Selama bertahun-tahun, para saintis mencari bukti kewujudan hidupan di luar bumi (nama lain untuk makhluk asing/alien). Dan baru-baru ini, pencarian tersebut semakin membuahkan hasil walaupun ia berpotensi menyemarakkan teori konspirasi berkenaan alien. Ini selepas sebuah kapal angkasa Jepun membawa pulang sampel asid amino yang diambil dari asteroid Ryugu pada Disember dua tahun lepas.

Kapal angkasa Jepun Hayabusa2 merupakan sebahagian daripada misi membawa sampel asteroid Ryugu yang dikendalikan oleh Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA). Misi yang dilancarkan pada 2018 itu menyaksikan Hayabusa2 membuat pemerhatian dan mengambil sampel pada Ryugu selama 18 bulan sebelum sampel digugurkan ke bumi pada Disember 2020.

Gambaran artis bagaimana Hayabusa2 mengutip sampel batu, kerikil dan abu dari asteroid Ryugu.

Misi asteroid Hayabusa2 ketika ini telah disambung sehingga 2031 dengan fokus terkini misi ialah mendapatkan sampel dua lagi asteroid yang berhampiran dengan bumi. Sementara misi ini sedang berjalan, saintis mengkaji sampel batu, kerikil dan debu yang diambil daripada Ryugu. Kebanyakan sampel berukuran 1 mm lebar dengan sampel terbesar berukuran 1 cm.

Analisis dan pemeriksaan pada semua sampel Ryugu mendedahkan pelbagai molekul organik seperti asid amino, hidrokarbon aromatik polisiklik dan pelbagai jenis nitrogen. Semua elemen organik tidak pernah didedahkan kepada cahaya matahari memandangkan hanya 2-3% sahaja yang terdedah dan semua sampel tidak dipengaruhi oleh persekitaran bumi.

Antara contoh sampel asteroid Ryugu yang digugurkan Hayabusa2 pada Disember 2020. Sumber: JAXA

Para saintis percaya elemen-elemen ini merupakan komponen utama kewujudan hidupan di planet lain. Tidak mustahil abu yang dibawa dari Ryugu tersebar ke seluruh sistem suria termasuk bumi. Abu asteroid ini berkemungkinan tiba sama ada menerusi hempasan meteor atau atas sebab yang lain. Salah satu daripadanya ialah meteorit Ivuna yang tterhempas di Tanzania pada 1938.

Ini disebabkan komposisi sampel Ryugu sama dengan komposisi meteorit berkenaan. Meteorit Ivuna juga dianggap unik kerana komposisi bahannya yang jarang ditemui yang dipanggil batu kondrit berkarbon (meteor C.I.). Daripada 1,000 meteor yang ditemui di permukaan bumi, lima daripadanya dikenalpasti sebagai batu kondrit berkarbon.

Siapa sangka sebelum Ryugu, kumpulan batu-batan yang berusia 3.3 bilion tahun di Afrika Selatan ini menyimpan rahsia molekul organik yang dibawa dari angkasa lepas. Sumber: NASA.

Sebelum ini, saintis membuat teori bahawa hidupan wujud di planet akibat molekul-molekul organik yang dibawa oleh komet atau meteor. Antara bukti yang menyokong teori ini ialah kumpulan batu-batan yang berusia 3.3 bilion tahun yang ditemui di Afrika Selatan. Ini berdasarkan penemuan molekul organik pada kumpulan batu-batan berkenaan. Dan kini, penemuan dari sampel Ryugu memperkukuhkan lagi teori berkenaan.

Benar, mungkin sesetengah orang menyifatkan penemuan asid amino pada asteroid sebagai tidak bermakna. Tetapi ia sebenarnya meningkatkan lagi peluang menemui hidupan di luar bumi terutama di Marikh dan bulan-bulan di Musytari, Uranus atau Neptun. Ini amat membantu bagi sebarang misi penerokaan angkasa lepas membabitkan Marikh, Europa atau Uranus.

Imej permukaan asteroid Ryugu yang diambil Rover-1B milik JAXA pada 2018. Sumber: Associated Press

Penemuan sama dijangka turut merancakkan lagi usaha mengetahui bagaimana sistem suria yang kita tahu wujud hari ini. Ini kerana sesetengah sampel Ryugu ini dikatakan berusia tiga juta tahun selepas sistem suria hari ini terbentuk kira-kira 4.6 bilion tahun yang lalu. Ini secara tidak langsung menjadikan sampel-sampel ini sebagai fosil sistem suria.

Komposisi batu-batu meteor C.I. terdiri daripada gabungan elemen yang ditemui pada permukaan matahari. Ini sekaligus bahan terbaik untuk pembentukan awal sistem suria termasuk pembentukan planet. Analisis lebih lanjut pada sampel Ryugu mendapati ia telah dipanaskan pada peringkat awal pembentukannya.

Pemanasan ini mengakibatkan ais bertukar menjadi cecair seterusnya, mencetuskan tindak balas kimia yang mengubah komposisi mineral yang ada. Tetapi disebabkan ia tidak terdedah kepada cahaya matahari atau persekitaran planet seperti bumi, ia langsung tidak berubah. Ini menunjukkan meteor C.I. pada satu ketika merupakan sebahagian daripada asteroid yang lebih besar. Sementara Ryugu pula berkemungkinan serpihan asteroid yang ditolak oleh asteroid sama.

Namun begitu, sebelum ada melonjak-lonjak macam monyet dan kata alien wujud, lebih banyak kajian perlu dibuat. Ini kerana saintis memerlukan lebih banyak sampel batu dan abu daripada asteroid bagi membuktikan teori ini bukan omong kosong.

Atas sebab itu, ramai saintis amat menantikan ketibaan sampel asteorid Bennu yang dibawa kapal angkasa NASA, OSIRIS-REX pada 24 September 2023. Sampel dijangka digugurkan sekitar kawasan padang pasir Utah, Amerika Syarikat. Sekiranya Ryugu padan dengan meteor C.I., saintis pasti mengharapkan sampel Bennu sebagai sesuatu yang berbeza.

Tetapi dengan berita ini, peminat alien menyengihlah macam kerang busuk. Nampak gayanya lepas ini, makin ramailah petik meme Giorgio Tsoukalos!

Nota kaki

kondrit – batu meteorit yang mengandungi kondrul (granul bulat luar biasa yang kadang-kadang ditemui terbenam dalam batu meteorit.

Europa – salah satu bulan untuk planet Musytari.

polisiklik aromatik berkarbon – bahan kimia yang terhasil melalui proses pembakaran, pemanggangan dan penggorengan  terhadap makanan tinggi lemak pada suhu yang tinggi. Dalam konteks alam pula, ia hampir sama dengan petroleum.

omong kosong – simpulan bahasa bermaksud mengarut.

RUJUKAN

Turner, B. (2022, 10 Jun). ‘Rubber-ducky’ asteroid 200 million miles away holds building blocks of life. LiveScience.

Chang, K. (2022, 9 Jun). Asteroid Samples May ‘Rewrite the Chemistry of the Solar System’. The New York Times.

Matsuzoe, R. (2022, 10 Jun). Japan asteroid probe finds 23 amino acids, researchers confirm. Nikkei Asia.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply