Daun inai (Lawsonia inermis) adalah tumbuhan yang digunakan secara tradisional dalam bidang perubatan dan juga kosmetik sejak beribu tahun yang lampau. Pohon inai tumbuh boleh dijumpai dengan mudah di kawasan tropika dan kawasan separa gersang seperti Malaysia, Pakistan, India, Indonesia, Mesir, Afrika, Tunisia, Arab Saudi, Iran, dan Iraq. Pohon inai mempunyai banyak ranting, berbunga, dan juga berbuah, dan boleh tumbuh sehingga ketinggian 2.6 meter. Terdapat 4 jenis warna bunga inai iaitu warna putih, pink, kuning, dan merah ros.

Sumber imej dari Wikipedia

Oleh kerana khasiatnya dalam perubatan, daun inai tercatat dalam Eber Papyrus, iaitu sebuah catatan perubatan Mesir kuno yang bertarikh 1550 SM. Malah dalam hadis sahih juga tercatat penggunaan daun inai untuk tujuan perubatan oleh Rasulullah SAW.

Selaras kemajuan teknologi, para saintis kini melakukan banyak kajian saintifik untuk menentukan apakah bahan aktif yang terdapat dalam daun inai yang berpotensi untuk digunakan dalam bidang perubatan. Kajian saintik terhadap daun inai ini adalah penting untuk menentukan adakah bahan aktif tersebut mempunyai keupayaan menyembuhkan penyakit, dos yang diperlukan untuk bahan aktif tersebut menghasilkan kesan yang dikehendaki, dan untuk mengenal pasti jika daun inai selamat digunakan untuk tujuan perubatan tanpa sebarang kesan sampingan. Semua persoalan ini perlu dijawab sebelum daun inai dapat digunakan sebagai ubat untuk merawat penyakit.

Inaidamia ialah salah satu produk inai yang berkualiti untuk didapatkan oleh pengguna diluar sana.

Lawsone, adalah sejenis molekul pewarna dalam daun inai yang dikenalpasti mempunyai potensi dalam bidang perubatan dan para saintis kini giat mengkaji kegunaan lawsone dalam menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Selain daun inai, lawsone (2, hidroksi-1,4-naftakuinon) juga boleh didapati dalam bunga inai dan juga dahan pohon inai, namun kandungannya jauh lebih sedikit berbanding dalam daun inai.

Struktur molekul lawsone, 2-hidroksi-1,4-naftakuinon

 

Kebanyakan kajian yang dijalankan ke atas daun inai dan molekul pewarna lawsone, lebih memfokuskan kepada kesan anti-bakteria, anti-fungus, dan keupayaan daun inai untuk menyembuhkan luka. Antara kajian yang telah dijalankan oleh saintis diseluruh dunia adalah seperti berikut:

  • Dalam model tikus yang mempunyai luka pada permukaan kulit, dan tikus yang mempunyai luka jahitan (kontrol), tikus yang telah dirawat dengan daun inai menunjukkan kadar penyembuhan luka yang lebih cepat dari tikus yang tidak dirawat dengan daun inai. Daun inai juga menunjukkan kadar pertumbuhan tisu baru lebih cepat dari tikus yang tidak dirawat dengan daun inai [1].
  • Kajian yang lebih terperinci juga dijalankan pada model tikus yang mempunyai luka pada permukaan kulit menggunakan lawsone untuk merawat luka. Kajian ini menunjukkan Lawsone mempercepatkan pertumbuhan tisu baru, mengurangkan pengumpulan sel darah putih di kawasan luka, dan mempercepatkan penghasilan kolagen yang diperlukan untuk pertumbuhan tisu baru [2]
  • Kajian yang dilakukan terhadap tikus yang mempunyai penyakit pankreatitis akut, sejenis penyakit keradangan pada pankreas, menunjukkan lawsone, mempunyai kesan anti-keradangan. Kajian ini mengukur kadar penurunan penanda keradangan iaitu C-reactive protein, interleukin-6, dan tumor necrosis factor-α. Selain itu, ektrak daun inai juga mengurangkan sel darah putih iaitu neutrofil yang menyebabkan keradangan menjadi bertambah teruk [3].
  • Kesan anti-bakteria lawsone terhadap bakteria termasuk bakteria ‘multi-drug resistant’,Pseudomonas aeruginosaAcinetobacter baumanniiE. coliCandida albicansCandida kruseiCandida glabrataCandida tropicalisdan Candida auris menunjukkan lawsone mampu menghalang pembiakan bakteria ini. Dalam kajian yang sama, para saintis mendapati bahawa lawsone mempunyai kesan anti-fungus yang mampu menghalang pembiakan Rhizopus fungus, sejenis kulat yang menyebabkan penyakit mukormikosis, yang boleh membawa kematian [4].
  • Lawsone juga menunjukkan kesan perlindungan terhadap kecederaan hati dalam tikus, dengan bertindak melindungi sel hati dari nekrosis iaitu proses kematian sel yang disebabkan oleh kecederaan atau penyakit. Lawsone juga menghalang pengumpulan sel darah putih limfosit dari terus menerus merosakkan sel hati dan juga bertindak menurunkan kadar radikal bebas dalam tikus [5].
  • Selain dari lawsone, ekstrak biji benih pohon inai juga didapati mempunyai kesan anti-oksidan. Ekstrak biji benih pohon inai bertindak dengan mengurangkan proses ‘lipid peroxidation’ yang menghasilkan malondialdehyde yang boleh merosakkan tisu [6].
  • Terdapat juga sebuah kajian yang dilakukan pada tahun 1990 menguji keberkesanan daun inai untuk menghalang pembiakan bakteria penyebab tuberkulosis dalam makmal dan model haiwan. Kajian itu mendapati ekstrak daun inai 6ug/ml dan 5mg/kg mampu menghalang pembiakan bakteria penyebab tuberkulosis. Kajian ke atas Guinea pig menunjukkan, 10 dari 15 haiwan yang tidak diberikan ekstrak daun inai mati, manakala 15 haiwan yang diberikan ekstrak daun inai, kekal hidup [7].
  • Selain itu, kajian juga dijalankan menguji keupayaan daun inai untuk menghalang pembentukan osteoclast iaitu sejenis sel tulang yang berfungsi untuk memecahkan tisu tulang. Dalam keadaan fisiologi badan yang normal, fungsi osteoclast ini sangat penting dalam pemeliharaan, pembaikan, dan pembentukan semula tulang kerangka vertebra. Namun dalam penyakit osteoporosis yang menyebabkan tulang kehilangan banyak tisu tulang dan menjadi rapuh, kehadiran osteoclast yang banyak akan memburukkan penyakit tersebut. Dalam kajian ini, saintis mendapati bahawa penggunaan ekstrak daun inai dapat menghalang pertumbuhan sel osteoclast, seterusnya membuka jalan untuk menjalankan kajian yang lebih terperinci terhadap kesan daun inai untuk merawat penyakit osteoporosis [8].

  • Kesan anti-fungus daun inai ke atas Malassezia, sejenis fungus penyebab kelemumur menunjukkan ekstrak daun inai mampu menghalang pembiakan fungus tersebut [9]. Jadi, tidak hairanlah jika daun inai mampu menghilangkan kelemumur walaupun dengan sekali pemakaian.
Inaidamia ialah salah satu produk inai yang berkualiti untuk didapatkan oleh pengguna diluar sana.

Walaupun daun inai telah digunakan di seluruh dunia beribu tahun yang lampau, namun kajian saintifik secara mendalam masih kurang berbanding tumbuhan herba lain. Di Malaysia, berbanding tumbuhan herba lain seperti tongkat ali,dan kacip fatimah, kajian saintifik mengenai daun inai masih kurang mendapat tempat.

Daun inai sememangnya sudah sebati dalam kebudayaan melayu di Malaysia dan daun inai juga menggunakan dalam perubatan tradisional melayu. Melihatkan kajian daun inai yang didominasi oleh para saintis luar negara, para saintis di Malaysia seharusnya lebih proaktif dalam mengkaji keupayaan daun inai dalam bidang perubatan dan kegunaan komersil agar potensi daun inai dapat digunakan sepenuhnya.

RUJUKAN:

  1. Nayak, B.S., Isitor, G., Davis, E.M. and Pillai, G.K., 2007. The evidence based wound healing activity of Lawsonia inermis Linn. Phytotherapy Research: An International Journal Devoted to Pharmacological and Toxicological Evaluation of Natural Product Derivatives21(9), pp.827-831.
  2. Adeli-Sardou, M., Yaghoobi, M.M., Torkzadeh-Mahani, M. and Dodel, M., 2019. Controlled release of lawsone from polycaprolactone/gelatin electrospun nano fibers for skin tissue regeneration. International journal of biological macromolecules124, pp.478-491.
  3. Biradar, S. and Veeresh, B., 2013. Protective effect of lawsone on L-Arginine induced acute pancreatitis in rats.
  4. Soliman, S.S., Alsaadi, A.I., Youssef, E.G., Khitrov, G., Noreddin, A.M., Husseiny, M.I. and Ibrahim, A.S., 2017. Calli essential oils synergize with lawsone against multidrug resistant pathogens. Molecules22(12), p.2223.
  5. Darvin, S.S., Esakkimuthu, S., Toppo, E., Balakrishna, K., Paulraj, M.G., Pandikumar, P., Ignacimuthu, S. and Al-Dhabi, N.A., 2018. Hepatoprotective effect of lawsone on rifampicin-isoniazid induced hepatotoxicity in in vitro and in vivo models. Environmental Toxicology and Pharmacology61, pp.87-94.
  6. Philip, J.P., Madhumitha, G. and Mary, S.A., 2011. Free radical scavenging and reducing power of Lawsonia inermis L. seeds. Asian Pacific Journal of Tropical Medicine4(6), pp.457-461.
  7. Sharma, V.K., 1990. Tuberculostatic activity of henna (Lawsonia inermis Linn.). Tubercle71(4), pp.293-295.
  8. Cuong, N.X., Nhiem, N.X., Thao, N.P., Nam, N.H., Dat, N.T., Anh, H.L.T., Van Kiem, P., Van Minh, C., Won, J.H., Chung, W.Y. and Kim, Y.H., 2010. Inhibitors of osteoclastogenesis from Lawsonia inermis leaves. Bioorganic & medicinal chemistry letters20(16), pp.4782-4784.
  9. Deviha, M.S. and Pavithram, K.S., 2015. Antifungal activity by ethanolic extracts of medicinal plants against Malasseziafurfur: A potential application in the treatment of Dandruff. Int J Pharmtech Res8(3), pp.440-444.
  10.  Khader Ahmad,Mohd Farhan Md Ariffin,Monika @ Munirah Abd Razzak, Nurulwahidah Fauzi, Mohd Asmadi Yakob. 2016 TUMBUHAN INAI DALAM AL-QURAN DAN HADITH: MANFAAT DAN CADANGAN LANJUTAN BERASASKAN PENYELIDIKAN SEMASA.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.