Ahad, 25 Oktober 202625 Okt 2026
Kronikel Dunia

Karoshi – Bekerja Sampai Mampus

Nilai
kerajinan dan kesungguhan dengan orang Jepun tidak boleh dipisahkan bak irama
dan lagu. Imej sebegini dikatakan bertanggungjawab membantu Jepun bangkit
sebagai kuasa ekonomi dunia yang kita kenali hari ini dan dilihat sebagai
antara motivasi Tun Dr Mahathir Mohamad semasa menggubal Dasar Pandang Ke
Timurnya pada tahun 80-an. Tetapi nilai ini juga secara tidak langsung
bertanggungjawab mencetuskan satu fenomena yang dikenali sebagai karoshi
(kematian semasa bekerja).

Bagi ramai rakyat Jepun, nilai rajin dan kesungguhan ini disamakan dengan waktu bekerja terlalu lama. Pada mereka, bekerja untuk tempoh lama sebegini dilihat dapat mengembalikan semula kekuatan ekonomi negara yang musnah selepas Perang Dunia Kedua. Dan mentera ini dijadikan sebagai azimat untuk mendorong mereka membina semula negara dari tahun 60-an hingga tahun 90-an. Budaya ini sudah mencetuskan isu karoshi pada tahun 60-an dan 70-an.

Tetapi berbeza dengan isu karoshi yang berlaku hari ini, situasi ini tidak menarik perhatian orang ramai ketika itu kerana ia dianggap norma dan mereka yang mati sudah menikmati kehidupan yang selesa. Keadaan ini semakin teruk hari ini seperti didedahkan aktivis Makoto Iwahashi kerana pekerja-pekerja tidak lagi menikmati jaminan keselamatan pekerjaan yang dinikmati sebelum ini.

Pekerja-pekerja
yang mati akibat karoshi ini bukan saja bekerja terlalu lama bahkan bekerja
lebih masa kadang-kadang melebihi 80 jam dalam seminggu. Akibat tekanan kerja
yang melampau ini, ini mengakibatkan ramai mangsa mati akibat sakit jantung,
strok dan membunuh diri. Berdasarkan statistik rasmi, jumlah kes karoshi ini
mencecah ratusan kes tetapi aktivis hak asasi pekerja merasakan statistik
sebenar jauh lebih tinggi. Satu statistik dari Januari 2010 hingga Mac 2015
mendedahkan 368 kes bunuh diri (352 lelaki, 16 wanita) berpunca dari kes
karoshi. Dalam satu kajian, lebih suku pekerja mengakui mereka bekerja lebih
masa 80 jam setiap bulan tanpa menerima sebarang bayaran. Sementara 12% pekerja
pula mengakui mereka bekerja lebih 100 jam setiap bulan.

Situasi ini tidak dibantu dengan satu konsep yang dikenali sebagai ie yang bermaksud keluarga, rumah dan puak. Konsep ini dieksploitasi oleh majikan-majikan yang tidak bertanggungjawab bagi membolehkan pekerja-pekerja ini terus setia dengan syarikat termasuk memaksa mereka bekerja lebih lama.

Tetapi krisis ekonomi yang berlaku pada tahun 1990-an dan 2007/2008 dilihat meruntuhkan konsep ini dan membenarkan pekerja menolak cubaan eksploitasi individu sebegini. Tetapi masih ada yang melihat syarikat sebahagian dari konsep ie dan ini diakui oleh Toshio Takagi dari Universiti Wanita Showa. Beliau menambah, “Untuk mengubah mentaliti pekerja ini akan mengambil masa lama.”

Mitos kerajinan orang Jepun

1.
Orang Jepun dianggap rajin bekerja kerana tidak pernah mengambil cuti termasuk
cuti bergaji. Hakikatnya, mereka jarang mengambil cuti kerana jika mereka
berbuat demikian, mereka dianggap pemalas dan tiada semangat bekerjasama. Kalau
berani, cubalah minta cuti dengan penyelia atau pengurus masing-masing. Tiada
siapa akan berani berbuat demikian kerana ia dianggap menjatuhkan maruah. Dan
sejujurnya, Jepun juga mempunyai cuti umum yang banyak di mana lebih baik
pekerja terus bekerja sehingga hari cuti tiba.

2.
Orang Jepun dianggap rajin kerana mengambil kerja lebih masa yang lebih lama
walaupun tidak dibayar. Hakikatnya, orang yang bekerja lebih lama ini berbuat
demikian atas sebab tekanan persekitaran dan itu juga tidak menjadikan mereka
lebih produktif. Masa-masa seperti mesyuarat yang lama dan tiada hala tuju
dipergunakan sesetengah daripada mereka untuk melelapkan mata barang seketika.
Pengulangan tugas yang melampau dan pengisian kertas kerja yang tidak
diperlukan juga menjejaskan produktiviti pekerja Jepun.

3.
Orang Jepun dianggap rajin kerana terlalu letih selepas seharian bekerja. Dalam
sesetengah situasi, anggapan sebegini memang betul. Tetapi kadangkala, mereka
ini terlalu letih kerana berparti dengan bos dan rakan-rakan sekerja. Aktiviti
sebegini yang dikenali sebagai nomikai perlu dihadiri kerana inilah peluang
mengenal individu yang dapat membantu mereka naik pangkat dan boleh diharap
oleh pasukan pengurusan. Dan bagi membantu mereka bekerja, mereka mengambil
minuman tenaga bukan saja untuk membantu mereka bekerja tetapi juga untuk
melambatkan simptom terlalu banyak minum alkohol.

Dari
segi statistik pula, satu kajian mendedahkan ketidakpuasan hati pekerja Jepun
terhadap pekerjaan mereka berada di paras bawah purata. Sementara laporan
Gallup pula mendedahkan 67% pekerja tidak berminat (bekerja kerana gaji tetapi
tidak berminat tentang kerja atau syarikat mereka) dengan 24% lagi menunjukkan
mereka tidak kisah tentang pekerjaan mereka malah berusaha menjatuhkan syarikat
mereka. Tindakan individu sebegini mengakibatkan Jepun kerugian 26 trilion yen
atau $232 bilion setiap tahun. Sementara dari segi KDNK per jam berdasarkan
mata wang dolar Amerika menempatkan Jepun di tangga ketiga dengan $36.10 sejam,
jauh di belakang Amerika Syarikat ($56.90 sejam) dan Perancis ($50.90 sejam).

Antara kes Karoshi yang diketahui

1.
Naoya Nishigaki, 27 mati pada tahun 2015 akibat masalah terlebih dos
ubat-ubatan. Kes dianggap sebahagian daripada fenomena karoshi kerana dia
bekerja terlalu lama di pejabat kadangkala sehingga 37 jam.

2.
Pada tahun sama, seorang pekerja agensi pengiklanan Dentsu bernama Matsuri
Takahashi, 24 membunuh diri dengan melompat dari bangunan tinggi. Hasil
siasatan polis mendedahkan Takahashi bekerja lebih masa sebanyak 100 jam
sebulan dalam tempoh sebelum dia membunuh diri dan tidak banyak mendapat tidur
secukupnya.

3.
Wartawan politik NHK Miwa Sado mati akibat sakit jantung pada Julai 2013. Pada
Jun dan Julai tahun itu, Sado membuat liputan pilihan raya tempatan dan
parlimen untuk stesen televisyen itu. Dia kemudiannya mati tiga hari selepas
keputusan pilihan raya.

4.
Sebelum mengambil nyawanya sendiri pada 2016, doktor pelatih Aya Kimoto dipaksa
bekerja terlalu lama di sebuah hospital di Niigata dengan kerja lebih masanya
berjumlah 251 jam sebulan sebelum dia meninggal dan 200 jam dalam tempoh empat
bulan. Akibat tempoh kerja yang terlalu lama, Kimoto mengalami masalah
kemurungan melampau dan akhirnya membunuh diri.

Perang Karoshi

Apabila
bilangan kematian membabitkan karoshi semakin meningkat, kerajaan Jepun di
bawah pimpinan Perdana Menteri Shinzo Abe perlu bertindak segera demi
memastikan isu ini tidak bertambah parah. Antara inisiatif yang diperkenalkan
Tokyo ialah inisiatif Premium Fridays yang menggalakkan majikan membenarkan
pekerja pulang lebih awal pada pukul 3.00 petang setiap Jumaat terakhir bulan.
Selain itu, mereka juga menggesa pekerja mengambil lebih banyak cuti di mana
pekerja layak mendapat cuti 20 hari setahun. Tetapi 35% pekerja masih enggan
mengambil cuti walaupun digalakkan oleh pihak kerajaan.

Di
sesetengah tempat seperti Toshima, mereka mengambil langkah mematikan
lampu-lampu pejabat pada 7.00 malam untuk memaksa pekerja pulang ke rumah.
Menurut pengurus Hitoshi Ueno, inisiatif ini dibuat bagi menambah produktiviti
pekerja dan memastikan kesihatan mereka terutama dari segi mental berada dalam
keadaan baik. Tetapi menurut aktivis, langkah-langkah sebegini walaupun
membantu tetapi masih lagi sedikit dan gagal menangani isu sebenar: ramai
pekerja mati kerana bekerja terlalu kuat dan terlalu lama. Satu-satunya solusi
untuk masalah ini ialah meletakkan had tempoh kerja lebih masa yang boleh
dikenakan mengikut undang-undang.

Cadangan
ini kemudiannya menjadi sebahagian dari akta reformasi buruh yang dibentangkan
di Diet (Parlimen Jepun) pada tahun lepas yang mengandungi beberapa fasal
termasuk mengehadkan purata kerja lebih masa kepada 60 jam dan gaji yang lebih
adil. Namun, akta sama juga memberi kebenaran kepada syarikat-syarikat
memerintahkan pekerja bekerja lebih masa sehingga 100 jam semasa tempoh sibuk
(hari perayaan dan sebagainya) sekaligus masuk dalam zon merah karoshi itu
sendiri. Walaupun Abe menganggap akta yang dibentangkan ini merupakan satu
reformasi kepada sektor buruh Jepun selepas Akta Standard Buruh 1947, bagi
ramai waris keluarga mangsa yang terlibat, ia masih dianggap tidak mencukupi.

Bagi mereka, Tokyo dilihat lebih berminat menjaga kepentingan syarikat-syarikat besar tanpa memandang sedikit pun soal kebajikan pekerja. Bagi ahli akademik Koji Morioka yang mengkaji fenomena karoshi selama 30 tahun, tindakan Tokyo dianggap satu pengkhianatan kepada keluarga-keluarga mangsa yang terjejas.

Ibu Naoya Nishigaki, Michiko berpandangan tanah airnya itu membunuh rakyatnya yang bekerja di mana mereka seharusnya dilayan sebagai aset dan bukan seperti hamba abdi.

Dia menambah, “Syarikat-syarikat hanya mementingkan keuntungan jangka pendek. Anak saya dan pekerja-pekerja muda lain bukan tidak suka bekerja, mereka berkemampuan dan boleh menunjukkan prestasi yang baik. Berikan peluang kepada mereka bekerja tanpa waktu bekerja yang panjang atau berisiko mengalami masalah kesihatan dan negara amat bertuah memiliki orang-orang seperti mereka.”

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet