Pada rentang waktu antara abad ke-8SM hingga abad ke-6M, pelabuhan-pelabuhan Rom mendominasi kawasan pesisiran di sepanjang Laut Mediterranean. Masyhur dengan pelbagai barang dagangan – meliputi wangian hingga ke papyrus hingga ke pewarna – Empayar Rom merupakan kuasa ekonomi yang mengekploitasi laluan-laluan perdagangan baik di darat mahupun laut dalam tempoh yang agak lama sebelum ketumbangannya pada abad ke-5M.

Penghujung bulan Jun yang lalu, sebuah bangkai kapal Rom dijumpai di pesisiran selatan Pulau Cyprus atau lebih tepat, bandar Protaras, sebuah bandar peranginan yang masyhur dengan keindahan pantainya. Sebagai kepilan nota, Cyprus pernah dikuasai oleh Rom apabila pulau itu ditakluk pada tahun 58SM.

Penemuan ini dilakukan oleh beberapa orang sukarelawan, antaranya adalah Spyros Spyrou dan Andreas Kritiotis yang menyelam bersama sepasukan penyelidik arkeologi lautan dalam dari Makmal Penyelidikan Arkeologi Maritim (MARELab), Universiti Cyprus.

Menurut Kementerian Barangan Antik Cyprus, bangkai kapal ini merupakan yang pertama ditemui dalam keadaan tidak berusik dan merupakan penemuan kedua yang berjaya dilakukan di sekitar kawasan berkenaan dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Sebelum ini, pasukan penyelidik pernah menemukan sebuah bangkai kapal berdekatan kampung Mazotos pada tahun 2007.

Ujar pihak kementerian lagi, penemuan ini bakal mencerahkan lagi pengetahuan para ilmuwan berkenaan sejarah perdagangan laut di antara Cyprus dengan wilayah-wilayah Rom yang lain di timur Mediterranean.

Bangkai kapal tersebut dipercayai merupakan sebuah kapal dagang yang membawa muatan amphorae. Berkemungkinan besar laluan perdagangan yang ditempuhi kapal ini melibatkan Syria dan Cicilia (pesisiran selatan Turki moden). Amphorea adalah sejenis kendi yang kebiasaannya digunakan untuk mengisi minyak zaitun dan arak.

Selain meraih status sebagai bangkai kapal Rom pertama yang ditemui dalam keadaan tidak  berusik, penemuan ini juga mencipta satu lagi sejarah apabila ia menjadi projek lautan dalam pertama yang didanai sepenuhnya oleh kerajaan Cyprus.

Pandangan pantai Protaras dari atas

Berikutan tingginya nilai sejarah yang dimiliki oleh bangkai kapal tersebut, kerajaan telah pun menyalurkan dana kepada pasukan pengkaji untuk membuat penyelidikan awal ke atas bangkai kapal itu. Sebagai sokongan tambahan, pihak kementerian turut berusaha untuk mengawal dan menjamin keselamatan tapak berkenaan agar tidak dicerobohi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Selain itu, kerajaan juga secara terbuka memuji penglibatan para penyelam sukarelawan dalam penemuan dan pemeliharaan berkenaan dengan kenyataan yang berbunyi, “tindakan mereka itu menyampaikan mesej (positif kepada dunia) bahawa budaya memelihara warisan sejarah sememangnya menjadi budaya dalam kalangan rakyat Cyprus.”

Cyprus sememangnya dikenali sebagai sebuah negara yang kaya dengan khazanah sejarahnya. Pada tahun 2015, para arkeologis menemukan makam berusia 2400 tahun milik sebuah keluarga kaya yang hidup di kawasan utara Cyprus. Makam tersebut dipenuhi dengan pelbagai artifak berharga seperti barang kemas, patung, senjata dan tong.

Pada tahun yang sama, ahli-ahli arkeologi melaporkan penemuan sebuah tangkal berusia 1500 tahun yang mengandungi 59 huruf palindrome (perkataan yang jika dibaca baik dari depan mahupun belakang berbunyi sama). Tangkal tersebut ditemui di kota purba Nea Paphos, barat daya Cyprus.

Penemuan-penemuan sebegini diharapkan dapat menjadi pemangkin semangat kepada pasukan penyelidik, kementerian dan orang awam di negara kita untuk terus memelihara khazanah sejarah yang tersimpan di tanah air ini.

Perairan Protaras, berhampiran lokasi penemuan bangkai kapal tersebut

*Kapsyen gambar tajuk: Tinggalan sejarah berupa amphorae dari bangkai kapal berkenaan, yang ditemui di pantai Protaras, sebuah bandar di tenggara Cyprus.

RUJUKAN:

Evan Nicole Brown. (27 Jun 2019). Found: An Ancient Roman Shipwreck Off the Coast of Cyprus. Atlas Obscura.
https://www.atlasobscura.com/articles/ancient-roman-shipwreck-cyprus

Laura Geggel. (28 Jun 2019). First ‘Undisturbed Roman Shipwreck’ in Cyprus Just Discovered. Live Science.
https://www.livescience.com/65818-roman-shipwreck-in-cyprus.html

Stephanie Valera. (28 Jun 2019). ‘Undisturbed’ Ancient Roman Shipwreck Found Off the Coast of Cyprus. Geek.
https://www.geek.com/news/undisturbed-ancient-roman-shipwreck-found-off-the-coast-of-cyprus-1793830/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.