Ataturk memang berniat mahu menukar bendera kerana Republik Turki adalah sebuah kerajaan baru, sistem baru, sebuah negara republik baru yang mereka asaskan sendiri dengan d*rah dan nyawa pada waktu itu. Mestilah mahu satu identiti yang baru lagi merdeka!
Setiap peralihan sistem dan kuasa sudah tentu akan menukar sekali identiti negara. Ataturk sendiri pada awalnya memang ada pendapat yang lebih cenderung dengan istilah “negara baru, bendera baru” dan beliau bahkan menerima beberapa usul cadangan rekabentuk untuk bendera baru Turki.
Mereka pernah cuba memutuskan untuk menukar bendera tinggalan Empayar Uthmaniyyah kepada bendera Kekhaganan Gokturk (Turkic) atau sekurang-kurangnya beberapa variasinya sehinggalah mereka akhirnya mula menyedari bahawa, mereka sebenarnya tidak sampai hati melakukannya.
Ya, mereka tidak tergamak merelakan diri untuk menjatuhkan bendera bulan sabit dan bintang yang telah lama mereka kibar dan perjuangkan semasa Ataturk bangkit dalam Perjuangan Nasional menentang pendudukan Sekutu.
Ataturk dan rakan-rakan hanya setuju untuk menstruktur semula bendera itu agar dapat menjadikannya lebih menarik bagi dan sedap mata memandang serta warna merahnya digarangkan lagi supaya kelihatan lebih gagah.
Tetapi, bendera yang kita sebut sebagai “Bendera Uthmanyiyyah” sebenarnya telah memiliki tarikh usia penemuan yang lebih tua daripada kesultanan dan khilafah dibawah satu empayar itu.
Tetapi satu perkara yang pasti, Kerajaan Uthmaniyyah tidak muncul bersama simbol ini, mereka hanya menyerap dari simbol kerajaan Byzantine dan Turki menggunakannya semenjak peristiwa Kejatuhan Konstantinopel, Sama seperti banyak negara Islam pada zaman kita.
Jika dijejak lebih jauh lagi, kedua-dua simbol bulan sabit bersama bintang adalah simbol kepercayaan pagan dengan makna kerohanian yang berkaitan dengan kepercayaan sihir kuno orang-orang Turki dan ia telah digunakan oleh pelbagai kumpulan sub-etnik Turki semenjak itu.
Ia juga popular dalam budaya Turkik Asia Tengah sejak abad ke-6 oleh Kekhaganan Gokturk/Turkic.
Anda mungkin tertanya-tanya, mengapa simbol Palang Merah versi Islam adalah Bulan Sabit Merah hingga sekarang? Jika ia tiada kaitan dengan Islam, mengapa hingga organisasi masyarakat juga terpengaruh? Ia kerana, organisasi Bulan Sabit Merah juga diasaskan oleh Empayar Uthmaniyyah.
APA KAITANNYA DENGAN ISLAM?
Sebenarnya, bulan sabit dan bintang tiada kaitan langsung dengan Islam seperti yang pernah penulis jelaskan di dalam artikel Asal Usul Simbol Bulan Sabit Dan Bintang Dalam Tamadun Islam, ia bahkan tidak ada disebut di dalam Al-Quran, tidak pernah digunakan oleh negara-negara Islam terawal bermula dengan kenabian Nabi Muhammad S.A.W.
Tetapi hakikatnya adalah; Kerajaan Uthmaniyyah yang mula-mula menggunakan bendera yang serupa dengan bendera Republik Turki hari ini bermula daripada tahun 1844.
Dan oleh kerana Uthmaniyyah dianggap sebagai kedaulatan dan kekuatan utama Dunia Islam; simbol itu mula dikaitkan dengan agama Islam dan turut digunakan negara-negara Islam yang lain.
Hingga hari ini, negara/bangsa yang menggunakan bulan sabit gaya Turki dan bintang di bendera mereka adalah negara-negara bangsa Turki (seperti Turki, Turkmenistan, Azerbaijan).
Negara yang pernah berada di bawah kedaulatan Uthmaniyyah dan memiliki panji dinasti yang sama pada masa lalu ada yang mengekalkan gaya asal seperti Turki, maka ia tidak mempunyai simbol kebangsaan yang berbeza untuk digunakan pada bendera mereka (seperti Tunisia dan Libya atau Aceh).
Dan negara-negara yang bergeografi amat jauh tetapi mengakui kedaulatan Sultan/Khalifah Uthmaniyyah sebagai Khalifah dunia Islam pada masa lalu (seperti Pakistan dan Malaysia).
Negara-negara Afrika Utara mula menggunakan simbol ini pada bendera mereka setelah mereka dikurniakan kemerdekaan oleh Empayar Uthmaniyyah.
Walau bagaimanapun; negara-negara Arab tidak pernah menggunakannya, bahkan negara Islam yang menjadi tempat Rasulullah S.A.W. diturunkan dan agak dingin dengan Turki seperti Arab Saudi. Kerana ia tidak ada kaitan dengan Islam dan kerana Arab tidak menyukai Turki.
Jadi, bulan sabit dan bintang yang dianggap sebagai simbol Islam sebenarnya hanyalah kesan pengaruh dari simbol nasional bangsa Turki Uthmaniyyah.
PENGARUH DALAM DUNIA ISLAM
Benar, beberapa negara Islam yang langsung tidak ada kaitan yang relevan dengan Empayar Uthmaniyyah juga turut menggunakannya, ia termasuklah kita sendiri di Malaysia.
Beberapa negeri-negeri didalam Persekutuan Malaysia juga banyak menerima kesan pengaruh Turki Uthmaniyyah seperti Kelantan, Terengganu, Johor, dan Malaysia sendiri.
Tetapi negara-negara ini masih baru didirikan pada pertengahan abad ke-20, ketika simbol tersebut telah secara meluas dianggap sebagai simbol identiti Muslim.
Walaupun memang benar bahawa lambang bulan sabit dan bintang tidak ada kena mengena dengan agama Islam, orang Turki tidak pernah mengarahkan atau memaksa kerajaan-kerajaan Islam di seluruh dunia menggunakan simbol pada bendera mereka itu sebagai simbol agama Islam.
Terima kasih kepada media barat, mereka lah yang mula-mula bertanggungjawab menggambarkannya sebagai simbol ikonik Islam sejak sekitar tahun 1950-an.
Ini mungkin akibat kesan solidariti orang-orang Islam di seluruh dunia ketika Uthmaniyyah di ambang kejatuhan selepas Per*ng Dunia Pertama.
Ia kerana pada waktu itu, anda boleh melihat simbol yang serupa berada pada bendera negara-negara majoriti Muslim yang pernah berinteraksi samada secara sejarah, domestik, perdagangan dan kerajaan naungan di bawah lindungan Uthmaniyyah.
Ia merupakan tindak balas seluruh dunia Islam yang bersolidariti terhadap Khalifah Uthmaniyyah, terutamanya penduduk Utara India yang bakal menubuhkan negara Pakistan.
Jadi, ya, lambang itu tidak relevan dengan Islam, ia tidak mempunyai sebarang makna dalam ikonografi Islam, namun kita harus terima hakikat bahawa setiap budaya itu sentiasa berevolusi.
Islam tidak memiliki bulan sabit dan bintang sebagai simbol sehinggalah Empayar Uthmaniyyah mula mengibarkannya di atadi puncak menara setelah menjadikan Konstantinopel sebagai ibu kota mereka.
Sedangkan bulan sabit dan bintang itu adalah diserap dari simbol kerajaan Kristian Byzantine yang dikalahkan Sultan Mehmed II, ia kebetulan memiliki persamaan dengan simbol bulan sabit era animisme dan tengrisme yang diamalkan nenek moyang orang Turki di Asia Tengah.
PENGARUH BUDAYA BUKAN ISLAM
Pelbagai mitos dikaitkan dengan simbolisme warna merah, bintang dan bulan sabit. Walaupun bintang dan bulan sabit sering dilihat sebagai simbol eksklusif Muslim, mereka mempunyai sejarah yang lama sebelum menjelang kebangkitan Islam lagi.
Tamadun kuno di seluruh Timur Tengah menggunakan bulan sabit sebagai simbol keagamaan, dan kota kuno Byzantium didedikasikan untuk dewi bulan, Diana.
Manakala bintang pula mewakili Virgin Mary dan dilampirkan bersama simbol bulan sabit Diana ketika Maharaja Constantine I menjadikan agama Kristian sebagai kepercayaan rasmi Empayar Rom dan menamakan kota itu sebagai Konstantinople untuk sempena dirinya sendiri.
Perkara pertama dan terakhir yang mungkin wajib kita fahami: Ataturk tidak mengambil bendera Uthmaniyyah yang lama secara bulat-bulat seperti yang didakwa oleh ramai pihak.
Seorang yang menerima sekular tidak sama seperti seorang yang liberal, konteks sekularisme ini kebiasaannya hanya tertumpu pada sudut perundangan sivil dan ekonomi sahaja.
Sebab itu Ataturk masih memandang bendera Uthmaniyyah dengan nilai sentimental yang melibatkan pahit manis bangsa Turki meraih kemerdekaan.
Bendera Republik Turki yang kita lihat hari ini, memang diambil dari rekabentuk bendera Uthmaniyyah yang lama, tetapi sedikit posisi objek dalam bendera itu sebenarnya diubah walaupun tidak banyak, kemudian kerajaan Republik menambahkan makna simbolik untuk bendera itu.
Bintang mewakili bangsa Turki, bulan sabit mewakili kepercayaan agama Islam dan warna merah melambangkan d*rah para pejuang kemerdekaan. (Shahid / syuhada), dan ini dipersetujui oleh Atatürk sendiri, bukan seperti yang dilambangkan oleh bendera Uthmaniyyah semasa pemerintahan Empayar.
Semasa era Empayar Uthmaniyyah, warna merah adalah warna standard Imperial, simbol bintang dan Bulan Sabit mewakili konsep Uthmaniyyah iaitu “Nizam-i Alem,” atau pada dasarnya, lambang orde dunia gaya Uthmaniyyah.
Empayar Uthmaniyyah tidak hanya menggunakan latar belakang merah, bintang dan bulan Sabit putih sebagai standard bendera mereka sehingga abad ke-19 tetapi hampir semua sepanduk dan bendera Kerajaan menggabungkan bulan sabit dan bintang mengikut tahap tertentu.
Tentera Turki hari ini masih banyak dipengaruhi dengan amalan Islamik dalam setiap rutinnya. Semasa latihan ketenteraan, askar-askar akan membaca ikrar dan melaungkan takbir “Allahuekber”. Amalan ini tidak berubah semenjak zaman Uthmaniyyah dan diteruskan oleh Ataturk.
Bahkan lagu kebangsaan Turki yang diluluskan Ataturk sendiri juga sangat mendalam dengan lirik yang bertemakan kata-kata puitis lagi Islamik.
Cabang pemerintahan Diyanet, yang menguruskan semua urusan agama Islam di Turki, dari pembangunan masjid hingga pendidikan dan pembayaran gaji imam, menentukan “Fatwa” atau keputusan hukum hakam, semua itu berlaku pada zaman Mustafa Kemal Ataturk.
Selepas kegagalan jihad ketika Per*ng Dunia Pertama akibat pengkhianatan Arab, Atarurk juga secara ter*ng-ter*ngan memandang perjuangan beliau sebagai satu Jihad semasa Per*ng Kemerdekaan Turki.
Ketika itu dia mendakwa bahawa sistem Khalifah telah menjadi korup dan dipengaruhi oleh imperialis barat hingga menjadi boneka, dan warga Anatolia harus memperjuangkan kemerdekaan sendiri untuk bebas dari penjajahan imperialis barat.
Banyak bukti sejarah yang menyokong kenyataan bahawa dia akan terus berjuang diluar perbatasan moden Turki sekiranya negara itu tidak diratah oleh penjajah Eropah, dan sumber ketenteraannya berkurang.
Justeru, bagi seluruh dunia samada dunia Islam mahupun tidak, kita dan mereka kemungkinan akan terus menganggap Turki tinggalan Mustafa Kemal Ataturk itu sebagai sebuah negara sekular yang sesat, bagi golongan ekstremis, sudah tentu Turki dianggap sebagai musuh. Tetapi apa yang dilakukan Ataturk di sana pada waktu itu hanya dia dan rakyat Turki sahaja yang melaluinya.
Jadi, bukan hak kita hendak mempersoalkan layakkah mereka meneruskan ciri-ciri Islam tinggalan Uthmaniyyah, apatah lagi mempersoalkan bendera mereka, hari ini bulan sabit dan bintang itu bagi kita adalah simbol Islam tetapi bagi mereka, ia hanyalah lambang nasionalisme sebuah negara bangsa Turki.
Rujukan
- The Immortal Ataturk: A Psychobiography : https://www.cambridge.org/core/journals/american-political-science-review/article/immortal-ataturk-a-psychobiography-by-vamik-d-volkan-and-norman-itzkowitz-chicago-university-of-chicago-press-1984-pp-xxv-374-3750/F08A1F45B59F6E2CE1D4901E0ABE91E1
- What is the origin of the crescent moon symbol seen throughout Islamic cultures?: https://www.theguardian.com/notesandqueries/query/0,5753,-1411,00.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih