Ketika Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511 Masihi, kerajaan Demak di Pulau Jawa sedang dalam fasa perluasan kuasa empayar dan perdagangan. Pati Unus adalah raja kedua kerajaan Islam pertama di Pulau Jawa yang berpusat di Bintoro ini dan menguasai jalur sutera lautan menjadi impian semua pemerintah di Nusantara.
Aku secara peribadi mahu percaya bahawa serangan 1512 Pati Unus ke atas Portugis di Melaka pada asalnya adalah berpaksikan perjuangan menegakkan syiar Islam di Nusantara semata-mata, tetapi sebahagian aku yang lain mengatakan sama ada Portugis tiba atau tidak di rantau ini, Melaka pasti akan diserang juga. Mungkin aku salah, kerana apa? Kerana bertahun-tahun sebelum itu, Fatahillah sudah bertempur dengan Portugis di Sunda Kelapa. Ada ‘bad blood’ di situ.
Aku juga tidak menjumpai sebarang catatan yang mengatakan Sultan Melaka yang berundur ke Muar dan kemudiannya ke Bentan dan Kampar ada meminta secara langsung kepada Pati Unus untuk menyerang Melaka. Ini membuktikan tindakan Demak menyerang Portugis di Melaka adalah bersendirian dan bermotifkan perluasan kuasa serta dagangan, ditambah pula dengan perasaan benci yang membuak di atas wujudnya kuasa dan penyebaran dakyah Kristianisasi di Nusantara. Ianya bermotif sama seperti Aceh yang menyerang kota Melaka juga.
‘Andai Runtuh Kota Melaka, Papan Di Jawa Hamba Dirikan…’
Agak sukar untuk aku menerima bulat-bulat pernyataan di atas jika ia menggambarkan hubungan rapat Demak pada zaman Pati Unus dengan Kesultanan Melayu Melaka yang berada dalam buangan ketika itu.
Dua kali Pati Unus menyerang Melaka (1512 dan 1521) dan kedua-duanya gagal. Setelah beliau mangkat, Raden Trenggana menumpukan usaha penyebaran Islam dan kuasa Demak di pedalaman Jawa dan setelah beliau pula mangkat, Sunan Prawoto, iaitu anak Raden Trenggana naik takhta dan menjadi raja keempat Kesultanan Demak (1546 – 1549).
Usia pemerintahan Sunan Prawoto tidak lama kerana beliau dibunuh oleh Arya Penangsang, yang kemudiannya menjadi raja terakhir Kesultanan Demak. Jika dilihat daripada sejarah, selepas pemergian Pati Unus, Demak sering dibelenggu kisah perebutan takhta dan pembunuhan. Kerajaan Demak terbubar apabila Arya Penangsang dibunuh pula oleh Jaka Tingkir atas dokongan Ratna Kencana, anak perempuan Raden Trenggana, adiknya Sunan Prawoto. Jaka Tingkir kemudiannya mendirikan kerajaan Pajang. Ratna Kencana terlebih dahulu menyisihkan dirinya ke Jepara setelah Sunan Prawoto dan suaminya Pangeran Kalinyamat dibunuh Arya Penangsang juga.
Di Jepara, Ratna Kencana dikenali sebagai Ratu Kalinyamat, sempena nama gelaran arwah suaminya. Walaupun Jepara terletak di dalam ‘kuasa taklukan’ Pajang, namun, Ratu Kalinyamat seolah-olah ada kuasa autonomi memerintah Jepara dan kawasan sekitar yang diakui oleh Jaka Tingkir.
Maka, apa kena mengena Ratu Kalinyamat, Jepara, Demak dan Melaka di bawah Portugis?
‘Andai Runtuh Kota Melaka, Papan Di Jawa Hamba Dirikan…’
Jika ada suatu kebenaran pada bait-bait ini pastinya ianya datang daripada persahabatan dan sokongan tidak berbelah bahagi ratu ini kepada kesultanan Melayu Melaka.. dan Johor.
Tahukah kalian bahawa selain Pati Unus, Ratu Kalinyamat telah menyerang Portugis di Melaka sebanyak 2 kali, dengan angkatan yang agak besar dalam serangan yang kedua. Serangan kali pertama dilakukan pada tahun 1551 Masihi. Dikisahkan, setahun sebelum Jepara menghantar angkatan tentera lautnya, Kesultanan Johor telah mengutus sepucuk surat meminta bantuan Jepara dalam memerangi musuh mungkar di Melaka. Peperangan ini atas alasan perang suci ke atas Portugis.
Sebagai tanda sokongan, Ratu Kalinyamat menghantar 40 buah kapal berserta dengan antara 4,000 hingga 5,000 orang perajurit. Namun, serangan ini gagal setelah Portugis berjaya bertahan di Melaka dan serangan balasnya membunuh separuh tentera Jawa.
Pada serangan kedua, Ratu Kalinyamat menghantar sejumlah 300 buah kapal di mana 80 daripadanya adalah kapal-kapal perang yang besar. 15,000 perajurit terpilih juga dihantar dalam misi perang suci ini. 3 bulan Portugis dikepung di lautan. Malah, tentera Jawa sudah berjaya mendarat di pantai. Namun, takdir Tuhan, kalah juga tentera ini. Dikatakan 2/3 daripada jumlah asal tentera yang dihantar berperang tewas. Begitu juga banyaknya kapal-kapal perang yang musnah.
Ini membuktikan adanya hubungan persaudaraan antara Kesultanan Johor sebagai penerus Kesultanan Melaka dengan Kerajaan Jepara.
Diego de Couto menggelar ratu hebat ini sebagai Rainha de Jepara, senhora poderosa e rica yang bermaksud ‘Ratu Jepara, wanita yang berkuasa dan kaya. Ya benar, kayanya kerana Jepara merupakan kuasa dagang maritim yang makmur.
Diego de Couto juga menggelar Ratu Kalinyamat sebagai ‘de kranige dame’ atau bermaksud seorang wanita yang berani. Manakan tidak, bukan sahaja Portugis hampir-hampir ditewaskan pada tahun 1574. Mereka juga diserang di Ambon!
‘Andai Runtuh Kota Melaka, Papan Di Jawa Hamba Dirikan…’
Padaku, bukan Pati Unus yang dimaksudkan oleh ungkapan di atas, tetapi yang dimaksudkan adalah Ratna Kencana atau lebih dikenali sebagai Ratu Kalinyamat.
Cuma aku terkilan… apakah nasib Portugis pada serangan Aceh tahun 1573 jika ianya disertai oleh Johor, Pahang, Patani dan Kedah di darat dan Aceh serta Jepara menghalang dan menyerang dari lautan… satu sahaja jawapannya..
Ranaplah Portugis!
Bertuah bumi Jepara, tempat lahirnya wanita-wanita hebat.. ada Raden Adjeng Kartini… ada Kanjeng Ratu Kalinyamat! Oh… ada satu lagi.. Ratu Shima namanya ?
Rujukan;
Graaf, H.J.1986. Kerajaan-Kerajaan Islam di Jawa: Peralihan dari Majapahit ke Mataram.
Muljana, Slamet. 1968. Runtuhnya Kerajaan Hindu-Jawa dan Timbulnya Negara-Negara Islam di Nusantara
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih
3 Comments
Semua kerajaan besar dlu berdarah melayu.. termasuk majapahit..
Sila baca bantuan dinasti ming terhadap kesultanan melayu juga..
Melaka dan johor bukannya jauh.. tp portugis tak berani menyerang..
Melayu Nusantara mesti bersatu untuk kekuatan.
Pantun ini telah mengesahkan kejatuhan islam mlayu melaka dari penjajah,antara kota islam yg terkuat selepas Turkey,kisah ini sangat menyayat hati. Pengkianat musuh dalam selimut Tun seri lanang ini punca terjadinya kejatuhan melayu islam melaka. Johor Pahang dan riau bersama petugis. Riau juga kalah kerana orang mlayu Riau mengkianati bersekutu dgn potugis