-masing.

Figure 1: Peta dunia dari kitab Tuhfat al-Kibar yang dikarang Katip. Sumber: https://muslimheritage.com/horizon-katip-celebis-thought/

Kebanyakan hasil kerja Katip bukan saja bersifat saintifik tetapi juga bersifat saksi kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku ketika itu. Ini sekaligus membezakan beliau dengan sejarawan-sejarawan Islam lain termasuk Ibnu Khaldun. Walaupun Ibnu Khaldun ada menyentuh peristiwa membabitkan tanah airnya dalam al-Muqaddimah, ia hanya disentuh secara sepintas lalu.

Manakala Katip pula menyifatkan sejarah harus diamati dalam semua sudut sama ada bersifat kronologi atau mitologi. Ini kerana dengan meneliti sejarah sama ada tamadun Islam atau tamadun asing, ia boleh mewujudkan lebih banyak informasi yang boleh dipelajari dan diambil pengajaran untuk generasi mendatang.

Justeru, pandangan kritisnya dalam pelbagai isu nyata mengundang rasa kurang senang sesetengah pihak ketika itu. Misalnya dalam ketiadaan input saintifik dari Tamadun Islam terutama Turki Uthmaniyyah, perkara tersebut berlaku berikutan tindakan sesetengah pihak terutama golongan pemerintah yang memilih mengharamkan mana-mana ilmu yang didakwa bertentangan dengan syarak seperti falsafah dan saintifik.

Padahal, disiplin-disiplin ilmu sebegini merupakan teras kepada kegemilangan sesebuah tamadun termasuk Turki Uthmaniyyah. Tambah Katip, ramai cendekiawan undang-undang Uthmaniyyah menggabungkan ilmu perundangan yang dipelajari dengan falsafah seperti Hocazade, Ali Kuscu, Ibnul-Mueyyed dan Kinali Zade Ali Efendi.

Katip menambah apabila pihak pemerintah mengharamkan disiplin-disiplin ilmu ini, ia mengakibatkan aliran ilmu yang datang tidak lagi muncul. Dengan pengharaman ini, ia mengakibatkan kemerosotan pelbagai disiplin ilmu dan diganti dengan perkara-perkara yang dipersetujui oleh pihak pemerintah dan golongan yang sealiran dengan mereka.

Menurut Mevlana Sihabeddin al-Hafaci dalam kitabnya Habaya al-Zavaya, pengharaman sebeginilah yang kemudiannya menjadi punca keruntuhan Rom sebagai pusat ilmu. Hipotesis beliau turut disokong oleh Ibnu Khaldun dalam al-Muqaddimah yang menyifatkan pengharaman ilmu merupakan petanda kemerosotan sesebuah kerajaan.

Dalam kitabnya Mizan al-Hikma, Katip menjelaskan para ilmuan terdahulu mempelajari falsafah kerana ingin mengetahui kebenaran sesebuah ilmu dengan sesetengah daripadanya terkandung dalam kitab-kitab sains lama. Dalam setiap abad, penyelidik-penyelidik hebat menyatukan agama dengan falsafah sambil menulis buku atau membentangkan teori-teori mereka.

Dan mereka kemudiannya menjadi tokoh-tokoh yang memberi impak besar kepada dunia pada abad-abad seterusnya. Antara nama yang dipetik Katip ialah Imam al-Ghazali, Imam Fakhruddin ar-Razi, Qutbeddin al-Shirazi dan Adududin al-Iji. Menurut beliau, nama-nama yang disebutnya ini bukan saja melakukan analisis yang menyeluruh tetapi pakar dalam pelbagai disiplin ilmu.

Katip turut menyindir sesetengah pihak yang menggelar diri mereka ulama dan pembela kebenaran tetapi hakikatnya langsung tidak tahu dengan falsafah. Tambahnya lagi, golongan ini terlalu cepat menghukum tanpa mengetahui teras di sebalik setiap ilmu yang dikatakan menyeleweng ini. B

eliau kemudian memetik firman Allah s.w.t dalam ayat 185, Surah al-A’raf mafhumnya, “Patutkah mereka (membutakan mata) tidak mahu memperhatikan alam langit dan bumi dan segala yang diciptakan oleh Allah, dan (memikirkan) bahawa harus telah dekat ajal kebinasaan mereka? Maka kepada perkataan yang mana lagi sesudah (datangnya Kalamullah Al-Quran) itu mereka mahu beriman?” Katip turut menyifatkan akibat kecenderungan mereka ini, ia mengakibatkan tamadun Islam mengalami kemarau kemunculan pakar-pakar yang mahir dalam pelbagai disiplin ilmu selama bertahun-tahun.

Ayat ini juga merupakan inspirasi kepada mahakaryanya yang terhebat iaitu Jihannuma (Mempersembahkan Dunia). Melihat perkembangan kuasa-kuasa luar yang mencapai pelbagai kemajuan dalam pelbagai disiplin ilmu termasuk ilmu saintifik sedangkan tamadun Islam terus ketinggalan amat menyedihkan hati sejarawan Turki itu.

Satu perkara yang benar-benar menguji bukan saja beliau tetapi juga para cendekiawan dan saintis hari ini ialah teori bumi rata. Ini berikutan pada ketika itu, masyarakat terpengaruh dengan sepotong hadis palsu yang dikatakan diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a bahawa bumi itu terletak pada tanduk lembu dan berbentuk rata.

Menurut Katip, bagi individu yang tidak mempunyai pengetahuan dalam sains falsafah, mereka hanya dapat melihat sejauh mata yang memandang dan memandangkan kebanyakan tempat yang dilihat nampak rata, maka mereka melihat bumi ini rata.

Figure 2: Peta Asia Tenggara yang direkodkan dalam Jihannuma.

Selain mahir dalam ilmu geografi, beliau juga merupakan seorang sejarawan yang tekun mempelajari sejarah baik tamadun Islam atau kerajaan-kerajaan luar. Buktinya, kitab Tarikh-i Frengin (Sejarah Orang Franks). Kitab ini sebenarnya merupakan kitab terjemahan karya Johannes Carion yang bertajuk Chronicle yang diterbitkan di Paris pada tahun 1548. Terjemahan Turki yang dibuat oleh Katip dan Ihlasi Seyh Muhammad ini menceritakan sejarah Empayar Rom, para pemerintah dan paus-paus sehingga dekad 1530-an.

Di samping kitab Tarikh-i Frengin, Katip turut merekodkan sejarah Empayar Rom Timur (Byzantine) menerusi Tarih-i Konstantîniyye ve Kayâsira. Menerusi kitab ini, beliau menterjemah pelbagai riwayat sejarah yang dibawa oleh sejarawan-sejarawan Byzantine seperti Johannes Zonaras, Nichytas Acominates, Nicephoros Gregoras dan Ladonycus Chalcondyles. Nama-nama ini disebut dalam cetakan Chronicle edisi Frankfurt. Kitab ini merangkumi sejarah kerajaan itu dari abad kesembilan semasa era pemerintahan Maharaja Alexios I Komnenos sehinggalah penubuhan kerajaan Uthmaniyyah dan penaklukan Crete oleh Sultan Mehmed II.

Katip tidak terlepas dari melakukan kesilapan yang wujud seperti penggunaan nama yang berbeza-beza. Contohnya, nama Mehmed kadang-kadang ditulis sebagai Muhammad, Maomet atau Meomet. Sementara nama Umar pula dieja mengikut Bahasa Turki iaitu Ovmer berbanding mengikut ejaan Bahasa Arab. Manakala dalam Bahasa Latin, Katip banyak merujuk nama tempat atau individu dalam bahasa berkenaan seperti Osmanli (Otoman), Osman Gazi (Otomanus), Ahmed (Ehmed), Salahuddin (Saladinus) dan Arabistan (Arabya).

Terjemahannya juga dibuat dalam Bahasa Turki yang boleh dibaca dan kesalahan-kesalahan ini mungkin berlaku berikutan kekurangan pengetahuan tentang subjek yang disentuh. Tetapi apabila ia dipindahkan ke kitab-kitab, kesilapan-kesilapan ini kemudiannya diperbetulkan. Ini sekaligus menunjukkan pendekatan kerjanya yang bersifat saintifik.

Dalam karyanya yang bertajuk Irshad al-Hiyârâ ilâ Tarîh al-Yûnâni va al-Rûmi va-‘Inasara, Katip menulis secara terus pemerintah-pemerintah Yunani, Rom dan Kristian serta urus tadbir negara-negara berkenaan. Dorongan untuk menulis kitab ini tercetus berikutan negara-negara Islam ketika itu tidak mempunyai maklumat terhadap negara-negara yang dinyatakan.

Usaha beliau mendapatkan semua maklumat berkenaan negara-negara ini termasuk hal ehwal pemerintahan dan agama, adat dan undang-undang serta bentuk kerajaan seperti demokrasi dan monarki. Ini menjadikan Katip penulis pertama yang menyentuh aspek-aspek ini sejak cendekiawan Andalusia terkenal, Ibnu Rushd.

Karya-karya Katip menarik perhatian ramai pihak di dunia Barat tidak lama selepas beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 1657. Ini kerana kebanyakan karyanya seperti Kashf Al-Zunûn, Jihânnumâ, Tuhfat al-Kibâr fî Asfâr al-Bihâr dan Takvîm Al-Tavârîh diterjemah ke pelbagai bahasa seperti Latin, Perancis, Jerman dan Inggeris.

Menerusi usaha penterjemahan ini, ini menjadikan Katip satu-satunya ilmuan Uthmaniyyah yang mempunyai pelbagai karya abad ke-17 yang menarik perhatian pihak Barat dan diterjemah ke bahasa-bahasa asing. Namanya terus harum walaupun telah lama tiada. Pada tahun 2009, Suruhanjaya UNESCO untuk negara Turki mengisytiharkan tahun 2009 sebagai tahun sambutan keraian cendekiawan Uthmaniyyah abad ke-17 itu. Universiti Katip Izmir di Izmir dinamakan sempena nama Katip. Manakala Dana Katip Celebi-Newton pula merupakan program pertukaran sains dan inovasi antara Turki dengan Britain.

RUJUKAN:

  1. Karliga, Bekir. (2009). The Horizon of Katip Celebi’s Thought. Muslim Heritage. https://muslimheritage.com/horizon-katip-celebis-thought/
  2. Muslim Heritage. (2009). Celebrating an Ottoman Intellectual: 2009 Year of Kâtip Çelebi. https://muslimheritage.com/celebrating-ottoman-intellec-katip-celebi/

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.