Setiap kali sesebuah empangan atau takungan air yang siap dibina mula beroperasi, mana-mana kawasan petempatan manusia yang terkesan dikosongkan sebelum ia ditenggelami air. Setelah itu, petempatan-petempatan yang tenggelam ini tidak akan disaksikan oleh manusia kecuali apabila kemarau mengurangkan kapasiti air empangan.

Ini mungkin menjelaskan mengapa pelancong dan penduduk tempatan merasa takjub melihat kampung hantu Aceredo yang kali terakhir dilihat pada 1992. Perkampungan lama yang terletak di sempadan Sepanyol-Portugal ini dikosongkan pada 1992 bagi memberi laluan kepada pembinaan takungan air Alto-Lindoso. Pengunjung berpeluang melihat semula Aceredo selepas takungan air itu mempunyai kapasiti 15%.

Bagi seorang pesara dari A Coruna, Maximino Pérez Romero, 65, melihat perkampungan hantu itu menimbulkan perasan sedih dalam dirinya. Bagaikan melihat filem di dunia sebenar, dia melihat ini sebagai senario yang akan dihadapi sekiranya suhu panas yang didorong oleh perubahan iklim tidak dikawal.

Rakaman dron yang diambil di udara menunjukkan keadaan bangunan-bangunan terbiar selepas tenggelam selama 30 tahun. Malah, sebuah pancuran air minuman masih lagi berfungsi dan mengalirkan air daripada saluran paip yang berkarat. Bagi sesiapa yang melihatnya, ibarat melihat jendela tahun 1992 Aceredo sebelum ia dikosongkan dan ditenggelamkan atas nama pembangunan.

Rajah 1: Imej Aceredo dari udara yang diambil menerusi dron. Sumber: AFP/Getty Images

Bagi Datuk Bandar Lobios yang turut merangkumi Aceredo, Maria del Carmen Yanez, beliau tahu siapa yang patut dipersalahkan. Memang benar, kekurangan hujan sejak beberapa bulan lepas menyumbang kepada kemerosotan kapasiti air di takungan Alto-Lindoso. Pada masa sama, beliau percaya ia turut disumbang oleh tindakan syarikat pengendali tenaga Portugal EDP yang mengeksploitasi sejumlah besar air daripada takungan berkenaan.

Ini mungkin menjelaskan mengapa Portugal mengarahkan semua enam empangan termasuk Alto-Lindoso untuk mengurangkan penggunaan air pada 1 Februari lepas berikutan situasi kemarau yang melanda ketika ini. EDP dalam satu kenyataan menjelaskan pengurangan kapasiti air di takungan berkenaan berpunca akibat kemarau. Tetapi mereka memberi jaminan pengurusan air di situ cekap dan berada di atas paras minimum seperti ditetapkan kerajaan.

Bukan sekali penduduk tempatan mempersoalkan kelestarian sesebuah takungan/empangan di Sepanyol. Pada tahun lepas, beberapa perkampungan Sepanyol di barat negara itu naik angin dengan perilaku syarikat pengendali tenaga Iberdrola. Ini selepas syarikat itu dikatakan mengambil sejumlah air yang banyak dari tasik kawasan mereka. Selepas tuduhan tersebut timbul, Iberdrola menegaskan mereka mematuhi semua peraturan kerajaan yang ditetapkan.

Berdasarkan data kementerian alam sekitar Sepanyol, peratusan air dalam semua takungan/empangan Sepanyol kini berada pada 44%. Ia berada di bawah paras purata kuantiti air sebanyak 61% yang direkodkan dalam tempoh sedekad lepas. Tetapi ia masih melebihi peratusan paras air yang didaftarkan pada 2018 di mana pada tahun itu, kemarau melanda.

Kemarau di Semenanjung Iberia bukan satu perkara baru yang dihadapi oleh Sepanyol dan Portugal. Tetapi perubahan iklim dijangka memburukkan lagi situasi kemarau yang dihadapi. Untuk tiga bulan terakhir 2021, Sepanyol hanya merekodkan 35% purata hujan daripada purata hujan dari 1981 hingga 2010.

Yang pasti, bagi bekas pekerja pembinaan Jose Alvarez, apabila melihat semula Aceredo, sentimen nostalgia dan realisme dilihat cukup untuk menggambarkan kampung hantu itu. Baginya, ia memang sesuatu yang buruk terutama selepas kampung itu ditenggelamkan untuk pembangunan takungan Alto-Lindoso. Tetapi pada masa sama, kehidupan perlu diteruskan walau seindah mana memori berada di perkampungan itu.

Sepanyol bukan satu-satunya negara yang menyaksikan kemunculan semula kampung hantu. Di United Kingdom, perkampungan hantu Mardale Green ditenggelamkan pada tahun 1930-an bagi mewujudkan kawasan takungan air Haweswater. Tetapi pada tahun lepas, ia kembali muncul selepas takungan air berkenaan berdepan situasi penurunan kapasiti air.

RUJUKAN

Kindred, A. (2022, 19 Februari). Lost ‘ghost village’ rises from lake during drought after being submerged 30 years ago. Daily Mirror.

Reuters. (2022, 11 Februari). Ghost village emerges in Spain as drought empties reservoir. The Guardian.

Reuters. (2022, 16 Februari). A ghost village emerges from the cracked earth as drought empties Spanish reservoir. CNN.

Sumber gambar: Miguel Vidal/Reuters


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply